To Live Is to Die

free counters

Sabtu, 31 Julai 2010

WAJAH PERAK SEBELUM MERDEKA




Banjir besar Pekan Kuala Kangsar 1926.

Banjir besar Pekan Kuala Kangsar 1926.








Barua British di Kampar, Perak

Khamis, 29 Julai 2010

DATO BAHAMAM TIDAK MATI DI TANGAN SIAM

DI AMBIL DARI BLOG MALAYSIA SENSASI


Bagi peminat sejarah, atau mereka yang dewasa sekitar tahun 50-60an dahulu, terutama di negeri Pahang Darul Makmur tentu pernah mendengar kisah Tok Guru Peramu. Untuk post kali ini, MalaysiaSensasi akan menceritakan tentang Tok Guru Peramu ini. Dikatakan bahawa beliau seorang pendekar yang handal. Namun ini bukanlah menghairankan kerana di Tanah Melayu ketika itu, negeri Pahang adalah negeri yang paling ramai pendekar dan pahlawan. Malah, silat gayung yang diasaskan oleh Datuk Meor juga adalah berasal dari Pahang, apabila tok gurunya (bapa mertua) adalah hulubalang sultan Pahang.

Di halaman rumah Tok Guru Peramu

Apa yang menarik mengenai Tok Guru Peramu ini ialah, beliau dikatakan sebagai Datuk Bahaman. Pembesar dan pahlawan Pahang yang memulakan penentangan kepada penjajah British di Semantan, yang kemudianya disertai oleh Mat Kilau dan rakan-rakan, serta Tok Gajah kemudianya. Datuk Bahaman dikatakan telah meninggal dunia di Siam, setelah ditangkap oleh Siam atas permintaan British pada 1895.


Kemudian muncul pula Tok Guru Peramu ini. Orang mengatakan bahwa beliau adalah Datuk Bahaman, bagaimanapun tiada pengiktirafan dilakukan ke atas beliau kerana dikatakan bahawa ada kena mengena dengan taktha kesultanan Pahang. Malah Tok Guru Peramu juga tidak pernah mengaku bahawa beliau adalah Datuk Bahaman, walaupun rakan-rakan seperjuanganya yang masih hidup ketika itu mengakui bahawa beliau adalah Bahaman.

Apa yang pasti Datuk Bahaman tidak mati di tangan Siam. Adakah sebegitu mudah Siam ingin membunuh Pahlawan Pahang ini. Sedangkan Inggeris yang begitu besar kuasanya tidak mampu untuk membunuh Datuk Bahaman. Untuk mengelakkan nama mereka aib, adalah mudah bagi Inggeris untuk menulis bahawa Mat Kilau, dan Datuk Bahaman telah mati. Menurut orang, Datuk Bahaman selalu balik ke Pahang dan berjumpa dengan anaknya Pendekar Hussin/Cikgu Jantan. Sama halnya dengan Mat Kilau, Cikgu Jantan pernah ditanah oleh komunis. Orang ramai melihat tubuhnya di dalam lubang tersebut, tetapi keesokanya apabila digali hanya tinggal batang pisang sahaja.

Berbalik kepada Tok Guru Peramu, beliau tidak suka gambarnya diambil. Pernah ada orang mengambil gambarnya, kemuadian dia dijerakan "mampus kamu". Lalu orang tersebut menjadi kurang waras.

Dalam satu cerita lain, keluarga Datuk Bahaman telah dikepung Siam, ketika ini Datuk Bahaman berada di Kelantan. Mengetahui hal itu Datuk Bahaman kemudiannya terus pergi untukmenyelamatkan keluarganya yang sedang dikepong. Bersamanya dibawa lembing yang bernama “Beringin” (lembing berupa daun sireh), yang dikatakan mampu untuk memukau orang. Apabila tiba di sana, lembing tersebut terus dipacakkan ke tanah di hadapan tangga rumah yang dikepong. Akibatnya semua askar Siam yang sedang mengepong itu dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku. Lantas Dato’ Bahaman menyuruh seluruh keluarganya turun dan melarikan diri ke Hulu Terengganu (Kuala Berang). Kemudian, pada malam itu juga Dato’ Bahaman melarikan diri ke Menara (Siam). Menurut Buku Darul Iman (m.s. 242), pada November 1895, Dato’Bahaman, Awang Nong (adik Mat Kilau), The Ibrahim (adik Mat Kilau), Haji Mat Wahid dan Mat Lela (anak Datuk Bahaman), telah menyerahkan diri kepada orang-orang besar Siam lalu dibawanya ke Siam. Sebenarnya Dato’ Bahaman tidak menyerah diri kepada Siam. Apayang dilakukan ialah beliau melarikan di ke Menara dan bersembunyi di sana.




Datuk Bahaman Orang Kaya Setia Semantan/Tok Guru Peramu


Simposium DPMP: Siapakah Tok Peramu?

Simposium siapakah Tok Peramu: Adakah orangtua itu Bahaman atau bukan atau siapa!!! Inisiatif ini ditaja oleh DPMP pada tahun 1976-77 ( kalau tak silap) dengan membuka kepada semua ahli ahlinya, Ahli ahli sejarah dan siapa saja yang tahu mengenai seorang tua yang tinggal di Kampung Peramu itu. Kg. Peramu terletak diseberang Sg. Kuantan kira kira berhadapan ( opposite) hospital atau Kompleks Teruntum.. Ada dua jalan ( masa itu) untuk sampai ke Peramu, satu menaiki bot ( tambangnya masa itu 50 sen seorang bagi satu perjalanan) dan satu lagi dengan menaiki kereta atau bas. Jauhnya perjalanan dengan kereta lebih kurang 20 batu dari bandar Kuantan.

Hasil daripada kajian tersebut ramailah yang memberi pendapat. Ada yang mengatakan Ya dan ada yang mengatakan Bukan. Hasilnya 50 - 50. Kerajaan Negeri, sudah tentu tidak dapat menerima kerana pro dan kontra nya sama. Sekiranya Tok Peramu itu Bahaman, pastilah struktur Orang Besar Berempat Negeri Pahang menjadi kacau bilau.

Apa yang hendak saya ceritakan ialah episod rombongan 10 orang yang hendak menemu bual orangtua itu termasuk saya. Sebaik sampai dihadapan rumah Tok Peramu, ketua rombongan memberi salam. Salam dijawab oleh pengasuh lalu mempersilakan kami naik. Orangtua itu berbaring diatas katil dengan selimut sampai keleher dan memakai cermin mata hitam. Disebelah kepalanya terletak sebuah radio yg terus berkumandang tanpa tepat pada channel. Kamipun duduk. Tanpa berlengah ketua rombongan membuka mukadimahnya, " pada tahun sekian sekian blah blah blah, Tok Aki duduk dimana?" Itulah pembukakata yang awal dan akhir. Selepas setengah jam kemudian pertanyaan ketua rombongan tiada responce, kamipun sapu punggung lalu balik.

Ada member yang tak puas hati. Minggu hadapannya, saya sendiri bertindak sebagai ketua rombongan lalu membelah arus Sg.Kuantan ke rumah Tok Peramu. Sebelum pergi, saya minta orang rumah saya, ibu pada si Firdaus, buat pulut kuning dan ayam panggang. Sesampai saja dihadapan rumah orangtua tu, saya memberi salam. Salam di jawab oleh pengasuhnya lalu mempersila kami naik, sambil berkata, " ini anak cucu datang bawok pulot kuning" Phuh!!! orangtua itu terus bangun lalu berdoa. Panjang doanya. Kamipun berceloteh. Susah nak faham celotehnya, pekat loghat Kelantan purba. Member Kelantan yang sama dlm. rombongan itu juga tidak faham. Diantara lain yg. saya dapat fahamkan bahawa katanya, Mat Kilau tu orang handal. Sepelepah daun nyior gugur, dia dah tahu berapa banyak regisnya (lidi). Dari ungkapan itu saya yakin bahawa orangtua itu sebenarnya Datok Bahaman, bekas Orang Kaya Semantan, orang besar berempat Negeri Pahang.

Menurut cerita seorang Imam yang tinggal di Peramu, sebelum Jepun masuk orangtua itu tinggal di Padang Lalang. Dulu kampung sekarang sudah jadi kawasan Industri. Tahu dimana Pdg.Lalang. Kalau kita nak ke Tg. Lumpur melalui jambatan Sg.Kuantan dan sebelum naik jambatan ada simpang ke kiri jalan menghala ke Tg. Api & Kg. Selamat. Di situlah Padang Lalang. Katanya: apabila Jepun mendarat di Kuantan, semua orang Kg.Pdg.lalang lari ke seberang ke Tg. Lumpur dan Peramu. "Aki mohlah naik perahu kita lari ke seberang," kata salah seorang orang kampung mengajak orangtua itu naik perahu. " Mohlah deme dulu, aki ikut kemudian," jawab orangtua itu. Apabila rombongan pelarian dengan perahu itu sampai keseberang, didapati orangtua itu sudah ada berdiri ditebing sungai.

Anih bukan! Jadi betullah dan saya yakin bahawa To Peramu itu adalah Datuk Bahaman.

RAJA MELAYU JUAL NEGERI HANYA DENGAN ALAUN RM1,000.00 SEBULAN


Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 di antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama-sama dengan pembesar-pembesar yang menyokong baginda iaitu Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato' Sagor.

Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak, satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu.

Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumut dan Pulau Pangkor.


Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang berkuasa di Hulu Perak dan bersemayam di Tanjong Belanja, Parit, daripada pangkat sultan tetapi membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen 1,000 ringgit tiap-tiap bulan.

Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.
Perak pada masa itu merupakan pengeluar bijih timah utama yang mendahului United Kingdom pada abad ke-19. Sementara Inggeris, yang pada masa itu sudah mendapat Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, menganggap Perak sebagai satu negeri yang amat penting. Tetapi keadaan yang tidak stabil seperti Perang Larut dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina mengganggu perniagaan bijih timah ketika itu.

Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah, sebagai Raja Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baru akan tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengkebumian, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik. Raja Bendahara Ismail diangkat dan ditabalkan kerana mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu, baginda adalah sultan yang sah oleh kerana baginda memiliki alat-alat kebesaran diraja (regalia).

Baginda berkuasa dan mempunyai pengikut-pengikut yang ramai di Hulu Perak.
Perasaan tidak puas hati mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris. Pada masa yang sama, berlaku permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah.

Raja Abdullah meminta pertolongan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut. Menurut Lucy Bird (1831-1904) dalam bukunya "The Golden Chersonese and The Way Thither" (diterbitkan pada tahun 1892 oleh G.P Putnam dan Anak-anak), Raja Abdullah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan Kim Ching. Tan bersama seorang pedagang Inggeris di Singapura merangka surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke yang ditandatangani oleh Abdullah.

Dalam surat tersebut, Abdullah menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Pada 26 September 1872, Chung Keng Quee menghantar petisyen yang ditandatanganinya serta 44 orang lagi ketua orang Cina, meminta campurtangan Inggeris selepas diserang 12,000 orang-orang Chung San. Pihak Inggeris melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara dan monopoli perdagangan bijih timah. Hasilnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874.


Perjumpaan mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang-orang Besar Perak tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor pada 20 Januari 1874 telah menghasilkan Perjanjian Pangkor dan syarat-syaratnya adalah seperti berikut: Raja Muda Ibrahim diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat Residen British hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang-orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat Residen British.

Raja Ismail tidak mengiktiraf perjanjian tersebut tetapi nasi sudah menjadi bubur. Raja Abdullah diiktiraf Inggeris sebagai sultan dan Sir James W.W. Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak. Berikutan dengan perjanjian ini, Inggeris terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran negeri Melayu. Campurtangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang-orang Melayu, khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang. Rasa tidak senang itulah yang membuka jalan nekad orang Melayu Perak bertindak.

Tanpa takut dan gentar, mereka telah berpakat membunuh Birch yang berjaya dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini mengakibatnya beberapa siri peperangan antara Melayu Perak dan Inggeris hingga tahun 1876.
Ramai wira negeri Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Sultan Abdullah pula disingkir ke Pulau Seychelles.

Walaupun wira-wira bangsa ini berjaya dibunuh oleh Inggeris, namun peristiwa Pasir Salak itu telah mengajar Inggeris bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah dan memperbodohkan orang Melayu. Dengan berjaya membantutkan penentangan Melayu, Inggeris berjaya mengukuhkan kedudukannya di Perak dan kemudiannya membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Perak bersama Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya dikenali dengan Negeri-negeri Melayu Bersekut

Rabu, 28 Julai 2010

AL FATIHAH : SEORANG LAGI PEJUANG SEJATI TANAHAIR PERGI MENINGGALKAN KITA


KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN: Kawan Nordin telah pulang ke rahmatullah pada 5 Julai 2010. Berita ini disampaikan oleh seorang wakil keluarga Allahyarham yang datang ke Kampung Perdamaian Sukhirin.

Kawan Nordin 70, atau nama sebenarnya Deroman (gambar kiri) berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Akan tetapi beliau telah berhijrah dan menetap di Kampung Jadeh, daerah Sukhirin, wilayah Narathiwat, Selatan Thailand sejak masa muda lagi. Kampung Jadeh adalah antara basis Rejimen Ke-10 yang awal di kawasan sempadan.

Kawan Nordin adalah salah seorang anak Kelantan yang ingin melihat tanah airnya mencapai pembebasan dan kemerdekaan penuh dan kebahagiaan masyarakat. Pada tahun 1968, Kawan Nordin telah menyertai pasukan Rejimen Ke-10 yang melancarkan perjuangan bersenjata untuk pembebasan nasional. Beliau adalah antara perajurit awal di kawasan sempadan.

1961 - 1975 beliau telah menyertai 3 kali pasukan penggempur mara ke selatan di bawah pimpinan Allahyarham Abu Samah Mohd. Kassim. Kemudian beliau berkhidmat dalam Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10 yang bergerak di kawasan Chendek, Narathiwat.

Setelah pasukan Rejimen Ke-10 dibubarkan di bawah perjanjian perdamaian 3 pihak 1989, beliau memilih menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin bersama rakan seperjuangan yang lain, menikmati layanan di bawah syarat perjanjian damai dari Kerajaan Diraja Thailand dan pihak organisasi PKM.

Semoga Allah memberikah rahmata ke atas roh Allahyarham.

RAHSIA ILMU KEBAL PAHLAWAN MAT SALLEH


British bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898


PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.

Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.
Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan

UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.
Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.”

Selasa, 27 Julai 2010

KONGRESS PARTI KEBANGSAAN MELAYU MALAYA

KONGRESS KETIGA PKMM


Klik pada imej untuk besarkan.

Gambar² pemandangan dalam kongres Parti Kebangsaan Melayu di Singapura pada waktu yang lepas, parti kiri ini berjuang untuk mendirikan Malaya Merdeka disokong oleh segenap bangsa yang progresif.

Atas kiri: Dr. Burhanuddin
Atas kanan: De Cruz, bekas setiausaha All-Malayan Committee of Joint Action
Bawah kiri: Ishak Hj. Muhammad
Bawah kanan: Wakil Parti Komunis Malaya
Gambar bawah: Wanita² yang menjadi setiausaha kongres PKMM
Bawah sekali: Wakil² rakyat jelata seluruh Malaya yang membawa suara dari rakyat yang menderita



Sumber: Buku ‘Album Malaya Merdeka 31 Ogos 1957’, Qalam, 1957

KONGRESS KEDUA PKMM
Klik pada imej untuk besarkan.

Diantara pemimpin² dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Angkatan Pemuda Insaf bergambar selepas mengadakan kongres yang kedua pada 25-27 Disember 1946 di Kota Melaka.

Anggota² Dewan Pimpinan PKMM yang dilantik semasa kongres:
Yang Dipertua: Dr. Burhanuddin Al-Helmy
Naib Yang Dipertua: Ishak Hj. Muhammad
Setiausaha Agung: Abdul Hamid Abdul
Penolong Setiausaha Agung: Mohamad Mustaza
Bendahari: Yahya Nassim
Penolong Bendahari: Aziz Hamidy
Ketua Pemuda: Kamaluddin Mohammad (Keris Mas)
Ketua Wanita: Shamsiah Fakeh

Sumber: Buku ‘Album Malaya Merdeka 31 Ogos 1957’, Qalam, 1957

Isnin, 26 Julai 2010

GAMBAR GAMBAR KEKALAHAN PASIS JEPUN DI MALAYA

Empayar Jepun bermula di Tanah Melayu dari 8 Disember 1941 sehingga 31 Januari 1942 semasa Perang Dunia II.

(Royal Engineers) bersedia bagi memusnahkan jambatan semasa berundur

Lt. Jeneral Yamashita, Komander tentera Jepun ( di gelar Singa Malaya ).
Peta kemaraan tentera Jepun
Lt. Jeneral Percival, Pegawai Jeneral Pemerintah Tanah Melayu
Pesawat A6M Zero tentera laut Jepun dari Flotia Udara ke-22 di Lapangan Terbang Kota Bharu selepas penawanannya.
Kaedah serangan tentera Jepun



Tentera Jepun memasuki Petaling Street, Kuala Lumpur pada 12 Januari 1942.
Sumber: Abd Majid Awang - Antiques & Collectibles
Tentera Jepun menawan penduduk Cina

Pihak Inggeris menyerah kalah kepada pihak Jepun
Dalam gambar kelihatan Lt. Jeneral A.E. Perceval
Lockheed Hudson Mk V

Askar Melayu pertama. Sedang membuat latihan.

Tidak berapa lama sebelum serangan Jepun

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera ke-25 menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Tentera Jepun melancarkan serangan serangan amfibi (amfibious assault) di pantai utara Tanah Melayu di Kota Bharu dan mula maju kebawah ke pantai timur Tanah Melayu. Ini dilakukan bersama dengan pendaratan di Pattani dan Singgora di Thailand, di mana mereka bergerak keselatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu.

Pihak Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Tanpa perlindungan udara, pesawat Jepun menyerang dengan gelombang demi gelombang dan berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut. Kehadiran Tentera Laut British dihapuskan dalam masa yang singkat.

Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menuju Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mulai mengebom Pulau Pinang.

Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama.

Ahad, 25 Julai 2010

Sejarah Tuan Guru Yusof Rawa


Latar Belakang

Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.
Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.

Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta.

Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.
Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama.

Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.

Menghadapi Ujian

Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun.

Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya.
Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.

Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai.

Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.
Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis.

Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.

Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.

Penglibatan dalam PAS

Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951.

Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.

Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS.

Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.

Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah.

Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.

Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan.

Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa.
Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik Yang Dipertua PAS.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987.

Di atas sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am.
Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993.

Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.

Menangani Krisis Peralihan

Tuan Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam.

Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.

Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO.

Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan: ”...tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”

Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini.

Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS.

Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.

Menangani Gejala Dalaman

Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.

Kumpulan ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan jamaah.
Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat berat sekali.

Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat kepada Dato’ Mohd Asri Muda yang menyebut:

”Jawatankuasa Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat sehingga kepada masanya diberitahu kelak.
Dengan demikian maka terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak”

Bersama-sama Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran.
Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung.
Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.

Mengasaskan Kepimpinan Ulama’

Isu kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya.
Ia bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis?
Walaupun PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.

Pertembungan pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato’ Mohd Asri Muda.

Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.

Tidak pula dinafikan pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi suasana dalam PAS pada masa itu.
Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.

Dalam suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang.
Berlatarbelakang senario ini, Tuan Guru Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama’.

Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan ulama’ dalam PAS.

Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’

Pindaan Perlembagaan 1983

Setelah memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa di negara ini.

Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983.

Tuan Guru Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir.
PAS mengambil sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir.
Tindakan ini sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa Melayu.

Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa, dasar PAS tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi 1984-85, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara mewakili golongan mustadafin dan menentang golongan mustakbirin.

Dalam tempoh tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kefasadan.

Seterusnya pada tahun 1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS meningkatkan kempen menentang segala bentuk asabiyyah, terutama asabiyyah UMNO dan Barisan Nasional.

Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang daripada langkah Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah memberi ruang yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang relevan dan berwibawa di negara ini.

Tragedi Memali

Tragedi Memali yang tercetus pada 18 November 1985, berlaku semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa.

Tragedi ini merupakan pembunuhan kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan kira-kira 4,000 anggota polis.

Empat anggota polis turut terkorban.

Tragedi Memali bermotifkan politik.

Peristiwa ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin meningkat terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan PAS dan kepimpinan ulama’.
Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa operasi penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS.

Tuan Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Di bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.

Pendirian ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah.

Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan Guru Yusof Rawa tetap cekal mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid.

Menentang Kezaliman ISA

Semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah ISA.
Semasa Dato’ Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai:

”PAS merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara merdeka yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga keamanan negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah lagi gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin daripada seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Sikap ini menjadi bukti kerana sekalipun PAS berada di pihak pembangkang, PAS tidaklah mengambil sikap menentang secara melulu, mentang-mentang menjadi golongan pembangkang, maka semua yang datang daripada kerajaan ditentang”

Berlainan dari zaman Dato’ Mohd Asri Muda, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang berbeza terhadap ISA.

Perubahan ini ketara dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana katanya:

”Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen dan pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi. Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun, kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang menuduh”

Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin Ya’kub dan Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:

”Penahanan mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri Dalam Negeri yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO
Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan negara. Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan ancaman yang membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara berfikir pemimpin yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen”
”Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan keadilan”

Dalam Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap sepuluh orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:

”Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan negara, tetapi adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah terpisah dari orang ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya sendiri, malah terpencil dari kliknya sendiri
ISA pada prinsipnya adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak memberi peluang membela diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun”

Dasar yang diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip.

PAS menolak ISA kerana ia zalim!

Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS.

Sumbangan kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan Sederhana

Sumbangan terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan perjuangan Islam di Malaysia adalah di atas tindakannya untuk mengukuhkan serta menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan dakwah di negara ini.
Kepimpinannya yang terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga muda pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan Islam di Malaysia melalui PAS.

Konsep kepimpinan ulama’ yang diterajuinya memartabatkan kedudukan gerakan Islam di atas paksi ilmu, syaksiyyah dan akhlak mulia pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita perjuangan Islamnya.

Peralihan daripada sebuah gerakan yang dianggap sebagai nasionalis Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah telah menarik minat golongan teknokrat, intelektual, para lepasan universiti tempatan dan luar negara serta pelbagai lapisan pencinta perjuangan Islam di negara ini.

Tuan Guru Yusof Rawa turut memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan Islam.

Beliau merintis jalan ke arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council.
Dalam konteks pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa membuka ruang seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.

Pendedahannya di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan yang lain, memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk mencorakkan gerakerja haraki dalam PAS.

Sikap ini telah berjaya memberi laluan kepada pendokong-pendokong Islam daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai dan terlibat aktif dalam PAS.

Demikian juga bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam Iran. Sikap terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi ruang bagi mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS.

Di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya.

Namun di sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan kezaliman, penindasan dan kemungkaran.

Pendirian inilah yang menampilkan identiti PAS sebagai parti politik Islam dan sebuah harakah Islamiyyah.

Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan jelas bahawa kepimpinan ulama’ bukan sahaja membawa makna kepimpinan mesti diterajui oleh ulama’.

Hakikat yang lebih utama adalah kepimpinan ulama’ berkehendakkan kepada kandungan perjuangan yang berteraskan ciri-ciri tarbiyyah, dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau harakah yang menjadikan cita-cita Islam sebagai paksinya.
Jelas, di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan paksi penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato’ Mohd Asri Muda.
Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam

Kemenangan awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah pada pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.

Sebelum penyertaan PAS dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan.

Perlantikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Tuan Guru Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.

Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang.
Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB.

Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding.

Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama.

Menterinya pada masa itu adalah Tan Sri Musa Hitam.

Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik setinggi itu.

Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran.

Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan.

Semasa menjalankan tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar bahasa Farsi dan bahasa Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya.

Tuan Guru Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan.

Tuan Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992.

Penghormatan Terakhir

Tuan Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas terakhir setelah solat subuh pada hari Jumaat, 28 April 2000.

Penuh sesak orang membanjiri Masjid Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan Guru Yusof Rawa.

Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang terletak di pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang datang untuk memberi penghormatan terakhir.

Kaum Cina dan India juga datang untuk memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu Koon.

Pada penghujung hayatnya, Tuan Guru Yusof Rawa menyaksikan penzaliman yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim. Beliau mendoakan agar Anwar bersabar dan tabah di atas penzaliman tersebut.

Apa yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim itu ditegaskan oleh Tuan Guru Yusof Rawa sebagai kemuncak kezaliman Dr. Mahathir yang tidak dapat lagi membezakan antara kebinatangan dan kemanusiaan!

Blackend Is The End

Dyers Eve