Blackend Is The End

Jumaat, 19 Mac 2010

SURAT KENYATAAN PKM BERKENAAN DENGAN KEADAAN SEKARANG

PKM telah mengumumkan manifesto program pada 22 Disember 1955 dalam mana telah menjelaskan tujuan parti kami berjuang untuk melaksanakan kemerdekaan, demokrasi dan keamanan di Malaya serta mengemukakan jalan yang betul bagi melaksanakan tujuan itu.

Rundingan damai telah diadakan di Baling pada penghujung bulan Disember yang lalu. Di dalam pertemuan itu PKM telah mengambil sikap yang paling sabar dan bertolak ansur dan berikhtiar dengan sedaya upaya supaya rundingan itu boleh mencapai persetujuan supaya rakyat di seluruh negeri boleh bersatu lebih erat lagi dan berjuang untuk melaksnakan kemerdekaan tanah air.

Oleh itu, parti kami telah menyatakan dengan terus terang bahawa kami sanggup memberhentikan perlawanan-perlawanan dan menamatkan peperangan asal saja pihak yang berkuasa Malaya sanggup mengambil sikap yang munasabah, umpamanya membatalkan Undang-Undang Drurat, Memberikan hak-hak demokratik dan kebebasan politik kepada rakyat seluruh Malaya termasuk orang-orang komunis, menjamin tidak melakukan keaiban politik dan pembalasan ke atas batang tubuh orang-orang komunis dan anggota-anggota tentera kebebasan dan lain-lain. Tetapi sangatlah dikesalkan kerana pihak lawan di dalam perundingan itu menolak sama sekali kepada usulan-usulan kami yang munasabah, tetap berpegang kepada syarat-syaratnya yang tidak menasabah yang memaksa pihak kami supaya menyerah diri, sedangkan syarat-syarat yang kasar dan tidak munasabah itu tak dapat tidak kami tolak dengan tegas sehingga menyebabkan pertemuan itu tidak dapat mencapai persetujuan. Dari sini bolehlah nampak bahawa sebabnya pertemuan Baling itu tidak mencapai hasil adalah sama sekali kerana haluan yang telah lama sedia ditetapkan oleh British sebelum pertemuan itu lagi untuk mengkhianati rundingan damai tersebut.

Sesudah pertemuan Baling itu, British telah mengadakan rundingan London dengan pihak yang berkuasa Malaya. Hasil-hasil rundingan itu membuktikan bahawa British telah membuat sesetengah tolak ansur kepada pihak yang berkuasa Malaya, tetapi Malaya tidakpun mendapat kemerdekaan, Malaya masih tetap sebagai tanah jajahan British. Mesti ditegaskan bahawa tolak ansur itu telah dibuat oleh British juga kerana menerima tekanan-tekanan dari gerakan kemerdekaan rakyat negeri kita dan perjuangan parti kami. Apa yang lebih penting lagi ialah British masih mempunyai satu niat jahat yang baru iaiatu mencuba dengan menerusi sesetengah tolak ansur itu untuk mengumpan sebahagian anasir-anasir atasan Malaya supaya bekerjasama dengannya untuk meneruskan peperangan bagi mencapai tipu daya niat jahatnya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya”.

PKM yang bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat seluruh negeri, menuntut kepada rakyat seluruh negeri supaya mengambil pengertian yang waras kepada tipu daya kaum kolonial British yang jahat itu. Boleh dipastikan, jika sekiranya tipu daya British itu berhasil dan peperangan di Malaya terus menerus berkepanjangan, maka bukan saja segala bangsa-bangsa yang berpersaudaraan di negeri kita akan saling membunuh dan kesengsaraan rakyat di negeri kita akan semakin bertambah-tambah, tetapi juga ada kemungkinan bagi kaum kolonial menggunakan kelanjutan peperangan dan perpecahan di dalam Malaya untuk mengetatkan lagi penguasaannya kepada Malaya, melambatkan kemerdekaan Malaya, bahkan menghampakan sama sekali segala penyerahannya kepada Malaya dahulu.

Oleh itu, PKM berpendapat bahawa kewajipan mustahak bagi segala bangsa, segala lapisan dan segala parti dan perkumpulan-perkumpulan di negeri kita sekarang ini ialah untuk mencegah perpecahan, meneguhkan perpaduan, meleburkan tipu daya yang jahat dan bisa dari British iaitu tipu daya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita.

PKM berpendapat bahawa kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya adalah saling berkaitan dan tak boleh dibelah bagi. Parti kami sedang dan akan berjuang terus menerus dengan tidak sayang menggunakan segala tenaga untuk memulihkan keamanan. Parti kami menyatakan sekali lagi dengan tegasnya bahawa sebarang percubaan untuk memaksa parti kami menyerah diri itu semestinya akan gagal, tetapi kalau pihak yang berkuasa Malaya sanggup menamatkan peperangan dengan bersendikan syarat-syarat yang adil dan menasabah sebagaimana yang kami sebutkan di atas itu, maka kami adalah mengalu-alukan supaya rundingan-rundingan diadakan semula.

Dengan ikhlasnya kami menasihati lagi kepada pihak yang berkuasa Malaya bahawa orang-orang yang menumpahkan taat setianya kepada usaha kemerdekaan negeri kita hendaklah dan tidak pula susah dengan penuh kesanggupan meninggalkan sikap yang dipertahankan oleh British untuk memaksa pihak kami menyerah diri itu, dan mengadakan semula rundingan-rundingan dengan parti kami di bawah syarat-syarat yang adil dan menasabah, kalau tetap berpegang kepada haluan yang salah untuk memaksa orang-orang komunis menyerah diri sehingga peperangan tak dapat ditamatkan dan keamanan tak dapat dipulihkan dengan segera, nescaya akan jatuh ke dalam perangkap British dan merosakkan usaha kemerdekaan negeri kita, bahkan tidak akan dapat terelakkan daripada tanggungjawab meneruskan peperangan, tidak syak lagi, bahawa di dalam keadaan yang demikian itu pihak kami akan terpaksa meneruskan penentangan bersenjata yang semestinya bagi membela kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Saudara-saudara di seluruh negeri! Bersatu padulah lebih erat lagi, mencegah perpecahan, meleburkan niat jahat British “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang dengan sekeras-kerasnya untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita! Kita pasti mencapai kemenangan asal saja kita bersama-sama berusaha.

Jawatankuasa Pusat

Parti Komunis Malaya

5 Mac 1956

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve