To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 26

ADALAH satu cabaran bagi PAS apabila sebelah sayap perjuangannya sudah tiada, iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad. Ditambah pula dengan terkulainya sayap yang sebelah lagi, iaitu Professor Dr Burhanuddin. Adalah suatu kezaliman menurut pengkaji-pengkaji politik apabila lapan bulan kemudian setelah kepergian Ustaz Zul, tiba-tiba Dr Burhanuddin telah ditahan di bawah ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri yang salahgunakan oleh kerajaan PERIKATAN waktu itu. Penahanan tanpa bicara.

Beliau ditahan pada Januari 1965, kerana dituduh terlibat dalam satu komplot menentang kerajaan Malaysia. Di dalam tahanan beliau jatuh sakit, tetapi tidak pula bertambah baik apabila dibebaskan dengan bersyarat pada Mac 1966. Hanya kira-kira 3 tahun kemudian syarat-syarat tersebut telah ditarik balik iatu pada 22 September 1969. Tetapi pada 25 Oktober 1969, Dr Burhanuddin yang masih lagi menjadi Yang Di Pertua Agung PAS telah meninggal dunia kerana keuzuran.

Merenung sejenak tentang pemikiran politik beliau, dari kegiatan, ucapan dan tulisannya, beliau menggunakan isu kemerdekaan dan kebangsaan, tetapi bukan assobiah Melayu sebagai alat untuk mencapai matlamat perjuangannya. Beliau juga pernah menyertai ‘Kaum Muda dan Islah’ atau reformis dalam menyalakan semangat anti penjajahan dan pro kemerdekaan. Buktinya, beliau pernah menyertai satu majlis forum dengan ‘Kaum Tua’ tentang soal ‘jilatan anjing’ di Kota Bharu Kelantan pada tqhun 1937.

Dalam risalahnya, ‘Perjuagan Kita’, beliau menulis:

Aliran jiwa Kaum Muda menuju kemajuan dan tamadun secara kehendak zaman yang mengandungi apa-apa yang dituntut oleh bangsa dan watan.

Dikatakan juga ada tanda-tanda yang beliau tidak pula menolak pegangan-pegangan dan amalan Islam yang biasa dianggap di luar penerimaan Kaum Muda. Misalnya, dikatakan ‘mengamal ajaran-ajaran tasauf hasil daripada pengaruh bapanya dan pengaruh pendidikannya di India’. Beliau juga pernah dijemput berucap di Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat As-Sufiah Seluruh Malaya pada 20 Oktober 1960, di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Begitu juga di Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Tariqat As-Sufiah yang pertama pada 3 Jun 1962, tetapi pendaftaran persatuan tersebut telah ditarik balik kemudiannya.

Beliau menyeru:

Janganlah lemah ahli-ahli Tariqat Sufiah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasauf yang maghrur, tasauf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.”

Beliau menyarankan:

Dalam meneruskan jihad Tariqat Sufiah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasauf itu mengikut adap dan akhlak ahli-ahli tasauf. Jangan tiru-tiru ahli fiqah. Biarlah ahli fiqah dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasauf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakan yayasan dan perguruan tasauf secara zaman ini, jangan jadi pak turut sahaja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasauf, mestilah betul-betul menjadi al-tabi’in al-‘arifin al-shodiqin.

Sila rujuk risalah ‘Simposium Tasauf Dan Tariqat’ oleh Pro Dr Burhanuddin terbitan Maktabah Haji Abdullah bin Mohd Nordin Ar-Rawi Pulau Pinang, cetakan pertama 1966. Melihat kepada ucapan-ucapan dan tindakannya, jelaslah bahawa beliau sentiasa dan tetap akan menggunakan apa sahaja persatuan dan gerakan sebagai landasan untuk dakwah dan menyampaikan cita-cita politik Islam. Pada 1969 juga, sebelum berpulangnya Dr Burhanuddin ke rahmatullah, telah diadakan PRU pada 10 Mei.

PAS memenangi 12 kerusi Parlimen atau Dewan Rakyat, iaitu 3 di Kedah, 6 di Kelantan, 2 di Terengganu dan 1 di Perak. Manakala di DUN pula, PAS peroleh 40 kerusi. Iaitu, 1 di Perlis, 8 di Kedah, 19 di Kelantan, 11 di Terengganu dan 1 di Perak. Menurut beberapa analisis politik, kepincangan dalam PERIKATAN mulai jelas dalam pilihan raya 1969. Ia mengalami kemerosotan undi Parlimen, iaitu hanya lebih kurang 40% dari jumlah undi orang bukan Melayu. ‘ Angka 13’ menjadi angka sial bagi MCA, yang hanya perolehi 13 dari 33 kerusi yang diperuntukkan.

Seramai 24 dari calon bukan Melayu telah dirampas oleh parti pembangkang. Undi orang Melayu kepada PERIKATAN juga merosot 54% undi Parlimen. Sementara PAS telah berjaya memperolehi kembali sokongan mereka yang hilang semasa pilihan raya 1964. Pulau Pinang telah dikuasai oleh Parti Gerakan, atau Gerakan Rakyat Malaysia. Kelantan masih tetap di tangan PAS. Kegoncangan berlaku kepada PERIKATAN kerana kemenangan calon-calon Parti Gerakan, DAP (Democratic Action Party), dan PPP (People’s Proggressive Party), ertinya PERIKATAN dan MCAnya telah kecundang.

Parti Buruh telah memulaukan pilihan raya dan dikatakan menghasut pilihan raya supaya gagal. Beberapa keadaan telah timbul sejak bulan April membawa kepada Mei, di mana suasana tegang jelas kelihatan di pantai barat Semenanjung Malaysia. Kerajaan nampaknya cukup sedar betapa PKM (Parti Komunis Malaya) yang bergerak cergas bawah tanah mengambil kesempatan melahirkan suasana itu, bermula dari perarakan-perarakan pada 11 dan 12 Mei 1969. Terus berlanjutan kepada apa yang disebut ‘Peristiwa 13 Mei’.

PM Malaysia atau pemimpin PERIKATAN masa itu dalam bukunya ’13 Mei Sesudah dan Sebelumnya’ meletakkan keseluruhan kesalahan berpunca dari tindakan dan ucapan parti-parti pembangkang termasuk PAS. Tulisan itu dijawab oleh Abu Bakar Hamzah dalam bukunya, ‘Ilham 13 Mei – Gayung Bersambut Kata Berjawab, Terkilat Ikan Jala Pun Tiba’ terbitan di Kelantan. Beliau menolak tuduhan melulu tersebut, yang menyebabkan PERIKATAN walaupun menang tetapi terasa kalah. Kalah kerana sukar membentuk kerajaan di Selangor dan Perak.

Kesesakan jalanraya di KL semasa 13 Mei.

Ada juga penulis yang mengatakan:

Peristiwa menunjuk perasaan ketidakpuasan di kalangan orang-orang Melayu. Mereka merasa bahawa mereka telah memberi banyak keistimewaan kepada orang-orang bukan Melayu.” Sila rujuk Harold Crouch, Lee Kam Hing, Michael Ong: ‘Malaysian Politics And The 1978 Election’.

Kerajaan sendiri telah menerbitkan buku, ‘Tragedi 13 Mei’, satu laporan dari Majlis Gerakan Negara bertindak sebagai badan pemerintah, yang menjalankan pemerintahan.

Tetapi menurut Amaluddin Darus:

Pada hemat saya, seluruh keadaan yang terjadi adalah didalangi oleh komunis tanpa disedari oleh sebahagian orang. Tetapi segala peluang yang mendedahkan kesempatan kepada komunis itu sendiri ialah kerana kelemahan-kelemahan dari system pemerintahan dan system social ekonomi yang dijunjung tinggi oleh Parti PERIKATAN dan terus dipertahankan sebagai sebaik-baik system yang ada di dunia ini.

Pemerintahan berparlimen telah kembali dijalankan di Malaysia tahun 1971, dengan mengadakan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Malaysia. Menurut Amaluddin Darus lagi, sebenarnya penyakit yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia adalah lain dari apa yang difikirkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka tidak dapat melihat dan tidak mahu ubatnya. Mereka membalut dengan plaster tempat yang disangka punca penyakit, tetapi membiarkan penyakit sebenarnya hidup subur dan dipelihara.

Penyakit tersebut adalah api perkauman, kemiskinan, rasuah, tidak memberi kesedaran kepada rakyat tetapi menghibur mereka dengan lamunan kata-kata yang enak. Membiarkan rakyat berdendang berdansa ke arah kejatuhan moral, merebaknya putus asa dan kejadian jenayah. Jadi tidak hairanlah jika ada pemimpin UMNO yang mengatakan:

Biarlah secara terus terang saya berkata, generasi yang ada sekarang termasuk saya sendiri dan juga mereka yang berada di university adalah berfikir secara perkauman, masih berfaham perkauman.” Lihat ucapan Tun Dr Ismail dalam Utusan Melayu 17 Julai 1969.

Apabila Malaysia kembali ke demokrasi berparlimen, Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatan Perdana Menteri dan diganti oleh Tun Abdul Razak bin Hussain. Tun Abdul Razak cuba mengekal dan memperluaskan idea permaufakatan sebagaimana yang wujud dalam Parti PERIKATAN dulu, iaitu membentuk formula Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh setiap kaum. Di dalam BN, beberapa parti baru telah dimasukkan dengan tujuan menguatkan kedudukan parti kerajaan menentang parti pembangkang.

Di Semenanjung Malaysia, BN adalah terdiri dari UMNO-MCA-MIC, Gerakan dan PPP. Di Sabah pula, terdiri Sabah United People’s Party atau Berjaya dan USNO atau United Sabah National Organization. Di Sarawak terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBS), Iban Sarawak National Party (SNAP) dan Chinese Sarawak United People’s Party (SUPP). PAS juga turut menganggotai BN, tetapi kemudiannya menarik diri atau pun ditendang keluar.

Tahun 1986, Parti Bersatu Sabah atau PBS telah menyertai BN, tetapi kemudiannya menarik diri menjelang pilihan raya 1990. Objektif utama BN ialah untuk menambah perwakilan dari semua peringkat masyarakat dengan cara membawa masuk parti-parti yang menag ke dalam Kerajaan Pusat. Ini jelas dengan kemasukan Parti Gerakan yang menguasai Negeri Pulau Pinang, PAS yang menguasai Kelantan dan PPP yang menguasai Majlis Perbandaran Ipoh (Ipoh Municipal Cauncil).

Pembentukan BN ini jelas menguntungkan pihak kerajaan yang telah berjaya memukul teruk lawan-lawannya seperti dalam PRU 1974. Dalam PRU tersebut BN dapat 104 dari 114 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.di Semenanjung Malaysia dan 31 dari 40 kerus Parlimen di Sabah Sarawak. Apakah keuntungan ini membawa manfaat kepada agama dan perjuangan Islam?

Blackend Is The End

Dyers Eve