To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 15

Persiapan Kepimpinan: Ahmad Badawi Ketua Pemuda PAS Pertama?




(Kartun ini diambil dari akhbar 'Majlis' 27 Okt 1947, seminggu selepas mogok Hartal Se-Malaya. Meriam buluh yang diletupkan berlabel 'Hartal'. diiringi serangkap pantun sindiran berbunyi:
'Di sana sini berdempang dempung,
Putera dan rakannya membedilkan betung,
Tegak serentak bersama Ah Chong,
Tetapi hartal tak bererti langsung.'

Itulah antara isu-isu popular sebelum merdeka.)



DEWAN Pemuda PAS telah ditubuhkan dalam Muktamar PAS Ke 2, yang diadakan di Madrasatul Ulum, Bagan Datuk, Hilir Perak, pada 26 Ogos 1953. Saudara Uthman Abdullah dilantik sebagai Ketua Pemuda yang pertama. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5.


Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I dalam Fokus Sejarah PAS Siri 12). Dalam mesyuarat itu (Muktamar PAS Ke 2) juga dibuat satu keputusan, iaitu sesuatu persoalan mengenai kepentingan nasional tidak boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Agung PAS, tetapi hendaklah dibawa kepada suatu Mesyuarat Agung Khas untuk diputuskan.


Hal ini berkait dengan persoalan National Convention dan National Conference yang akhirnya menyebabkan Tuan Haji Ahmad Fuad keluar meninggalkan PAS. Suatu proses penapisan kepimpinan dan tarbiah daripada Allah SWT untuk melicinkan perjalanan gerakan Islam tersebut. Selepas Saudara Uthman Abdullah, jawatan Ketua Pemuda dipegang pula oleh Haji Hasan Adli.


Tetapi suatu peristiwa menarik telah berlaku dalam Muktamar Agung PAS Ke 6 yang diadakan pada 25 Disember 1958. Peristiwa di mana jawatan Ketua Pemudanya telah bertukar dari Haji Hasan Adli kepada Saudara Abu Bakar Hamzah. Pertukaran ini berlaku disebabkan tindakan tegas AJK Agung PAS yang mahu semua Dewan-dewan bermesyuarat termasuk Dewan Pemuda, sebelum mesyuarat Agung PAS Pusat seperti yang tercatat dalam undang-undang tubuh PAS.


Tetapi Dewan Pemuda telah membuat penangguhan. AJK Agung PAS telah memerintahkan supaya mesyuarat Dewan Pemuda diadakan serentak dengan Dewan Ulama dan Dewan Muslimat. Reaksinya, Haji Hasan Adli telah memulau dan kemudiannya bertindakbalas menyerang AJK Agung dalam Mesyuarat Agung PAS. Gelombang ‘ribut sementara’ yang bagaikan gelombang kopi dalam cawan itu menyebabkan Haji Hasan Adli diberi gelaran ‘Panglima Jihad’ PAS.


Maka tenteram kembalilah seluruhnya. Akhirnya, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Walaupun ‘ribut’, tapi ianya berlaku dalam suasana persaudaraan dan ukhuwah Islamiah, suatu penyelesaian yang amat bijaksana. Saudara Abu Bakar Hamzah yang dipilih sebagai Ketua Pemuda Ke 3 dalam PAS, kemudiannya telah berangkat ke Kaherah, Mesir, menghadiri persidangan Pemuda Afro-Asia.


Dewan Muslimat PAS telah bersedia menurut peraturan tersebut. Mesyuarat Dewan Muslimat telah berjalan dengan lancar, dan bersetuju melantik Puan Khadijah Sidek dari Johor yang baru menyertai PAS sebagai Ketua Dewan Muslimat. (Keterangan ini agak bertentangan dengan keterangan ‘Mutiarabp’ dalam laman web Dewan Muslimat PAS Pusat keluaran Monday, 17 Disember 2007. Sila Lihat Tambahan 1 di bawah..).


Banyak kisah-kisah menarik tentang Puan Khadijah Sidek ini. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Johor ke 3 dari tahun 1966 hingga 1969 menggantikan Haji Husin Besar (dari tahun 1964 hingga 1966). Setiausaha Perhubungan Negeri semasa pentadbiran beliau ialah Saudara Hasyim Asrakal dan Haji Muhamad Mansur @ Mansur Abdullah. Mungkin beliau adalah Pesuruhjaya PAS Negeri yang pertama sejak penubuhan PAS di Tanah Melayu, terdiri dari seorang muslimat.


Beliau berasal dari Indonesia, merupakan pejuang yang gigih. Walaupun beliau seorang perempuan, namun kelantangan bersuara dan bergerak menyebabkan beliau ditahan oleh kerajaan Singapura semasa sedang mengandung hingga melahirkan anak pertamanya di dalam penjara. Hajjah Khadijah telah menyertai PAS pada tahun 1958 setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956.


Dalam pilihan raya umum 1959, beliau mengalahkan calon UMNO-Perikatan di kawasan parlimen Dungun, Terengganu menjadikan wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum 1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail Datuk Abdul Rahman tetapi tewas. Menjelang pilihan raya umum 1969, beliau bertindak keluar dari PAS.


Dalam pilihan raya 1969 tersebut, beliau bertanding melawan Datuk Haji Mohd Asri Yang Dipertua Agung PAS di Kelantan, tetapi kalah hilang wang pertaruhan. Tiada kesudahan, akhirnya beliau kembali ke pangkuan UMNO, memegang jawatan Pegawai Wanita Felda dan cergas dalam PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) hingga tahun 1974. Beliau diserang penyakit lumpuh hingga ke akhir hayat di Kuala Lumpur.


Mesyuarat Agung PAS yang ke 7 pula mengambil keputusan meminda nama PAS dari Persatuan Islam Se Malaya atau PMIP (Pan-Malayan Islamic Party) kepada Persatuan Islam Se Tanah Melayu. Hanya ‘Se Malaya’ ditukar kepada ‘Se Tanah Melayu’, namun nama ringkasnya tetap PAS juga. Mesyuarat Agung PAS ke 7 ini juga telah memilih barisan kepimpinan yang bersiap sedia menghadapi pilihan raya kebangsaan 1959.


Regu 2 Professor atau 2 doktor itu, iaitu Burhanuddin-Zulkifli telah dipilih terus memegang pimpinan. Haji Hasan Adli, Panglima Jihad PAS itu juga dipilih Naib Yang Dipertua Agung PAS. Pegawai-pegawai pejabat agung pun disusun oleh AJK Agung menjadi satu barisan penggempur dan penggerak untuk menghadapi pilihan raya negeri-negeri dan Persekutuan. Saudara Amaluddin Darus dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat.


Pesuruhjaya negeri-negeri pun dilantik.

1. Perlis - Haji Ahmad Long
Kedah – Syeikh Othman Al-Yunusi.
Pulau Pinang – Ustaz Abdul Wahab Nor sebagai Pemangku Pesuruhjaya, dan
Perak – Ustaz Abdul Wahab Nor (Pesuruhjaya)
Selangor – Hamidon Husain.
Negeri Sembilan – Muhammad Haji Yaakub.
Melaka – Haji Abdul Karim.
Pahang – Tengku Abdul Hamid.
Terengganu – Ustaz Ahmad Azam (Menjadi Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang tetapi diarahkan meneroka ke Terengganu).
Kelantan – Haji Mohd Asri Haji Muda.
Selangor – Haji Ariffin Alias, Pesuruhjaya pertama sejak 1954 hingga 1963.
Singapura – Saudara Abdullah Zawawi Hamzah. Walaupun Singapura waktu itu masih di bawah jajahan Inggeris, belum merdeka lagi.


Inilah barisan kepimpinan yang terpilih untuk mengharungi Pilihan Raya Umum 1959. Inilah juga ujian bagi membuktikan bahawa fajar kebangkitan PAS terus menyinsing menyinari alam maya Tanah Melayu ini.


Tambahan I:


Sejarah Dewan Muslimat PAS

Written by Mutiarabp Monday, 17 December 2007


1.0 Sejarah Penubuhan

Penubuhan Dewan Muslimat PAS dicadangkan oleh Ustaz Zabidi Hj Ali yang ketika itu merupakan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, berasal dari Seberang Perai. Cadangan penubuhan dibuat dalam Mesyuarat Agung PAS dan dipersetujui pada 3 April 1952.

Walau bagaimanapun, Dewan Muslimat ditubuhkan secara rasmi pada 3 Januari 1953 serentak dengan penubuhan Dewan Ulama', Dewan Pemuda dan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas Seberang Perai. Ketika itu, Dewan Muslimat diterajui oleh Puan Sharifah Rahmah dan ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Dewan Muslimat seramai tujuh orang. Bagi membolehkan Dewan Muslimat bergiat secara sah dan teratur, satu peruntukan di bawah "Aturan dan Peraturan Kecil Dewan Muslimat PAS" dirangka dan disahkan oleh Jawatankuasa Agung PAS.


2.0 Visi

"Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat"


3.0 Misi

i. Membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar; dan

ii. Melahirkan Muslimat Mujahidah Berilmu, Beriman, Beramal, Bertaqwa berperanan sebagai Da'ei kepada masyarakat.


4.0 Objektif Penubuhan Dewan Muslimat

Beradasarkan cadangan asal penubuhan Dewan Muslimat yang dibuat oleh Ustaz Zabidi Hj Ali, penubuhan ini adalah untuk:

" Mengelola dan memimpin ahli-ahli wanita supaya dapat mengambil bahagian tertentu bersama ahli lelaki PAS bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan Islam SeMalaya (PAS) dan berusaha meninggikan taraf kehormatan serta memelihara maruah kaum wanita. Di samping, berikhtiar menjayakan rancangan-rancangan kebajikan, pelajaran, didikan, kebersihan, kesihatan dan iktisad."

Naskhah asal Peraturan Dewan Muslimat yang telah disahkan oleh Setiausaha Agung PAS pada tahun 1966 bersamaan 1386 H menggariskan bahawa tujuan penubuhan Dewan Muslimat adalah:

i. Menyatupadukan wanita-wanita Islam ke arah pembentukan perjuangan yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya;

ii. Menanam dan menghidupkan jiwa dan semangat keIslaman sebenar agar segenap ajaran dan petunjuk Islam menjadi amalan dalam penghidupan wanita seharian;

iii. Berusaha memperbaiki nasib dan darjat penghidupan wanita-wanita Islam; dan

iv. Bekerjasama dengan ahli-ahli PAS lain untuk melaksanakan segala cita-cita dan tujuan PAS.


Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1973 menyaksikan bagaimana segala urusan Dewan Muslimat telah disatukan dalam Perlembagaan PAS. Justeru itu juga maka objektif kewujudan Dewan Muslimat turut dipinda menjadi tugas-tugas am yang disebutkan dalam Fasal 28 ceraian 3, pecahan ke (7). Fasal tersebut menyatakan bahawa tujuan Dewan Muslimat ialah:

"Untuk menyatukan tenaga Muslimat-Muslimat dalam negara ini bagi meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan Muslimat sambil membentuk keperibadian mereka supaya menjadi Muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta meyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."


5.0 Struktur Organisasi (1953-2005)

Semenjak Dewan Muslimat PAS ditubuhkan pada tahun 1953, seramai 10 orang Muslimat telah dipilih untuk mengetuai saf kepimpinan Dewan tersebut. Mereka ialah:

Tahun

Nama

Negeri Asal

1953

Puan Sharifah Rahmah

?

1956-1960

Ustazah Siti Zubaidah Hj. Ali

Seberang Prai

1958

Ustazah Zaharah Othman

Selangor

1959-1962

Ustazah Salmah Sheikh Hussin

Pulau Pinang

1963-1964

Ustazah Sakinah Hj Junid

Perak

1965-1981

Puan Sri Sakinah Hj Junid

Perak

1981-1983

Puan Sri Sakinah Hj Junid

Perak

1983-1992

Ustazah Wan Asma' Wan Abdul Kadir

Kelantan

1992-2001

YB. Senator Hajjah Jamilah Ibrahim

Kedah

2001- 2003

Ustazah Fatimah Ibrahim

Terengganu

2003-2005

Ustazah Kalthom Othman

Kelantan

2005-2007

Ustazah Azizah Khatib Mat

Pahang

2007 Hingga kini.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Pahang


6.0 Keahlian Dewan Muslimat

Asalnya, ahli-ahli Dewan Muslimat ialah seluruh wanita Islam yang akil baligh dengan syarat telah terpilih dahulu menjadi ahli PAS. Namun, selepas Pindaan Perlembagaan PAS pada bulan Jun 1977, seseorang ahli Muslimat PAS belum boleh dikatakan ahli kepada Dewan Muslimat melainkan seseorang itu mendaftarkan dirinya menjadi ahli Dewan Muslimat mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan oleh jawatankuasa Kerja DMP.

Keahlian DMP mula direkodkan pada tahun 1966 dan pada tahun tersebut seramai 8,182 orang ahli telah didaftarkan. Kini DMPP melalui unit IT, Lajnah Penyelidikan & Pembangunan DMPP telahpun berjaya membina Pangkalan Data Ahli DMPP serta sedang dalam proses pengemaskinian menyeluruh.

Blackend Is The End

Dyers Eve