Blackend Is The End

Sabtu, 22 Mei 2010

PERISTIWA PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM


PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

Pada 15 Oktober 1953, penjajah British melancarkan kempen kepung basmi ke atas pasukan TPNM di kawasan Cameron Highlands. Ketika itu, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 baru tiba di kawasan tersebut. Kapal terbang penjajah melakukan pengeboman dan memesingan hutan sekitar termasuk ladang-ladang Orang Asli.

Untuk membela massa rakyat dan mematahkan kecongkakan kaum penjajah, Abdullah C.D. telah membentuk satu regu tempur. Regu ini berjumlah 40 orang dipimpin Abu Samah Mohd Kassim dan dibantu oleh Rosli @ Mat Amin. Pihak musuh terdiri dari kira-kira 160 orang Pasukan Goldan British yang digembar-gemburkan sebagai pernah mendapat pujian tinggi dalam Perang Dunia Kedua.

Berikut adalah sebuah puisi nukilan seorang perajurit Pasukan Hang Jebat yang menggambarkan keadaan pertempuran tersebut. Puisi ini ditulis sempena menyambut kemerdekaan 31 Ogos 1957 di pasukan Rejimen Ke-10.

PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

28 Januari tahun lima puluh empat

Sejarah mulia sentiasa diingat,

Lambang merah Pasukan Hang Jebat

Berjasa besar kepada rakyat.


Satu pertempuran di Cameron Highlands

Sungai Sekam nama kawasan,

Musuh bertindak besar-besaran

Untuk menekan Tentera Pembebasan.


Ladang-ladang Asal telah dirosakkan

Menembak menangkap melakukan keganasan,

Rakyat sentiasa dalam ketakutan

Begitulah parti menerima laporan.


Setelah itu lalu diputuskan

Satu seksyen akan dikerahkan,

Kepentingan rakyat segera di selamatkan

Musuh yang kejam diberi ajaran.


Manakala perajurit berada di ladang

Membantu rakyat memunggah barang,

Bekerja keras pagi dan petang

Sambil mengawasi musuh yang datang.

Semasa perajurit memetik jagung

Datanglah musuh berlagak sombong,

Berapa orang tak dapat dihitung

Membuat honar di ladang dan kampung.


Setelah sampai keesokan hari

Tempat yang elok terus dicari,

Untuk menyerkap musuh terkeji

Kalau dapat dihapuskan sekali.


Ke suatu kawasan perajurit berjalan

Bukit berapit kiri dan kanan,

Berjumpalah tempat mengadakan hendapan

Sungainya berbatu duri dan rotan.


Adapun keadaan di tempat itu

Tempatnya curam bukit berbatu,

Hanya sedikit anak-anak kayu

Di situlah di atur barisan menunggu.


Jam menunjukkan angka sebelas

Kebetulan musuh hendak melintas,

Dari atas dipandang jelas

Perajurit sekalian hemat dan awas.


Askar orang putih telah kelihatan

Seorang Asal pemandu jalan,

Senjata otomatik banyak digunakan

Perlahan dan awas mereka berjalan.


Tiap-tiap orang jaraknya berjauhan

Berjalan masuk ke garis hendapan,

Orang depan hampir keluar garisan

Jauh di belakang masih berjejeran.


Bilangan musuh lima kali ganda

Dibanding dengan tenaga kita,

Tapi perajurit tetap perwira

Hanya menunggu perintah ketua.


Manakala isyarat telah dibunyikan

Perajurit menembak seperti hujan,

Sebelum musuh dapat perlindungan

Lapan orang mati bergelimpangan.


Setengahnya pula rebah terlentang

Ada yang mengaduh ada yang mengerang,

Jatuh ke sungai nyawa melayang

Hingga yang belakang tak berani datang.


Musuh juga memang cergas

Banyak yang sempat menembak balas,

Percubaannya itu ditekan keras

Bertemulah buku dengan ruas.


Pertempuran hebat telah berlaku

Setapakpun musuh tak berani maju,

Mana-mana yang degil itu dituju

Hingga naik asap dan sebu.


Hebat tembakan seperti dicurah

Musuh terdesak ke dalam lurah,

Banyak mati dan luka parah

Sungai yang jernih menjadi merah.


Setelah setengah jam perajurit menguji

Menghentam musuh berkelakuan keji,

Barulah sekalian undur kembali

Meninggalkan musuh terkapar mati.


Kerana keadaan, tempat dan tenaga

Tak dapatlah kita merampas senjata,

Tapi perjuangan bukanlah sia-sia

Dapat memperkenalkan emas tembaga.


Selepas saja pertempuran berlaku

Perajurit disiasat satu persatu,

2 orang malang kena peluru

Terus dirawat ketika itu.


Setelah hari hampirlah petang

Sibuklah kelihatan kapal-kapal terbang,

Memunggah orangnya pergi dan datang

Sehari semalam berulang-ulang.


Selang beberapa hari kemudian

Barulah kita dapat perkhabaran,

Di padang terbang Tapah diberitakan

Tiga puluh mayat telah diturunkan.


Di samping itu diberitakan pula

Selori penuh haversek senjata,

Tiga lori mayat sama dibawa

Berlori-lori pula patah dan luka.


Ke seluruh tempat pecahlah khabar

Biarpun berita disekat ke luar,

Tembelang penjajah telah terbongkar

Padanlah dengan cakapnya yang besar.


Rakyat ramai merasa gembira

Dengan kejayaan gagah perkasa,

Menambah lagi yakin percaya

Perjuangan kemerdekaan pasti berjaya!

---
catatan: 2 perajurit Pasukan Hang Jebat yang mendapat luka itu ialah Pakcu Duwi dan Rosli.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve