To Live Is to Die

free counters

Sabtu, 13 November 2010

Mengenang sejarah negara 1945-1957


Subky Latif

PADA 26 Oktober lalu saya menjadi penal forum bertajuk Sejarah (Negara) Tahun 1945-1957 pada seminar mengenai tajuk yang sama di USM Pulau Pinang.

Tempoh tersebut adalah perkembangan paling penting dalam sejarah perjuangan mencapai kemerdekaan bagi Semenanjung Tanah Melayu dari penjajahan British.

Sekurang-kurangnya terdapat empat kejadian penting mempengaruhi penduduk bergerak menuntut kemerdekaan Tanah Melayu termasuk Singapura dalam tahun 1945. Sekalipun Singapura sebuah wilayah dibeli milik British tetapi rakyat mengira ia sebahagian dari Semenanjung Tanah Melayu.

Pertama tahun itulah pemerintahan Jepun meninggalkan Tanah Melayu. Kedua Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos, 1945 yang amat menyentuh hati rakyat hingga setiap rumah orang Melayu menggantung gambar Presiden Sukarno.

Ketiga para pejuang kemerdekaan bertemu di Ipoh membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama bagi wilayah itu bagi memperjuangkan kemerdekaan seperti yang dicapai umat Indonesia. Dalam perjumpaan itu buat pertama kali seruan MERDEKA bergema dipekikkan oleh Ahmad Boestamam.

PKMM dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Hilmy bersama Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam dan lain-lain adalah melanjutkan perjuangan yang sudah dirintis oleh Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Yaakub yang pada saat kemerdekaan Indonesia dimasyhurkan berlepas ke Jakarta dengan pandangan yang terbuka jika dirasakan wajar Tanah Melayu boleh menjadi sebahagian dari wilayah Indonesia atau ia merdeka sendiri.

Keempat pada tahun itu piagam Atlantik menyarankan agar semua kuasa penjajah memerdekakan setiap tanah jajahan dan saranan itu menjadi piagam pula bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbentuk sekitar masa itu juga.

Ia menjadi momentum bagi rakyat memperjuangkan kemerdekaan hingga ia tercapai pada 31 Ogos 1957.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidak ada di mana-mana di dunia adanya kemerdekaan melalui perundingan. Kemerdekaan yang diketahui hanya melalui peperangan dan menumpahkan darah. Itulah pilihan yang ada bagi Tanah Melayu pada pejuang dan penyokong PKMM.

Kedatangan semula British membaharui penjajahannya di Tanah Melayu setelah Jepun berundur, memperkenal konsep Malayan Union atau Kesatuan Malaya untuk Tanah Melayu.

Malayan Union menggagaskan Malaya untuk semua penduduknya termasuk bukan Melayu yang ada pada masa itu, penyatuan semua negeri ke dalam satu pentadbiran, dan kedudukan raja-raja dihapuskan.

PKMM tertarik pada konsepnya yang memberi peluang penyatuan nasional bagi watan setiap negeri di bawah satu identiti, bersikap terbuka kepada penduduk bukan Melayu yang ada sebelum kedatangan Jepun tetapi tiada sikap jelas tentang kedudukan raja-raja.

Tetapi Dr. Burhanuddin memberitahu rakan-rakan terdekatnya semasa memimpin PAS bahawa kewujudan raja-raja itu bukti Semenanjung menjadi negeri orang Melayu.

Dato Onn bin Jaafar bersama golongan bangsawan Melayu menggembeling semangat orang Melayu menentang Malayan Union kerana ia mahu
menghapuskan raja-raja. Tindakan Dato Onn itu mendapat sokongan orang Melayu.

Kerana orang Melayu mahukan rajanya, maka British membatalkan apa yang dipanggil Malayan Union. Ia memberi semula raja-raja kepada orang Melayu
kerana itu saja caranya bagi mendiamkan orang Melayu tetapi tidak melucutkan lain-lain isu dalam Malayan Union itu.

Atas keruntuhan Malayan Union itu Dato Onn dan bangsawan Melayu menubuhkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang baru bagi
mempertahankan bangsa Melayu dan raja-rajanya dengan cogan hidup Melayu dalam tahun 1946.

Dato Onn dan UMNOnya tidak pernah bercakap tentang kemerdekaan, malah menyindir dan mempengaruhi beberapa raja-raja dengan nada bagaimana Melayu hendak merdeka kerana membuat jarum pun tak tahu. Bahkan ada sindiran kononnya orang Melayu lapar kalau tidak ada Inggeris.

Sekalipun slogan UMNO itu menyuarakan Hidup Melayu tetapi ia tidak membawa maksud memerdekakan bangsa dan mendaulat negara. Ternyata selama 400 tahun Melayu dijajah ia tetap hidup dan kekal sebagai orang Islam tetapi ia menjadi bangsa yang tidak berdaulat dan tidak dapat menentukan nasib sendiri.

Sekalipun UMNO menjadi saingan PKMM tetapi ia tidak mampu menyaingi pengaruh PKMM yang mahukan kemerdekaan. Walaupun British terikat dengan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu mesti melepaskan tanah jajahannya, tetapi membenarkan yang dituntut oleh PKMM bererti melepaskan semua kepentingan barat dan melenyapkan baki idea tersembunyi Malayan Union.

Berikutan keengganan British menghalalkan Parti Komunis Malaya dan komunis melancarkan gerakan bersenjata, British menggantikan Malayan Union
dengan pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu tanpa Singapura dan diikuti pengiytiharan darurat, parti-parti politik diharamkan kecuali UMNO.

Pemimpin dan aktivis PKMM dan sayap Islamnya iaitu Hizbul Muslimin ditahan dan diburu kecuali Dr. Burhanuddin yang menetap di Singapura. Perjuangan kemerdekaan lumpuh dan yang dibenarkan bergerak ialah UMNO, apa lagi Dato Onn menerima perlantikan British untuk menjadi pegawai anak negeri paling kanan selepas British dalam kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dato Onn menjadi Menteri Dalam Negara dan berperanan menahan aktivis pejuang kemerdekaan. PKMM mati bukan kerana ia tidak mendapat sokongan rakyat tetapi justeru ia diharamkan penjajah dan pemimpinnya ditahan.

UMNO terlepas dari tindakan bukan kerana pengaruhnya kuat di kalangan rakyat tetapi ia tidak diharamkan dan pemimpinnya seperti Dato Onn menjadi orang kanan kerajaan Inggeris di peringkat persekutuan dan yang lain-lain menjadi menteri besar di setiap negeri.

SELEPAS parti-parti politik diharamkan kecuali Umno, pemimpin-pemimpin dan aktivis pejuang kemerdekaan ditahan, suara menuntut kemerdekaan tidak kedengaran. Pemimpin Umno yang juga Menteri Besar Johor, Dato Oon Jaafar sudah menjadi pegawai anak negeri paling kanan dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu bertaraf menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri.

Antara tanggungjawabnya menahan dan menjaga tahanan politik serta memantau suasana komunis. Dato Onn mula rapat dengan Sir Cheng Lock, Tan, pemimpin MCA yang ditubuhkan selepas pembentukan Umno. Tan Cheng Lock atau Sir Cheng Lock, Tan sebelumnya pernah bermuafakat dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmy mengenai status masyarakat Cina dalam kemerdekaan. Cheng Lock dengan gagasan Dr. Burhanuddin tentang satu rupa bangsa iaitu Melayu. Cina dan India akan menjadi bangsa Melayu keturunan Cina dan bangsa Melayu keturunan India.

Semuanya tidak menjadi kenyataan apabila parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan. Sebagai menteri kerajaan penjajah Dato Onn mempunyai hubungan yang rapat dengan Inggeris. Ketika dia sudah rapat dengan Cheng Lock, Dato Onn mengusulkan Umno membuka keahlian kepada bukan Melayu dan tentunya jika disetujui Umno akan dipinda dari United Malay National Organization kepada United Malayan Nasional Organzation.

Perhimpunan Agung Umno menolak usul itu. Dato Onn mengundur diri dan keluar dari Umno. Dia digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku tidak ada pengalaman politik. Peranan dalam Umno tidak ketara semasa pimpinan Dato Onn kerana dia keciwa Dato Onn tidak mempertahankan nasib Natrah.

Tindakan pertama Tunku sebagai pemimpin Umno ialah menyambung perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang diharamkan. Dia menukar perjuangan HIDUP Melayu Umno kepada MERDEKA. Dia membuka pintu Umno kepada pemimpin dan ahli PKMM untuk bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau pergi ke London bertanya Setiausaha Tanah Jajahan British cara mana Malaya boleh mencapai kemerdekaan. Jawapan British ialah tiada cara Malaya boleh merdeka jika ia dituntut oleh orang Melayu saja. Ia mesti dituntut oleh semua kaum yang ada di Tanah Melayu.

Piagam Atlantik dan piagam PBB yang ikut ditanda tangani oleh British sudah menetapkan semua kuasa penjajah memerdekakan tanah jajahan masing-masing tetapi British memberi syarat demikian kepada Umno. Apa motifnya?

Lord Cromer, gabnor terakhir British di Mesir dalam bukunya menyebut, empayar British tidak akan bertolak ansur bagi melepaskan tanah jajahan barang seinci jua hinggalah wujud satu generasi yang berfikir seperti British.

Tanah Melayu boleh merdeka tetapi mesti mengikut acuan British. Kemerdekaan tidak diberi kepada Melayu yang seratus peratus Islam. 400 tahun Tanah Melayu dijajah orang Melayu tidak bertukar agama. Ia satu kegagalan bagi penjajahan Kristian Eropah apabila orang Melayu tidak berpecah dalam banyak agama.

Bekas pimpinan PKMM dan Hizbul Muslimin tidak yakin kemerdekaan yang Tunku dan Umno mulai gerakkan kerana pemimpin-pemimpin Umno ada peranan mengharamkan PKMM dan menahan mereka. Mereka tidak respons kepada pelawaan Tunku kerana masih ramai tahanan politik yang Umno restui merengok di khemah tahanan.

Tetapi pengikut mereka seperti Ghafar Baba dan Ibrahim Fikri tidak menunggu restu dari bekas pemimpin mereka lalu menyertai Umno yang mula mengaku memperjuangkan kemerdekaan.

Tunku membentuk satu jawatan bagi membebaskan tahanan politik dengan Aziz Ishak, seorang wartawan dan penyokong kuat Ibrahim Yaakub yang mengasaskan KMM sebagai Setiausaha. Tunku dikatakan mahu sangat Ahmad Boestamam dibebaskan supaya dapat memimpin Pemuda Umno.

Aziz Ishak bukan ahli Umno semasa menjadi setiausaha bagi membebaskan saki baki tahanan politik. Dia adalah orang Ibrahim Yaakub dan dekat dengan Dr. Burhanuddin. Tunku kemudian berjaya menariknya menjadi ahli Umno. Aziz menjadi ketua Umno Selangor ketika Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendak mengadakan pilihan raya awal tahun 1950an.

Aziz mengadakan muafakat dengan ketua MCA Selangor, Ong Yoke Lin mengadakan persefahaman Perikatan bagi menghadapi Dato Onn yang memimpin Parti Negara dalam pilihan raya itu.

Tiada tanya ia idea Tunku tetapi Tunku merestui tindakan Aziz. Muafakat itu berjaya memenangi pilihan raya itu dan bermulalah muafakat Perikatan untuk menuntut kemerdekaan.

Pembentukan Perikatan itu adalah bagi memenuhi syarat British untuk Malaya merdeka. Syarat British itu adalah helah bagi menjadikan masyarakat Malaya merdeka nanti menjadi masyarakat majmuk, berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Begitulah British bila ia memerdekakan tanah jajahannya, ia meninggalkan masalah perkauman yang sukar diselesaikan.

Bagi Tanah Melayu ia adalah helah bagi mengelakkan ia menjadi sebuah negara berperintahan Islam seperti yang perjuangan oleh Hizbul Muslimin. Dr. Burhanuddin dan Dato Onn menggesa supaya Umno jangan menerima syarat British itu kerana lambat laun Tanah Melayu akan merdeka juga kerana piagam PBB sudah memaktubkan hal itu. Tetapi kerana Tunku dan Umno mahu cepat-cepat merdeka maka ia menerima formula meninggalkan api perkauman itu.

Lau Pak Kuan pemimpin saudagar Cina Ipoh pergi ke England menuntut British tidak memberi kemerdekaan kerana dipercayai tidak menjamin masa depan Cina. Tetapi syarat British itu adalah peluang yang baik bagi penduduk Cina dan India yang ramai itu untuk diterima menjadi rakyat. Persetujuan Cina dan India menyokong tuntutan kemerdekaan yang menjadi syarat British itu ialah dijamin hak menjadi rakyat.

Perikatan dalam memonya kepada Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan Tanah Melayu merdeka bersetuju dengan formula jos suli iaitu memberi kerakyatan mudah kepada pendatang yang menetap di Malaya bagi tempoh tertentu.
Peluang itu bukan sekadar mereka yang telah lama bermastautin tetapi termasuk pelarian berikutan pembentukan negara komunis China tahun 1948.

Tunku menjadi orang pertama mencapai kemerdekaan melalui perundingan tahun 1957 tetapi formula itu sudah disarankan oleh piagam PBB. Tidak minta merdeka pun boleh merdeka seperti yang terjadi di Brunei Darussalam.

Blackend Is The End

Dyers Eve