To Live Is to Die

free counters

Jumaat, 17 September 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) - SIASAH ULAMA















(Keterangan: Kartun ini diambil dari akhbar 'Majlis' 22 Dis 1947. Federation of Malaya yang sepatutnya diisytihar secara rasmi menggantikan Malayan Union pada 1 Jan 1948 terpaksa ditunda kerana bantahan dari rakyat Malaya yang bergabung dalam PUTERA-AMCJA. Rintangan yang kononnya terpaksa dihadapi oleh UMNO. Akhirnya Federation of Malaya ditubuhkan pada 1 Feb 1948. Kesemua 9 Negeri² Melayu kembali kepada taraf negeri naungan di bawah Empayar British manakala 2 Negeri Selat, Penang dan Melaka terus kekal sebagai tanah jajahan. Raja² Melayu secara simbolik kembali menjadi pemerintah di negeri masing² di bawah telunjuk British.

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 2

UMNO (singkatan dari United Malay National Organization) atau PAKEMBAR (singkatan dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), mengapa dikatakan ianya ‘parti yang dibenarkan dan dibelai’ atau parti anak didik penjajah British di akhir tahun-tahun 40an itu? Sebabnya ialah parti itu adalah satu-satunya pertubuhan politik yang diberi laluan dan diizinkan bergerak, bahkan dibantu oleh pentadbir penjajah tersebut.


Hizbul Muslimin, gerakan Islam pertama di Tanah Melayu telah diharamkan. Begitu juga PKMM serta sayap pemudanya API dan sayap wanitanya AWAS turut diharamkan. Begitu juga PETA (Gerakan Pembela Tanah Ayer), BATAS dan Malayan Democratic Youth League juga turut diharamkan.


Kerana itu para ulama dikatakan merasa kekosongan disebabkan ketiadaan wadah Islam. Ulama-ulama dalam UMNO yang benar-benar ingin menegakkan Islam mengambil kesempatan untuk mengisi kekosongan tersebut. Perjuangan mereka menjadi tidak lancar dan tersekat-sekat kerana dasar parti mereka tidak mementingkan Islam lebih dari segala-segalanya. Kadang-kadang lebih mementingkan ekonomi tanpa peduli halal haramnya.


Contohnya. Untuk menambah lagi sumber kewangan UMNO, Kesatuan Melayu Kedah telah mencadangkan supaya Jabatan Agama dan UMNO melaksanakan sistem judi loteri. Menurut Ramlah Adam dalam tulisannya ‘UMNO Organisasi dan Kegiatan Politik’ (Terbitan Mohd Nawi Book Store 1978) menyebutkan:

“..Kesatuan itu faham bahawa loteri tidak dibenarkan dalam Islam. Tetapi loteri itu lebih merupakan derma dan ia bertujuan untuk membaiki kehidupan, yang bukan untuk seorang sahaja tetapi seluruh kaum Melayu yang ada serta menjadi anggota UMNO.”


Cadangan ini disokong oleh Perikatan Melayu Perak cawangan Selama. Menurutnya:


Mungkin alim ulama akan mengatakan ini haram,tetapi agama kita mengharuskan makan apa saja walaupun bangkai babi, jika tidak ada lain yang patut dimakan. Keadaan ini samalah dengan keadaan ekonomi orang Melayu yang di dalam hutan belukar, maka sudah tentu ‘harus’ untuk dijalankan loteri itu.”


Walaupun terdapat bantahan dari tokoh agama dan para ulama dengan hujah-hujah kukuh dan syar’ie di sekitar tahun 1940an itu, namun sistem loteri yang dikatakan ‘untuk kebajikan masyarakat’ tetap berjalan dan ianya terus menjadi lambang keangkuhan UMNO di dalam meletakkan alim ulama dan hukum Islam di bawah telunjuk mereka.


Menurut Tarmizi Mohd Jam melalui risalah ‘Masa Depan PAS Johor’:


Salah satu sebab mengapa PAS ditubuhkan ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu hendak membenarkan judi dan loteri. Tuan Haji Ahmad Fuad, Haji Abdullah Fahim dari Seberang Prai dan Haji Fathullah Suhaimi dari Singapura telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya judi tersebut.”


Kekosongan tiadanya wadah Islam seperti yang disebutkan, boleh diisi dengan menubuhkan sebuah badan yang pada lahirnya berbentuk kebajikan di bawah naungan UMNO. Inilah strateginya. Mungkin dengan sebutan ‘di bawah naungan UMNO’, ianya dapat mengatasi masalah kecurigaan penjajah.


Tulis Tarmizi lagi setelah berlangsungnya muktamar ulama-ulama se Malaya di Butterworth Seberang Prai (menurut Tarmizi pada 23 & 24 November 1951):


Walaupun penubuhannya tidak dapat restu raja-raja Melayu atas penasihat-penasihat Inggeris yang telah mencium bau kebangkitan Islam, namun PAS berjaya ditegakkan.”


Bagi UMNO pula, sebagai sebuah pertubuhan politik ia perlu berusaha memperoleh sokongan dari pemimpin-pemimpin Islam dan ulama-ulama berpengaruh. Di sinilah kebijaksanaan politik ulama-ulama UMNO dalam usaha membebaskan agama dari cengkaman pemimpin-pemimpin mereka. Mereka telah mengambil kesempatan ini dan telah berjaya menghimpunkan ulama-ulama di Malaya.


Ada lagi yang berpendapat, satu muktamar ulama-ulama Islam peringkat kebangsaan dianjurkan oleh bahagian agama UMNO, yang dipelupori oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan antara 21 & 22 Februari 1950 di Bangunan Kelab Muar Johor. Khabarnya UMNO di bawah pimpinan Datuk Onn waktu itu, telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM500 untuk membiayai muktamar tersebut. Pengerusi persidangannya ialah Haji Mohd Noh bin Orang Kaya Omar. Sebanyak 46 wakil-wakil negeri dan 300 orang pemerhati telah menghadirinya. Hadirin adalah terdiri dari alim ulama cawangan-cawangan UMNO, wakil-wakil dari Majlis Agama Negeri, dan dari organisasi-organisasi Islam lain. Maka Persatuan Ulama-ulama Se Malaya telahpun ditubuhkan.


Ada lagi yang berpendapat, Persidangan Persatuan Ulama-ulama Se Malaya ke 2 (masih dalam sayap agama dalam UMNO) pula di adakan di Bangunan Kelab Sulaiman Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951.

Tiga keputusan dicapai dalam persidangan tersebut:


1.Mendirikan satu persatuan alim ulama yang bebas.

2.Melantik jawatankuasa sementara bagi menggubal perlembagaan.

3.Meneruskan ikhtiar bagi menyatukan pentadbiran agama dalam Persekutuan Tanah Melayu.


Jawatankuasa kecil bagi menggubal undang-undang yang dipilih terdiri dari Haji Ahmad Tuan Husin, Muhammad Shafie Kuala Lumpur, dan Haji Ayub, Perak.


Menurut Tengku Ismail Abdul Rahman, ketua Jabatan Agama Islam Johor, keinginan ahli-ahli Persatuan Ulama-ulama Se Malaya untuk membentuk satu parti politik Islam yang bebas adalah disebabkan dua perkara penting:


1.Mereka merasa bahawa ini adalah satu cara yang baik untuk mencapai pemusatan hal ehwal Islam.

2.Satu parti politik yang bebas adalah perlu untuk mencapai objektif-objektif tersebut.


Menurut beliau lagi, penyatuan di kalangan pentadbir-pentadbir Islam adalah perlu bagi mencapai reformasi-reformasi yang diingini. Penyatuan seumpama ini tidak dapat dibuat jika persatuannya berada di dalam UMNO, yang undang-undangnya tidak berteraskan Al-Qur’an dan Al-Hadith. Lihat N.J. Funston. -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.


Ada juga yang berpendapat, beberapa perjumpaan antara ahli-ahli UMNO telah diadakan di Johor, Perak dan Kuala Lumpur. Mereka berjaya membentuk sebuah panatia penaja untuk mengusahakan perlaksanaannya.

Antara yang terpilih ialah:


1.Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi

2.Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha

3.Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota

4.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota

5.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota

6.Tuan Haji Mansor J.P - Anggota

7.Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.


Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu, iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.


Panitia ini juga memilih UMNO Bahagian Seberang Prai dan Pulau Pinang sebagai tuan rumah persidangan dua hari yang diadakan di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Prai, pada 22 &23 Ogos 1951 bersamaan 21 & 22 Zulkaedah 1370H.


Ada juga yang menyebutkan Ustaz Uthman Hamzah guru Madrasah Ihya As-Syarif juga bekas ahli jawatan kuasa eksekutif Hizbul Muslimin, dan Syed Abdullah Hamid Al-Edrus seorang penulis dan penerbit di Singapura adalah di antara yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PAS. Begitu juga penyokong-penykong terdiri dari guru-guru pondok, ustaz-ustaz, imam-imam dan pelajar-pelajar sekolah agama.


Perhatian:

Setelah penulis menghasilkan buku ini, nama asal: ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ Terbitan GG EDAR Januari 1993, Allahyarham Ustaz Baharudin Abdul Latif, seorang tokoh lama PAS abang kepada Haji Subky Latif datang menemui penulis menjelaskan tentang tarikh tubuh PAS. Menurutnya pada 24 & 25 November 1951, di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Prai. Beliau masih betul-betul ingat lagi, semuanya tercatat dalam dairinya dan masih disimpan.


Tetapi menurut Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS ke 6 yang penulis temui selepas itu, menetapkan tarikh penubuhan PAS ialah pada 23 Ogos 1951. Maka, kesimpulannya PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut PAS ditubuhkan pada 24 November 1951. Namun bagi sesetengah ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta 24 November 1951 adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.


Di sinilah bermulanya proses kebangkitan PAS. Penubuhan PAS berjaya diusahakan dengan kebijaksanaan dan siasah para ulama. Meraka adalah ulama yang cuba bersungguh-sungguh membebaskan agama mereka dan memegang amanah Allah.


Seperti Sabda Nabi..

-‘Ulama itu pemegang amanah Allah atas segenap makhlukNya’. Riwayat Al-Qudha’iy dan Ibnu Asakir dari Anas RA (hasan).

-Ulama itu pelita-pelita bumi, pengganti-pengganti Nabi.’ Riwayat Ibnu Adi dari Ali RA (dha’if).

-Sesungguhnya ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit, dia menjadi penunjuk umat di dalam kegelapan, baik di darat mahupun lautan.’ Riwayat Al-Ajduri dari Anas RA (hasan).

-Ulama itu waris sekelian para Nabi.’ Riwayat Ibnu Nadjar dari Anas RA (hasan).


Jadi, jelaslah.. di mana PAS memang ditubuh oleh orang-orang PAS.


Rujukan:


1.N.J. Funston -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.

2.Ramlah Adam - UMNO Organisasi dan Kegiatan Politik’ Terbitan Mohd Nawi Book Store – 1978

3.Tarmizi Mohd Jam - Masa Depan PAS Johor

4. Hasil dari interbiau penulis dengan Pegawai-pegawan Pejabat Agung PAS, Ustaz Amaluddin Darus, Ustaz Osman Hamzah, Ustaz Baharuddin Latif, Ustazah Hayati dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80an.

Blackend Is The End

Dyers Eve