To Live Is to Die

free counters

Rabu, 15 September 2010

LAGI KISAH SRIKANDI SHAMSIAH FAKEH


Seorang ibu yang tegas dan tidak mudah mengalah dalam setiap perjuangannya, kata Jamaluddin Ibrahim, anak kedua Allahyarham Shamsiah Fakeh, 84, yang kembali ke rahmatullah di kediamannya di Tropicana, Damansara pagi ini. Shamsiah yang disifatkan Jamaluddin sebagai seorang wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi, juga merupakan seorang ibu yang amat bertanggungjawab dan mengambil berat tentang soal keluarga dan anak-anaknya.

Ketika mengimbau kembali saat-saat akhir Allahyarham, Jamaluddin berkata kepergian ibunya hanya disedari apabila anggota keluarga cuba mengejutkannya pada pukul 9 pagi. "Kami tak syak apa-apa sehinggalah masa untuk kejutkannya pagi ini. Kemudian, barulah kami sedar dia (ibu) sudah kembali ke rahmatullah," katanya selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Tunas Bakti, Sungai Besi di sini, pukul 5.30 petang ini.

Katanya, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak dua bulan lalu akibat sakit tua sebelum dibenarkan pulang dua hari lepas. Shamsiah, anak kepada pasangan Saamah Nonggok dan Fakeh Sultan Sulaiman dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama pada 1924 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada usia 13 tahun, beliau dihantar melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang di Sumatera Barat hingga 1940.

Shamsiah ialah ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada Februari 1946 bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Oleh itu, AWAS kemudian diharamkan di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan British di seluruh Malaya pada 20 Jun 1948, tetapi ini tidak mematahkan semangat srikandi ini untuk meneruskan perjuangan memerdekakan negara. Shamsiah kemudian menyertai Rejimen Ke-10 sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangannya tidak mengenal tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa.

Beliau bersama suaminya, Ibrahim Mohamad, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Beliau yang dilucutkan keanggotaannya daripada PKM pada 1968, terus berada di Beijing, China dengan menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi selain memberi khidmat kepakaran Bahasa Melayu kepada Radio Beijing serta Institut Bahasa Asing Beijing. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989.

Blackend Is The End

Dyers Eve