To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 23

Gambar: PERIKATAN cuba serang & rampas Kelantan habis-habisan...

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 23

PADA 21 Mac adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya umum Parlimen yang diadakan pada 25 April 1964. Keputusannya, PAS beroleh 9 kerusi Parlimen iaitu 8 di Kelantan dan 1 di Terengganu. Tidak seperti pilihan raya umum Parlimen 1959 yang beroleh 13 kerusi parlimen, sedangkan dalam pilihan raya umum 1955, PAS cuma dapat 1 kerusi Parlimen sahaja.

Dalam pilihan raya 1964 ini, PAS memperolehi sebanyak 329,000 undi Parlimen atau 14.6% dari 78.9% atau 2,720,000, iaitu dari undi yang sah. Peratus undi Parlimen yang diperolehi oleh PAS itu juga menurun sebanyak 8.4% berbanding 1959. Dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pula, PAS cuma beroleh 21 kerusi DUN Kelantan berbanding dalam pilihan raya 1959 PAS dapat 28 dari 30 di DUN tersebut. Selain dari itu PAS memperolehi 3 di Terengganu dan 1 di Perlis.

Gambar: Datuk Haji Muhammad Asri (kiri) & penggubah lagi PAS Abdullah Bukhari

Menurut setengah pihak, kemerosotan PAS dalam pilihan raya ini adalah disebabkan oleh isu konfrantasi, yang membawa kesan buruk pada PAS. Parti PERIKATAN telah menggunakan isu ini untuk menentang PAS yang tidak menyokong pembentukan Malaysia. PAS dituduh tidak berpatriotik kepada negaranya. Pemimpin PAS telah ditangkap di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) seperti Haji Sulaiman dari Cabang Tiga Berangan, Haji Yaakob dari Kelong dan Haji Idris dari Cabang Empat Tok Mek Ngah.

Kedudukan PAS pula diperburukkan lagi dengan kemasukan beberapa pemimpinnya ke dalam UMNO, samada secara paksaan, ugutan atau takut. Walau bagaimanapun dalam pilihan raya umum 1964 DUN Kelantan masih berada di dalam genggaman PAS. Parti PERIKATAN begitu bernafsu untuk menebus kekalahannya dulu, dengan menurunkan pemimpin utamanya berkempen di Kelantan, seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain. Mereka menaburkan janji-janji manis untuk menarik pengundi.

Akhbar-akhbar tempatan terus memburuk-burukkan kerajaan PAS Kelantan, bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada PAS. Umpamanya, sebelum hari mengundi, akhbar Utusan Melayu memaparkan tajuk-tajuk utama atau muka depan seperti judul, ‘Tun Razak Bongkar Rahsia PAS’, ‘Sudah 1/5 Negeri Kelantan Kepada Cina’, ‘375,000 Ekar Tanah Di Ulu Kelantan Digadai Kepada Cina Selama 33 tahun’, ‘PAS Gadai Melayu’ dan lain-lain. PERIKATAN juga telah menabur 500,000 keping risalah bagi meyakinkan rakyat dan pengundi dengan apa yang didakwakan itu.

PAS diserang dengan tohmah-tohmah dari segenap penjuru dengan seluruh media masa pada waktu itu. Dituduh ‘tidak mampu bawa kebahagiaan kepada rakyat’, ‘menyokong penceroboh Indonesia’, yang sungguh sulit dan sesak tidak sempat menjawab. Dr Burhanuddin sebagai Yang Di Pertua Agung PAS pula yang pernah memenangi Parlimen Besut Terengganu 1959, telah dinafikan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya 1964, atas alasan:

Suruhanjaya pilihan raya telah mengisytiharkan yang beliau tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal di dalam sebuah syarikat perniagaan.” (Sila lihat K.J.Ratnsm and R.S.Milne, The Malayan Parliemantary Election of 1964, Singapore 1967,)

Hal yang membayangkan bahawa ini adalah satu teknik dan tektik politik kerajaan PERIKATAN. Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS Ustaz Zulkifli Muhammad pula cuba mempertahankan kerusinya di Bacok, Kelantan. Menurut Utusan Melayu 7 April 1964:

Kawasan ini ternyata mendapat perhatian khas dari pemerhati politik kerana kawasan inilah bertandingnya tokoh besar PAS Zulkifli Muhammad menentang calon PARIKATAN Hassan Haji Mohammad.”

Keputusan 26 April 1964 memberi kemenangan kepada Ustaz Zulkifli memperolehi 12,659 undi mengalahkan lawannya yang memperolehi 8,278 undi, membuktikan bahawa masih dipercayai rakyat. Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS peringkat nasional 1964-1969, Saudara Amaluddin Darus mengatakan bahawa UMNO merasa terpukul teruk dengan kekalahannya dalam pilihan raya 1959 menyebabkan demokrasi yang mereka laungkan sama sekali tidak mempunyai nilai apa-apa.. kerana mereka lebih mementingkan kekuasaan yang menyelubungi jiwa mereka.

Contohnya, mereka sanggup menghentikan kerja-kerja membina jambatan menyeberangi Sungai Kelantan di Pasir Mas kerana kekalahan mereka dalam pilihan raya tahun 1959. Menurut Abdul Aziz Ishak, mantan Menteri Pertanian zaman Tunku Abdul Rahman yang sebelum akhir hayatnya telah menjadi ahli PAS, pernah bersama-sama Tunku dan Tan Sri T.H.Tan merundingkan tentang kemerdekaan Malaya dengan Field Marshall Phibul Songkram dan Jenderal Pau Sarianon di Bangkok dalam tahun 1955, di dalam bukunya, ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman’ menyebutkan:

Gerak-geri kami di Bangkok, adalah sentiasa di bawah intipan pegawai-pegawai kedutaan Inggeris. Kemana saja kami pergi, ada saja orang yang mengikut kami. Begitu juga di Malaya. Pegawai-pegawai dari Special Branch yang mempunyai perbelanjaan yang tidak ada batasnya bagi mencegah perkembangan fahaman komunis, tetapi sebenarnya pencegahan ke arah kemajuan kemerdekaan negara ini, sentiasa mengintip apa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin besar dan kecil UMNO.”

Saudara Amaluddin Darus meneruskan:

Maka demikianlah dilakukan oleh PERIKATAN, di samping membelanjakan wang yang tidak ada batasnya bagi mencegah komunis, adalah digunakan dengan seluas-luasnya terhadap pejuang Islam dari orang-orang PAS.

Sejak PAS memenangi pilihan raya menurut saluran demokrasi, sejak itu Terengganu dan Kelantan terpaksa menghadapi konfrantasi kerajaan PERIKATAN dari Pusat dan orang-orang UMNO setempat. Menurut akhbar Utusan Melayu 5 November 1960, Tan Sri Syed Jaafar Albar (ayah Syed Hamid Albar) Menteri Muda Penerangan dan Siaran Radio di Dewan Kelab Kuantong Kuala Terengganu, dalam suatu ucapan sewaktu membuka Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO pada 4 November, memerintahkan seluruh pemuda UMNO Kelantan dan Terengganu supaya memberitahu rakyat kedua buah negeri itu, bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan menghantar bantuan walau satu sen pun kepada rancangan luar bandar kedua negeri tersebut.

Ini akan dilakukan jika kerajaan itu tidak sanggup bulat-bulat menerima syarat dan dasar-dasar mengenai luar bandar yang ditetapkan dalam buku merah kerajaan Persekutuan. Beliau menuduh pemimpin-pemimpin PAS sebagai ‘manusia-manusia yang tergamak memperalatkan agama dan sanggup mengorbankan kepentingan rakyat kerana semata-mata hendak berebut kuasa dan kedudukan’. Pemimpin-pemimpin PAS menurutnya, tidak layak memerintah negeri. Selama PAS berkuasa, apakah satu contoh roh Islam dan jiwa Islam yang paling kecil telah dapat dibuktikan kepada umat Islam di kedua negeri itu? Tambah beliau.

Katanya lagi, “Rakyat Kelantan dan Terenggnu hanya mendengar bunyi rahmat pembangunan luar bandar berjalan di negeri-negeri lain, tetapi di negeri-negeri sendiri hanya menunggu-nunggu rahmat dari tempat yang memang tidak ada rahmat di dalamnya.” Bagaimanapun katanya lagi, “rakyat Terengganu dan Kelantan adalah sabar dan lemah lembut. Jika keadaan seperti ini berlaku dalam negeri lain saya percaya rakyat di negeri-negeri itu telah mengangkat tombak, bedil dan bamboo runcing”. Tetapi walau bagaimana sabar pun beliau percaya rakyat Terenggnu tidak akan selama-lamanya mendiamkan diri.

Menurut Amaluddin Darus, serangan ‘Singa UMNO’ itu, ‘bukan sahaja merendahkan dan menghinakan, malah telah sampai ke peringkat menghasut rakyat memberontak dengan cara tidak langsung’. Pemimpin nombor satu UMNO yang juga menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu waktu itu, juga turut menyerang PAS, “Jangan campur undang-undang Tuhan dengan negara” menurut Berita Harian Januari 1961, di samping juga mengingatkan rakyat negeri ini. “Kalau kita menggunakan undang-undang Tuhan dalam negara kita yang baru hendak maju ini, tidak dapat tidak negara kita akan kacau bilau, dan permusuhan antara rakyat negeri ini akan berlaku.’ katanya lagi.

Akhbar-akhbar 7 November 1961 pula memfitnahkan, bahawa kerajaan Kelantan akan menangkap orang-orang yang membuka pengajian ‘kelas dewasa’. Utusan Melayu melaporkan kenyataan dalam satu sidang akhbar oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar iaitu Tuan Haji Khalid bin Awang Osman, katanya “Saya cabar kerajaan Kelantan menutup kelas-kelas itu!”, walaupun ganjil bunyinya bila Menteri Kerajaan Pusat mencabar bahagian dari negaranya sendiri yang tidak berkuasa atas pasukan keselamatan.

Sehingga Datuk Haji Ishak Lotfi, Menteri Besar Kelantan waktu itu terpaksa menjawab, “Sungguh menghairankan.. Saya bukan hairan dengan cabarannya itu, tapi kerana beliau itu berani menyatakan sesuatu yang tidak benar sama sekali. Saya cabar Menteri Muda yang berkenaan supaya membuktikan tuduhan-tuduhannya itu. Kami sedang berusaha untuk memperbaiki perhubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Tetapi setelah kami bersusah payah, datang pula kenyataan yang tidak adil dan tidak berasas dari seorang Menteri PERIKATAN.

Serangan ke atas kerajaan PAS terus berlaku dan isu-isu yang disifatkan boleh menguntungkan pihak PERIKATAN terus dimainkan dan digembar-gemburkan. Contohnya, Utusan Zaman 22 Januari 1961, menyiarkan berita bertajuk ‘Perkara tuduhan ahmak: Senator PAS sifatkan Albar seorang pendakyah palsu.

KUALA TERENGGANU 21 Januari, Tuan Syed Jaafar Albar Menteri Muda Penerangan dan Siaran Radio telah dituduh oleh seorang senator PAS Kelantan sebagai seorang pendakyah palsu. Encik Amaluddin Darus, Senator PAS itu membuat tuduhan ini dalam rapat pemuda-pemuda PAS Terengganu yang diadakan di pejabat perhubungan PAS di sini malam tadi. Tuduhan ini dibuat oleh Senator PAS itu berdasarkan kenyataan Menteri Muda itu dalam akhbar baru-baru ini yang menuduh kerajaan PAS Kelantan sebagai ‘ahmak’ kerana mahu menuntut sagu hati dari kerajaan Persekutuan sebagai ganti rugi pemulauannya kepada cukai pajak gadai.

Beliau juga menafikan berita-berita suara UMNO ‘Malaya Merdeka’ yang menyatakan kerajaan PAS akan memelihara babi. Siaran itu hanya untuk mengelirukan dan memburuk-buruk kerajaan PAS sahaja, katanya. Encik Amaluddin telah menerangkan kedudukan yang sebenarnya tentang hal yang tersebut, yang katanya bahawa pada mulanya Jabatan Haiwan telah mengesyorkan supaya kerajaan mengadakan kawalan yang rapi terhadap usaha-usaha menternak babi di kalangan orang-orang Cina dan Siam dalam negeri Kelantan, untuk mengelakkan pergaduhan yang selalu berlaku antara penternak-penternak itu.

Menurut beliau lagi, syor Jabatan Haiwan itupun tidak dapat dijalankan oleh kerana bidasan-bidasan yang dibuat oleh ahli-ahli PERIKATAN itu. Oleh kerana kebanyakan orang-orang Cina yang memelihara babi itu ahli-ahli PERIKATAN sendiri, kata Senator itu lagi, maka orang-orang PERIKATANlah yang rugi disebabkan oleh telatah orang-orang PERIKATAN sendiri.

Maka melentinglah Menteri Muda Penerangan tersebut yang sedang berada di Melaka dan terus menyerang lagi dengan mengulangi tuduhannya, bahawa pemimpin-peminpin Kelantan ahmak dan menyatakan bahawa ulasan yang dibuat oleh Amaluddin Darus itu semata-mata bohong dan cuba mengabui mata rakyat di negeri itu. Beliau menuduh lagi bahawa PAS adalah parti politik yang menggunakan ayat-ayat Quran dan Islam sebagai alat untuk kepentingan manusia.

Dalam ucapannya yang panjang lebar di mesyuarat agung UMNO cawangan Duyung, beliau mensifatkan dasar atau polisi PERIKATAN adalah polisi yang sesuai sekali dengan keadaan Tanah Melayu waktu itu. Buktinya ialah kerana semua dunia luar memuji pemerintahan PERIKATAN dan menganggap pentadbiran terbaik di Asia Tenggara. Beliau menyeru ahli-ahli UMNO terutama Pergerakan Pemudanya, supaya jangan terpengaruh dengan parti lawan terutamnya PAS ‘yang menggunakan sentiment agama untuk mencari pengaruh di kampung-kampung’.

Sementara Awang Sulung dalam ruangan pojok ‘Ada-ada Sahaja’ Utusan Melayu’ pada 23 Januari terus menggembar-gemburkan lagi, ‘Menteri Muda Albar kata PAS Kelantan ahmak. Senator Amaluddin Darus (PAS) pula berkata Albar pendakwah palsu. Mana satu betul? Si Gabus yang kehilangan Matnya tentu bilang Albar betul. Dan Si Damak bolehjadi kata Senator Amaluddin Darus betul. Awang Sulung fikir, baik kita tanya Dol Keropok atau Wak Tempeh…

Bagi UMNO serangan melalui akhbar sahaja masih belum memadai dan mencukupi untuk melumpuhkan PAS, walaupun mereka telah berjaya mencetuskan konfrantasi politik dan kepungan ekonomi terhadap Terengganu dan Kelantan. Mereka melancarkan gerakan menguasai akhbar yang selama ini menguasai fikiran rakyat Melayu yang mereka anggap ‘masih belum menyebelahi mereka’. Mereka membeli saham-saham akhbar Utusan Melayu dan berjaya memasukkan orang-orang UMNO menguasai akhbar tersebut, sehingga berlaku mogok pekerja-pekerja.

Darinya berlaku pula pertukaran polisi yang pasti menguntungkan UMNO dan PERIKATAN. Lepas itu mereka menguasai akhbar Warta Negara di Pulau Pinang, walaupun pada awalnya mereka rasakan tidak dapat ditunggangi kerana kemasukan Tuan Haji Yusuf Rawa dari PAS ke dalam akhbar tersebut. UMNO juga berusaha dengan berbagai cara dan membelanjakan wangnya untuk menguasai akhbar New Straits Time dan kumpulannya, tetapi tidak berjaya. Beberapa lama kemudian berhasil juga apabila akhbar tersebut dikuasai oleh Abdul Samad Ismail.

Ini adalah kerana syarikat The New Straits Times telah dibeli oleh PERNAS, sebuah badan perdagangan kerajaan dalam tahun1972. Saudara Abdul Samad Ismail pula, akhirnya ditahan di bawah ISA pada tahun 1976, seperti yang disebut-sebutkan ‘penangkapan komunis 3 Abdul’ termasuk 2 Abdul lagi, iaitu Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid. Bertolak dari kenyataan inilah, maka UMNO bernafsu benar hendak menggulingkan kerajaan PAS Kelantan. Peranan ini dimainkan oleh Datuk Wan Abdul Kadir yang sengaja dihantar oleh ibupejabat UMNO dengan tugas-tugas khas.

Menurut Saudara Amaluddin Darus, hasil dari tugas khas Wan Abdul Kadir ini, ialah tersebut berita 4 orang dari ADUN Kelantan menyeberang kepada UMNO. Sebenarnya bukan sekadar 4 orang sahaja malah beberapa lagi telah dihubungi. Sumuanya berlaku seperti ‘Mission Imposible’. Wakil-wakil rakyat di bawa ke Kuala Lumpur, diaturkan persediaan dan disiarkan melalui televisyen. Kemudian dibawa balik ke Kelantan kerana DUN Kelantan akan bersidang, di mana kerajaan PAS akan digulingkan secara sah melalui proses demokrasi. Tetapi apabila dewan bersidang, semuannya menyatakan sikap tetap dengan PAS, kecuali speaker DUN, Abdullah bin Haji Yusuf.

Maka gagallah projek ‘menguasai Kelantan melalui pintu belakang demokrasi’, yang disambut oleh puluhan ribu rakyat dengan takbir 3 kali di dalam sebuah rapat umum di Macang pada malamnya. Peristiwa tersebut dengan fakta-faktanya telah dirakam oleh Saudara Amaluddin Darus dalam buku ‘Demokrasi Tergugat Di Kelantan’ yang dikaji oleh sebauah jawatan kuasa kecil antaranya terdiri dari Datuk Muhammad Asri dan Datu Wan Mustapha, seorang peguam. Tetapi Datuk Muhammad Asri tidak bersetuju untuk diterbitkan ‘kerana beliau takut akan tindakan balas politik’.

Dalam pilihan raya kecil Bacok Utara yang diadakan pada 6 April 1968, saudara Amaluddin Darus telah menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman PM Malaysia merangkap Yang Di Pertua Agung UMNO (sekarang Presiden), antaranya tercatat:

I…Di Kelantan telah berlaku beberapa pilihan raya kecil dalam tahun1967.

Pertama: Di kawasan Pasir Mas Hulu, kerana ‘kematian Allahyarham sahabat permainan golf dengan Tunku, Abdul Samad Gul Ahmad Mianji, yang malang dibunuh oleh orang-orang itu’.

Kedua: Di kawasan Kelantan Hilir akibat kematian Allahyarham Haji Ahmad Abdullah.

Ketiga: Di kawasan Bacok Utara, ‘lebih hebat daripada yang lain-lain’.

II..Kuatnya tekanan dan kezaliman.

Pertama: ‘Alat-alat negara dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Pembangunan Luar Bandar, semuanya berkerja begitu teratur dan kemas untuk parti Tunku. Bahkan sehingga ada orang-orang dari Jabatan Polis bergerak dengan tidak malu-malu lari berkempen mengugut dan menakutkan orang-orang parti patik dan penyokong-penyokong parti patik.’

Kedua: ‘orang-orang perti Tunku juga bertindak memungut kad-kad pengenalan sampai beribu-ribu banyaknya di kawasan Bacok Utara, dengan maksud supaya rakyat tidak dapat mengundi, dan kalahlah parti patik.’

Ketiga: ‘sebahagian daripada kisah-kisah ugutan oleh anggota-anggota polis serta kisah-kisah pungutan kad pengenalan, telahpun orang-orang patik membuat aduan di balai polis, dan sebahagian lagi ada yang telah patik maklumkan sendiri kepada pegawai-pegawai polis di dalam dua tiga kali perjumpaan di antara pihak PAS dan parti Tunku, polis dan Penyelia Pilihan Raya Negeri yang dipengerusikan oleh Pegawai Pengerusi Pilihan Raya (Returning Officer) sendiri.

Keempat: ‘tidak kurang dari seribu pekerja-pekerja parti Tunku bekerja dengan kuat di seluruh kawasan pilihan raya Bacok Utara itu, dan patik percaya orang-orang parti Tunku seperti biasa tidaklah berkerja melainkan dapat upah wang atau mata benda… Jumlahnya tentu banyak sekali. Adapun parti yang miskin lagi dhaif ini bergeraklah sekadar yang terdaya merangkak-rangkak sambil mengharapkan pertolongan Tuhan.’

III.Hasilnya, ‘parti Tunku baru dapat mengurangkan hanya 65 undi sahaja’ daripada pilihan raya tahun1964 dulu.

Blackend Is The End

Dyers Eve