To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian ke 27

SETELAH Zulkifli Muhammad meninggal dunia, Datuk Mohd Asri secara automatik menjadi Pemangku Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS. Walaupun Dr Burhanuddin masih ada, tetapi kerana keuzuran beliau tidak dapat bergiat sama sekali. Akhirnya beliau meninggal dunia, menjadikan Datuk Haji Mohd Asri sebagai Pemangku, dan disahkan sebagai Yang Di Pertua Agung PAS Malaysia.

Ini bermakna sejak pertengahan 1964 teraju penerbangan atau pilot PAS berada di tangan Mohd Asri. Namun malang bagi PAS di Kelantan, jumlah kerusi ADUN yang diperolehi makin menurun. Dari 28 tahun 1959, jadi 21 tahun 1964 dan turun lagi hingga 18 pada tahun 1969. Setelah melalui suasana pilihan raya 1969, berlaku peristiwa 13 Mei, dikuti dengan pengisytiharan darurat, dan lahir Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Maka bermulalah pinang-meminang antara UMNO dan PAS bagi mewujudkan kerajaan campuran.

Upacara istiadat pinang meminang mulanya dijalankan secara bisik berbisik di dalam dan di luar negara. Sehingga berkatalah Saudara Amaluddin Darus yang menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS di bawah Datuk Asri waktu itu:

“…namun secara rasmi barulah diberitahu, iaitu apabila syarat dan rukunnya telah dibincangkan untuk mengahwinkan PAS dengan PERIKATAN. Tetapi berselindung di balik kata-kata perpaduan dan persefahaman antara Melayu dengan Melayu, iaitu PAS dengan UMNO. Semuanya telah dirundingkan. Datuk Mohd Asri telah tetap menjadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan. Jawatankuasa Agung PAS dipanggil bersidang di rumah Datuk Asri Petaling Jaya.

Dalam mesyuarat AJK Agung tersebut, Amaluddin mengutarakan pandangannya.

1..Rancangan ini adalah perangkap ke arah menghancurkan perjuangan Islam dan PAS sendri di dalam negara ini.

2..Bagaimanapun, kerana perkara ini telah dibincangkan dan tetap dipersetujui awal-awal lagi di luar keputusan AJK Agung. Saya dapat bersetuju pada dasarnya, kerana di Malaysia memang tidak ada sebuah partai politik seperti yang ada, dapat memerintah Kerajaan Pusat tanpa campuran.

3..Kerajaan Campuran PERIKATAN-PAS hendaklah setakat Kerajaan Pusat dan tidak melibatkan Kerajaan Negeri Kelantan.

4..Oleh kerana PAS ialah sebuah partai yang kedua besar pengaruhnya sesudah partai PERIKATAN di Semenanjung, PAS mesti mendapat tidak kurang dari 2 jawatan Menteri, yang mana satu daripadanya hendaklah Menteri Penerangan. Adapun yang satu lagi Menteri apa-apa juapun tidak mengapa.

5.. Datuk Mohd Asri selaku YDP Agung PAS hendaklah tidak menyertai kabinet, yang akan menjadikan beliau berada di awah Tun Abdul Razak yang menjadi PM sebagai Ketua Kabinet. Datuk Asri hendaklah tetap sebagai Menteri Besar Kerajaan PAS Kelantan. Di mana dengan demikian tarafnya sama dengan Tun Razak sebagai seorang Ketua Partai.

6..PAS hendaklah menyusun diri kembali untuk menjadikan dirinya partai Muslimin yang berpolitik, sebagai ganti kepada bersikap seperti partai politik melulu.

7..PAS hendaklah mengemaskan organisasinya, supaya pada masa pilihan raya yang akan datang, akan bertanding lagi bersendirian. Di mana sekiranya ditakdirkan oleh Allah, PAS dapat memenangi sejumlah kerusi di Malaysia Barat dan di Malaysia Timur yang menjadikannya partai terbanyak ahli-ahli di dalam Dewan Rakyat. Maka pada masa itu pembentukan kabinet dan PM sudah tentu menjadi hak PAS untuk bertindak ke arah membentuk sebuah Kerajaan Campuran di mana orang PAS yang menjadi PM Malaysia.

Demikian saranan dan strategi menurut Saudara Amaluddin, bagi membolehkan PAS beroleh jadi PM Malaysia. Tetapi ianya bagaikan menuang air di daun keladi sahaja! PAS yang telah menukar namanya dari Persatuan Islam Se Tanah Melayu kepada Parti Islam Se Malaysia tahun 1971 tetap memakai huruf singkat sebagai PAS. PAS telah mengdakan Mesyuarat Agung Khas pada 21 Desember 1972.

Sehari sebelum Muktamar Khas tersebut, Ustaz Abu Bakar Hamzah selaku Setiausaha Agung PAS waktu itu telah mengeluarkan kenyataan:

Setelah mengkaji sehalus-halusnya sekadar yang terdaya akan nas-nas Quran, nas-nas Sunnah Rasul, dan aqwal fuqahak, di antaranya dari kitab Tafsir Ibnu Kathir, kitab Al-Umm, kitab Siasah Syar’iyah oleh Ibnu Taimuyah, kitab Turuq Hukmiah oleh Ibn Qaiyim, kitab Ashbah Wan-Nadza-ir oleh Imam Sayuti dan kitab Tafsir Fi Dzilal el-Quran oleh Syed Quth, maka saya menegaskan pendapat saya:

1..Memandang betapa perlunya umat Islam di negeri ini bangun berjuang di dalam politik untuk mendapatkan kekuasaan,

2..Memikirkan kesanggupan umat Islam yang belum menjadi pihak berkuasa (As-hab el-Syaukah), maka mereka memilih perjuangan cara perlembagaan menurut undang-undang negeri,

3..Oleh kerana PAS sendiri menerima pilihan raya ala-barat yang dianjurkan oleh kerajaan as-hab el-Syaukah,

4..Oleh kerana PAS taat setia dan menghormati perlembagaan negara dengan mematuhi perintah ‘Pengharaman kalimat Allah-Muhammad’ dan ‘Bulanbintang partinya,

5..Oleh kerana ahli-ahli PAS yang berjaya dalam pilihan raya juga turut mengangkat sumpah dalam majlis-majlis undangan, menurut undang-undang negeri,

6..Oleh kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang agama rasminya ialah Islam, walau apapun juga tafsirannya,

7..Memandangkan bahawa perjuangan politik secara ideology Islam di negeri ini adalah ‘halal’ pada sisi undang-undang negeri dan hanya ‘wajib’ pada sisi syariat Islam,

8..Oleh kerana kepala negara bagi Malaysia mestilah dipilih dari antara Raja-raja Melayu semuanya Muslim belaka,

9..Oleh kerana Raja-raja Melayu adalah As-hab el-Syaukah bagi urusan-urusan agama dan majlis undang-undang tidak berhak masuk campur secara langsung ke dalam urusan-urusan tersebut,

10.Oleh kerana kepala negara adalah kuasa melantik hakim-hakim, juri-juri dan suruhanjaya-suruhanjaya bebas,

11.Oleh kerana kepala negara adalah kuasa tertinggi di dalam masa darurat,

12.Oleh kerana kepala negara adalah ketua segala angkatan tentera bagi negeri ini,

13.Oleh kerana ada bukti-bukti sejarah dan ilmiah bahawa undang-undang asas bagi negeri ini adalah undang-undang Islam dan Malaysia boleh isytiharkan sebagai sebuah ‘Negara Islam’, walaupun kesemua hukum Islam belum berjalan pada masa ini,

14.Oleh kerana Kongres PAS ke 18 pada Julai 1972 telah memberi izin dan mandat untuk berunding mengenai penubuhan kerajaan campuran di semua peringkat.

15.Oleh kerana Jawatankuasa Perunding PAS berpuas hati bahawa syarat-syarat dalam masalah ini dapat membawa masalih-mursalah kepada umat Islam di negeri ini,

16.Oleh kerana PAS diakui haknya untuk memperjuangkan komsep ideoligi Islam di dalam kerajaan campuran itu dari semasa kesemasa,

17.Oleh kerana PAS diberi ‘Kementerian’ yang dikira boleh disalorkan konsep Islam melaluinya,

18.Oleh kerana PAS tetap diakui sebagai sebuah partai yang merdeka dan bersendirian, dan bukan juzuk atau unit di dalam partai yang berkuasa As-hab el-Syaukah,

19.Oleh kerana PAS dijamin haknya untuk menentang sebarang apa jua undang-undang dan cadangan yang berlawanan dengan Islam,

20.Oleh kerana tidak ada nas qat’ie atai dzanni yang cukup kuat dengan sepenuhnya mengharamkan,

21.Oleh kerana pucuk pimpinan dan AJK Agung PAS yakin dan percaya bahawa masalah ini dapat dijadikan ‘wasilah’ untuk menolak bahaya, untuk mengangkat kepayahan, dan untuk membawa faedah bagi umat Islam ini,

22.Menimbang dan memikir serta memperhitungkan kesanggupan PAS dan suasana politik yang mengelilingi umat Islam di negari ini sekarang,

Maka saya, selaku Setiausaha Agung PAS berpendapat dan yakin untuk menegaskan bahawa ‘Kerajaan Campuran’ yang di hadapan kita sekarang, adalah ‘harus’ pada hokum syarak dan ianya sudah wajar diterima oleh para perwakilan Kongres Khas pada 21 Disember 1972 ini.

Begitu juga pada tarikh yang sama, Pejabat Agung PAS mengeluarkan kenyataan garis-garis dasar yang diperjuangkan melalui Kerajaan Campuran mengikut persetujuan kedua belah pihak. Kenyataan tersebut ialah:

1..PAS melalui Kerajaan Campuran PERIKATAN-PAS, berazam membentuk negara Malaysia ini menjadi sebuah negeri yang aman, damai, harmonis, mempunyai nilai-nilai moral dan kerohanian. Dengan demikian pembangunan rohani rakyat hendaklah digembeling bersamaan dengan usaha pembangunan lahir yang sedang berjalan dengan pesatnya sekarang, sesuai dengan Islam sebagai agama negara serta prinsip-prinsip rukun negara. Maka nilai-nilai ketuhanan akan menjadi teras dalam usaha-usaha pembangunan dan kemajuan negara.

2..Dalam menuju kesempurnaan prinsip itu, maka PAS dengan kerajaan campuran yang diwujudkan itu memberikan nilai-nilai Islam ke dalam perundangan dan perlembagaan negara.

3..PAS dengan kerajaan campuran itu, bersama melaksanakan dasar ekonomi baru dengan bersungguh-sungguh, jujur dan tidak pilih kasih. Sehingga cita-cita mewujudkan perseimbangan sosial dan ekonomi yang berada dengan yang tidak berada di negara ini, dan cita-cita melenyapkan kemiskinan di kalangan rakyat itu mencapai kejayaan yang cemerlang.

4..PAS dengan kerajaan campuran itu, berazam mewujudkan kebudayaan yang berteraskan kebudayaan Melayu yang tidak berlawanan dengan Islam dalam segala bidang.

5..PAS dengan kerajaan campuran itu, berazam memelihara keselamatan negara dan menghapuskan sebarang ancaman baik dari dalam mahupun dari luar. Untuk ini pertahanan negara akan diperkemaskan dan diperbesarkan sesuai dengan cita-cita untuk mewujudkan kemampuan nasional di bidang pertahanan.

6..PAS dengan kerajaan campuran itu, berazam meneruskan dasar-dasar yang bebas, aktif dan akan terus memperjuangkan konsep pengecualian negara-negara Asia Tenggara bagi menjamin keamanan di rantau ini. Di samping itu akan berusaha mengeratkan lagi hubungan dengan negara-negara sahabat, terutama negara-negara Islam.

Pada tarikh yang sama juga Pejabat Agung PAS menyatakan butir-butir persetujuan yang telah dicapai dan akan ditandatangani apabila Kerajaan Campuran diwujudkan. Butir-butir berikut ialah:

1..Sebuah kementerian akan diberi kepada PAS, iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah, pembukaan dan kemajuannya. Juga perkara-perkara yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri dari semasa ke semasa.

2..Menteri tersebut akan dilantik dengan persetujuan raja-raja menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

3..Jawatan-jawatan Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik dan sebagainya bolehlah dipenuhi setelah Menteri berkenaan berunding dan mendapat persetujuan Perdana Menteri.

4..Perdana Menteri akan menimbang calon-calon yang ditunjukkan oleh PAS bagi menjadi Anggota Dewan Negara bila ada kekosongan.

5..Perdana Menteri akan menimbang pemimpin-pemimpin PAS yang layak untuk menyertai rombongan rasmi keluar negeri yang difikirkan sesuai, perlu dan menasabah.

6..Kerajaan akan menimbang mana-mana ahli PAS yang difikirkan sesuai untuk mengambil bahagian dalam jawatan-jawatan kuasa lembaga dan perbadanan bagi pertimbangan Perdana Menteri.

7..Dua orang anggota Dewan Negeri Kelantan dari parti PERIKATAN yang ditunjukkan oleh partinya akan dilantik menjadi exco negeri.

8..Dua orang anggota Dewan Negeri Kedah dan Terengganu dari parti PAS di tiap-tiap negeri yang ditunjukkan oleh partinya akan dilantik menjadi ahli exco negeri masing-masing.

9..Selama kerajaan campuran PERIKATAN-PAS itu wujud, hendaklah tiada sebarang pertandingan antara PAS dengan PERIKATAN dalam pilihan raya kecil kawasan masing-masing. Kecuali di mana telah dimenangi oleh parti lain, maka perundingan hendaklah diadakan terlebih dahulu.

10.Begitu juga kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya umum 1969, tetapi kemudian Yang Berhormat berkenaan terhenti daripada menjadi ahli PAS. Maka sekiranya berlaku pilihan raya kecil di kawasan tersebut, maka satu perundingan hendaklah diadakan. Jika sebarang perundingan tidak tercapai dalam perundingan itu, maka pertandingan seperti biasa bolehlah diadakan.

11.Hendaklah tidak ada sebarang ikatan dan perjanjian untuk menghadapi sebarang pilihan raya umum yang akan datang. Segala sesuatu akan dibincangkan kelak apabila tiba waktunya.

12.Kebebasan anggota-anggota PAS dalam kabinet pusat, exco negeri, parlimen dan Majlis Undangan Negeri untuk membangkang cadangan atau undang-undang yang berlawanan dengan Islam hendaklah terjamin.

13.Sebuah jawatankuasa penyelaras hendaklah ditubuhkan dengan anggota-anggota PAS dan PERIKATAN.

Bukan itu sahaja, PAS telah menyertai kerajaan campuran PAS-PERIKATAN di negeri Kelantan pada 1 Januari 1973. Pengisytiharan dibuat oleh Tun Haji Abdul Razak dan Datuk Mohd Asri pada 28 Disember 1972 di pejabat Perdana Menteri. Penyertaan ini akhirnya membawa PAS menyertai Gabungan Barisan Nasional pada tahun 1974, yang memaksa parti pemerintah itu menukar lambangnya dari ‘kapal layar’ kepada symbol ‘dacing’.

Juga dikatakan, penyertaan PAS dalam kerajaan campuran PAS-PERIKATAN sebenarnya telah mendapat persetujuan ahli-ahli dan pimpinan PAS. Tetapi kemasukannya sebagai komponan BN pada tahun 1974 tersebut tidak mendapat persetujuan dan restu muktamar atau pimpinan PAS yang lain, kecuali Datuk Asri dan beberapa penyokongnya. Hal ini juga diakui oleh Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus kepada penulis (Ibnu Hasyim) semasa beliau selalu berulang-alik ke pejabat HARAKAH di Jalan Pahang, di hujung-hujung hayatnya.

Blackend Is The End

Dyers Eve