To Live Is to Die

free counters

Khamis, 28 Oktober 2010

SAINGAN YANG MELUMPUHKAN.....sebuah cerpen Dr. Nasir Hashim


‘Assallammu’alaikum, silalah masuk. ’
Nada salam bersama jemputan dihembuskan dalam satu nafas.
‘ Wa’laikumsalam …. tak apalah. Saya jenguk-jenguk aje. ’
Serba salah dibuatnya. Aku melepaskan senyuman plastik. Aku bukan nak masuk. Bukan nak jenguk-jenguk. Aku nak berteduh untuk seketika aje. Tidak lebih dari itu. Lepas itu nak belah.
‘Tak mengapa. Silalah ... mana tahu ada yang suka. ’
Sebenarnya aku baru saja melintasi jalan raya. Singgah ke kedai ini kerana ingin mengelak serangan matahari. Panas terik tanpa kesudahan. Tanpa belas kasihan. Mata ku berair cuba menangkis debu-debu dan silauan matahari. Tidak payahlah bercerita tentang titisan peluh, meletup-letup membasahi bumi dan bagaimana aku berdoa panjang agar ditimpa hujan lebat. Debu-debu pula berputar ligat kerana disambar kereta-kereta yang tak sabar menguji kepantasan kudrat horse-power. Semoga mereka selamat sampai dan tidaklah menjadi tetamu-tetamu istimewa di dalam Wad Kecemasan Hospital nanti. Amin.
Aku pun masuk ke dalam. Bukan kerana jemputannya tetapi kerana inginkan deruan angin air-con yang pasti mendinginkan tubuh ku yang setengah masak ini. Tempat ini memanglah cantik dan molek. Hiasannya juga sungguh menarik, membawa gaya ala moden. Tidak nampak pembantu-pembantu wanita dan lelaki.
Mata ku terdorong kepada satu ukiran besar yang tersergam indah di pertengahan pentas pameran ini. Seekor naga yang garang dengan kedua-dua matanya yang terkeluar, memerhati setiap gerak-langkah ku. Sungguh menggerunkan. Badannya gempal dan kental, membelit-belit sisa tunggul mati. Bebola yang bercahaya terdampar pada lidah mulutnya yang merah. Kulitnya pula berkilat-kilat dan bersisik emas. Sekilas pandang, macam naga raksasa ini sedang menghembuskan api dan asap panas. Aku dalam keadaan terpukau. Terus menuju ke lembaga yang makin membesar itu. Tuan punya kedai setia mengekori jejak langkah ku.
Beliau pasti tahu bahawa anak muda ini tidak mampu membeli aneka perabot dan ukiran yang terpamer indah itu. Mungkin anak muda ini akan membeli barang-barang kecil sebagai hadiah untuk sanak saudara. Lagi pun pelanggan lain tidak ada, maka apa salahnya sekira dia melayan anak muda ini. Mungkin si pekedai sudah bosan. Amat bosan. Mungkin juga dia sudah ngantuk gila. Entah apa yang dia buat semalaman, dia saja yang tahu. Wallahualam.
‘ Ukiran ini cukup luar biasa. ’
Aku melepaskan pujian sambil membelek-belek ukiran kayu yang padat dan licin itu. Jangan tanya aku tentang jenis kaya ini. Aku tahu pasti mahal. Mempunyai keharuman yang menyegarkan. Mudah-mudahan bukan pasal ditabur minyak wangi, setanggi ataupun kemenyan wangi. Aku sudah pun menempah dosa !! Kerana mensyaki perkara yang bukan-bukan.
‘ Datangnya dari Bali. Lambang keberanian, kekuatan dan keselamatan. ’
Dia menawarkan penjelasan. Bangga dengan milikannya itu. Aku tak tanya pun.
‘ Jauhnya dia mengembara sampai ke sini. ’
Aku berseloka bodoh. Mudah-mudahan tidak dianggap sinis. Aku sudah tersengih lebar. Cuba menenteramkan kegelisahan. Takut kena beli sesuatu di dalam kedai ini. Aku adalah seorang mahasiswa yang sentiasa tidak ada duit. Aku sendiri tak faham kenapa aku hadir di dalam kedai ini. Tujuan asal, matlamat suci ku adalah untuk berteduh di anjung kedai. Itu aje.
Namun, aku tetap terpukau dengan ukiran sang naga ini. Aku cuba membayangkan sejarahnya. Ada serumpun akar kayu yang tak berharga dan entah berapa tahun terbongkang begitu saja di pinggiran hutan belantara. Maka diangkut, dibelai dan diukir halus hingga menjadi sesuatu yang sungguh bernilai dan teramat indah. Pengukirnya mestilah seorang yang terbilang dan seorang genius berjiwa seni. Mungkin aku saja yang daif kerana tak pernah melihat ukiran akar kayu sebesar ini. Segagah ini. Setiap cabang dan ranting yang menjalar dari akar kayu ini telah dihidupkan dengan ukiran yang tertib seolah-olah menghembuskan nyawa baru pada ilham si pengukir ini. Aku kagum dengan kemampuan manusia.
‘ Kenapa kena order dari Bali, orang kita tak boleh buat ke ?’
Soalan kebudak-budakan yang aku lemparkan kepadanya. Soalan yang tak perlu dijawab kerana sudah pasti ada jawapannya.
‘ Ukiran kayu dari Bali sudah terkenal di merata-rata dunia. Di sana budak-budak kecil sudah pandai mengukir dahan-dahan kayu dengan ilham tersendiri. Mungkin baka orang Bali sudah begitu. ’
Aku tidak berapa setuju tentang wujudnya baka atau DNA yang khusus untuk mengukir kayu. Yang aku tahu, mereka ini diajar hingga mahir. Aku juga boleh pandai sekira diajar sejak dari kecil lagi.
Aku tetap berterima kasih kerana tuan kedai sanggup melayan aku. Mungkin dia sudah boring. Mungkin peribadinya begitu .... cekap melayan pelanggan. Mungkin juga dia fikir aku ni anak jutawan menyamar sebagai orang biasa. Ha .. ha .. ha !! Mungkin juga dia merasakan kalau berbual dengan aku, otaknya akan segar kembali. Mungkin dia mengantuk kerana lapar. Entahlah.
Pekerja-pekerjanya sibuk di belakang. Berdentang-dentum. Tengah repair, varnish atau bertukang agaknya.
‘ Kalau dah terkenal kenapa tidak dieksport saja ke luar negara seperti Amerika atau Kanada. Tentu dapat untung yang lebih besar lagi .’
‘ Cadangan itu memang bagus, tapi ada masalah sikit .’
‘ Masalah kos transport atau tak ada agen ke ?’
Aku sengaja nak memberitahu bahawasanya aku pun tahu tentang perniagaan. Maklum sajalah, aku tengah mengikuti Kursus Perniagaan.
‘ Tidak tahan ‘
Pendek saja jawapannya. Apa pulak yang tak tahan. Aku cerita tentang pengangkutan dan agen perniagaan, dia pulak kata tak tahan. Tidak tahan saingan ke !!! Dia sedar .... aku sudah keliru.
‘ Kayu ni tak tahan. ’
‘ Mustahil. Ini kan kayu bagus. Kayu A-1. Tak boleh dikunyah anai-anai !!’
Aku menjawab secara spontan. Seolah-olah nak mengajar dia pulak. Kadang-kadang mulut celopar ku ini memakan diri sendiri. Nampaknya aku sudah melanggar batas bualan. Dia relaks aje. Sudah biasa dengan soalan bodoh seperti ini.
‘ Saya setuju, tapi bukan pasal itu. ’
Aku bingung lagi. Dia sambung lagi.
‘ Iklim di Amerika dan Kanada memang lain. Lebih kering dan tak selembap macam Bali dan negara-negara di sini. Bila kering sangat, kayu mudah merekah dan pecah. Cacatlah ukiran dan hilanglah seninya. Siapa nak beli benda yang cacat ?’
Aku terima logiknya. Aku rasa dia ni orang berpelajaran jugak. Aku nak kata, kayu yang merekah dan usang juga ada seninya. Aku berjaya katup mulut celopar ku itu. Tak sangka tahap kekeringan udara boleh mengganggu ketahanan ukiran kayu. Aku ingat kerosakan pada kayu adalah kerana serangan kulat atau serangga. Lagi pun siapa sanggup membeli barang rosak dengan harga yang beribu-ribu ringgit itu. Walau bagaimana pun aku yakin dia lebih tahu. Tak kanlah dia nak jual benda yang tak boleh laku. Pasti dia sudah membuat perhitungan.
Sejak kehadiran ku dalam kedai ini, aku tak nampak orang berpusu-pusu masuk untuk membeli perabotnya. Mungkin juga sangkaan ku tidaklah tepat kerana tempat ini bukanlah pasar borong atau pasar raya. Aku ingin bertanya.
‘ Bagaimana dengan perniagaan di sini. Untungnya .. lumayan ke ?’
Maklum sajalah aku sedang mengikuti program ijazah Ekonomi dan Perdagangan. Aku diajar bahawa keuntungan adalah penggerak utama di dalam dunia perniagaan. Aku saja nak uji ilmu ku. Mana tau ada sesuatu yang dapat aku belajar dari tuan kedai perabot ini. Mudah-mudahan dia tak tersinggung dengan soalan-soalan ku itu.
‘ Bolehlah tahan. Tidaklah kencang. Sepatutnya kencang. Kedudukan kedai ini memang sesuai dan berdekatan dengan kawasan orang-orang yang kaya dan profesional. Mereka ini memang suka barang-barang seni yang berkualiti. ’
‘ Saya pun rasa tempat ini ok. Lagi pun susunan dan persembahan alat-alat dalam kedai sungguh menarik sekali. ’
Dia mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju.
‘ Malangnya ramai tak datang. Kerana ada dua kedai perabot di seberang jalan sana (lalu memuncungkan mulutnya), menawarkan promosi jualan murah. Orang tertarik dengan barang-barang murah. Nampaknya Abang kena bertahan kalau tidak kedai Abang kena bungkus. Kena tutup. ’
‘ Habis kenapa Abang tak buat begitu. ... buat promosi. ’
Aku bersimpati dengannya, tentang keluhannya, dan berharap dia melakukan sesuatu supaya dapat mempertahankan kedudukannya itu.
‘ Abang dah buat promosi dua bulan yang lalu. Kedai baru, kenalah ada promosi untuk mengenalkan barang-barang kedai. Tapi dia orang betul-betul jual murah. ’
‘ Kalau dia orang jual murah lama sangat tentulah rugi. Dia orang boleh bertahan ke ?’
Dalam perkiraan ku, jual murah yang terlalu lama akan menjejaskan keuntungan.
‘ Tujuan mereka ini bukanlah nak jual stok-stok lama dengan harga yang murah. Tetapi nak matikan kedai perabot Abang ni. Nak patahkan saingan. Abang percaya mereka sudah bersubahat menentang Abang. ’
Aku terkejut besar. Kerana persaingan sudah sampai ke tahap mematikan perniagaan orang lain. Aku bersimpati dengan dilema Abang ini. Mungkin juga amalan lingkup-melingkupkan sungguh lumrah di dalam dunia perniagaan.
‘ Kalau Abang tak lawan balik, tentu Abang bermasalah nanti. Kena tutup kedai. Habislah. ’
Aku mengeluh. Dia tersenyum saja. Terlalu relaks. Pada ku, dia sedang menghadapi cabaran tsunami. Aku pulak yang menggelabah. Bukan dia. Macam kedai ini kedai aku pulak. Dia ada strategi ke ?
‘ Satu cara adalah Abang boleh jual barang perabot dengan harga yang lebih murah lagi. Tapi ini merugikan. Kerana Abang pun nak untung. ’
‘ Habis, kalau macam itu matilah Abang. ’
Aku ketandusan ilham. Walaupun baru bersua muka, aku tetap bersimpati dengan Abang ini. Ilmu ku cetek dan pengalaman ku tak membanggakan. Kelentong boleh. Tapi takut salah tempat ... tak kena tempat. Maklumlah tengah berbincang tentang perkara yang serius.
‘ Tidaklah sampai mati (dia tersenyum, menghargai keprihatinan ku itu). Pada dasarnya Abang setuju. Sekiranya inilah satu-satunya kedai Abang, maka sudah pasti orang-orang itu akan menang. Maka itu Abang bertahan aje. ’
Wooeei !! Hati ku berkata-kata. Ini bukan strategi. Bertahan bukan strategi. Menunggu maut namanya. Abang ini terlalu yakin dengan kemampuannya. Adakah dia berserah kepada takdir ?
‘ Abang nak bertahan macam mana. Dengan ape ? ’
‘ Wang abang masih cukup untuk bertahan. Cukup untuk bayar gaji pekerja-pekerja, api dan air. Abang tahu saingan ini akan berlaku. ’
Wah, itu sudah bagus. Aku kira dia mesti ada wang simpanan yang banyak. Tapi kalaulah promosi musuh berpanjangan, maka habislah wang simpanannya. Maka habislah dia. Barulah dia tau. Menghabiskan wang simpanan bukanlah satu strategi.
‘ Yang paling penting kita mencabar mereka. Berapa lama mereka boleh bertahan, menjual barangan dengan harga yang murah semacam itu. ’
Wah, sekarang dia bertindak untuk mencabar pulak. Selalunya orang yang kuat-kuat saja yang berani mencabar musuhnya.
‘ Tapi, nanti Abang juga senasib dengan mereka. Dia mencabar Abang dan Abang pula mencabar mereka. Maka kemungkinan besar kedua-dua lingkup. ‘
‘ Tapi Abang ada business lain. Boleh tampung-menampung kedai perabot Abang ni. ’
Wah, aku tak tahu dia ni ada business lain. Bermakna dia boleh hidup tanpa kedai perabotnya ini. Ini bukan pasal periuk nasi lagi. Ini adalah saingan merebut medan perniagaan !!!
Business apa tu ?’
Aku bertanya. Nak tahu sama ada dia ada kedai perabot lain.
Business kedai pakaian, kedai perabot, pasar raya sederhana dan kilang spare-parts kereta.’
‘ Wah !! Abang ni memang kayalah.’
Aku terkejut dan kagum. Dia tersenyum lebar. Selesa menyaksikan anak muda yang gelojoh seperti aku ini membuat rumusan yang bijak. Dia mempunyai rahsia yang aku tidak tahu dan tidak semestinya aku tahu. Siapalah aku ini ? Dia pandai mengatur langkah.
‘ Memang cukup makan. ’
Dia menyambung lagi. Tersenyum lebar dan mengenyit matanya. Sifat keangkuhan dan keyakinan diri makin terserlah. Aku sudah meluat. Sudah keliru. Selama ini aku bersimpati padanya kerana dia diasak oleh musuh-musuhnya. Tapi dia yang mencabar orang. Pelek sekali.
Bukan cukup makan. Lebih dari itu. Mungkin dia seorang jutawan yang sengaja bersikap low-profile. Dalam senyap-senyap, dia pantas menerkam seperti jengking kala yang menyengat sebelum musuhnya sedar atau dapat bertindak balas.
Barulah aku faham. Abang ini bukanlah MANGSA tetapi PEMANGSA rupanya. Tujuannya adalah untuk memancing kedai-kedai perabot atau perniagaan lain supaya bersaing dengannya. Mereka yang terlalu beremosi dan gelojoh akan terperangkap dan bertindak secara melulu hingga terpaksa tutup kedai dan bungkus tikar bantal. Kedai Abang ini tetap selamat. Mungkin juga dia akan ambil alih kedai-kedai ini, membuka business baru, bersaing dan menyengat jiran-jirannya pulak. Mungkin kedai-kedai ini cuba berkomplot. Namun tidak semestinya mereka berjaya menangkis serangan Abang ini. Teringat pula pada Pasar Raya Mydin yang mematahkan saingannya dan berkembang pesat di Masjid India dan di tempat-tempat lain. Maka putar belit, umpan mengumpan, tikam-menikam dan hapus menghapus menjadi budaya sejati bagi mereka yang menagihkan kejayaan di dalam Dunia Kapitalisme ini.
Walaupun pertemuan kami adalah sedetik cuma, aku tetap terkilan kerana terang-terang aku telah dihanyutkan dalam ombak penipuan. Aku ingat dia dimangsakan, maka aku curahkan segala simpati kepadanya. Aku bersalah kerana meneliti sebelah pihak aje. Sekarang aku sudah berpaling tadah. Tidak lagi bersimpati pada Abang ini. Malahan aku membencinya. Kini aku bersimpati pula pada kedai-kedai perabot kecil tadi. Tapi apa yang aku boleh buat. Aku tidak mempunyai taring yang boleh menggigit pemangsa-pemangsa kecuali mengikuti alunan drama kehidupan yang membongkar episod penindasan untuk tatapan dan keseronokan manusia yang jahil seperti aku ini.
Bila aku fikirkan semula pada apa yang berlaku, taktik yang sama telah pun digunakan oleh kedua-dua kedai kecil tadi, iaitu cuba menjadi pemangsa untuk menjatuhkan kedai Abang ini. Aku sudah serba salah. Ceritanya memanglah lumrah, di mana ikan besar memakan ikan sederhana. Ikan sederhana memakan ikan kecil dan ikan kecil memakan sisa-sisa. Sekarang aku mengalami satu dilema iaitu hendak curahkan simpati kepada siapa ? Kuliah-kuliah lebih memuja kejayaan dan keuntungan. Tidak pula menyebut tentang persaingan yang sentiasa berat sebelah, yang memihak kepada mereka yang berkuasa, berpengaruh dan berharta. Bagaimana pula dengan nasib mereka yang malang. Si mangsa dilanyak habis-habisan. Nampaknya aku kena mempelajari ilmu ekonomi-politik (political economy) supaya dapat mengupas cerita sepenuhnya.
Kini aku cuba bayangkan lagi dalam kepala otak ku, tentang liku-liku yang harus dilalui oleh seorang yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang cukup sederhana. Sering kali, saingan yang menanti akan menjerat dan melumpuhkan perniagaannya serta menghancurkan harapan keluarganya. Dia tidak mempunyai wang tambahan (back-up) seperti orang kaya tadi. Akhirnya dia akan tersingkir dan terpaksa bekerja untuk orang lain. Ada yang tidak putus asa. Gigih mengumpul wang untuk memulakan perniagaan lama atau baru. Bukan semua mampu berbuat demikian dan bukan semua berjaya.
Amalan monopoli seperti ini dapat disaksikan ketika Pasar Raya Supermarket atau Hypermarket bertindak melumpuhkan kedai-kedai runcit sederhana dan kecil di jalanan, mengakibatkan lebih ramai lagi yang hilang pekerjaan lantas terbenam dalam kancah kemiskinan. Maka yang kaya menjadi kaya raya dan yang miskin papa kedana. Begitulah ragam hidup yang berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan.

Ditulis Oleh Dr. Nasir Hashim - ADUN Kota Damansara dan juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia

Isnin, 11 Oktober 2010

KERATAN AKHBAR TAHUN 1947 TENTANG PERJUANGAN KAUM WANITA

ABDULLAH SUDIN TOKOH KEMERDEKAAN YANG TAK DI DENDANG

Penandatanganan persetujuan damai 3 pihak antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya telah membawa perdamaian baru di kawasan sempadan dan Malaysia. Ketika bekas perajurit sedang giat membangun kampung dan mengusahakan ekonomi, kami telah dikejutkan dengan pemergian Abdullah Sudin, anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 pada 7 Mei 1995.

Abdullah Sudin pernah menyertai KMM, API, PKMM, PKM dan MDU. Pada tahun 1940-an, beliau diterima menjadi anggota PKM dan Liga Anti-British di Singapura. Di samping itu beliau juga bekerja dengan akhbar Utusan Melayu dan menyusun tokoh patriot demokrat dalam Utusan Melayu.

Pada tahun 1952, polis British cuba menangkapnya. Akan tetapi beliau dapat meluluskan diri dan berpindah ke Indonesia atas pengaturan organisasi PKM.

Di Indonesia, beliau melakukan kerja parti seperti membangun ekonomi parti bawah tanah, menghubungi Parti Komunis Indonesia, kerja front persatuan di kalangan tokoh-tokoh atasan Kerajaan Indonesia dan lain-lain. Di samping itu, beliau menyusun pemuda pemudi dan pelajar Malaya di Indonesia dengan menubuhkan Persatuan Pemuda Malaya di Indonesia (P2MI).

Pada awal tahun 1965, Abdullah Sudin dilantik menjadi anggota pejabat Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM) untuk Indonesia yang merupakan satu badan separuh diplomatik yang diakui oleh Kerajaan Indonesia.

Abdullah Sudin dan anggota pejabat LPNM yang lain ditangkap oleh Suharto selepas Peristiwa Gerakan 30 September (G30S) 1965. Pada bulan Disember 1966, beliau diusir dari Indonesia. Sejak itu, Abdullah Sudin dan kawan-kawannya yang lain telah meninggalkan Indonesia berhijrah ke China.

Pada tahun 1967, Abdullah Sudin menjadi anggota pejabat LPNM untuk China di Beijing. Pada 15 November 1969 Suara Revolusi Malaya (SRM) didirikan. Abdullah Sudin dilantik menjadi anggota Dewan Pengarang dan bertanggungjawab memimpin bahagian bahasa Melayu.

Setelah radio Suara Revolusi Malaya menamatkan perkhidmatannya, beliau pulang ke kawasan basis sempadan dan bergabung dengan Rejimen Ke-10 pada bulan Oktober 1983. Apabila tiba di Rejimen Ke - 1 0, beliau dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 dan anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya. Sejak itulah beliau menyumbangkan seluruh jiwa raganya dalam perjuangan bersenjata sehinggalah tercapainya persetujuan damai pada tahun 1989.

Selepas perdamaian, beliau dan pimpinan- pimpinan yang lain menumpukan seluruh tenaga dan usaha membangun kampung dan pembangunan ekonomi untuk bekas perajurit sehinggalah pulang ke rahmatullah.

Abdullah Sudin dilahirkan pada 10 Oktober 1925 di Singapura. Ayahnya berasal dari Pattani, Selatan Thailand yang berpindah dan menetap di Singapura. Beliau berkelulusan sekolah Inggeris di Raffles Institution.

Ahad, 10 Oktober 2010

Wawancara majalah Mastika Dengan Shamsiah Fakeh


Sewaktu membelek-belek buku-buku untuk membuat rujukan aku terbaca sebuah wawancara bersama Srikandi Shamsiah Fakeh di dalam buku Memoirnya. Aku merasakan wawancara ini patut di baca oleh semua yang sentiasa menafikan perjuangan ahli-ahli PKM. Walaupun wawancaranya ringkas tetapi apa yang mahu di sampaikan oleh Srikandi Shamsiah cukup jelas. Wawasannya terlalu jauh jika hendak di bandingkan dengan kita yang tidak pernah mengharungi penderitaan dan kesengsaraan seperti mereka ini.

Kini Shamsiah telah pergi buat selama lamanya. Yang tinggal adalah sebuah catatan hidupnya yang telah di bukukan di dalam Memoir Shamsiah Fakeh. Cerita Shamsiah tidak mungkin akan anda baca dari buku sejarah sekolah anak anda. Berlaku adillah kita dengan mendengar hujah dari pihak kedua dan selepas itu barulah kita membuat penilaian.Buat mereka-mereka yang terlalu bencikan dengan komunisme, aku berharap semoga dengan hati terbuka menilai apa yang di katakan oleh srikandi Negara ini.

Mastika : Adakah Shamsiah menyesal masuk hutan, jadi pemimpin komunis dan berperang dengan British?

Shamsiah : Aku tidak pernah menyesal. Aku tidak menyesal masuk hutan dan masuk komunis.

Mastika : Apa pandangan Shamsiah terhadap perjuangan Parti Komunis Malaysia?

Shamsiah : Zaman PKM telah berlalu, tetapi jasad dan semangat perjuangannya menentang Jepun dan British akan kekal selamanya dalam sejarah. Komunis masih belum pupus dari muka bumi. Kamu sekarang boleh dapat lihat komunis di China, Russia, Cuba, Amerika, Jepun dan Australia. UMNO turut mempelawa Parti Komunis China untuk menyertai persidangan agong sebagai tetamu terhormat…. Komunis sekarang adalah apa? Apa rupa komunis pada masa akan datang, generasi muda berpeluang untuk melihatnya…

Mastika : Ada bekas pemimpin PKM mengatakan Shamsiah pengecut, kekok mengunakan senjata api, kerap sesat dan tidak popular di hutan? Apa komen Shamsiah?

Shamsiah: Aku pernah berkali kali sesat di dalam hutan, paling lama ialah 5 hari 5 malam. Setiap kali aku mengalami kelaparan, kegelapan, kotor, sakit dan keseorangan. Aku seorang perempuan dan insan biasa, juga rasa dan tau apa dia ketakutan dan kesukaran. Walaupun pistol ada di tangan aku, tapi tak ada pun sebutir peluru membunuh angota tentera dan polis. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka!

Mastika : Ramai bekas askar yang marah pada Shamsiah.Mereka masih anggap komunis itu penganas! bBunuh keluarga mereka. Apa pandangan Shamsiah?

Shamsiah : Orang Britishlah yang sepatutnya paling benci aku. Sebegitu lama orang British nak tangkap aku tapi tak dapat. Pada abad ke 21 ini, kita patut mengenang kembali sejarah dengan hati terbuka, peperangan adalah perkara hidup mati, kita semua tak suka peperangan. Kamu fikirlah kenapa penjajah boleh menjajah kita selama ratusan tahun? Dan apa pula sebabnya penjajah sanggup lepas tangan dan beredar pulang dari tanah air ini!

Mastika : Adakah Shamsiah merasa diri anda sebagai seorang pejuang kemerdekaan?

Shamsiah : memperjuangkan kemerdekaan adalah satu-satunya perkara yang aku lakukan untuk bangsa dalam hidup ku.

Mastika : Apa pandangan terhadap aishah Ghani? Aisyah pernah berkata Shamsiah terdorong masuk PKM dan tidak mengkaji hal-hal di belakang tabir(AWAS di peralat komunis)

Shamsiah : Aisyah dengan aku bagai adik beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gambira dan bersyukur dengan kejaannya! Cakap Aisyah munkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!

Mastika : Apa pandangan Shamsiah terhadap Abdullah C.D. (Che Dat), ahmad Boestaman, wahi Abdullah, Musa Aman dan Ibrahim chik?

Shamsiah : Kesemua orang ini tokoh pejuang kemerdekaan dan juga rakan seperjuangan aku, kita telah pun berkenalan dalam tahu 1940an. Sekarang setengah dari mereka telah meninggal dan ada pun sudah tua dan uzur, aku pun. Kepada mereka aku sanjungi dan hormati.

Mastika: Apa yang paling di kesali Shamsiah dalam perjuangan?

Shamsiah : Tiada apa yang aku kesalkan. Beribu-ribu pejuang telah terkorban semasa berjuang untuk kemerdekaan. Mereka juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atau kemewahan dari perjuangan mereka.

Mastika : Apa yang paling di banggakan dalam perjuangan?

Shamsiah : Peninjauan terhadap pembangunan di Malaysia harus di lakukan dengan turut meninjau pembangunan di seluruh dunia. Kita tidak boleh membandingtkan keadaan Malaysia dengan 50 tahun yang lepas. Kita bukan sahaja memerlukan ekonomi yang maju, malah kita juga perlu mempertahankan keadilan dan hak asasi manusia, mengurangkan jurang antara kaya dan miskin serta tidak mengkategorikan golongan berdasarkan bangsa dan agama. Itulah kemerdekaan yang kita mahu. Pemerintah yang hanya di kuasai oleh segelintir hartawan, cendiakawan Melayu dan bangsawan bukanlah sesuatu yang kita mahukan.

Mastika : Apa harapan shamsiah sebelum menutup mata?

Shamsiah : Masa depan bangsa dan Negara akan di miliki oleh generasi akan datang. Kamu yang dapat melihat peristiwa yang sebenar dalam sejarah pasti akan dapat menemui arah tuju untuk masa hadapan.

Di peti dari “MEMOIR SHAMSIAH FAKEH” DARI AWAS KE REJEMEN KE :10

Sabtu, 9 Oktober 2010

KISAH IBU SURIANI

Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor...



Kira-kira dalam bulan Mei 1948, penjajah British memperketat perisikannya terhadap kader-kader PKM. Memandangkan situasi itu, kader-kader terbuka telah menyelenggarakan mesyuarat di Singapura. Ketika itu parti ada gerakan terbuka dan gerakan rahsia. Saya sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti adalah kader yang terbuka. Kira-kira lebih kurang 20 orang lebih kader menyertai perbincangan. Dalam perbincangan itu, pihak pimpinan memberitahu supaya membuat persiapan rapi kerana penjajah British mungkin akan mengadakan tekanan ke atas parti dan kekuatan demokratik dan progresif.

Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor bergabung dengan gerup Jawatankuasa Negeri Johor di bawah pimpinan Ah Tien. Saya menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Negeri di Johor Selatan.

Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat. Di bawah keadaan ini, perjuangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan untuk mencapai kemerdekaan. Anggota-anggota organisasi PKM yang telah bersembunyi di desa-desa atau belukar segera membentuk pasukan bersenjata. Gerup kami yang sudah ada persiapan rapi juga masuk ke hutan mendirikan pasukan gerila. Beberapa bulan selepas itu, iaitu dalam tahun 1949, pihak atasan telah memindahkan sebahagian pasukan dari Johor selatan ke utara. Saya ikut serta dalam perjalanan ini memandu 20 orang lebih kawan wanita di pasukan tersebut. Dalam perjalanan, kami menghadapi pengejaran dan penghadangan tentera British. Sebelum itu, ketika berada di Johor, saya pernah beberapa kali diserang hendap tetapi selamat. Kemudiannya, setelah kami tiba di Mentakab, Pahang, kapal terbang British mengebom unit kerja kami seminggu penuh dari pagi sampai petang, tapi kami berundur ke tepi kampung menjalankan kerja menyusun massa.
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah - Setengah Abad Dalam Perjuangan

PERTEMUAN 3 TOKOH PEJUANG YANG MEMILUKAN



Siapa Kamarul Zaman Teh? Baca di sini.. Baca Di Sini

CHEN NAN, MATI PERTAHANKAN TANAHAIR


Nama asal Kawan Chen Nan iaLah Chen Kwang Chang. Pada masa Perang Anti-Jepun beliau bernama Lao Yang; masa perjuangan secara damai selepas tamat Perang Dunia Kedua bernama Ah Mu dan pada masa Perang Anti-British bernama Chen Nan. Kawan-kawan Melayu membahasakan beliau sebagai Kawan Haji Hashim. Nama Haji Hashim diberikan oleh Allahyarham Ahmad Boestamam ketika beliau bermesyuarat bersama kawan-kawan dalam PKMM.

Kawan Chen Nan lahir di Taiping, Perak pada tahun 1921. Masa kecil menerima pelajaran dalam bahasa Cina dan Inggeris. Semasa belajar di Sekolah Menengah Chong Hwa di Kuala Lumpur, beliau sudahpun memperhatikan peristiwa-peristiwa penting dalam negeri, mengambil berat jesejahteraan dan kesengsaraan rakyat, tidak puas hati pada pencerobohan dan pemerintahan imperialis British. Kerana itulah beliau menyertai gerakan pelajar. Dalam gerakan itu, beliau telah bertemu dengan kader Parti Komunis Malaya (PKM), kemudian beliau menjadi anggota PKM, dan menjadi seorang anasir cergas dalam gerakan pelajar.

Semasa fasis Jepun mencerobohi negara kita pada penghujung tahun 1941, kebetulan cuti penggal sekolah, Kawan Chen Nan sedang bercuti di rumahnya di Perak. Beliau berjaya mencari jalan berhubung dengan organisasi parti tempatan dan giat mengambil bahagian dalam perjuangan anti-Jepun di kampung halamannya.

Bahagian barat laut Perak sangat luas kawasannya, tapi parti masih kurang anasir cergas dalam pergerakan massa. Kawan Chen Nan membuat kerja menyusun massa rakyat di samping bertanggungjawab atas kerja perhubungan. Beliau selalu mengayuh basikal membawa sejumlah besar dokuman berulang alik berpuluh-puluh batu jauhnya untuk menyampaikan dokumen-dokumen itu ke berbagai unit. Beliau menjayakan tugas itu dengan cemerlang.

Kerana keperluan perjuangan anti-Jepun, Kawan Chen Nan diangkat sebagai anggota Jawatankuasa Parti Kawasan Barat Laut Perak pada penghujung tahun 1942. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kawasan. Pada tahun 1945 beliau dilantik pula sebagai anggota Jawatankuasa Parti Wilayah (iaitu Jawatankuasa Negeri) Perak.

Semasa Perang Anti-Jepun, beliau dilantik sebagai Wakil Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya untuk berhubung dengan tentera British. Ini merupakan satu tugas yang berat lagi rumit. Di samping membuat perhubungan dengan pegawai penghubung tentera British, beliau juga melancarkan perjuangan yang mustahak dengan mereka. Semua tugas tersebut dilaksanakannya dengan jaya.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Kawan Chen Nan ditukar ke Kuala Lumpur untuk bekerja di organ Jawatankuasa Pusat PKM. Pada masa mulanya beliau dilantik sebagai anggota Jabatan Penerangan Jawatankuasa Pusat Parti, tidak lama kemudian dilantik pula sebagai wakil Jawatankuasa Pusat untuk menghubungi Jabatan Kerja Melayu PKM. Sekalipun kerja amat berat, namun beliau selalu meluangkan masa menulis artikel-artikel pada akhbar parti, memperkenalkan dan memaparkan dasar-dasar parti,menggalakkan rakyat berbagai kaum bersatu padu dan berjuang.

Pada tahun 1948, menjelang imperialis British melancarkan penindasan berdarah secara besar-besaran ke atas rakyat negeri kita, Kawan Chen Nan selain terus memimpin menghubungi Jabatan Kerja Melayu, beliau juga dilantik sebagai anggota Dewan Malaya Tengah Jawatankuasa Pusat merangkap Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Pahang.

Pada awal Jun, beliau telah memimpin satu sekolah politik militer yang diberi nama Kem Se-Malaya yang diadakan di hutan Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. 32 orang kader Melayu dari seluruh Malaya telah menghadiri sekolah tersebut. Kem Se-Malaya telah memainkan peranan penting bagi penubuhan Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya kemudiannya. Di bawah bimbingan Kawan Chen Nan dan usaha bersama kader-kader Melayu dan massa rakyat yang luas, gerakan tani Melayu tempatan terus berkembang.

Apabila penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada Jun 1948, aktivis-aktivis Melayu di Pahang telah berundur ke belukar dan hutan rimba membentuk pasukan gerila untuk menentang penjajah British secara bersenjata. Pada 21 Mei 1949, Jawatankuasa Pusat PKM dan Markas Agung telah mengesahkan berdirinya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Kawan Chen Nan yang mewakili Jawatankuasa Pusat dan Markas Agung dengan khidmat mengumumkan berdirinya Rejimen Ke-10 yang berasaskan pasukan-pasukan bersenjata petani Melayu Pahang.

Pada pertengahan Jun 1949, beberapa pasukan Tentera Pembebasan Nasional di bahagian selatan dan tengah Johor telah dihantar ke Pahang Barat untuk mengadakan pengukuhan dan penyusunan semula bersama dengan satu platun Rejimen Ke-6 di kawasan Kerdau, Pahang Barat, lalu bergabung mendirikan Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6. Kompeni Ke-26 merupakan satu kompeni besar yang terdiri daripada 4 platun yang lengkap dengan komender dan perajurit seramai 150 orang lebih.

Kompeni Ke-26 telah mengadakan perkumpulan dengan suatu platun Rejimen Ke-10 berturut-turut melancarkan pertempuran-pertempuran bertujuan melatih pasukan Melayu yang baru didirikan itu melakukan berbagai bentuk pertempuran.

Pada masa itu, imperialis British mengerahkan beribu-ribu askarnya mengepung pasukan ini. Dalam tempoh kira-kira 3 bulan, pasukan ini telah melancarkan 11 kali pertempuran, membunuh atau mencederakan sejumlah musuh dan menawan 31 laras senjata. Semasa memimpin Kompeni Ke-26 mengadakan pertempuran dari setempat ke setempat, Kawan Chen Nan telah menunjukkan kepandaian dan kecemerlangan dalam memberi arahan dan bertempur dengan gagah berani. Beliau amat dihormati dan dicintai segenap komander dan perajurit dan memberikan kesan yang mendalam kepada kawan-kawan.

Kerana keperluan kerja, Kawan Chen Nan meninggalkan Kompeni Ke-26 pada bulan Januari 1950 dan pulang ke Kerdau untuk berhubung lebih rapat dengan Markas Besar Rejimen Ke-10. Pada masa itu, musuh sedang melancarkan serangan secara bertumpuan di kawasan Kerdau. Pada suatu pagi, Kawan Chen Nan dan pasukan pengawalnya tiba-tiba diserang oleh musuh. Beliau segera mengarahkan pasukan pengawalnya membalas tembakan musuh yang berlipat ganda lebih unnggul itu. Akan tetapi, malangnya Kawan Chen Nan gugur dalam pertempuran tersebut. Masa itu beliau baru berusaha 29 tahun.

Kawan Chen Nan telah telah menyumbangkan seumur hidupnya demi kemerdekaan dan pembebasan nasional tanah air kita. Sumbangan beliau yang besar abadi selamanya dalam catatan sejarah perjuangan bangsa kita melawan penjajahan dan pembebasan rakyat.

---
Dipetik dari bahan-bahan simpanan Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

Khamis, 7 Oktober 2010

CATATAN RASHID MAIDIN

Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja. Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula. Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Mereka berkata kami berjuang, tetapi ‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’



Mengobarkan Semangat Merdeka

Kerja menerbitkan akhbar juga ada pahit manisnya. Dari segi kewangan menerbitkan akhbar, kami terpaksa berjimat cermat. Itu pun mujur jugalah pengarang kami terdiri dari orang-orang progresif yang sama-sama bercita-cita dan bersemangat kemerdekaan. Mereka tidak pentingkan sangat soal ganjaran, tapi bekerja dengan penuh kesedaran untuk perjuangan.

Untuk menjimatkan wang, kami beli kertas besar, jadi terpaksalah potong sendiri. Setelah akhbar dicetak, saya terpaksa pula mengedarnya ke kedai-kedai buku untuk dijual, kemudian memungut hasil penjualannya pula. Dalam perjalanan menguruskan masalah tersebut, kadang kala terpaksa mencari kesatuan-kesatuan buruh untuk bermalam, jadi tak perlu menyewa bilik hotel. Pada masa itu pelbagai kesatuan buruh mengenali kami. Apabila kami tiba, mereka memberi sambutan yang mesra dan juga menyediakan tempat penginapan.

Walaupun kami harus bersusah payah demikian rupa, ternyata akhbar kami telah memainkan peranan penting sebagai lidah rasmi PKMM yang membakar semangat kemerdekaan ke dada pembacanya. Itulah yang menyebabkan kami merasa bangga dan bahagia, dapat memberikan sedikit khidmat bakti kepada usaha kemerdekaan tanah air kita.

Setelah Mokhtaruddin Lasso menghilangkan diri, Abdullah C.D. terlibat langsung berurusan dengan PKMM. Tidak lama kemudian, beliau dipilih pula ke dalam badan pimpinan PKMM. Jadi kerja kami semakin sibuk. Walaupun saya tidak menjadi anggota PKMM secara rasmi, tetapi tentang pelbagai masalah, saya turut diajak berbincang. Kami sama-sama mencurahkan tenaga untuk mengembangkan PKMM, khasnya dalam bentuk propaganda, untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah yang progresif, dan membantu koordinasi antara PKM dengan PKMM. Kerana itu saya rapat dengan pucuk pimpinan PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain.

Satu lagi aktiviti yang kami lakukan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua ialah membantu perjuangan rakyat Indonesia melawan Belanda. Penjajah British dan Belanda bekerjasama menindas perjuangan rakyat Indonesia. Di Malaya juga terdapat tentera Belanda yang digunakan untuk menekan perjuangan rakyat Indonesia. Di kalangan tentera Belanda itu ada pegawainya terdiri daripada orang Indonesia. Kami jalankan propaganda, bangkitkan semangat nasionalisme mereka. Ada di antaranya yang sedar, lalu berubah haluan tak mahu menindas perjuangan rakyatnya lagi. Kami tubuhkan organisasi membantu revolusi Indonesia yang dipengaruhi oleh Hadi Nor. Dengan cara ini kami dapat memenangi simpati rakyat Malaya untuk menyokong perjuangan demokratik rakyat Indonesia.

Sepanjang masa aman iaitu selepas Perang Dunia Kedua, masa, tenaga dan fikiran saya ditumpukan kepada aktiviti perjuangan iaitu membangkitkan kesedaran rakyat untuk kemerdekaan. Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja. Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula. Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Mereka berkata kami berjuang, tetapi ‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’

Keluarga saya menyokong perjuangan yang saya lakukan. Isteri saya Hamidah memberikan peluang sepenuhnya kepada perjuangan. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup, dia tak pernah merungut, sebaliknya menjalankan tugasnya sebagai suri rumah tangga dengan baik. Begitu juga dengan ahli keluarga saya yang lain.

65 askar zionis vs seorang Tentera Rakyat

Tidak lama setelah Henry Gurney mati, Parti Konservatif telah berkuasa semula di Inggeris. Kekalahan Inggeris di Malaya sangat mencemaskan benggolan-benggolan Parti Konservatif. Pada bulan November tahun 1951, Setiausaha Tanah jajahan Oliver Lyttleton diutus untuk bergerak di negeri kita, kemudian Gerald Templer telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi merangkap Pengarah Gerakan yang baru pada bulan Februari tahun 1952. Ketika itu, imperialis British dalam petunjuknya kepada Temper berkata”Malaya harus dijadikan sebuah negara yang mewujudkan pemerintahan sendiri sepenuhnya pada masa yang dianggap sesuai. Kerajaan Inggeris yakin benar negara ini akan tetap tinggal dalam Komanwel dan pemberontakan komunis sedang menghambat kemajuan politik negara ini”. Oleh kerana itu, katanya, “tugas utama Gerald Templer ialah memulihkan undang-undang dan ketertiban Malaya agar dapat menghapuskan halangan di jalan kemajuan”.

Dalam ucapannya setelah ia memegang jawatan itu, Gerald Templer berkata bahawa dia tidak pernah menganjurkan supaya pilihan majlis tempatan ditangguhkan kerana keadaan darurat sebaliknya ia harus dipergiat. Maka itu dari tahun 1952 hingga 1954, di satu pihak Gerald Templer menganiayai massa rakyat kawasan desa dengan tindakan fasis yang lebih biadab dan melancarkan serangan besar-besaran yang berkepanjangan terhadap kekuatan bersenjata rakyat, dan di lain pihak ia melakukan pemilihan majlis tempatan dengan maksud hendak membasmi kekuatan bersenjata rakyat dan memulihkan apa yang disebut “undang-undang dan ketertiban”.

Meskipun dia telah berupaya dengan sekuat tenaga tapi dia tidak dapat menghindarkan kekalahan. The Times pernah melaporkan pada 2 Oktober tahun 1953 bahawa Gerald Templer telah mengerahkan 3 divisi tentera darat di Malaya. Ini tidak termasuk tentera laut, tentera udara, polis dan pasukan kawalan kampung. Surat khabar itu berkata bahawa di sesetengah tempat, setiap dua orang penduduk dijaga oleh seorang anggota tentera dan setiap gerilawan di hutan perlu dijaga oleh 65 orang anggota tentera. Jumlah anggota tentera yang menjaga seorang gerilawan menjadi lebih besar lagi jika ditambah dengan tentera laut dan udara yang membantu tentera darat.

Biarpun mereka telah mengerahkan begitu banyak tentera tapi Gerald Templer sendiri telah mengakui bahawa dia tidak dapat mengubah keadaan perang. Bila berwawancara dengan wartawan New York Herald Tribune pada 13 April 1953. Gerald Templer yang naik pitam berkata “saya akan menembak mati si anak haram yang mengatakan keadaan darurat telah berakhir”. Pada bulan Jun tahun itu, Gerald Templer memberitahu wartawan The Times bahawa dia mungkin dapat memperbaiki situasi pada masa itu sebanyak 15% atau 20% lagi, akan tetapi selama komunis masih wujud sebagai satu kekuatan tersusun, tak ada system keselamatan yang dapat menjamin keamanan dalam negeri. Jadi perang itu akan berlangsung terus.

Ketika Gerald Templer angkat kaki balik ke Inggeris pada tahun 1954, situasinya hampir sama dengan tahun 1953. Pegawai tinggi imperialis British juga terpaksa mengakui bahawa tahun 1954 berada dalam keadaan kesetandingan dan jumlah komunis sama ramainya dengan waktu Templer datang dua tahun yang lalu.

Di bidang ekonomi, imperialis British dan Persekutuan Tanah Melayu juga terjerumus dalam keadaan sulit. Belanja perang Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tetap amat besar, purata 30% daripada jumlah perbelanjaan setiap tahun dan yang tertinggi pernah mencapai 40%.Sungguhpun imperialis British telah memikul semua perbelanjaan untuk tentera British dan askar Gurkha, katanya hanya belanja mengurus satu battalion saja ketika itu ialah sejuta pound setahun, dan sungguhpun imperialis British memikul separuh dari perbelanjaan untuk askar Melayu dan polis tempatan.

Dalam tempoh 6 tahun daripada 10 tahun (1948 hingga 1957), Belanjawan Persekutuan besar pasak dari tiang. Ada orang British menaksirkan bahawa belanja perang imperialis British untuk Malaya adalah kira-kira 100 juta pound sterling setiap tahun. Pegawai imperialis British mengakui bahawa tanpa bantuan imperialis British, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pasti bangkrap. Gerald Templer juga berkata dalam satu ucapanya pada tahun 1953 bahawa tanpa pinjaman dari Singapura dan Brunei dan tanpa wang yang dihadiahkan Kerajaan British pada tahun itu, maka pada akhir tahun 1954 Persekutuan Tanah Melayu sesungguhnya telah membelanjakan ringgit simpanannya yang terakhir yang dikumpulkannya dalam masa lambong yang singat di bidang getah dan timah.

Imperialis British menjadi babak belur dalam perang berjangka lama, pembelanya Victor Purcell dengan terang-terangan mengakui bahawa polis dan kawat berduri tidak dapat menghambat komunisme. Tunku Abdul Rahmah juga menyokongnya dengan berkata ”baik senjata British mahupun taktik diplomatnya, semuanya tidak dapat mengalahkan ataupun menundukkan kaum komunis”. Jadi imperialis British telah memperhebat penipuan bagi mewujudkan pemerintahan sendiri melalui apa yang disebut “satu orang satu undi”.

Untuk melaksanakan penipuan itu, mereka tak dapat tidak melonggarkan sekatan-sekatan terhadap permohonan kewarganegaraan. Bersamaan dengan itu, imperialis British secara rahsia telah mengarahkan golongan Tunku Abdul Rahman dan golongan Onn bin Jaafar supaya memperhebat kegiatan masing-masing bagi memikat hati rakyat.

---
sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian Akhir

SINARIO Pilihan raya kecil Kelantan yang berasingan dari negeri-negeri lain di Malaysia pada 11 Mac 1978, juga memberi kemenangan besar kepada BN. Pilihan raya selepas MAGERAN yang dilahirkan oleh Kerajaan Pusat memberi kemenangan kepada BN sebanyak 34 kerusi, iaitu 22 UMNO, 11 Berjasa dan 1 MCA.

PAS yang tertendang keluar dari BN cuma dapat 2 kerusi ADUN sahaja, iaitu di Sering melalui calonnya Niki Abdullah Arshad, dan di Manik Urai Kelantan, serta 9 kerusi di negeri-negeri lain. Pada 8 Julai 1978 dalam PRU 1978 itu PAS bertanding bersendirian tidak lagi bersama gabungan BN memperolehi 2 dari dari 12 kerusi parlimen di Kelantan dan 3 kerusi parlimen lagi di negeri-negeri lain.

Pada 22 April 1982, telah diadakan PRU DUN dan Dewan Rakyat bagi penggal berikutnya kecuali Sabah dan Sarawak. PAS memenangi 5 kerusi parlimen, iaitu 1 di Kedah dan 4 di Kelantan. Peringkat negeri pula PAS memenangi 18 kerusi, 1 di Perlis, 2 di Kedah, 10 di Kelantan dan 5 di Terengganu. Muktamar PAS ke 28 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan suatu peristiwa penting bagi PAS, iaitu pada 23 Oktober 1982, hari kedua muktamar tersenut, Yang Di Pertua Agung waktu itu Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda telah mengumumkan perlepasan jawatan.

Ianya disambut dengan takbir kegembiraan oleh sebahagian besar perwakilan yang akhirnya menyebabkan ramai ahli-ahli PAS yang dulunya tidak bersetuju dengan kepimpinan Dato’. Mohd Asri kembali semula ke pangkuan PAS, seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah, Amaluddin Darus dan lain-lain. Tindak tanduk Dato’Mohd Asri selanjutnya yang disifarkan sebagai ‘kesalahan yang terlalu berat’ menyebabkan Dato’ Mohd Asri dan beberapa anggota lain digantung keahliannya oleh Jawatankuasa Disiplin PAS pada 30 Januari 1983.

Seteruanya pada 24 Februari 1983, bekas Yang Di Pertua Agung PAS itu mengumumkan dengan rasminya keluar dari PAS. Pada 1 Mei 1983, Muktamr Agung PAS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti dan memilih Tuan Haji Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS Pusat. Maka bermulalah apa yang disebut ‘era kepimpinan ulama’, dengan penambahan ‘Majlis Syura Ulama’ dalam parti. Tetapi bagi penulis (Ibnu Hasyim), lebih tepat disebut ‘era pemulihan kepimpinan ulama’, kerana tidak dapat dinafikan sumbangan dan peranan ulama-ulama PAS yang terdahulu.

Contohnya seperti Tuan Ahmad Tuan Fuad, Dr Burhanuddin, Zulkifli Muhammad, Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, Haji Mansur JP yang berketurunan Cina dan lain-lain, sesuai dengan zaman mereka, sedangkan dasar perjuangan PAS masih tetap Islam. Perjuangan PAS kini hanya menyambung perjuangan PAS yang terdahulu, cuma peranan kepimpinan diperkemaskan, terutama yang melibatkan para ulama dan cara pendekatan ‘ala nasionalisme’nya cuba diukar kepada cara yang lebih sesuai dengan gerakan Islam masa kini.

Beberapa pandangan perlu dilihat untuk menilainya. Ada yang mengatakan dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama, tidak bererti bermulanya era kepimpinan ulama dalam PAS, kerana kebanyakan ahli-ahli majlis tersebut belum mempunyai kepakaran dalam bidang pentadbiran atau non executive ledearship. Ia lebih berperanan sebagai pemerhati dan tempat rujuk, tetapi bukan sebagai majlis yang menerajui PAS secara perlaksanaannya.

Ada juga kalangan yang mensifatkan apabila terjadinya beberapa komflik sekitar tahun 1978 seperti pertembungan fikrah, perebutan kuasa dan lain-lain menyebabkan munculnya pembahagian, pengagihan atau klasifikasi period dalam era kepimpinan dan perjuangan PAS. Sehingga wujud golongan ‘aliran Melayu’ yang membawa ke arah ala nasionalisme dan golongan Islam yang berselogankan kepimpinan ulama. Era ini juga boleh disifarkan sebagai era pemulihan.

Professor Khoo Kay Kim seorang ahli sejarah berpendapat, bahawa slogan dan konsep kepimpinan ulama dalam PAS hanya dibesar-besarkan kepada masyarakat untuk menutup kelemahan dalaman dan memberi nafas baru serta memulihkan PAS yang sedang di ambang kejatuhan. Menurutnya, konsep ini diperkenalkan untuk mengubah topik kejatuhan parti tersebut kepada suatu isu baru yang bersesuaian dengan kebangkitan Islam masa itu.

P.Patto secara individu merasakan pemilihan Tuan Haji Yusuf Rawa hanyalah sebagai ‘penenang suasana’ yang bersifat sementara untuk meredakan krisis dalaman parti. Juga bertujuan bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai, bahawa PAS tidak mempunyai apa-apa masalah walaupun tanpa Datuk Mohd Asri yang dianggap sebagai tulang belakang PAS semenjak ketiadaan Dr Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad. Perlantikan tersebut juga hanya untuk menenangkan perbedaan aliran pemikiran di kalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS yang memandang Tuan Haji Yusuf Rawa bukanlah orang yang berkuasa penuh.

Waktu itu kebangkitan Islam berlaku di Nusantara dan seluruh dunia, khasnya kebangkitan Islam Iran di bawah pimpinan Ayatullah Khomeini, menurut rokoh DAP itu lagi. Di dalam PAS terdapat golongan yang pro Iran hinggakan ingin membawa PAS kepada corak revolusi Iran dan golongan yang memilih pendekatan ‘moderate’ atau sederhana sahaja. Rentetan daripada itulah, maka Haji Yusuf Rawa menjadi orang tengah untuk mengelakkan sebarang perbedaan fahaman dan taktik dalam perjuangan.

Walau bagaimanapun P.Patto tetap bersetuju dengan tindakan PAS era 80an yang mengamalkan dasar keterbukaan secara secara praktikal dengan parti-parti pembangkang, khasnya hingga sekarang ini. Sampai ada yang mengatakan PAS dan DAP saling bantu membantu dalam pilihan raya, walaupun pada hakikatnya secara tidak langsung parti-parti tersebut cuma bersetuju menentang penganiayaan dan beberapa isu tentang hak asasi manusia.

Dr Abdul Halim Haji Mat Diah seorang ahli akademik telah menyetujui dan mengiktiraf konsep Kepimpinan Ulama secara organisasi dan perlaksanaan kerana wujudnya Majlis Syura Ulama. Beliau melihat bahawa majlis itu mempunyai autoriti yang mengatasi Dewan-dewan lain dan berfungsi sebagai tempat rujukan, pentafsiran serta pembuat keputusan terhadap sebarang tindakan parti. Terutamanya yang berkait dengan perkara-perkara dasar agar ia selari dengan tuntutan Islam.

Dewan Ulama PAS sendiri telah menggariskan kriteria-kriteria pemilihan calon-calon yang mewakili PAS dalam pilihan raya sesuai dengan kehendak Al-Quran, As-Sunnah, dan perlembagaan PAS Fasal 40(2) Tugas-tugas am Dewan Ulama. Slogan Kepimpinan Ulama juga adalah hasil dari peranan kerjasama Dewan Ulama dan Dewan Pemuda menyebabkan lahirnya usul Dewan Pemuda dalam ijtimak di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada tahun 1982. Maka akhirnya berlakulah perubahan pimpinan dan pindaan dalam perlembagaan parti.

Beberapa kalangan pimpinan PAS menganggap bukti pemulihan Kepimpinan Ulama dapat dilihat melalui perlaksanaan PAS sejajar dengan kehendak Islam. Terutamanya dalam menyahut seruan persaudaraan Islam, sehingga tertubuhnya Angkatan Perpaduan Ummah terdiri dari gabungan PAS, S46, Berjasa dan Hamim dalam satu wadah Islam. PAS telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengimplimentasikan Islam secara syumul dan menyeluruh. Begitu juga dengan program-program tarbiah, usrah, qiamul-lail, kursus perkaderan, ijtimak, khemah kerja dan lain-lain, terus dipertingkatkan kepada pimpinan, ahli atau luar ahli.

Sehingga tercernalah fikrah Islam dalam pemikiran yang akhirnya dapat dibuktikan melalui akhlak dan perbuatan. Mungkin hasil daripada inilah yang menyebabkan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah berjaya merampas kembali Negeri Serambi Mekah itu pada PRU 21 Oktober 1990.

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 29

BABAK ‘Kerjasama Kongsi Kuasa’ menurut istilah Datuk Mohd Asri ini, adalah suatu perubahan dalam taktik perjuangan PAS di bawah kepimpinan beliau. Pergolakan-pergolakan dengan wujudnya ‘team’ atau puak mulai membesar sekitar pertengahan tahun 70an.

Golongan pertama ialah penyokong Datuk Mohd Asri sendiri dan golongan kedua ialah pengikut setia atau pro Datuk Muhammad Nasir yang menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan waktu itu. Kumpulan Datuk Muhammad Nasir telah mengadakan demonrasi protes pada 24 September
1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. Mereka membantah kumpulan pro Asri yang dikenal dengan ‘Kumpulan 16’ dan akhirnya ‘Kumpulan 20’. Dikatakan lebih 80,000 rakyat Kelantan di seluruh pelusuk tanah air menyertainya.

Lambang Parti Berjasa (Barisan Jamaah Islamiah Se Malaysia) pecahan dari PAS pinpinan MB Kelantan waktu itu, Datuk Muhammad Nasir.

Datuk Muhammad Nasir pula digulingkan dari jawatan MB melalui usul undi tidak percaya. Usul tersebut dibuat oleh 20 orang ADUN Kelantan dari PAS yang diketuai oleh Datuk Haji Ishak Lutfi Omar. Ekoran dari peristiwa tersebut, pada 19 Oktober 1977 satu lagi demontrasi telah diceturkan. Kira-kira 20,000 rakyat Kelantan berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri. Perintah berkurung pun diisytiharkan oleh pihak keselamatan pada jam 3.15 petang dan berterusan selam 24 jam berikutnya.

Pihak Kerajaan Pusat tidak mahu berkerja sama dan membelakangkan pendapat majoriti ADUN Kelantan kerana segala rundingan yang dibuat dengan MB tidak mendapat sokongan majoriti ADUN. Bermulalah ‘Politik Darurat’ untuk merampas Kelantan. Formula mewujudkan Akta Darurat dan kerajaan MAGERAN di Kelantan tanpa rundingan dan rujukan apa-apa dengan PAS

sebagai rakan ‘kongsi kuasa’nya. PAS hanya diberitahu untuk dipersetujui sahaja. Pemimpin PAS dalam kabinet Kerajaan Pusat pula terpaksa letak jawatan masing-masing kecuali Haji Hasan Adli yang membantahnya.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana dikatakan telah melanggar disiplin BN ekoran dari bantahan Datuk Asri terhadap Akta Darurat. Akta tersebut dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Hussein Onn di Dewan Rakyat Kuala Lumpur pada 19 Oktober 1977, yang pada masa itu masih lagi dalam bentuk rang undang-undang Kuasa Darurat Kelantan. Sistem pemerintahan demokrasi digantung dan ditadbir secara’de facto’ oleh Kerajaan Pusat apabila MAGERAN diisytiharkan pada 8 November 1977.

Pada 13 Disember 1977 PAS disingkir dari BN kerana enggan mematuhi whip BN mengenai undang-undang Darurat. Pada 12 Januari 1978, pemerintahan MAGERAN ditarik balik oleh Kerajaan Pusat dan pada 11 Mac 1978 Kerjaan Pusat terus mengisytiharakan PRU peringkat negari sahaja. Ternyata BN menangguk di air keruh dan PAS dikalahkan dengan teruknya oleh BN. Dari 43 kerusi DUN seluruh negara tahun 1974 jatuh tinggal 11 sahaja pada tahun tersebut. Kerusi PRU parlimen perolehan PAS lepas itu juga berkurang dari 14 tahun 1974 kepada 5 sahaja pada tahun 1978.

Oleh itu dikatakan kemasukan PAS dalam BN merupakan faktor kekalahan PAS dalam PRU 1978, menggambarkan kejatuhan kekuasaan dan pengaruh PAS di Malaysia. Ada yang berpendapat kejatuhan PAS adalah kerana pimpinan dan tenaga kerja PAS lebih banyak tertumpu kapada sumbangan dalam jentera kerajaan dari tumpuan untuk menggerakkan parti sendiri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli PAS terabai dan kurang mendapat pengisian sewajarnya dari segi kerohanian dan kesedaran politik. Sehingga tiada beza antara ahli dan bukan ahli hingga boleh mengelirukan dalam menjadikan mereka sebagai regu perjuangan parti tersebut.

Bekas Setiausaha Agung PAS 1978 yang telah melompat kepada UMNO, Ustaz Nakhaie Ahmad mengatakan, kekalahan PAS adalah kerana kurang perhatian pemimpin PAS dalam menggunakan ruang dan peluang semasa berada dalam BN. Beliau mensifatkan penyertaan PAS tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu parti, bahkan masing-masing berebut jawatan dan kepentingan. Penyingkiran PAS dari BN juga mempunyai saham dalam menjatuhkan PAS.

Peristiwa yang memaksa beberapa tokoh PAS tidak aktif lagi kerana larangan ahli-ahli akademik terlibat dalam politik. Mereka adalah seperti Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Dr Harun Din, Uthman Khalid dan lain-lain. Oleh itu kekosongan yang wujud dalam post-post tertentu sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran dan perjalanan parti. Lebih-lebih lagi apabila imej Yang Di Pertua Agung PAS Datuk Mohd Asri telah dianggap kurang baik dan gerhana hasil dari penentangan beliau terhadap perlantikan Datuk Haji Muhammad Nasir.

Walaupun sebenarnya perlantikan Datuk Haji Muhammad Nasir sebagai MB Kelantan tersebut didalangi oleh BN, namun MB itu tetap dianggap jujur dan ikhlas terhadap rakyat. Apabila Datuk Asri menentang Akta Darurat dan terpaksa meletak jawatan, tiba-tiba Hasan Adli enggan letak jawatan, sedangkan beliau juga adalah tokoh berpengaruh yang menjadi Menteri Kerajaan Pusat sesudah Datuk Asri. Keadaan ini juga mendorongkan perbedaan pendapat yang membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan ahli.

Ada juga yang berpendapat bahawa ‘perebutan jawatan & rezeki’ adalah punca perpecahan dan yang menyebabkan kejatuhan PAS. Datuk Asri merasa berautoriti mencadangkan Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai MB Kelantan. Beliau enggan menerima Datuk Muhammad Nasir tajaan BN yang menyebabkan mereka tidak sehaluan dan berlaku perpecahan dalam PAS. Datuk Muhammad Nasir keluar menubuhkan Parti Berjasa. ‘Kelicikan politik BN’ ini menyebabkan Berjasa bertanding atas tiket BN menentang PAS dalam pilihan raya.

Seorang ahli akademik mengatakan, maslah percubaan ini bukan sahaja bermula kerana kemasukan PAS dalam komponen BN, bahkan kerana perpecahan dalaman PAS itu sendiri yang lebih tertumpu kepada perbedaan fikrah. Kemasukan ahli-ahli ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), atau ahli-ahli IRC (Islamic Representative Council) yang berpusat di luar negara telah cuba menerapkan pemikiran mereka terus menambah lagi perbedaan fikrah tersebut. Suasana demikian berlaku sekitar tahun 1977 dan 1978, yang mendorongkan lagi perbedaan tindakan dan taktik dalam perjuangan.

Kesannya menyebabkan ketidaksatuan hati dan tindakan yang mewujudkan puak-puak tertentu dalam PAS. Ini menambahkan lagi suatu punca perpecahan. Selain dari faktor Kerajaan Campuran, Tengku Razaleith Hamzah juga dikatakan berperanan menjatuhkan PAS. Pengaruhnya yang kuat dan bersungguh-sungguh dalam menjadikan UMNO Kelantan sebagai base atau tapak untuk karier politiknya di samping mempunyai beberapa kelebihan dan kemudahan di negeri tersebut.

Menurut Tengku Razaleith waktu itu, sepanjang tempuh menerajui Kelantan sejak 1959, PAS kurang memberi perhatian kepada rakyat, bahkan berselindung dengan Islam dan propaganda politiknya hingga mengkhayalkan ramai orang. Justeru, atas kesedaran bahawa rakyat Kelantan mempunyai mentaliti yang tinggi dan berpotensi untuk maju terutama sebagai anak Kelantan, beliau ingin melihat orang-orang Kelantan menguasai bidang-bidang pekerjaan mengikut merit dan bukan kerana lain-lain sebab. Beliau tidak mahi rakyat Kelantan diperalatkan oleh sesetengah golongan.

Beliau mengatakan PAS memperalatkan Islam kerana sepanjang 19 tahun, tidak ada satupun akta dari undang-undang yang dipinda untuk menghala kepada penghayatan Islam. Timbalan Setiausaha DAP, Encik P.Patto pula menegaskan, punca kejatuhan kerajaan PAS Kelantan ialah kerana permainan politik yang berat sebelah dari pemerintah. Semasa darurat dan MAGERAN rapat umum tidak dibenarkan, tetapi melalui usaha beberapa tokoh politik UMNO telah menghangatkan suasana keruh di Kelantan.

Rapat umum sudah tidak kira permit lagi. Jentera Kerajaan Pusat telah digunakan sebagai jentera parti, membantu demontrasi anti Asri dalam bulan September hingga Oktober 1977, di Kota Bharu. Dikatakan juga ada antara anggota polis memainkan peranan yang sama tanpa memikirkan tugas sebenar mereka sebagai pegawai keamanan rakyat. Pada P.Patto, rakyat tidak menolak kerajaan PAS tetapi kejatuhan PAS disebabkan penyalahunaan kuasa oleh pihak kerajaan.

Beberapa kalangan pimpinan PAS sependapat mengatakan sebab utama kejatuhan PAS Kelantan adalah kerana tindakan tidak demokratik dan sistem politik kuno pemerintah dalam pilihan raya tersebut, yang secara mengejut tanpa memberi ruang waktu serta kebebasan berkempen, iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum MAGERAN diisytiharkan. Sedangkan semua media masa dijadikan alat sebaran BN yang mempengarui kepercayaan dan sokongan pengundi.

PAS tidak mempunyai alat sebaran yang cukup untuk menerangkan kepada rakyat Kelantan tentang peristiwa MAGERAN, politik darurat, isu balak, rasuah, tanah dan krisis Asri-Nasir, sedangkan rakyat disumbat dengan kekeliruan tersebut melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya. Ini bermakna PAS bukan sahaja berlawan dengan parti-parti yang menentang seperti UMNO, Berjasa, Bebas dan lain-lain, tetapi juga berhadapan dengan seluruh jentera parti kerajaan BN atau Kerajaan Malaysia.

MeMAGERANkan Kelantan sebenarnya merupakan satu senjata politik untuk membolehkan UMNO menang di Kelantan. Dalam suasan darurat PAS sudah pasti tidak dapat menangkis tuduhan-tuduhab liar. Dengan itu fitnah-fitnah yang dilempatkan kepada kerajaan PAS menambahkan kekeliruan rakyat, sedangkan PAS tersekat dari membela diri. Datuk Muhammad Nasir sendiri jelas menampakkan kecenderungan dan sikap ke arah BN sejak tahun 1975 lagi. Katanya, beliau ‘bukan MB PAS tetapi MB BN’ se waktu diinterbiau oleh wartawan Bernama pada masa itu.

Dalam ucapan di Pasir Mas pada 13 Mei 1977, Muhammad Nasir mendakwa beliaulah satu-satunya MB Kelantan yang menyelamatkan Kelantan dari kerosakan yang telah ditimbulkan oleh kerajaan lalu, maksudnya kerajaan yang diperintahkan oleh PAS sejak tahun 1959 lagi. Melalui akhbar-akhbar tempatan pula pada 14 September 1977, beliau menuduh usaha untuk menggulingkan beliau didalangi oleh tokoh-tokoh tertentu di Kuala Lumpur untuk menutup apa yang dikatakan sebagai kecurangan berkaitan 3 masalah, iaitu:

1..Masalah Syarikat Timber Mine.

2..Masalah membalak di kawasan sempadan Kelantan-Perak seluas 250,000 ekar tahun 1972, antara Kerajaan Negeri melalui SEDC dengan Syarikat Ong Kian Seng.

Datuk Mohd Asri pula dalam ucapan di Mesyuarat Agung PAS ke 24, beliau menjelaskan, “Perbelanjaan bulanan Pejabat Agung adalah $3,000, sementara perolehan pendapatan melalui pendermaan daripada legislator adalah hanya $1,950 sebulan.”

Ustaz Nakhaie menjelaskan, sepanjang penglibatannya dalam PAS sekitar tahun70an hingga 80an, beliau menyenaraikan empat bentuk kelemahan dalam PAS:

1..Kelemahan pengurusan dan pentadbiran parti, terutamanya dalam pengurusan kewangan dan keahlian yang licin.

2..Budaya ilmu dalam PAS yang belum mantab, di mana perjuagan Islam yang ditegakkan tidak begitu dinilai dari sudut keupayaan memahami Islam, tetapi lebih kepada semangat dan sentiment sahaja.

3..Kemantapan ideologi dan Islam belum mantap pada tahun 1978. Walaupun matlamatnya Islam, tetapi cara untuk mencapainya tidak jelas bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam masyarakat.

4..Kurang pentarbiahan ahli-ahli di mana pengurusan pentarbiahan dan sumber kewangan menghadapi masalah.

Ada juga yang mengatakan punca kekalahan PAS adalah kerana pendekatan yang digunakan bercorak ala nasionalisme yang sudah tidak sesuai lagi dengan suasana perkembangan kebangkitan Islam di dunia. Sudah menjadi lumrah alam, apabila sesuatu itu sering ditekan dan ditindas, maka tandanya akan meledaklah suatu kebangkitan. Begitu juga dengan Islam dan PAS, ia pasti akan bangkit semula!!

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 28



BERBAGAI pendapat telah dikemukakan tentang penyertaan PAS dalam parti pemerintah. Ada yang berpandangan kerana desakan darurat selepas peristiwa 13 Mei dan pemerintahan MAGERAN, di mana ‘musuh’ telah menunjukkan kesediaan untuk berdamai, maka Islam juga bersedia menyambut perdamaian. Ada juga yang mengatakan kerana kemenangan PAS dalam PRU 1969 memperoleh 12 kerusi Parlimen menyebabkan UMNO memujuk menyertai kerajaan campuran.

Tidak kurang juga yang menuduh sikap oporcunis pemimpin-pemimpin PAS pada waktu itu, yang mendapati pengaruh mereka semakin hari semakin terhimpit. Kesanggupan PAS mempertahankan kedudukannya sudah menjadi semakin tipis. Walaupun Kelantan telah berjaya mengembangkan sayapnya di peringkat nasional tetapi PERIKATAN telah menggigit pengaruh PAS negeri itu sedikit demi sedikit.

Sifat takut dan malu kalah telah menjangkiti PAS dan daya juang pimpinannya menjadi kian dipersoalkan. Pimpinan PAS terutamanya di Kelantan pada waktu itu telah agak lama berkuasa dan tidak sanggup untuk memikirkan bagi menghadapi keadaan jika kuasa itu hilang daripada mereka. Ada juga yang beranggapan, kemasukan PAS dalam BN adalah satu penyesuaian antara politik Tun Abdul Razak dengan pemimpin PAS yang perjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Ini juga bermakna PAS diseret masuk dan cuba menyesuaikan diri dengan UMNO sejak tahun1974, di mana pengaruh baru telah menguasai keadaan. Pengaruh yang menyebabkan lahir kegiatan menyingkir satu persatu pemimpin UMNO lama, hingga timbul istilah ‘order baru’ dan ‘order lama’ dalam UMNO. Dengan terbongkarnya rahsia Abdul Samad Ismail (atau tuduhan komunis 3 Abdul iaitu Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid), nyata sekali projek kerajaan campuran tersebut merupakan projek golongan kiri Melayu yang menyerapi UMNO (sebagai teras PERIKATAN) ke arah sistem ‘satu parti’.

Walaupun begitu mereka tidak berjaya mengheret, apa yang disebut ‘golongan kiri Cina’ seperti DAP untuk menyertainya. Wujudnya BN dikatakan juga sebagai satu percubaan untuk mengurangkan percakaran politik, walaupun ianya bukan jawapan kepada problem Malaysia yang rumit itu. Kerana masing-masing masih assobiah dengan kaum masing-masing dan mengamalkan pragmatik sebagai cara penyelesaian.

Tetapi dalam ucapan dasar Datuk Mohd Asri dalam Muktamar PAS ke 22 ‘Sikap Kita Sekarang’ di Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 4 Ogos 1976, beliau menjelaskan 3 faktor menyebabkan PAS memasuki kerjasama politik dan gabungan dengan PERIKATAN atau BN:

Pertama: Faktor politik yang menentukan survival bangsa Melayu dan Bumiputera sesudah insiden 13 Mei 1969, di samping perpaduan yang mesti diwujudkan dari segai keselamatan negara.

Kedua: Faedah langsung yang akan diperolehi oleh PAS setelah ianya mempunyai kedudukan sebagai parti pendokong kerajaan, termasuk penyertaan ahli-ahli PAS menduduki kerusi legislative eksekutif kerajaan, badan-badan berkanun dan sebagainya yang ada hubungan dengan kerajaan.

Ketiga: Menjadi adeal dalam perjuangan PAS ialah penerapan nilai-nilai Islam melalui kerajaan yang didokongi dalam ertikata bahawa kemasukan PAS dalam BN sekali-kali tidak menghalang PAS memperjuangkan cita-cita Islam dalam politik negara.

Faktor-faktor inilah yang menjadi nilai sejauh mana keteguhan PAS memegang prinsip perjuangan dan konsekuensinya sejak dari mula yang telah dilandaskan atas dasar Islam. Oleh itu adalah menjadi suatu pengalaman politik yang penting bagi sebuah jamaah Islam dengan ‘ijtihad politik’nya untuk menyertai kerajaan yang dikuasai oleh nasionalis sekular. Penyertaan jamaah Islam tidak sama dengan individu-individu Islam, walaupun ia berasal dari jamaah Islam.

Di Malaysia, mulanya penyertaan PAS dalam kerajaan campuran PAS-PERIKATAN telah mewujudkan suasana politik baru yang tenang dan tenteram di kalangan orang-orang Melayu. Tidak banyak politiking. UMNO mendapat status quo sebagai parti mengetuai suatu barisan politik nasional yang tidak lagi dicabar. Oleh itu untuk mengukuhkan status quo ini, UMNO mencadangkan penubuhan BN disetujui oleh Datuk Mohd Asri, bagi menggantikan kerajaan campuran PAS-PERIKATAN yang direstui PAS sebelumnya.

Dalam PRU selepas pembentukan BN tahun 1974, parti itu menang dengan mudah. Banyak kawasan menang tanpa bertanding. Yang bertanding pun hanya dari DAP dan Bebas. Kerusi PAS ditambah dari 12 kerusi Parlimen tahun 1969 kepada 14 bagi tahun 1974. Kumpulan Islam di luar kerajaan yang minat berpolitik pada masa itu ialah ABIM yang ditubuhkan pada Ogos 1971. Sikapnya ialah menentang penyertaan PAS dalam BN dan menyokong beberapa calon Bebas di Kelantan bagi melawan calon-calon PAS.

Penyertaan PAS dalam BN juga dikatakan atas isu penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Isu ini juga dikemukakan sebagai asas penyertaan gerakan Ikhwan Muslimin di Sudan dalam kerajaan Jaafar Numeiri. Bahkan inilah juga alas an penyertaan beberapa kumpulan Islam di Pakistan dan lain-lain. Penyertaan PAS dalam kerajaan BN memang mempunyai kesan tertentu. Walaupun tidak dapat dinafikan persaingan UMNO-PAS tetap wujud, berlaku di balik tabir tetapi tidak terdedah.

Menurut seorang ahli Biro Agama UMNO pada masa itu, katanya:

Apa yang saya saksikan ialah wujud suatu percubaan untuk mencadangkan program-program Islam antara PAS dan Biro agama UMNO. Kerana perlumbaan ini saya kira beberapa institusi Islam dapat diwujudkan dengan cepat, seperti Maktab Perguruan Islam, Yayasan Dakwah Islam, perlumbaan menubuhkan Bank Islam yang ditaja oleh PAS dalam BN dan penglibatan Tunku Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung OIC. Sebagai anggota Biro Agama UMNO, saya sendiri hadir dalam pertemuan dengan Dr Ahmad Al-Naggar, dan saya tahu pertemuan pemimpin-pemimpin PAS seperti Abu Bakar Hamzah dengan Dr Taufiq Al-Syawi. Tetapi usaha ini terhenti dengan penyingkiran PAS dari BN dan telah dihidupkan semula menjelang pilihan raya 1082.”

Selain dari itu, beberapa kebajikan jangka panjang boleh diperolehi dalam Kerajaan Campuran tersebut. Penyertaan PAS dapat membuka ruang untuk memperkenal dan menyebarkan pengaruh PAS ke pusat-pusat pengajian tinggi. Faktor ini menyebabkan PAS mendapat sambutan dan memperolehi ahli-ahli yang committed di kalangan mahasiswa-mahasiswa, sesuai dengan cita-cita Datuk Asri yang ingin menarik golongan intelek dan melahirkan kepimpinan intelek.

Demikianlah antara pandangan dan pengalaman penting PAS, sebelum dan semasa dalam Kerajaan Campuran. Tetapi perkahwinan PAS-BN itu tidak kekal lama.. Kenapa?

Tambahan:
Biodata Ringkas Tan Sri Datuk Haji Mohd Asri bin Haji Muda


Tan Sri Datuk Haji Mohd Asri bin Haji Muda (10 Oktober 1923 - 28 Ogos 1992) merupakan bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kehidupan Awal:

Beliau dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang agama, bahasa Melayu dan Inggeris di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu. Beliau juga menerima pendidkan tidak formal di Pondok Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pada tahun 1947, beliau mengajar di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak sebagai guru agama.

Politik:

Beliau mula dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dari tahun 1964 sehingga tahun 1972. Kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah dari 1 Januari 1973 hingga 9 November 1977. Kemudian pada 14 November 1977 PAS telah dipecat sebagai parti komponen Barisan Nasional.

Beliau mula dilantik sebagai Yang Di-Pertua atau Presiden PAS pada 1971 setelah kematian Dr Burhanuddin Helmi dalam tahanan. Mohd Asri adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974. Tetapi dalam tempoh tersebut beliau dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan pada 23 Oktober 1982 atas desakan golongan dalam parti yang menggelar diri mereka "Kebangkitan Ulama".

Pada 23 Februari 1983, beliau meletakkan jawatan sebagai ahli PAS dan menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 24 Mac 1983. Kemudian pada 2 Julai 1983, beliau dilantik sebagai Presiden HAMIM sebelum meletakkan jawatan pada 17 November 1988 dan menyertai UMNO pada 22 November 1988. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1991. Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992 di Pusat Perubatan Tawakal pada 4.20 petang akibat sakit jantung.

Keluarga:

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Sakinah Syeikh Juned pada 15 Ogos 1948 dan mempunyai 9 orang anak; 2 orang lelaki dan 7 orang perempuan iaitu; Noor Dianauli, Husni Zaim, Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliyah, Khalidah, Nasibah, Najah dan Mohd Taqiuddin. Tiada ahli keluarga Tan Sri Asri yang mengikuti jejak langkah beliau di dalam politik.

Blackend Is The End

Dyers Eve