To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 12


Abdul Samad Gul Ahmad (gambar atas & bawah)

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 12


MENURUT Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, “Pernah Dr Burhanuddin menasihatkan saya dan rakan-rakan yang lain seperti Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Abdul Wahab Nor dan Ibrahim Hassan yang telah menjadi ahli PAS supaya tabah hati, sabar dan tegas dalam mengembangkan PAS serta mencapai cita-citanya untuk memperjuangkan negara Islam di tanahair kita sebagai sambungan perjuangan Hizbul Muslimin.”

Persahabatan mereka sangat karib, terutamanya kerana Dr Burhanuddin sering ke Semanggul melihat anaknya yang pada masa itu dalam peliharaan Ibrahim Hassan… Menyebabkan akhirnya beliau setuju sertai PAS, melalui PAS Johor Bahru. Borangnya dikirim dari Gunung Semanggul kira-kira 3 bulan sebelum Muktamar Agung Tahunan PAS ke 5 tahun 1956 di Kuala Lumpur. Dalam muktamar itu beliau dicalonkan oleh PAS cawangan Gunung Semanggul sebagay Yang Dipertua Agung parti tersebut.

Ustaz Zulkifli Muhammad pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua. Tetapi, menurut kenyataan dalam suratnya dari Kolej Islam Malaya, Klang, pada 21 Januari 1957 kepada Pengarang Utusan Melayu dan Warta Negara, ianya berbunyi…

“Berkenaan dengan pencalonan dan pemilihan saya sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Islam Se Malaya baru-baru ini, maka dukacita dimaklumkan bahawa saya tiada dapat menerima jawatan itu kerana kedudukan saya sebagai seorang kakitangan College Islam Malaya. Keputusan saya ini diambil kerana memandang kepada maslahat college dan menurut keputusan-keputusan Majlis College Islam yang tidak membenarkan anggotanya mengambil bahagian yang cergas di dalam politik.”

Walaupun begitu, regu Dr Burhanuddin-Zukifli terus mengambil-alih tugas tersebut dengan mengemaskinikan pentadbiran Pejabat Agung. Langkah pertamanya melantik Encik Abdullah Zawawi Hamzah sebagai Setiausaha Agung. Abdullah Zawawi berasal dari Kuala Kangsar, sekampung dengan Ustaz Zulkifli. Beliau yang berkebolehan bahasa Arab, Inggeris dan agama adalah bekas Setiausaha PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) dari Singapura, juga seorang wartawan.

Beliau ditugaskan untuk menyusun gerakan penerangan dan perhebatkan ke seluruh pelusuk tanah air. Di Kelantan pula selepas tahun 1955, perkembangan PAS membuka lambaran baru dengan kepulangan Mohd Asri. Mohd Asri diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.

Ketokohan Mohd Asri dikatakan boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme hingga berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Kesannya PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung

Saudara Amaluddin Darus dengan regunya Mohd Asri hanya berehat cuma seminggu sahaja selepas kekalahan 1955, mereka terus menggerakkan jentera penerangan, ceramah dan rapat-rapat umum. Di mulai dengan kawasan yang dipertandingkan hingga ke seluruh negeri tiada henti-hentinya. Inilah antara sebab-sebab kemenangan PAS dalam pilihanraya 1959 merebut 28 dari 30 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.

Di akhir tahun 1958, Amaluddin Darus dipanggil ke Kuala Lumpur memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat, bagi menggiatkan penerangan mengelilingi tanah air. Di samping itu beliau menjawat jawatan Penolong Pengarang suara rasmi PAS iaitu Suara Islam. Regu-regu tersebut bercantum di peringkat Pusat. Dalam pilihan raya 1959 tersebut, PAS berjaya menggema suaranya dengan lantang di parlimen Malaya apabila mampu merebut 13 dari 104 kerusi parlimen.

Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah:
1. Masalah rupa bangsa atau nationality bagi Malaya yang masih belum ditetapkan.
2. Islam sebagai agama rasmi yang amat terbatas kuasanya (PAS hendakkan yang lebih menyeluruh).
3. Gagasan Maphilindo (Malaya, Philipina dan Indonesia).
4. Kewujudan Malaysia.
5. Kemasukan Singapura dalam Malaysia.

Semuanya menjadikan PAS sebagai pembangkang yang mendapat perhatian hebat dari rakyat. Antara wakil-wakil PAS ialah:

1. Ustaz Zulkifli Muhammad.
2. Haji Hasan Adli.
3. Haji Ahmad Abdullah Perai.
4. Abdul Samad Gul Ahmad.
5. Haji Othman Abdullah.
6. Datuk Raja Mohd Hanifah.
7. Dan lain-lain.

Ini menyebabkan ramai umat Islam, terutamanya bekas ahli PKMM menyertai PAS, yang akhirnya menyebabkan PAS disabotaj dengan tragedi pembunuhan ke atas Ketua Pemuda PAS waktu itu, iaitu YB Abdul Samad Gol. Ketua Pemuda sebelum itu ialah Abu Bakar Hamzah, Haji Hasan Adli dan Haji Othman Abdullah. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5. Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I di bawah).

Inilah pembunuhan pertama berlaku dalam sejarah perjuangan PAS yang melibatkan Ketua Pemudanya. Menurut cerita-cerita yang saya (penulis buku ini) kutip, Allahyarham dikapak di lehernya dengan kapak siam (kapak kecik) semasa hendak memasuki kereta di depan orang ramai selepas berceramah malam hari. Gambarnya dengan darah membahasahi baju diiringi beberapa pengiring PAS ada dipamerkan di Majlis Sambutan Perayaan 40 tahun PAS, di Muassasah Darul Ulum Kedah, pada 20 September 1991. Tapi saya sendiripun belum melihatnya.

Menurut Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“… yang dipercayai satu pembunuhan politik yang dirancang begitu rapi hingga tidak dapat dikesan pembunuhannya oleh pihak yang berkuasa.”

Apakah ini boleh dikatakan satu perubahan di era kebangkitan PAS peringkat kedua ini? Ataukah ‘pembunuhan’ ini satu evolusi atau revolusi yang mula tercetus dan menyerlah, tetapi cuba disekat dan diempang?? Walau apapun yang terjadi namun regu Burhanuddun-Zukifli sudah mula menampakkan kekuatannya dan mula tercabar.

Seperti kata Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“Jika ini hendak dikatakan suatu perubahan yang dibanggakan oleh PAS dalam dekad-dekad pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, memanglah suatu pencapaian dan kejayaan beliau berserta Timbalannya Ustaz Zulkifli Muhammad, yang masing-masing berkelayakan mewarisi kepimpinan Islam, yang menghargai rakyat biasa, orang-orang kampung dan menghormati orang-orang atasan, yang sentiasa tegas dengan dasar atau konsep perjuangan mereka sebagai pemimpin harakah Islam.”

Blackend Is The End

Dyers Eve