To Live Is to Die

free counters

Khamis, 12 Ogos 2010

REJIMEN KE-10: SEJARAH YANG DISEMBUNYIKAN


Saya sempat menyimpan beberapa bahan di dalam Blog KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN( KINI DAN SILAM) sebelum blog tersebut di ceroboh. Namun banyak gambar tidak dapat di buka lagi. Saya akan menyiarkan beberapa terbitan blog ini yang ada di dalam simpanan saya di dalam Wasiat pejuang semperna Bulan Kemerdekaan kali ini.

(Mengenang kelahiran Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya pada 21 Mei 1949)


Hari ini ialah ulang tahun ke-60 berdirinya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada hari yang bersejarah ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT senantiasa melindungi para pahlawan serta pejuang bangsa dan tanah air kita yang sudah lanjut usia.

Kami juga mengajak semua mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh putera-puteri terbaik tanah air yang telah pergi demi perjuangan kemerdekaan ibu pertiwi – Alfatihah!

Rejimen Ke-10 didirikan di Kerdau, Temerloh, Pahang pada 21 Mei 1949.

Abdullah C.D., pengasas Rejimen Ke-10 telah menulis, antara lain, begini: “Rejimen Ke-10 adalah sebuah tentera anak rakyat yang dari komander hingga ke perajuritnya terdiri dari putera-puteri terpuji bangsa Melayu yang berteraskan anggota PKM, PKMM, PETA, BTM dan lain-lain yang telah diharamkan oleh penjajah British.”

Sebelum itu, kecuali United Malays National Organisation (UMNO), badan-badan lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pembela Tanah Air (PETA), Barisan Tani Malaya (BTM) dan sebagainya adalah pertubuhan politik Melayu yang berjuang atas hasrat murni untuk memerdekakan Malaya dan melepaskannya daripada belenggu British.

Dan, apabila kesemuanya (kecuali UMNO) diharamkan pada Jun 1948 di bawah apa yang dinamakan ‘Undang-Undang Darurat’, pertubuhan-pertubuhan tersebut terpaksa mengambil jalan perjuangan bersenjata yang bermandi darah.

Justeru itu, Rejimen Ke-10 yang pada mulanya terdiri daripada 17 orang telah berkembang dan mendewasa dengan cepat dalam kancah perang rakyat melawan British – sehinggalah ia menjadi satu-satunya pasukan gerila Melayu anti-British yang bukan saja digeruni tetapi dihormati oleh pihak lawan.

Dalam tempoh 40 tahun, tidak sedikit para pemimpin dan perajurit Rejimen Ke-10 telah menjadi mangsa tangkapan, penjara, buang negeri bahkan hukuman gantung sampai mati.

Antara mereka yang telah mengharumkan nama termasuklah: Kamarulzaman Teh, Mat Amin, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Manap, Cikgu Taha, Mat Kerinau, Maimun, Asiah, Johan (dari Indonesia), Hidzir, Ali Boyok, Yasin, Jidin, Alias, Bakri, Zahura dan ramai lagi.

Mengikut catatan Abdullah C.D., seorang bernama Manan (Adnan) dari Kajang merupakan “kawan Melayu pertama yang dihukum gantung, bahkan yang pertama digantung semasa darurat. Lepas beliau digantung, kawan-kawan yang lain juga turut digantung. Kadang-kadang 3 orang, kadang-kadang 6 orang sehari”.

Begitulah harga yang terpaksa dibayar – dengan darah dan nyawa – oleh putera-puteri terbaik kita demi kemerdekaan tanah air!

Di sini, timbul beberapa pertanyaan: Apakah sumbangan Rejimen Ke-10 dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Malaya? Mengapakah fakta-fakta tentang Rejimen Ke-10 tidak terdapat dalam buku-buku teks sejarah? Apakah penulisan sejarah negara kita telah diputarbelitkan? Siapa yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan sejarah ini, dan mengapa?

Justeru itu, bersempena hari yang bersejarah ini, kami ingin menyeru kepada semua pihak yang prihatin terhadap kebenaran sejarah supaya memikirkan masalah ini.

Terima kasih!

Blackend Is The End

Dyers Eve