To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 18


Dr Mohd Asri Hj Muda

Prof Zulkifli Muhammad

TELAH diterangkan sebahagian dari aktiviti-aktiviti penerangan PAS dalam menghadapi pilihan raya 1959. Hasilnya PAS berjaya menguasai dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Juga memenangi 13 dari 104 kerusi Parlimen, 9 di Kelantan dan 4 di Terengganu. Antaranya dimenangi oleh tokoh-tokoh PAS seperti Dr Burhanuddin dari Perak di Besut. Khadijah Sidek dari Johor di Dungun. Hasan Adli dari Perak di Kuala Terengganu Utara.

Zulkifli Muhammad dari Perak di Bacok. Othman Abdullah dari Johor di Tanah Merah. Datuk Raja Muhammad Hanifah di Pasir Mas Hilir. Haji Ahmad Perai atau Haji Ahmad Abdullah dari Butterworth di Kuala Kelantan dan lain-lain. PAS telah berjaya meragut 13 kerusi Perlimen, mendapat 21.2% dari keseluruhan 73.3% undi. Kebanyakan dari kemenangannya diperolehi di negeri Kelantan dan Terengganu. Kejayaan PAS dipengaruhi oleh beberapa factor.

Menurut Khaider Khatib tokoh awalan PAS, perjuangan Islam yang dikemukakan oleh PAS adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Kelantan sendiri. Mereka terdiri dari orang-orang Islam, mempunyai tradisi kepercayaan agama yang kuat. Juga disebabkan oleh kebencian penduduk kepada UMNO, akibat dari sikap UMNO tidak menepati janji-janji yang dibuat semasa pilhan raya 1955. Ketidak upayaan UMNO menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk setelah memperolehi kemenangan 1955, juga dikatakan sebagai punca kekalahan UMNO.

Mengulas tentang ramai pemimpin PAS tidak bertanding di negeri masing-masing tetapi sebaliknya bertanding di Kelantan dan Terengganu, Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS ustaz Zulkifli Muhammad yang terus meletakkan jawatannya sebagai Pensyarah Kolej Islam Malaya untuk bertanding dalam pilihan raya parlimen pada 19 Ogos 1959 di Bacok Kelantan meninggalkan tempat tumpah darahnya di Kuala Kangsar Perak, mengatakan:

PAS berjuang kerana bangsa Melayu dan agama Islam, dan tidak berfaham kedaerahan dan kenegerian, maka itulah sebabnya pemimpin PAS berani dan sanggup berdepan dengan rakyat di mana saja.”

Dikatakan juga pertarungan ini merupakan pertarungan sengit, kerana turut terlibat banyak parti-parti politik dan tokoh-tokoh berkelibar. Nampaknya kali ini PAS lebih bersedia dari pilihan raya 1955, jenteranya lebih kemas dan jelas terbukti dengan aktiviti-aktiviti serta manifestonya yang diedarkan kepada pengundi-pengundi. Antara kata pengantar manifesto itu berbunyi:

Persatuan Islam Se Tanah Melayu mengumumkan bahawa ia akan menjalankan pemerintahan berdasarkan Islam dan pemerintahan yang akan dijalankan dengan penuh bijaksana, keadilan dan kemajuan yang akan membawa kepada kemakmuran hidup, keamanan dan perdamaian bagi seluruh rakyat negeri ini.

Radio Malaya pun telah mengadakan satu program khas, di mana setiap parti politik besar yang akan bertanding diberikan peruntukan masa untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan parti masing-masing. PAS melalui Ustaz Zulkifli Muhammad dalam ucapannya di radio, antara lain mengatakan:

Bahawa sekiranya berkuasa kelak, PAS akan mensederhanakan perbelanjaan negara, dan PAS akan mengambil Islam sebagai bentuk masyarakat negeri ini, kerana dalam Islam terdapat jawapan dan huraian kepada masalah yang dihadapi oleh negeri ini.

Seterusnya PAS mengatakan:

Bahawa kelamahan ekonomi rakyat negeri hanya dapat diubah dengan memberikan peraturan ekonomi Islam dan pengundi tidak kira bangsa mestilah memberi sokongan kepada PAS.”

Ada juga penulis-penulis dan pengkaji politk meletakkan ciri-ciri ketokohan kepimpinan sebagai factor yang membawa kemenangan PAS. Menurut golongan itu:

Kemenangan PAS juga dapat diletakkan kepada tokoh penting PAS dan calonnya. Tokoh PAS seperti Dr Burhanuddin, Zulkifli Muhammad, Datuk Mohd Asri dan Othman Abdullah mempunyai identity yang tersendiri dalam pidato dan ketokohan...

Umpamanya di kerusi Parlimen Bacok, calon PAS Ustaz Zulkifle Muhammad mengalahkan calon PERIKATAN Nik Man Ali dengan majority agak besar, iaitu sebanyak 10,119 undi. Ustaz Zulkifli mendapat 13,880, manakala Nik Man Ali 3,761 undi sahaja. Undi rosak sebanyak 231, dan peratus keluar mengundi ialah 70%. Di Perak PAS memenangi satu kerusi tunggal di DUN Gunung Semanggul melalui calunnya Ustaz Baharuddin Abdul Latif.

Tetapi bagi kerusi DUN Terengganu, pemerintahan PAS hanya oleh bertahan selama 2 tahun sahaja, setelah kalah dalam suatu usul undi tidak percaya kepada kerajaan PAS Terengganu. Ini terjadi apabila ada ADUN yang memenangi 13 dari 24 kerusi itu, ‘melompat’ atau disifatkan sebagai ‘dibeli’, atau ‘culik’ oleh UMNO. Ini menjadikan PAS dan UMNO sama kuat untuk memerintah negeri Terengganu. 12 lawan 12 kerusi.

Tetapi malangnya, seorang lagi ADUN PAS yang menjadi undi penentu kepada usul tidak percaya itu, iaitu Ustaz Ahmad Azam, tiba-tiba bertukar menjadi anggota bebas telah menyokong usul tersebut. Dengan menyokong usul itu, Ahmad Azam telah berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Dua tahun adalah masa yang begitu singkat dan memang tidak ada apa yang dilakukan oleh PAS bagi meninggalkan suatu perubahan yang nyata dari segi pentadbiran dan juga dasar negeri di Terengganu.

Perhatian:

Setelah terbit buku ‘1990-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ pada tahun 1993, saya penulis (Ibnu Hasyim semasa menjadi YDP PAS kawasan Balik Pulau, Ketua Lajnah Ekonomi PAS Negeri Pulau Pinang, AJK Lajnah Ekonomi PAS Pusat dan AJK Kelab Professional & Ushawan PAS Pusat) mendapat arahan dari PAS Pulau Pinang (waktu itu Pesuruhjaya PAS Negeri Pulai Pinang adalah Ustaz Hamdan Abdul Rahman) supaya menemui Ustaz Ahmad Azam (waktu itu masih menjadi pimpinan Persatuan Ulama Malaysia) untuk dapatkan maklumat sejarah PAS Pulau Pinang.

Ahmad Azam menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang pertama dan diarahkan oleh PAS Pusat meneroka PAS di Terengganu. Beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS pertama di Terengganu dan berjaya merampas Terengganu dari PERIKATAN dalam PRU ke 2 1959, dengan mendapat 13 dari 24 kerusi DUN. Apabila 1 kerusi dirampas PERIKATAN, maka tinggal 12 lawan 12, sama kuat.

Saya masih ingat kata beliau kepada saya, kira-kira… “Saya tidak menjadi anggota bebas semasa usul undi tidak percaya itu, cuma saya bersikap bebas, tidak mengundi mana-mana pihak.. atas sebab-sebab tertentu….” Sebab-sebab itulah yang sentiasa dibincangkan dengan saya beberapa kali. Saya taarifkan, beliau seolah-olah menyesali apa yang berlaku dan dilakukan terhadap beliau.. Sekian.

Tetapi berlainan dengan PAS di Kelantan, menang dengan majority besar, iaitu 28 dari 30 kerusi yang dipertandingkan. Ini memberi kekuatan kepada PAS untuk bertahan lama, bahkan mungkin mampu mengembangkan pengaruhnya ke negeri-negeri lain. Tetapi menurut tulisan seorang pemimpin UMNO kini:

Keupayaan PAS menguasai suatu wilayah daripada persekutuan yang dikuasai oleh parti lain, iaitu UMNO adalah keupayaan yang boleh dibanggakan. Di negara-negara lain, jarang bagi sesebuah parti yang memerintah suatu wilayah dapat bertahan begitu lama dalam negeri yang diperintah oleh parti lain. Ini adalah kerana kekuasaan kerajaan pusat atau parti pemerintah lebih besar dan lebih berkesan.”

PAS adalah parti Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Asia Tenggara ini. Juga merupakan parti Islam pertama selepas kemenangan Ikhwanul Muslimin di Yaman dalam tahun-tahun 40an, yang mampu membentuk kerajaan di mana wilayah-wilayah lain di dunia pertengahan kurun kedua puluh ini tidak mendapat peluang sepertinya.

Ada juga yang mengatakan bahawa kemenangan PAS dalam masa singkat iaitu beberapa tahun sahaja setelah ditubuhkan, merupakan kemenangan pengaruh pondok dan penampungan semangat orang-orang Melayu yang mulai bimbang akan kedudukan mereka akibat dasar pintu terbuka Inggeris. Perkembangan pesat penduduk-penduduk Tanah Melayu dengan kemasukan Orang Cina dan India juga memarakkan lagi kebimbangan tersebut. Semangat keMelayuan dan rasa bimbang itu masih menebal di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu yang membantu menyebabkan kemenangan PAS.

Menurut Saudara Amaluddin Darus:

Kemenangan PAS di Pantai Timur adalah kemenangan yang menjadi ujian. Kemenangan PAS melalui pilihan raya ala demokrasi di dalam negara demokrasi adalah satu kemenangan yang belum pernah didapati oleh sebarang parti politik Islam di Asia dan Afrika.”

Menurutnya, kemenangan yang dicapai oleh PAS, apabila diketahui oleh pejuang-pejuang Islam di Asia Barat, mereka terperanjat dan ikut bersyukur dengan rahmat Allah kepada Muslimin di negara ini. Mereka terperanjat kerana mereka sedar tidak ada sebuah negara di Asia Barat atau Afrika telah berjaya memberi kemenangan kepada parti politik yang mendukung cita-cita politik Islam. Apalagi untuk menguasai dan memerintah dua negeri dalam sebuah persekutuan.

Sebenarnya bukan itu saja, pengaruh pondok adalah merupakan pengaruh Islam. Pondok-pondok merupakan benteng yang mempertahankan aqidah Islam di Tanah Melayu. Apabila Tok-tok Guru pondok telah memberi sokongan bulat kepada PAS, maka rakyatpun mudah terpengaruh untuk menyontohinya. Seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari Pondok Bunut Payung di Kelantan, kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin dan lain-lain.

Penilaian terhadap kerajaan PAS di Kelantan mestilah dilihat secara objektif dan menyeluruh. Terutamanya dari segi cabaran yang dihadapi dan kesukaran melaksanakan cita-cita politiknya dalam masyarakat yang telah lebih 400 tahun dijajah. Segala institusi dan struktur pentadbiran kerajaan serta system pendidikan, telah dirombak dan dicernakan menurut cernaan penjajah. Bahkan dalam keadaan pendukung-pendukung parti sendiri kurang mempunyai persediaan yang lengkap, kecuali persediaan aqidah dan ideology keIslaman.

Selain dari itu hubungan luar boleh dikatakan tidak ada, dan kemenangan sebuah parti Islam seolah-olah tidak langsung disedari oleh gerakan Islam yang lain di dunia. Ini menyebabkan kemenangan itu kurang dimanfaatkan sepenuhnya oleh gerakan-gerakan Islam lain. Sedangkan tentangan dan cabaran daripada kuasa sekularisme yang menguasai Kerajaan Pusat adalah besar dan kuat. Mehnah-mehnah telah berlaku dalam mempertahankan kerajaan yang telah dicapai itu.

Kemenangan itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam bukan kerana tawassur atau aqidah penyokong yang tidak jelas. Bahkan pendekatan politik mereka sesuai dengan keadaan tempat dan masa tanpa mengorbankan prinsip keIslaman yang mereka dukung. Ini merupakan suatu pendekatan yang maju sehingga berjaya menempatkan PAS di tempat yang penting di dalam pergolakan menentukan haluan negara.

Tulisan-tulisan tokoh-tokoh PAS masa itu membuktikan tawassur dan gambaran mereka tentang Islam adalah sama dengan tawassur atau gambaran harakah Islam kini. Ini adalah kerana mereka mengambil dari sumber yang sama. Juga pendukung-pendukung PAS menerima percikan tarbiah dari gerakan Islam antarabangsa terbesar seperti Ikhwanul Muslimin. Bahkan antara mereka juga mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh Islam awalan.

Ketidak upayaan PAS mengambil peluang kemenangan itu untuk mengisi tuntutan Islam yang syumul dianggap lebih penting dari persoalan berkaitan dengan tawassur dan aqidah. Penghayatan Islam secara syumul dan perlaksanaan tuntutannya dalam masyarakat dan negara tidak memadai dengan adanya tawassur jelas dan syumul sahaja. Ia memerlukan kekuatan maddiyah dan ma’nawiyah, kecekapan dan kepakaran, ilmu dan pengetahuan yang telah wujud sebelumnya, sebagai persiapan sempurna untuk digerakkan, di saat-saat kemenangan dapat dicapai.

Demikian pula persiapan pendukungnya untuk mencapai cabaran dari musuh yang sentiasa berkerja keras untuk memastikan kegagalan parti Islam memenuhi tujuannya. Pengaruh pemikiran barat dan mentaliti colonial masih bertapak dengan kukuh se waktu PAS mengambil alih kekuasaan. Sukar didapati di kalangan pegawai-pegawai kerajaan, yang mempunyai gambaran sempurna tentang Islam dan keupayaan membantu pemimpin-pemimpin politik mengendalikan urusan negara berlandaskan Islam. Sedangkan pemimpin-pemimpin politik pula hanya sekadar mempunyai tawassur tentang Islam.

Apabila melibatkan persoalan teknik yang detail dan terperinci, mereka tidak berupaya menyelesaikannya menurut Islam. Ini menyebabkan penghayatan Islam sebagai satu system tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Kepakaran dari luar negara tidak dapat diperolehi dengan mudah pada masa itu, adalah disebabkan oleh beberapa halangan:

1..Kerana PAS sendiri tidak mempunyai hubungan yang bermakna dengan harakah Islam di luar negara.

2..Kerana harakah Islam luar negara itu juga tidak menyedari bahawa satu jamaah Islam telah berkuasa di sebuah wilayah di Malaysia.

3..Harakah Islam yang terkenal seperti Ikhwanul Muslimin sedang menghadapi mehnah yang sukar diadakan hubungan dengannya.

4..Untuk mendapat kepakaran luar, perlu berurusan dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh golongan secular.

5..Kesedaran untuk mendapatkan tenaga kepakaran itu sendiri tidak mendalam di kalangan pemimpin PAS waktu itu, kerana kepakaran itu sendiri masih diragukan wujudnya.

Kemenangan PAS tersebut adalah merupakan suatu peluang ke emasan yang telah diperuntukkan oleh Allah SWT kepada PAS, supaya dipergunakan base dari Pantai Timur menuju kemenangan yang dijanjikan kepada hambanya yang beriman dan beramal sholeh. Menurut saudara Amaluddin Darus lagi:

Saya telah mengingatkan teman-teman, bahawa sekalipun seribu tahun PAS menguasai Pantai Timur tidak akan membawa kejayaan kepada cita-cita perlaksanaan politik Islam, kecuali PAS menguasai Kuala Lumpur. Yang demikian, base di Pantai Timur adalah merupakan pengkalan bersiap dan bertolak ke arah menguasai Kuala Lumpur yang bermakna menguasai negara Malaysia.

Bagi beliau, kemungkinan PAS menguasai Kerajaan Pusat bukanlah suatu perkara yang mustahil. Cuma untuk mencapainya hendaklah bersabar, meluaskan dakwah dalam dan luar PAS, supaya dasar, program politik, ekonomi serta social yang diperjuangkan oleh PAS dapat difahami oleh rakyat negara ini, secara menyeluruh. Kesempatan boleh datang dan pergi dengan tiba-tiba. Jika digunakan dengan kesedaran dan kesungguhan, tidak syak lagi bahawa manusia di Malaysia dapat menerima PAS dan konsep Islam yang sememangnya diberi oleh Allah sebaik-baik petunjuk dan peraturan hidup.

Oleh kerana masyarakat Melayu terdiri dari berbagai keturunan dan bahasa, maka penyampaian perutusan Islam oleh PAS dalam berbagai bahasa adalah perlu, dan perbuatan-perbuatan contoh iaitu hidup sederhana di antara rakyat yang sebahagian besarnya miskin adalah sebaik-baik teladan dan bukti bicara kepada semua manusia di Malaysia untuk memahami kebaikan Islam dan kejujuran pemimpin-pemimpinnya.” Jelas Amaluddin.

Demikianlah antara penilaian-peilaian terhadap kemenangan, tribulasi dan halangan, serta masalah-masalah yang dihadapi oleh Parti Islam pertama di Asia Tenggara membentuk kerajaan di pertengahan kurun ke 20 ini.

Tambahan:

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu
Dilulus terbit pada Thursday, December 04 @ 20:34:05 MYT oleh TokBatin (Tranungkite Online) Oleh Mohd Fadli Ghani

 PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.

Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna?, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun.

Blackend Is The End

Dyers Eve