To Live Is to Die

free counters

Jumaat, 30 April 2010

WARKAH TERAKHIR DARI ROSLI DHOBY SEBELUM DI HUKUM GANTUNG


Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau.

Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir secara mendadak.

Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara.Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat.Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak,berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.Ketika itulah,Keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak,sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.


Rabu, 28 April 2010

KEHILANGAN GHAFAR BABA DI KENANG PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA

(Mengenangi Allahyarham Tun Ghafar Baba)

Pada 23 April 2006, seorang sahabat lama saya, Tun Ghafar telah pulang ke rahmatullah dalam usia 81 tahun. Beliau benar-benar seorang tokoh negarawan yang besar. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang sukar dicari ganti bagi negara.

Tun Ghabar Baba memasuki alam politik dengan menyertai KMM (Kesatuan Melayu Muda). Walau bagaimanapun saya mengenalnya ketika kami sama-sama bergerak dalam PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Ghafar Baba bergerak aktif dalam PKMM Negeri Melaka. Suatu kongres PKMM yang diadakan secara besar-besaran di Melaka pada tahun 1946 masih terbayang diruang mata. Seolah-olah teriakan “Merdeka” yang mereka laungkan masih berdengung di telinga. Antara kawan-kawan PKMM yang hadir itu termasuklah Ghafar Baba yang ketika itu masih merupakan seorang pemuda tampan dan gagah berani. Ketika itulah kawan-kawan PKMM Melaka menghadiahkan sebatang tongkat kepada saya.

Perjuangan kemerdekaan telah ditindas oleh penjajah British dengan perisytiharan undang-undang darurat pada bulan Jun 1948. PKMM dan parti-parti politik yang berjuang untuk kemerdekaan telah diharamkan dan ramai tokoh patriot demokrat telah dihumban ke dalam penjara, dibuang negeri bahkan ke tiang gantung. Untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan, saya dan sejumlah anggota PKMM lain menyertai perjuangan bersenjata sementara itu sebahagian lagi ada yang bergerak secara bawah tanah dengan menubuhkan parti politik baru dan ada sebahagian menyertai UMNO. Ghafar Baba, Mustapha Hussein dan lain-lain telah menyertai UMNO.


Dari kiri: Abu Samah Mohd. Kassim, Tun Ghafar Baba dan Abdullah C.D. dalam suatu pertemu di Hotel Genting, Sungai Golok, Wilayah Narathiwat pada 2 Mac 2003

Tahun 1951, arus kemerdekaan telah melanda UMNO. Perjuangan kemerdekaan di berbagai front, perjuangan bersenjata di bawah pimpinan PKM, perjuangan parti-parti seperti UMNO dan lain-lain pertubuhan telah berpadu memberikan tekanan yang amat berat ke tatas penjajah British sehingga akhirnya penjajah British terpaksa menyerahkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1957.

Demi membangun kemerdekaan, PKM telah mengemukakan hasrat ikhlasnya untuk menamatkan peperangan di atas dasar adil dan menasabah kepada Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Ketua Menteri. Dengan itu berlangsunglah Perundingan Baling bagi menamatkan perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri serta membangunkan kemerdekaan. Akan tetapi, Tunku Abdul Rahman telah meneruskan strategi perang penjajah British ke atas PKM dan kekuatan bersenjata TPNM. Sebab itulah walaupun Malaya telah mencapai kemerdekaan, tetapi perang dalam negeri tetap berlangsung sehingga tahun 1989.

Pada tahun 1986 Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri. Bagi saya ini adalah suatu hal yang luar bisasa. Ketika itu saya yang sedang memimpin Rejimen Ke-10 dan PKMRM (Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya) sentiasa menghantar bahan-bahan penerbitan kami. Sehingga tahun 1987 Ghafar Baba atas nama sahabat lama dan juga Kerajaan Malaysia telah mengadakan hubungan dengan saya atas nama sahabat lama dan Rejimen Ke-10. Pada tahun 1988 telah berlangsusung 3 siri perundingan antara wakil Ghabar Baba dan wakil saya yang masing-masing diadakan di Hadyai dan Pulau Pinang.

Kerana kesihatan saya yang terganggu akibat terkena racun pada tahun 1975, maka tuntutan pihak Ghafar Baba untuk bersua muka dan berbincang secara berhadap-hadapan tak dapat saya tunaikan. Oleh itu perundingan itu akhirnya telah di sambung oleh perundingan peringkat tinggi secara rasmi 3 pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya. Perundingan itu akhirnya telah berjaya memberhentikan perang dan mewujudkan perdamaian apabila ditandatanganinya perjanjian damai 3 pihak di Hotel Lee Gardens, Hadyai pada 2 Disember 1989.

Pada 2 Mac 2003 kami mengadakan pertemuan -- pertemuan pertama dan terakhir setelah berpisah selama 50 tahun - di Hotel Genting, Sungai Golok. Pertemuan ini diatur dengan baik oleh Tuan Haji Mokhtar. Sekali lagi kami berterima kasih atas budi baik Tuan Haji Mokhtar. Di Hotel Genting inilah kami bersua muka, sama-sama mengenangi masa lampau yang kami lalui - dari PKMM (1945) hinggalah perdamiaan (1989).

Abdullah C.D.

Ban Chulabhorn Patana 12, Sukhirin

25 April 2006

Isnin, 26 April 2010

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824


Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang juga dikenali sebagai Persetiaan London.

Syarat-syarat perjanjian

Di antara syarat- syarat penting isi perjanjian ini ialah:-

  • Belanda mengiktiraf pertapakan Inggeris di Singapura.
  • Belanda akan menyerahkan melaka kepada pihak Inggeris dan sebagai balasannya pihak Inggeris pula akan memberikan bangkahulu kepada pihak Belanda.
  • Penghapusan lanun di kawasan Kepulauan Melayu adalah tanggungjawab kedua-dua belah pihak (Inggeris & Belanda).
  • Belanda tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terlibat didalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.
  • Inggeris pula tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terlibat dalam hal ehwal mana-mana kerajaan di selatan Singapura, yang berada di bawah pengaruh pihak Belanda dan juga di Sumatera.

Kesan Perjanjian Inggeris Belanda

  • Pembahagian Kepulauan Melayu kepada dua lingkungan pengaruh iaitu pengaruh British dan Pengaruh Belanda.
  • Perpecahan Empayar Johor-Riau. Empayar Johor berakhir apabila Singapura dan Tanah Besar Johor jatuh ke tangan British dan Kepulauan Riau di bawah pengaruh Belanda.
  • Persaingan kuasa di antara Belanda dengan British semakin sengit.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENGUNJUNG WASIAT PEJUANG


Blog Wasiat Pejuang telah berjaya membuat satu promosi yang baik apabila telah membuat laporan semasa PRK hulu Selangor pada 25 april 2010.

Dengan Kehadiran Pelawat seramai lebih 3000 orang dan telah di refresh sebanyak 12,000 kali dalam masa sehari serta mencatat online tertinggi seramai 422 orang dalam satu masa. Dengan itu Blog Wasiat Pejuang telah mencatat jumlah kehadiran seramai hampir 19,000 kali dalam masa sebulan ianya berada di persada Siber.

Wasiat Pejuang berharap dengan hit page sebanyak 12,000 kali lebih dalam masa sehari kemarin maka segala tulisan di dalam blog ini dapat di fahami oleh mereka yang selama ini tidak mendapat maklumat yang betul tentang perjuangan pejuang tanahair terdahulu..

Dan seperti yang telah di maklumkan bahawa Blog Ini akan memadam semua laporan PRK Hulu Selangor kemarin kerana Blog ini di wujudkan hanya untuk mencatat catatan dan fakta yang telah di tulis oleh mereka2 yang sepatutnya sahaja.

Semoga Blog Ini akan menjadi sebuah blog rujukan kepada mereka yang mencari kebenaran.


SATU LAGI FAKTA SEJARAH TELAH DI BUKUKAN

BLOG INI TELAH DI BUKA SEBANYAK LEBIH 12,RIBU KALI KEMARIN (25/4/2010). DENGAN PELAWAT SEBANYAK HAMPIR 3,OOO ORANG DARI SELURUH DUNIA... INI BERMAKNA DALAM MASA SEBULAN BLOG INI TELAH DI LAWATI SEBANYAK HAMPIR 19,000 KALI.

Jumaat, 23 April 2010

CATATAN ABU SAMAH TENTANG SUMBANGAN PASUKAN SUKARELA NEGERI-NGERI BERSEKUTU MEMPERTAHANKAN MALAYA DARIPADA SERANGAN FASIS JEPUN

Oleh: Abu Samah Mohd. Kassim

(Kenang-kenangan ulangtahun ke-50 kekalahan fasis Jepun)

Pasukan Volunteer (Tentera Sukarela) Negeri-negeri Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) ditubuhkan pada tahun 30-an oleh penjajah British untuk mempertahankan tanah jajahannya Malaya daripada diceroboh oleh kuasa-kuasa asing. Negeri-negeri Yang Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor, imperialis British juga ada mendirikan tentera sukarelanya.

Tentera sukarela ini menjalankan latihan setiap satu atau dua kali di daerah masing-masing dan mengadakan latihan bentuk battalion di markas masing-masing setiap 6 bulan sekali yang memakan masa 2 hingga 3 minggu, manakala setahun sekali diadakan latihan secara besar-besaran apa yang dikatakan mobilais keluar daripada Negeri Bersekutu masing-masing. Tentera sukarela ini tidak mempunyai gaji, cuma diberi elaun 50 sen sehari sewaktu mengadakan latihan manakala makan dan unifom diberi percuma.

Kira-kira pada bulan Oktober tahun 1941 British telah mengerahkan Pasukan Volunteer Pahang berkumpul di markasnya di Raub, Pahang, kemudian pasukan atau battalion ini dipecahkan menjadi dua, satu bahagian dihantar ke Kota Bharu, Kelantan manakala satu bahagian lagi tinggal di Raub meneruskan latihan dan kemudian dihantar ke Port Diction untuk melakukan latihan secara intensif di sana. Saya ditempatkan di sana.

Kira-kira pada bulan awal bulan Disember tahun 1941 barulah pasuikan ini dihantar ke Kelantan bergabung dengan pasukan induknya. Dalam perjalanan ke Kelantan, pada pukul 10 pagi, 8 Disember 1941, pasukan ini telah dibom dan dimesingan oleh kapal terbang Jepun di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.

Di sini saya akan menceritakan sumbangan tentera sukarela Negeri Pahang yang bermarkas di Raub yang saya sendiri ikut serta berjuang di garis depan – di Negeri Kelantan yang menjadi salah satu pintu masuk pendaratan askar Jepun pada subuh 8 Disember 1941 itu.

1. Rancangan Penyerangan Fasis Jepun Di Luar Dugaan Imperialis British

Oleh kerana licinnya usaha diplomatik fasis Jepun yang menyembunyikan strateginya untuk menakluki negeri-negeri Tenggara Asia, menyebabkan Amerika Syarikat dan Inggeris menganggap Jepun tentu akan menyerang kawasan sebelah utara iaitu terhadap Siberia, Soviet Union. Ini difahamkan dari beberapa kenyataan berikut:

Pada bulan September 1940, Jepun telah menandatangani perjanjian 3 pihak dengan Jerman dan Itali. Menurut perjanjian itu, Jepun akan menyerang Soviet Union selewat-lewatnya pada bulan Ogos tahun 1941. Untuk maksud itu, Jepun telah memperbesar Tentera Kuangtung di Manchuria, kira-kira berjumlah 1.2 juta orang yang terdiri daripada 42 divisi infantry dan 7 divisi kavalari, 22 brigade infantry dan 2 brigade kereta kebal, sebuah brigade berani mati, 5,400 buah meriam, 1,200 buah kereta kebal dan 1,800 bual kapal terbang.

Kira-kira dalam bulan Julai tahun 1941, pihak Jerman Hitler memberitahu Duta Besar Jepun ke Jerman bahawa Jepun harus segera menyerang tentera Soviet Union di Timur Jauh. Juga sesudah serangan Jerman terhadap Soviet Union dimulakan, Menteri Luar Negeri Jepun Matsusako mendesak kerajaan Jepun supaya serta merta menyokong Jerman dengan mencetuskan serangan terhadap Soviet Union di Timur Jauh.

Oleh kerana cita-cita Nazi Hitler dan fasis Jepun ialah menghancurkan Soviet Union maka cita-cita bersama ini sesuai dengan polisi Amerika Syarikat, Inggeris dan Peranchis. Apatah lagi dengan menggunakan tangan orang lain sebagai godamnya.

Baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat dengan lantangnya menyatakan sikap mereka yang berkecuali atau tidak campur tangan. Sebenarnya mereka bersekongkol dengan nazi dan fasis. Mereka mengharapkan Soviet Union di satu pihak, Jerman dan Jepun di lain pihak akan sengsara sendiri dalam perang yang berlanjutan tersebut.

Dalam kenyataan akhbar sehari setelah Jerman menyerang Soviet Union, Senator Harry Truman (kemudian menjadi Presiden Amerika Syarikat) mengatakan: Jika kita lihat pihak Jerman akan menang, maka kita harus menolong Russia, dan jika Russia akan menang, maka kita harus menolong Jerman. Dengan cara itu biarlah mereka berbunuh-bunuhan sebanyak mungkin. Manakala rakannya lebih terbongkar lagi apabila dia berkata bahawa kemenangan nazi Hitler terhadap Soviet Union lebih disukai oleh Amerika Syarikat.

Dari banyak fakta di atas jelaslah bahawa baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat meyakini bahawa Jepun pasti akan melakukan serangan ke utara iaitu Soviet Union dan tidak menyangka Jepun akan menyerang ke selatan. Oleh yang demikian, kedua-dua imperialis itu tidak membuat persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi serangan fasis Jepun.

2. Perubahan Rancangan Strategi Jepun

Perubahan rancangan strategi Jepun daripada menyerang Soviet Union di sebelah utara kepada serangan ke selatan ialah bermula pada bulan April dan Mei tahun 1940 di mana setelah Jerman menawan hampir separuh Eropah – Norway, Denmark, Belgium, Belanda, Luxemburg dan Peranchis. Dan pada bulan Ogos tahun 1940 pula angkatan tentera Jerman mulai menghujankan bom ke atas Inggeris melalui operasi Singa Laut-nya. Oleh itu Jepun telah menggunakan kesempatan yang baik ini di mana kuasa-kuasa imperialis Eropah sedang terancam.



Pada tanggal 2 Julai tahun 1941, satu pertemuan rahsia di kalangan pemerintah Jepun yang dihadiri oleh Maharaja Jepun meluluskan ketetapan yang berbunyi: Walaupun sikap kita terhadap perang Soviet – Jerman itu ditentukan oleh semangat Paksi Rom – Berlin – Tokyo, namun kita tidak campur tangan dalam perang itu buat sementara waktu. Manakala Markas Umum Diraja pula memutuskan tidak akan menyertai Perang Soviet - Jerman dalam tahun 1941 itu.

Menjelang 1 November 1941, Rencana Operasi No.1 Jepun yang rahsia siap disusun. Rencana itu menggariskan bahawa angkatan Jepun akan menyerang pangkalan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour (Hawai) dan beberapa buah matlamat Amerika Syarikat, Inggeris dan Belanda. Untuk menyembunyikan rancangannya, pemerintah Jepun mengusulkan agar Jepun – Amerika Syarikat bertemu mengadakan perbincangan bagi menyelaraskan dasar mereka yang berkaitan negeri-negeri Asia Tenggara.

3. Kegiatan Jabatan Perisik Dan Propaganda Jepun

Oleh kerana kekalahan yang dialami oleh tentera Jepun yang menyerang wilayah Soviet Union di Sungai Khalkhin Gov dekat Tasik Khasan dan dalam pada itu hampir seluruh Eropah ditawan oleh Nazi, maka itu telah mendorong Jepun menukar haluannya untuk menawan tanah-tanah jajahan Inggeris, Peranchis dan Belanda di Asia. Semboyan Lengkongan Kemakmuran Asia Raya telah dicanangkan. Kegaitan Jabatan Perisik dan Propaganda Jepun telah diperkuatkan.

Sebuah Persatuan Negerio-negeri Laut Selatan yang didirikan di Tokyo bagi menyebarkan pengaruh Jepun di wilayah-wilayah ini dipergunakan secara meluas untuk kegiatan perisik. Sebuah persekutuan bagi membebaskan negara-negara Asia Tenggara bertindak untuk maksud yang sama.

Kapal-kapal terbang awam dan tentera Jepun mengambil gambar udara tentang daerah-daerah Tanah Melayu.

Tak lama sesudah pelancaran rasmi sebuah syarikat penerbangan laut Jepun, sebuah konsulat Jepun telah didirikan di timur pada pertengahan bulan Jun 1941. Pegawai-pegawainya terdiri daripada pegawai-pegawai tentera dan pegawai-pegawai angkatan laut yang mengumpulkan maklumat-maklumat yang strategis.

Angkatan tentera laut Jepun menggunakan para nelayan secara meluas. Perahu-perahu nelayan ini membawa kelengkapan dan peti radio perisik.

Perkhidmatan luar negeri Radio Tokayo memancarkan siarannya ke Asia Tenggara dalam bahasa Jepun, Melayu, Cina, Hindi, Belanda, Siam dan lain-lain, mendakwa satu-satunya tujuan untuk membangunkan Asia Timur Raya.

Di Indonesia, Menteri Luar Negeri Jepun membiayai beberapa mingguan dan surat khabar yang diterbitkan dalam bahasa Jepun, Cina dan Belanda menjalankan kempen anti-Belanda. Para pembaca diberitahu bahawa Jepun ialah sahabat mereka yang setia dan sedia menolong bangsa Indonesia mengusir kolonialis Belanda. Intipati propaganda tentang peranan Jepun sebagai pembebas sesebuah negera semakin nyata.

Asia Timur dan Asia Tenggara terdiri daripada satu bangsa, mesti bangun berjuang membebaskan diri dari pemerintahan “imperialis Putih”. Semboyan yang menarik ialah Asia untuk Bangsa Asia.

4. Permulaan serangan fasis Jepun

Tatkala rundingan Jepun – Amerika Syarikat sedang berjalan di Washington bagi menyelaraskan dasar mereka yang berkaitan dengan negeri-negeri Asia Tenggara, pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat amat gembira agar dapat menyalurkan agresi Jepun menyerang ke utara iaitu Soviet Union. Di ketika itulah pada 7 Disember tahun 1941, awal-awal pagi, angkatan tentera laut Jepun terdiri dari lebih 30 buah kapal termasuk 6 buah kapal pengangkut, 360 buah kapal terbang pengebom jenis menjunam, pembom tropedo melancarkan serangan mengejut terhadap Pearl Harbour, memusnahkan separuh daripada angkatan laut Amerika Syarikat termasuk lapan buah kapal perang dan seluruh angkatan udara tentera Amerika Syarikat di Hawai, beribu-ribu orang mati dan cedera.



Pada 8 Disember 1941, barulah Kerajaan Jepun mengisytiharkan perang terhadap Kerajaan Inggeris dan Amerika Syarikat. Pada hari itu juga tentera Jepun telah mendarat di utara Semenanjung Tanah Melayu, di pantai Sabak, dekat Kota Bahru, Kelantan.Pada hari berikutnya kapal terbang Jepun telah mengebom dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Kemubu, Kelantan dan di Padang Tengku, Pahang.

5. Pendaratan Tentera Jepun di Pantai Sabak

Kawasan pantai Sabak yang luas dipenuhi dengan tanaman kelapa. Di sanalah British menempatkan 1 batalion askar Penjab (India), satu platun askar Melayu dari AS Company (pasukan mesingan) dan 1 platun tentera volunteer.

Kira-kira pukul 12 malam, 7 Disember 1941, api lampu beberapa buah kapal Jepun di tengah samudera telah kelihatan. Penjajah British di samping memerintahkan pasukan mesingan menembak ke arah kapal-kapalyang bergerak itu juga menjamu askar-askar Penjab dengan minuman keras (wiskee dan brandi) hingga mabuk-mabuk. Jepun yang memainkan taktik memancing, dengan menempatkan kapal kosong di tengah samudera itu rupa-rupanya telahpun selesai menerjunkan askar-askarnya yang menggunakan pelampung merayap ke pantai Sabak, memotong kawat berduri dan menyerang ke arah perkubuan pasukan Penjab yang sedang mabuk itu kira-kira pukul 2.00 pagi, 8 Disember 1941. Pertempuran sengit berlaku selama kira-kira selama 2 jam. Askar-askar Jepun bertempur menggunakan benet manakala askar-askar Penjab menggunakan parang (setiap askar Penjab dilengkapkan dengan sebilah parang bersarung yang diletakkan di pinggang). Dalam pertempuran ini kedua-dua pihak banyak yang mati dan luka-luka, khususnya askar Penjab yang lebih banyak mati, luka dan tertawan. Mayat yang bergelimpangan di pantai Sabak itu berbulan-bulan bau busuknya tak hilang dan telah menjadi baja yang sangat baik menyuburi pohon-pohon kelapa.

7 – 8 bulan kemudian saya berkesempatan melihat pokok-pokok kelapa yang daunnya menghijau dan sangat subur.Pada pukul 4.00 pagi 8 Disember 1941, semua askar British di Pangkalan Chepa dan di sekitar Kota Bahru diperintahkan berundur ke Kuala Krai, Ulu Kelantan, manakala pasukan volunteer ditempatkan berkubu di Kemubu, Ulu Kelantan. Pada pukul 10.00 pagi 8 disember 1941 itu, perkubuan pasukan volunteer di Kemubu dibom dan dimesingan oleh kepal terbang Jepun. Pesawat terbang Jepun itu telah dibalas tembak oleh Pasukan Luisgan volunteer. Sementara itu, pada masa yang sama kapal terbang Jepun juga telah mengebom dan memesingan pasukan volunteer di stesyen keretapi di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang yang sedang dalam perjalanannya dari Kuala Lipis ke Kelantan.

Nampaknya British masih beroptimis menjadikan Ulu Kelantan sebagai garis pertahanan strategic bagi mempertahan dan menghalang kemaraan askar Jepun ke selatan, apa lagi melihat semangat juang dan semangat anti-Jepun yang tinggi dari pasukan volunteer yang sedia berkhidmat dan berkorban untuk bangsa dan pertiwi. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka berlakunya perpistiwa 10 Disember 1941 di mana dua kapal perag besar angkatan laut British bernama Prince of Wales dan Repulse yang baru datang ke Singapura untuk menambahkan kekuatan tentera laut British di sebelah timur, yang sedang dalam pelayaran di Laut China Selatan menuju ke utara hendak ke Teluk Siam telah diserang dan dibom oleh kapal-kapal terbang angkatan tentera udara Jepun di laut lepas bersetentangan dengan Kuantan, Pahang hingga kedua-dua kapal perang besar British yang sangat dimegah-megahkan itu tenggelam ke dasar laut. Ini menyebabkan British sangat pasimistik, luntur semangat dan mengubah strategi bertahan kepada lariisme.

6. Strategi pengunduran tentera secara besar-besaran

Pada 11 Disember 1941, pasukan-pasukan tentera yang berkubu di Kuala Krai , Kemubu diperintahkan berundur ke Bertam, Ulu Kelantan. Ketika itu nampaklah kekucar kaciran dan kegoyangan British. Tentera Jepun dari Kota Bahru terus mara ke Ulu Kelantan tanpa menerima pukulan. Manakala British pula meletup musnahkan satu lepas satu jambatan kereta api. Buat permulaan, British meletup musnahkan Jambatan Kusial iaitu sebuah jambatan kereta api yang terpanjang di Asia, seterusnya meletup musnahkan jambatan kereta api Kemubu, Bertam dan lain-lain.



7. Pelanggaran Kereta Api Yang Paling Dahsyat Di Limau Kasturi

Dalam kekucar kaciran ini, British merancangkan mengundurkan semua pasukan tenteranya ke selatan Tanah Melayu – Singapura sebagai matlamatnya. Oleh yang demikian kereta api British yang dihantar khas untuk memindahkan bala tenteranya termasuk pasukan volunteer di Bertam itu hampir sampai ke Stesyen Limau Kasturi telah berlanggar dengan sebuah kereta api yang bertolak dari utara. Kedahsyatannya melibatkan berpuluh-puluh gerabak bergelimpangan.

Dari Bertam, British pula mengerahkan pasukan volunteer sehari penuh menggalas dan memindahkan senjata, peluru, ubat ledak ke sebuah bukit dekat Limau Kasturi, lebih kurang 15 kilometer dengan berjalan kaki menyusuri jalan kereta api. Kemudian pasukan ini dan pasukan-pasukan yang lain bermalam di pekan Limau Kasturi. Malangnya kira-kira pukul 12 tengah malam, pasukan penyiasat memberitahu bahawa tentera Jepun yang mara mengejar menyusuri jalan kereta api itu cuma sejauh 2 kilometer sahaja lagi jaraknya. Jadi tengah malam itu juga British mengerahkan semua pasukan tentera berundur melepasi kawasan tempat keretapi berlaga, berjalan kaki sejauh 15 kilometer. Di sana kereta api bersambung-sambung memiliki beberapa buah kepala / injin yang panjang gerabaknya kira-kira setengah kilometer sedang menunggu untuk membawa pasukan tentera berundur ke selatan.

Dalam perjalanan pengunduran pada malam itu, kerana hendak cepat, waktu menyeberangi jambatan, British mengeluarkan perintah: Siapa yang tak mampu membawa senjata bolehlah buangkan ke dalam sungai, nanti di selatan akan dibagi yang lain. Mendengar perintah yang demikian, bunyi “cap cup” senapang dibuang tak putus-putus.

Banyak senapang, peluru, ubat ledak yang tadinya dipindahkan dari Bertam ke Limau Kasturi bertimbun-timbun di atas sebuah bukit kecil yang terpaksa ditinggalkan itu beritanya diambil oleh massa rakyat tempatan, sebahagiannya diserahkan kepada gerombolan penjahat atau penyamun Kuomintang yang bergerak di Gua Musang dan sebahagian lagi diserahkan kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang kemudiannya beraktiviti di sana.

Dari Limau Kasturi, Kelantan, keretapi yang dibuang kosyen tempat duduk itu dihuni oleh hampir 10,000 orang askar yang duduk bersila rapat-rapat menuju ke Bukit Betong – Kuala Lipis, Pahang. Setelah selesai segala pengaturan termasuk meletup musnahkan jambatan kereta api Bukit Betong, keesokannya pasukan ini terus berundur dan dihantar ke Dunlop Estate, Bahau Negeri Sembilan. Di Bahau, dalam beberapa hari itu pasukan volunteer diatur menahan dan merampas kereta-kereta awam dan basikal-basikal lalu dibakar. Ini katanya untuk mengelakkan daripada dirampas dan digunakan oleh askar Jepun nanti.

8. Perasaan Tak Puas Hati Pasukan Volunteer Mendalam

Anggota-anggota pasukan volunteer yang mempunyai semangat bencikan Jepun yang meluap-luap dan keazaman menghentam pasukan Jepun itu sangat tak puas hati kepada dasar British yang takut dan tak berani bertempur terhadap Jepun itu berkata “orang putih yang bertubuh tinggi itu penakut, tak mahu melawan si pendek Jepun yang zalim”. Anggota-anggota pasukan volunteer dari pegawai hingga ke perajurit sangat tak puas hati terhadap British yang mengambil sikap lari, lari tak mahu melawan Jepun itu telah berputus asa. Oleh itu selama 2 malam berturut-turut , lebih 50 orang termasuk pegawai peringkat sarjan dan koperal telah melarikan diri balik menuju kampung halaman masing-masing. (gambar kiri: tentera British menyerah diri kepada tentera fasis Jepun)


Pada 25 Januari 1942, kapal terbang Jepun telah melakukan pengeboman dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Dunlop Estate. Setelah selesai pengeboman tersebut, pegawai British mengumpulkan pasukan volunteer dengan memberitahu bahawa Inggeris akan berundur ke Singapura, siapa yang suka ikut ke Singapura bolehlah pergi dan di sana akan dibayar gaji atau elaun yang selama 4 bulan tidak dibayar itu dan siapa yang tak mahu ikut ke Singapura boleh balik ke negeri masing-masing dengan berjalan kaki dan tidak akan diberi apa-apa bayaran.

Keesokan harinya, beribu-ribu askar Penjab dan askar Australia dipindahkan dari Dunlop Estate Bahau, Negeri Sembilan ke Labis, Johor dan dari sana akan dihantar ke Singapura, manakala 500 orang lebih anggota pasukan volunteer dari Batalion Ke-4 yang berasal dari Pahang, dengan tangan kosong dan pakaian preman secara berkelompok-kelompok (40-50 orang satu kelompok) meninggalkan Dunlop0 Estate menuju ke Negeri Pahang dan balik ke kampung halaman masing-masing dengan membawa perasaan kesal terhadap British dan benci terhadap Jepun. Tak lama selepas itu, lebih kurang setengah bulan, iaitu pada 15 Februari 1942 kedengaranlah bahawa di Singapura pihak berkuasa tentera British telah mengaku kalah dan menyerah diri tanpa syarat kepada pihak berkuasa tentera Jepun.

9. Kezaliman Jepun Menyedarkan Rakyat Bangkit Berjuang

Di mana-mana tempat yang dilalui tentera fasis Jepun di awal pencerobohannya ke atas tanah air kita, di sana rakyat segala bangsa menderita, ditimpa bala bencana. Banyak rumah dibinasakan, harta benda dirompak, binatang ternakan ditangkap, wanita-wanita dirogol, laki-laki ditampar dan ditendang. Yang lebih menyayat hati umat Islam ialah masjid-masjid dan tempat-tempat ibadat dicemari, Al-Quran dan kitab-kitab suci dijadikan pengesat najis, barang-barang purba dijahanamkan. Ini telah menimbulkan kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap askar-askar Jepun dan mereka telah mengenal akan watak kaum fasis Jepun yang sangat zalim itu.

Orang ramai di kampung-kampung Melayu di sepanjang Sungai Semantan, Pahang, iaitu kampung halaman saya sendiri, mereka tidaklah mendiamkan diri bila menghadapi askar-askar Jepun yang mengganas di hadapan matanya. Pada penghujung bulan Februari 1942, 3 orang askar Jepun yang bersenjata lengkap telah menaiki rumah di kampung Jambu Rias , Batu 21, Jalan Mentakab-Karak dengan tujuan melakukan angkara. Tetapi dajal-dajal itu mendapat tentangan hebat. Dalam pergelutan itu tuan rumah berjaya menetak mati seorang askar Jepun dan mengundurkan 2 orang yang lain. Keluarga kaum tani itu berjaya mengundurkan diri bersembunyi di dalam semak. (gambar kanan: tentera fasis Jepun menyerah diri kepada pihak bersekutu)

Untuk menyekat dan memadamkan semangat patriotik dan rasa benci orang-orang Melayu Semantan terhadap fasis Jepun, pada penghujung bulan Januari 1943, fasis Jepun telah menangkap dan membunuh Penghulu Semantan, Mohd. Maidin, cucu Allahyarham Datok Bahaman. Tetapi perhitungan fasis Jepun itu meleset. Ketika orang ramai menerima mayat Datok Penghulu yang dihantar balik oleh fasis Jepun dari Mentakab, Pahang, ketika itu juga suara berontak menagih dosa dari fasis Jepun telah kedengaran. Suara khidmat ini telah meniup dan menyalakan bara api yang tak pernah padam, yang melekat di jiwa ribuan orang-orang Melayu di Semantan. Mereka segera menyambutnya. Tetapi disebabkan keadaan tertentu, pemberontakan itu buat sementara tak dapat dilakukan. Bagaimanapun setelah terbentuknya Jawatankuasa Lembaga Rakyat Anti-Jepun, hampir-hampir setiap pemuda dan lelaki dewasa masuk menjadi ahli tersebut dan telah memberikan sokongan besar kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pimpinan PKM. Akhirnya pada 15 Ogos 1945, fasis Jepun telah mengisytiharkan menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu.


Abu Samah Mohd. Kassim

Bekas Lans Copral

No. 18370 FMSVF


tamat

Senikata lagu BENDERA TENTERA

Bendera tentera berkibar-kibaran
Memandu kita maju ke depan
Bintang keemasan bertanahkan merah
Rakyat bangun berjuang terus berjuang

Majulah kawan fajar sudah menyingsing
Melawan musuh dengan perwra
Untuk pembebasan nusa serta bangsa
Perjuangan kita pasti berjaya

Kita tentera anak rakyat
Bersatu dan sepakat
Memperjuangkan negara rakyat
Menghalau penjajah dari Malaya
Kibarkanlah bendera tentera
Ke serata pelusuk Malaya

Rabu, 21 April 2010

SEJARAH MELAKA


Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403.

Parameswara adalah keturunan Raden Wijaya, raja pertama dan pengasas Kerajaan Majapahit (1293-1309)yang menikahi Sri Gayatri Rajapatni, puteri dari Sri Kertanegara, raja terakhir (1268-1292) Kerajaan Singhasari, yang kemudian memiliki Puteri Tribuana Tunggadewi, pemimpin ketiga (1326-1350) Kerajaan Majapahit. Beliau menikahi Kertawardana, dan memiliki Puteri Iswari. Si puteri kemudian menikahi Singawardana, dan memiliki Putri Sarawardani. Kemudian ia menikahi Ranamenggala, dan memiliki anak bernama Parameswara yang lahir di tahun 1344 pada saat neneknya, Ratu Tribuana Tunggadewi, memerintah Majapahit.

Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.

Pemerintahan Jajahan

Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur. Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan menyebabkan kesukaran kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah daratan dan laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat dua tahun kemudian.

St. Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa bulan pada tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.

Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan penewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi mereka lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.

Fort A' Formosa: Perobohan oleh pihak British dihentikan oleh Sir Stamford Raffles pada 1808 sewaktu beliau singgah di Melaka. Apa yang ketinggalan dipelihara sehingga hari ini. (Gambar oleh: Cornell Japanese Animation Society)

Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Ia menjadi sebahagian Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia.

Melaka diisytiharkan sebagai "Bandaraya Bersejarah" pada 15 April 1989.

Garis masa

Kesultanan Melaka

  • 1400: Parameswara, putera raja dari Palembang setelah ditumpaskan oleh Majapahit telah menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.
  • 1403: Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China - Melaka.
  • 1409: Parameswara membayar ufti kepada negeri China untuk mendapat perlindungan daripada serangan pihak Siam.
  • 1409: Laksamana Cheng Ho, ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
  • 1411: Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar ke China. Baginda diterima mengadap Maharaja Yung Lo.
  • 1414: Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).
  • 1424: Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444).
  • 1444: Sultan Muhammad Shah diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim.
  • 1445: Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.
  • 1446: Raja Kassim menaiki tahta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.
  • 1447: Serangan pertama Siam ke atas Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.
  • 1456: Tun Perak menjadi Bendahara dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau telah berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
  • 1458: Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China telah menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.
  • 1477: Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.
  • 1488: Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh dan diganti oleh Sultan Mahmud Shah (1488-1511).
  • 1498: Tun Perak meninggal dunia.
  • 1500: Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, menggantikannya sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan bendahara-bendahara.
  • 1509: Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar 'Benggali Putih' oleh orang tempatan. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan.
  • 1510: Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya mati dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda.Selain itu, beliau telah di fitnah oleh para pembesar bahawa beliau ingin mengatasi kekayaan sultan.Sultan Mahmud Shah tanpa usul periksa telah membunuh Tun Muthahir dam keluarganya.Kemudian Sultan menyedari akan kesilapannya . Sultan Mahmud Shah memilih anaknya, Sultan Ahmad Shah menggantikan baginda sebagai Sultan sementara.

Pemerintahan Portugis

  • 1511: Alfonso d'Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaanya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan penewasan Sultan Mahmud Shah, pihak Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.
  • 1513: Patih Unus dari Jawa, seorang pahlawan Jawa yang menjadi Sultan Demak di Sumatera menyerang Melaka.
  • 1518-1519: Sultan Mahmud Shah telah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan.
  • 1521: Gereja St. Paul dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho dan dinamakan "Our Lady of The Hill", tetapi kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan dinamakan "Gereja St. Paul".
  • 1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.
  • 1525: Laksamana Hang Nadim telah mengepung Kota A Famosa. Pihak Portugis membuat catuan makanan dari Goa.
  • 1526: Seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra.
  • 1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatra.
  • 1537: Pihak Aceh menyerang pihak Portugis di Melaka pada kali yang pertama.
  • 1545: Buat pertama kalinya, Fr. Francis Xavier tiba di Melaka. Pada keseluruhannya, beliau membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.
  • 1548: Kolej St. Paul (St. Paul's College), sekolah pertama di Melaka, dibina oleh St. Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang memeluk agamanya.
  • 1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak yang mantap telah menawan Melaka dan mengepungnya selama tiga bulan.
  • 1553: Fr. Francis Xavier meninggal di Pulau Sancian berdekatan Canton, China dan dibawa ke gereja St. Paul selama sembilan bulan persemadiannya sebelum mayatnya dibawa semula ke Goa, India.
  • 1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Acheh. Acheh telah mengawal Selat Melaka selama enam puluh tahun.
  • 1582: Pihak Portugis membantu Johor daripada serangan Aceh, dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.
  • 1587: Johor menyerang pihak Portugis secara besar-besaran melalui serangan tanah daratan dan laut tetapi gagal sewaktu angkatan pihak Portugis sampai dari Goa.
  • 1588: Pelawat Inggeris pertama, Ralph Ritch telah tiba di Melaka.
  • 1597: Pihak Belanda membuat serangan pertama Belanda ke atas Kota Portugis Melaka.
  • 1606: Pihak Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge bekerjasama dengan Sultan Johor untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa.
  • 1615-1616: Acheh menyerang Melaka.
  • 1628-1629: Acheh memerintah Melaka selama lapan bulan sebelum pihak Portugis mengambil Melaka kembali.
  • 1636: Kapal Belanda telah memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan.

Pemerintahan Belanda

Kota Di Melaka pada 1604.

  • 1641: Pihak Belanda (1641 - 1795) menewaskan pihak Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan pembantuan Sultan Johor. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho, menyerah kalah kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.
  • 1645: Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Kapten Lee Wei King dan ia merupakan tokong Cina yang tertua di Malaysia.
  • 1645-1670: Perang antara Belanda - Naning.
  • 1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya, dan dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.
  • 1710: Gereja St. Peter, gereja Katolik tertua di Malaysia, dibina selepas pihak Belanda memberi kebebasan kepada orang Katolik untuk mengamalkan agama mereka.
  • 1753: Gereja Christ, yang melambangkan seni rekabentuk Belanda, disiap sepenuhnya selepas pembinaan dua belas tahun.
  • 1756: Bugis di bawah pemerintahan Daeng Kemboja telah menyerang Melaka.
  • 1784: Raja Haji datang ke Melaka untuk menawannya tetapi terbunuh semasa pertempuran di Teluk Ketapang.
  • 1795: Syarikat Hindia Timur menguasai Melaka buat sementara semasa Perang Napoleon.
  • 1807: Pihak British di bawah William Farquar mula memusnahkan kubu Portugis dan mengusir pengaruh Portugis dari Melaka. Kemudian Belanda merancang untuk menukarkan pedagang-pedagang yang datang ke Melaka berpindah ke Pulau Pinang dan berhasrat melemahkan kekuatan Melaka.Kerja-kerja memusnahkan kota ini menelan belanja disekitar 70,000 paun sterling.
  • 1808: Kedatangan Sir Stamford Raffles telah menyelamatkan Melaka dari kemusnahannya dengan persetujuan Lord Minto. Rancangan pemindahan penduduk dibatalkan.
  • 1818: Melaka dipulangkan kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon.
  • 1819: Sultan Husin Shah telah menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Makam baginda terdapat di Masjid Tengkera.

Pemerintahan British

  • 1824: Satu Perikatan British-Belanda (juga digelarkan Perikatan London) dibuat yang mana pihak British memberi Bencoleen (Bengkulu) di Sumatra kepada pihak Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka. Perikatan ini ditandatangani untuk mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda. British telah menguasai kawasan utara Selat Singapura sementara Belanda di bahagian Selatan (Kepulauan Indonesia).
  • 1826: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura disatukan menjadi Negeri-negeri Selat.
  • 1849: Gereja St. Francis Xavier dibina untuk memperingatkannya.
  • 1867: Negeri-negeri Selat menjadi tanah jajahan British. Pejabat Pemerintahan Gabenor-Jeneral yang berpusat di India berpindah ke Pusat Pemerintahan di London.
  • 1895: Penanaman getah secara ladang dilakukan oleh Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.
  • 1941: Perang Dunia ke-2 berlaku. Jepun mengebom Pearl Harbour (Pengkalan Laut yang penting di Hawai bagi Amerika Syarikat).
  • 1942: Melaka jatuh ke tangan Jepun.
  • 1945: British kembali menguasai Melaka setelah Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.
  • 1948: Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. Pihak British mengistiharkan darurat dan situasi ini berakhir pada tahun 1960.
  • 1956: Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengumumkan tarikh kemerdekaan (31 Ogos, 1957) setibanya dari London. Dalam tahun yang sama, Melaka menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.

Blackend Is The End

Dyers Eve