To Live Is to Die

free counters

Rabu, 24 Mac 2010

CATATAN DEWAN PENGARANG SUARA DEMOKRASI MALAYA (25 – 28 Februari 1982)

Bagaimana memandang peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa yang dicetuskan oleh fasis Jepun dan imperialis British di berbagai tempat negeri kita pada masa akhir Perang Anti-Jepun dan tidak lama setelah Perang Dunia Kedua? Setiap orang yang benar-benar jujur mahu memelihara dan mendorong perpaduan besar semua bangsa negeri kita, mahu menghapuskan banyak syak wasangka dan kerenggangan antara bangsa-bangsa harus menghadapi masalah tersebut dengan sikap yang sungguh-sungguh dan serius.

Bangsawan faudal dan kelas kapitalis birokrat komprador negeri kita serta klik berkuasa Kuala Lumpur yang mewakili kepantingan mereka sentiasa berniat jahat memindahkan tanggungjawab kejahatan pembunuhan bangsa-bangsa yang berlaku pada masa itu ke atas Parti Komunis Malaya serta Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya yang dipimpinnya. Kerana mereka perlu memainkan siasat apa sahaja untuk menghalangi rakyat semua bangsa, lebih-lebih lagi rakyat bangsa Melayu yang luas dari mendekati dan menyokong Parti Komunis Malaya, mendekati dan menyokong parti-parti politik dan organisasi-organisasi patriotik lain yang menganjurkan penjalinan fron persatuan nasional anti-imperialis dengan kaum komunis Malaya. Akan tetapi, sejarah tuan-tuan kelas berkuasa dan klik berkuasa dalam masa fasis Jepun menduduki negeri kita selama 3 tahun 8 bulan itu sangat memalukan. Oleh sebab itu, satu-satunya jalan keluar bagi mereka ialah meminta tolong dari beberapa pengarang yang keji dengan sewenang-wenangnya memutar belikan sejarah perjuangan bersenjata anti-Jepun rakyat di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya; menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam; dengan sesuka hari mereka-rekakan cerita konon Tentera Anti-Jepun membunuh orang, mencabuli wanita, dan mereka menggambarkan pembantu jahat peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa yang dicetuskan oleh fasis Jepun dan imperialis British sebagai pahlawan. Pada akhir bulan November lalu, menjelang ulang tahun ke-40 Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun, sebuah suratkhabar berbahasa Melayu negeri kita berturut-turut memuatkan satu siri artikel yang memfitnah Parti Komunis Malaya dan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya. Bukan saja niatnya jahat, malah siasatnya yang dusta sangat keji. Oleh yang demikian, kita menganggap perlu memperkenalkan kepada saudara-saudari isi lengkap artikel yang disiarkan Radio Suara Revolusi Malaya pada 14 Mei tahun lalu yang bertajuk PERJUANGAN PARTI DAN TENTERA KITA MELAWAN KOMPLOTAN PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA MUSUH MENJELANG DAN SELEPAS KEKALAHAN JEPUN, agar dapat menjernihkan kenyataan sejarah yang sebenarnya, menelanjangi rupa hodoh pemfitnah dan menggagalkan komplotan jahat dalang mereka yang hendak mencetuskan kebencian dan kecurigaan antara bangsa-bangsa.

Blackend Is The End

Dyers Eve