To Live Is to Die

free counters

Rabu, 6 Oktober 2010

SIRI SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) Bahagian Akhir

SINARIO Pilihan raya kecil Kelantan yang berasingan dari negeri-negeri lain di Malaysia pada 11 Mac 1978, juga memberi kemenangan besar kepada BN. Pilihan raya selepas MAGERAN yang dilahirkan oleh Kerajaan Pusat memberi kemenangan kepada BN sebanyak 34 kerusi, iaitu 22 UMNO, 11 Berjasa dan 1 MCA.

PAS yang tertendang keluar dari BN cuma dapat 2 kerusi ADUN sahaja, iaitu di Sering melalui calonnya Niki Abdullah Arshad, dan di Manik Urai Kelantan, serta 9 kerusi di negeri-negeri lain. Pada 8 Julai 1978 dalam PRU 1978 itu PAS bertanding bersendirian tidak lagi bersama gabungan BN memperolehi 2 dari dari 12 kerusi parlimen di Kelantan dan 3 kerusi parlimen lagi di negeri-negeri lain.

Pada 22 April 1982, telah diadakan PRU DUN dan Dewan Rakyat bagi penggal berikutnya kecuali Sabah dan Sarawak. PAS memenangi 5 kerusi parlimen, iaitu 1 di Kedah dan 4 di Kelantan. Peringkat negeri pula PAS memenangi 18 kerusi, 1 di Perlis, 2 di Kedah, 10 di Kelantan dan 5 di Terengganu. Muktamar PAS ke 28 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan suatu peristiwa penting bagi PAS, iaitu pada 23 Oktober 1982, hari kedua muktamar tersenut, Yang Di Pertua Agung waktu itu Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda telah mengumumkan perlepasan jawatan.

Ianya disambut dengan takbir kegembiraan oleh sebahagian besar perwakilan yang akhirnya menyebabkan ramai ahli-ahli PAS yang dulunya tidak bersetuju dengan kepimpinan Dato’. Mohd Asri kembali semula ke pangkuan PAS, seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah, Amaluddin Darus dan lain-lain. Tindak tanduk Dato’Mohd Asri selanjutnya yang disifarkan sebagai ‘kesalahan yang terlalu berat’ menyebabkan Dato’ Mohd Asri dan beberapa anggota lain digantung keahliannya oleh Jawatankuasa Disiplin PAS pada 30 Januari 1983.

Seteruanya pada 24 Februari 1983, bekas Yang Di Pertua Agung PAS itu mengumumkan dengan rasminya keluar dari PAS. Pada 1 Mei 1983, Muktamr Agung PAS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti dan memilih Tuan Haji Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS Pusat. Maka bermulalah apa yang disebut ‘era kepimpinan ulama’, dengan penambahan ‘Majlis Syura Ulama’ dalam parti. Tetapi bagi penulis (Ibnu Hasyim), lebih tepat disebut ‘era pemulihan kepimpinan ulama’, kerana tidak dapat dinafikan sumbangan dan peranan ulama-ulama PAS yang terdahulu.

Contohnya seperti Tuan Ahmad Tuan Fuad, Dr Burhanuddin, Zulkifli Muhammad, Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, Haji Mansur JP yang berketurunan Cina dan lain-lain, sesuai dengan zaman mereka, sedangkan dasar perjuangan PAS masih tetap Islam. Perjuangan PAS kini hanya menyambung perjuangan PAS yang terdahulu, cuma peranan kepimpinan diperkemaskan, terutama yang melibatkan para ulama dan cara pendekatan ‘ala nasionalisme’nya cuba diukar kepada cara yang lebih sesuai dengan gerakan Islam masa kini.

Beberapa pandangan perlu dilihat untuk menilainya. Ada yang mengatakan dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama, tidak bererti bermulanya era kepimpinan ulama dalam PAS, kerana kebanyakan ahli-ahli majlis tersebut belum mempunyai kepakaran dalam bidang pentadbiran atau non executive ledearship. Ia lebih berperanan sebagai pemerhati dan tempat rujuk, tetapi bukan sebagai majlis yang menerajui PAS secara perlaksanaannya.

Ada juga kalangan yang mensifatkan apabila terjadinya beberapa komflik sekitar tahun 1978 seperti pertembungan fikrah, perebutan kuasa dan lain-lain menyebabkan munculnya pembahagian, pengagihan atau klasifikasi period dalam era kepimpinan dan perjuangan PAS. Sehingga wujud golongan ‘aliran Melayu’ yang membawa ke arah ala nasionalisme dan golongan Islam yang berselogankan kepimpinan ulama. Era ini juga boleh disifarkan sebagai era pemulihan.

Professor Khoo Kay Kim seorang ahli sejarah berpendapat, bahawa slogan dan konsep kepimpinan ulama dalam PAS hanya dibesar-besarkan kepada masyarakat untuk menutup kelemahan dalaman dan memberi nafas baru serta memulihkan PAS yang sedang di ambang kejatuhan. Menurutnya, konsep ini diperkenalkan untuk mengubah topik kejatuhan parti tersebut kepada suatu isu baru yang bersesuaian dengan kebangkitan Islam masa itu.

P.Patto secara individu merasakan pemilihan Tuan Haji Yusuf Rawa hanyalah sebagai ‘penenang suasana’ yang bersifat sementara untuk meredakan krisis dalaman parti. Juga bertujuan bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai, bahawa PAS tidak mempunyai apa-apa masalah walaupun tanpa Datuk Mohd Asri yang dianggap sebagai tulang belakang PAS semenjak ketiadaan Dr Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad. Perlantikan tersebut juga hanya untuk menenangkan perbedaan aliran pemikiran di kalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS yang memandang Tuan Haji Yusuf Rawa bukanlah orang yang berkuasa penuh.

Waktu itu kebangkitan Islam berlaku di Nusantara dan seluruh dunia, khasnya kebangkitan Islam Iran di bawah pimpinan Ayatullah Khomeini, menurut rokoh DAP itu lagi. Di dalam PAS terdapat golongan yang pro Iran hinggakan ingin membawa PAS kepada corak revolusi Iran dan golongan yang memilih pendekatan ‘moderate’ atau sederhana sahaja. Rentetan daripada itulah, maka Haji Yusuf Rawa menjadi orang tengah untuk mengelakkan sebarang perbedaan fahaman dan taktik dalam perjuangan.

Walau bagaimanapun P.Patto tetap bersetuju dengan tindakan PAS era 80an yang mengamalkan dasar keterbukaan secara secara praktikal dengan parti-parti pembangkang, khasnya hingga sekarang ini. Sampai ada yang mengatakan PAS dan DAP saling bantu membantu dalam pilihan raya, walaupun pada hakikatnya secara tidak langsung parti-parti tersebut cuma bersetuju menentang penganiayaan dan beberapa isu tentang hak asasi manusia.

Dr Abdul Halim Haji Mat Diah seorang ahli akademik telah menyetujui dan mengiktiraf konsep Kepimpinan Ulama secara organisasi dan perlaksanaan kerana wujudnya Majlis Syura Ulama. Beliau melihat bahawa majlis itu mempunyai autoriti yang mengatasi Dewan-dewan lain dan berfungsi sebagai tempat rujukan, pentafsiran serta pembuat keputusan terhadap sebarang tindakan parti. Terutamanya yang berkait dengan perkara-perkara dasar agar ia selari dengan tuntutan Islam.

Dewan Ulama PAS sendiri telah menggariskan kriteria-kriteria pemilihan calon-calon yang mewakili PAS dalam pilihan raya sesuai dengan kehendak Al-Quran, As-Sunnah, dan perlembagaan PAS Fasal 40(2) Tugas-tugas am Dewan Ulama. Slogan Kepimpinan Ulama juga adalah hasil dari peranan kerjasama Dewan Ulama dan Dewan Pemuda menyebabkan lahirnya usul Dewan Pemuda dalam ijtimak di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada tahun 1982. Maka akhirnya berlakulah perubahan pimpinan dan pindaan dalam perlembagaan parti.

Beberapa kalangan pimpinan PAS menganggap bukti pemulihan Kepimpinan Ulama dapat dilihat melalui perlaksanaan PAS sejajar dengan kehendak Islam. Terutamanya dalam menyahut seruan persaudaraan Islam, sehingga tertubuhnya Angkatan Perpaduan Ummah terdiri dari gabungan PAS, S46, Berjasa dan Hamim dalam satu wadah Islam. PAS telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengimplimentasikan Islam secara syumul dan menyeluruh. Begitu juga dengan program-program tarbiah, usrah, qiamul-lail, kursus perkaderan, ijtimak, khemah kerja dan lain-lain, terus dipertingkatkan kepada pimpinan, ahli atau luar ahli.

Sehingga tercernalah fikrah Islam dalam pemikiran yang akhirnya dapat dibuktikan melalui akhlak dan perbuatan. Mungkin hasil daripada inilah yang menyebabkan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah berjaya merampas kembali Negeri Serambi Mekah itu pada PRU 21 Oktober 1990.

Blackend Is The End

Dyers Eve