To Live Is to Die

free counters

Ahad, 19 September 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke7


DIKATAKAN era kebangkitan PAS peringkat pertama telah berakhir, ialah kerana selepas ini PAS seolah-olah ketandusan pemimpin. Dr Abbas tidak dapat berkhidmat sepenuh masa dengan parti, kerana sedang bertugas di dalam jabatan kerajaan. Walaupun begitu di negeri mana beliau bertugas, maka di situlah benih-benih PAS akan tumbuh.

Umpamanya masa beliau bertugas di Melaka, Terengganu dan lain-lain. Pernah semasa diadakan Muktamar ke 3 di Madrasaah At-Tahzib Ad-Diniyah, Titi Serong Parit Buntar, Perak, waktu itu Dr Abbas berada di Makkah, Arab Saudi. Muktamar yang diadakan pada 12 Ogos 1954. Muktamar yang dikatakan pertama dan mungkin terakhir PAS menyaksikan 3 pemangku YDP. Iaitu:

1.Che Ahmad Awang.
2.Tuan Haji Ahmad Tuan Husin
3.Haji Mansur JP.

Walaupun begitu cawangan-cawangan (sekarang di sebut Kawasan) PAS tetap bertumbuhan di bawah kepimpinannya.

Menurut lapuran akhbar ‘Utusan Melayu’ keluaran 20 Mac 1954, cawangan pertama PAS di negeri Johor telah ditubuhkan pada 19 Mac 1954 di Johor Baharu.

Pimpinan cawangan PAS Johor Baharu:
1.Haji Arifin Alias sebagai Ketua. Beliau ialah seorang jurutera bertauliah, pangasas Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul, bekas ketua Hizbul Muslimin Negeri Johor.
2.Osman Abdullah sebagai Setiausaha cawangan,
3.Yusuf Abdul Rahim sebagai Bendahari.
4.8 ahli jawatankuasa.

Dikatakan juga Haji Mohd Said Abdul Hadi salah seorang pengasas dan pernah juga menjadi Setiausaha Perhubungan pertama PAS Negeri Johor, pegawai agama dan pengarang ‘Warta Jabatan Agama Islam Johor’.

Beliau mengatakan:
‘... tokoh-tokoh utama yang terlibat dalam penubuhan PAS Johor adalah terdiri dari bekas-bekas anggota PKMM dan Hizbul Muslimin.’

Reaksinya, sambutan terhadap PAS agak memberangsangkan. Ekoran dari berita itu, satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu pemimpin PAS cawangan Johor Baharu dan akhirnya tertubuhlan PAS cawangan di Benut pada 6 Mei 1954.

Pimpinan cawangan PAS Benut:
1.Haji Abdul Razak sebagai ketua.
2.Mohd Tahir sebagai setiausaha.
3.Seorang Bendahari
4.6 ahli jawatan kuasa.
(Seperti lapuran ‘Utusan Melayu’ 7 Mei 1954)

Apa yang menarik perhatian antara usul cawangan Benut itu telah dibawa ke Muktamar Agung PAS di Perak, antara lain meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli dan menerbitkan risalah ‘Al-Islam’. Setakat 30 Julai 1954, ahli-ahli PAS cawangan Benut mencapai 750 ahli. Begitu juga di kawasan negeri-negeri Johor yang lain, tumbuh subur cawangan-cawangan PAS seperti di Pontian dan Sungai Pulai Muar hingga tahun 1955. Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum 1959.

Di Kelantan pula, selepas Mesyuarat Agung Khas diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam September 1953 itu, satu lawatan ke seluruh negeri Kelantan telah dirancang oleh pegawaai-pegawai pejabat Agung PAS. Rapat umum yang pertama telah diadakan di Pasir Mas Kota Bharu, dan seterusnya di ibu-ibu daerah lain dalam bulan April tahun tersebut.

Pidato-pidato seperti Saudara Othman Abdullah selaku Ketua Pemuda PAS dan Mohd Asri sebagai Penolong Pegawai Tadbir pejabat agung sangat-sangat memberi kesan, sehingga tertubuhnya PAS cawangan Kota Bharu dan Pasir Putih. Sejak itulah dikatakan UMNO Kelantan mula merasakan, di mana PAS merupakan suatu cabaran yang tidak boleh diperkecilkan.

Kesannya, PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung. Ketokohan Mohd Asri yang boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dan pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. (lihat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan (1992), Laporan Tahunan 1991/1992 untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38, Kota Bharu.

Menurut Amaluddin Darus lagi:

“Sebagai regu yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan pada masa itu, kami telah berjuang tanpa mengenal siang atau malam, dengan dibantu oleh Saudara Khaider Khatib yang sungguhpun belum menjadi ahli pada peringkat itu, sehingga ditubuhkan cawangan Ulu Kelantan, yang bertempat di Kuala Krai. Beliaulah orangnya yang merupakan tenaga luar yang paling banyak memberi kursus-kursus perjuangan Islam, terutama bagi cawangan-cawangan Pasir Putih, di mana ahli-ahli PAS dari cawangan-cawangan Bachok dan Machang telah ikut juga menyertainya, kerana kedudukan mereka yang tidak berjauhan.”

Setelah ditubuhkan selama empat tahun, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan 11 calon kesemuanya. Di Kelantan PAS telah bertanding dalam tiga kawasan pada masa itu, dan ketiga-tiga calon PAS telah kalah. Mereka yang kalah ialah Mohammad Asri (Bachok dan Pasir Puteh) Muhammad Nor Hj Yusof (Machang dan Ulu Kelantan) dan Haji Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas).

Berikutan dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya Mohd Asri dan Amaluddin Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan. Berkat kerja keras, pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah. PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 30 kerusi.

Di bawah pimpinan Dr Abbas Alias juga, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung ke 4 di Madrasah Ahmadiah Bunut Payung, Kota Bharu Kelantan pada tahun 1955. Maka bertambah tersebar lagi pengaruh PAS di kalangan gurug-guru agama Kelantan, bila tok guru pondok tersebut menunjukkan minatnya menyokong PAS.

Fajar kebangkitan Islam terus memancarkan sinarnya lagi, apabila seorang tokoh muda berkaliber yang pernah bersama-sama Datuk Onn menentaang gagasan Malayan Union tajaan British, melalui Herold Mc Michael telah menyertai PAS. Pembentukan perlembagaan Malayan Union diadakan pada 1 April 1946. Kesemua sultan-sultan Melayu tidak menghadiri pertabalan Malayan Union di mana Edward Gent dilantik sebagai Gabenor. Tentangan ini menyebabkan gagasan Malayan Union diganti dengan Perjanjian Persekutuan 1948.

Beliau juga seorang yang cergas dalam GPMS dan pengasas Kolej Islam Malaya yang merupakan sebagai tapak permulaan kea rah penubuhan Universiti Islam di rantau ini. Semasa menuntut di Mesir beliau pernah menjadi YDP Persekutuan Putera-putera Melayu Semenanjung pada (1949-1951) dua tahun berturut-turut. Di sana juga beliau menjawat jawatan Pegawai Kesatuan Pelajar-pelajar Putera Malaya dan Indonesia, Persatuan Kemerdekaan Indonesia dan Perpendo.

Perpendo adalah pertubuhan yang menyatupadukan pemuda-pemuda Islam Thailand, Malaya, Filipina dan Indonesia, dalam menuntut kemerdekaan Negara masing-masing di bawah kesatuan Islam Serantau. Beliau juga pernah bertemu pemimpin-pemimpin Republik Indonesia seperti Sultan Shahrir, Musso, Agus Salim dan lain-lain.

Beliau adalah Ustaz Zulkifli Muhammad.

Seorang ulama, seorang tokoh politik dan seorang sasterawan. Beliau dilahirkan pada 24 Mac 1927 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar Perak. Apa yang penting, ia telah melibatkan diri bersama-sama pemuda Islam se dunia yang menuntut di Mesir. Antaranya melalui ‘Jamaiah Shubanul Muslimin’ pimpinan Salleh Harbesha, seorang tokoh muda Islam yang progressif.

Waktu itu adalah merupakan tahun kebangkitan Islam di Mesir di bawah pimpinan Al-Imam Hasan Al-Banna dengan gerakan ‘Ikhwan Muslimin’nya yang terkenal dan menjadi panduan gerakan-gerakan Islam se dunia hingga kini. Di sinilah dikatakan Ustaz Zul amat tertarik dengan idea-idea yang dikemukakan oleh Hasan Al-Banna dan tokoh-tokohnya, serta sering mengikuti ceramah-ceramah mereka.

Beliau juga berjaya menubuhkan ‘Egyption Relief Fund Committee’ dan menjadi presidennya. Jadi tidak hairanlah, sewaktu di Mesirpun, beliau mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin. Dan lebih tidak hairan lagi, bila beliau meninggalkan pertubuhan UMNO dan menyertai PAS pada tahun 1955 di bawah pimpinan Dr Abbas Alias.

Beliau meninggalkan UMNO setelah melihat dan mengkaji politik tanah air berikutan dengan langkah UMNO bergabung dengan MCA, seterusnya dengan MIC dalam Parti Perikatan. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1952.

Kebangkitan PAS akan teruji lagi dengan kedatangan pilihan raya umum pertama yang diadakan di Malaya. Ujian yang akan menambahkan kematangan dan kemantapan dalam mengharungi perjuangan seterusnya.

PAS di bawah pimpinan Dr Abbas berjalan terus….

Rujukan:

1.Utusan Melayu keluaran 20 Mac 1954

2.Warta Jabatan Agama Islam Johor.

3. Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan (1992), Laporan Tahunan 1991/1992 untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38, Kota Bharu.


Tambahan I: Abbas Alias Dari Wikipedia

Al Marhum Dato' Dr Haji Abbas Alias merupakan Yang Dipertua Agung PAS yang Ke-2 iaitu dari 1953-1956.Beliau mengambil alih kepimpinan PAS selapas Yang Dipertua PAS yang Pertama,Haji Ahamd Fuad Hassan meletakkan jawatan kerana mahu menyertai Parti Negara yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar.

Namaun beliau tidak dapat memimpin PAS dengan berkesan kerana bekerja dengan kerajaan sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur dan pegawai perubatan jemaah haji Malaya.

Blackend Is The End

Dyers Eve