Blackend Is The End

Selasa, 16 Mac 2010

(Temubual Kini dan Silam dengan Asi, bekas kader Rejimen Ke-10 )


perajurit India dari Rejimen Ke-5 Tentera Pembebasan
Nasional Malaya sedang memberi hormat. Berdiri di
depan sebelah kanan ialah Asi.



Tanya: Kami mendengar berita yang mengatakan pernah ada satu pasukan India, benarkah?


Asi: Ya, benar.

Tanya: Bolehkah ceritakan sedikit tentang pasukan India tersebut?

Asi: Peristiwanya telah berlalu lama, banyak perkara saya dah lupa. Saya masuk pasukan pada tahun 1952, masih kanak-kanak lagi kira-kira berumur 12 tahun setengah. Masa itu ada banyak gerup tentera India bergerila di Negeri Perak terutamanya kawasan Sungai Siput.

Tanya: Bilakah pasukan India ini didirikan?

Asi: Ketika pasukan India ini dirasmikan saya ada bersama, pada tahun 1952. Unit-unit gerila India dari beberapa tempat dikumpulkan di kawasan Penalok, Tabung, daerah Chemor. Ketua Rejimen Ke-5, Kawan Sukom mengumumkan perasmian pasukan India ini. Selain itu Komisaris Politik Pasukan India, Kawan Mutusamy juga hadir dalam perasmian itu. Pasukan ini tiada nama khas, cuma dinamakan Pasukan India di bawah Rejimen Ke-5.

Tanya: Bolehkah ceritakan sedikit tentang pimpinan pasukan India ini?

Asi: Pasukan India ini dipimpin oleh Mutusamy sebagai Komisaris Politik Pasukan. Beliau adalah anggota Jawatankuasa Daerah Parti. Pembantunya ialah Perumal. Anggota Area Komiti Parti. Selain itu terdapat 2 orang kawan Cina yang ikut memimpin pasukan iaitu Kawan Chi Min dan Fuk San. Abdullah C.D. kenal Mutusamy kerana dia pernah datang bertemu dan berbincang di Ulu Kinta pada tahun 1953.

Tanya: Apa tugas Kawan Asi di Pasukan India?

Asi: Saya ditugaskan sebagai pengawal Kawan Mutusamy. Di samping itu juga pernah menjalankan kerja utusan, penerbitan dan lain-lain.

Tanya: Boleh terangkan sedikit bagaimana tentang kerja utusan?

Asi: Kerja utusan adalah kerja hubungan antara satu tempat ke satu tempat. Tugas saya ialah menghubungi berbagai unit seperti regu hospital, regu penyusun massa dan lain-lain. Utusan antara markas pengarah pasukan India dengan unit hospital kira-kira seminggu perjalanan, kalau pergi balik kira-kira setengah bulan. Anggota utusan terdiri dari 4 orang, iaitu 2 orang kawan (peringkat kakak berumur belasan), saya dan seorang kanak-kanak wanita berumur lebih kurang 9 tahun. Senjata hanya 2 laras dipakai oleh 2 kakak tadi.

Tanya: Bagaimana pula tentang kerja penerbitan?

Asi: Kerja penerbitan pada dilakukan oleh Kawan Mutusamy sendiri. Setelah saya masuk, beliau mengajar saya menulis stensels dan mencetaknya. Kemudian majalah itu di edarkan kepada massa rakyat.

Tanya: Berapa jumlah pasukan India dan bagaimanakah keadaannya?

Asi: Saya juga sudah lupa secara konkritnya, tapi rasanya 85 orang, semuanya India kecuali 2 orang kader Cina yang saya sebutkan tadi. Kami dibahagikan kepada 4 seksyen. Yang lain-lain sama juga dengan pasukan-pasukan Cina dan Rejimen Ke-10. Pasukan ini kemudian dijadikan beberapa gerup dicampur dengan kawan-kawan Cina dari Rejimen Ke-5 untuk menjalankan kerja massa di berbagai tempat kawasan Sungai Siput. Pasukan markasnya terdiri dari beberapa orang saja iaitu Mutusamy dan beberapa orang pengawal. Kami sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengikut Mutusamy.

Tanya: Bagaimanakah suasana ketika penubuhan pasukan India?

Asi: Suasananya memang hangat. Kami kumpul 80 orang lebih menerima latihan, kursus dan macam-macam. Keadaan kehidupan sangat susah. Beras boleh dikatakan tak ada. Makanan utama kami ialah buah labu dan ubi kayu. Makanan pokok bersandar pada bantuan orang Asli. Setiap hari, ada 30-40 Orang Asli menghantar ubi ke tampat kami. Ini diurus oleh Kawan Sukhom, Ketua Rejimen Ke-5.

Tanya: Bagaimanakah sambutan massa?

Asi: Sambutan massa India sangat menggalakkan. Mereka membelikan barang-barang untuk pasukan dan menghantar anak-anak mereka memasuki pasukan. Dari Batu Satu Sungai Siput hingga ke Lasa semuanya terdiri dari orang India penoreh getah yang menyokong perjuangan bersenjata. Mereka dibawa oleh penjajah British dari India untuk dijadikan buruh murah di estet-estet British. Masa itu pengaruh Rejimen Ke-5 kuat di kawasan itu. Oleh itu penjajah British menganggap kawasan ini sebagai kawasan merah.

Tanya: Bagaimanakah keadaan pasukan ketika menghadapi taktik kampung berkurung penjajah British?

Asi: Penjajah British memang licik dan jahat. Dia telah melaksanakan satu strategi untuk memutuskan hubungan tentera dengan massa dengan cara mendirikan kampung berkurung dan menyekat perbekalan. Di Sungai Siput, penjajah British memindahkan massa secara mengejut. Hari ini kita masih bertemu dengan massa di dalam estet getah, esok sudah tiada. Tentera British menyiapkan terlebih dahulu kem kurungan, kemudian memindahkan kaum buruh di estet-estet getah secara paksa. Dengan itu hubungan kami dengan massa agak terbatas dan barang-barang perbekalan juga sukar diperolehi kerana diperiksa ketat oleh askar British. Kehidupan material kami mengalami kesulitan. Kami terpaksa makan ubi kayu, keledek, pisang, umbut langkap, umbut nibung, buah-buah hutan seperti buah kulim dan sebagainya.

Tanya: Kami mendapat berita bahawa pada tahun 1953 satu regu Rejijmen Ke-10 telah bergabung dengan 1 kompeni pasukan Cina dan pasukan India dari Rejimen Ke-5. Benarkah?

Asi: Ya, benar. Seluruh pasukan India ikut serta dalam pasukan gabungan ini.

Tanya: Pada tahun 1953, pasukan Rejimen Ke-10 terkena serangan udara besar-besaran di Ulu Kinta. Kami mendapat tahu bahawa serangan itu adalah serangan udara terbesar dalam sejarah Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Apakah kesannya serangan itu ke atas pasukan India?

Asi: Ya, saya ingat peristiwa itu. Serangan itu besar sekilnya sampai ke Lasa. Beberapa orang kawan Melayu dari Rejimen Ke-10 yang terputus hubungan tinggal bersama kami. Kami Rejimen Ke-5 juga terkena serangan itu. Untuk mengelakkan serangan itu, pasukan kami berundur bergabung dengan pasukan Cina di Pahang. Sebulan tinggal di Pahang barulah kami balik ke Sungai Siput. Selepas serangan udara besar-besaran ke atas Rejimen Ke-10 itu, penjajah British tak putus-putus melancarkan kempen kepung basmi ke atas kami.

Tanya: Bolehkah ceritakan sedikit lagi tentang Kawan Mutusamy?

Asi: Kerana saya masih kecil masa itu, saya tak tahu mana riwayat hidupnya. Tapi dia juga berasal dari Sungai Siput. Beliau seorang pimpinan yang baik, sangat disayangi dan dihormati oleh kawan-kawan India. Pada suatu hari selepas Perundingan Baling, saya diatur oleh Kawan Mutusamy pergi menghubungi regu penyusun massa (massworker) untuk mengambil surat khabar. Akan tetapi, bila saya balik ke perkhemahan, kawan-kawan sudah tiada. Jadi masa itu saya terputus hubungan dengan Kawan Mutusamy. Tapi seorang Kawan Cina bernama Lem Poh yang terkena peluru di bahagian dada dapat balik ke perkhemahan. Saya membantu dia mengubati lukanya sampai sembuh. Cerita dari kawan Cina itu lebih kurang begini:

Setelah saya keluar dari pasukan, Kawan Mutusamy membawa membawa kawan-kawan ke Kuang untuk menyampaikan kursus kepada gerup kawan-kawan India di situ. Tapi ada seorang perajurit bernama Supaya keluar menyerah diri kepada musuh dan membocorkan rahasia pasukan. Pasukan India berpindah, tapi tak jauh dari tempat itu. Malangnya Supaya yang berkhianat telah membawa askar Gurkha menyerang. Dalam serangan itulah Kawan Mutusamy dan ramai kawan terkorban.

Tanya: Selain dari peristiwa di atas, apakah ada peristiwa-peristiwa yang lain lagi?

Asi: Setelah terkorbannya Kawan Mutusamy, kami boleh dikatakan putus hubungan dengan organisasi. Masa itu saya masih mentah lagi, tapi terpaksa menghubungi regu-regu Kawan India di beberapa kawasan. Yang paling berat ujian yang kami alami ialah pada tahun 1957-1958. Pihak penjajah memperhebat serangan militer dan politik ke atas kami. Pada siang hari kapal terbang mengebom, pada malam hari pula ditembak dengan meriam atau mortar. Gerakan ini disertakan pula dengan perang saraf, menabur poster, mengeluarkan seruan-seruan memujuk menyerah diri dari udara dan sebagainya.

Dalam pada itu pada tahun 1958, seorang kader Cina dari Rejimen Ke-5 bernama Kui Ming telah belot kepada penjajah. Kader tersebut sangat mahir dengan berbagai jaringan dan susunan Rejimen Ke-5 termasuk juga pasukan India. Dia membawa askar menyamar sebagai Tentera Pembebasan masuk ke dalam perkhemahan regu penyusun massa dan menangkap mereka hidup-hidup. Selain itu dia juga membawa askar menyerang kawan-kawan India dan Rejimen Ke-5. Kerana perbuatan pengkhianatan ini, regu-regu India di Jalung, Lasah, Chemor dan lain-lain kena serang, ramai kawan terkorban, sejumlah ditangkap dan ada sejumlah kecil melarikan diri. Masa itu kami terputus hubungan sama sekali. Sehingga tahun 1959, barulah diketahui bahawa pasukan India itu telah hancur, yang tinggal saya dan Alu sahaja.

Kami dapat berhubung dengan Kawan Sukom, Ketua Rejimen Ke-5. Masa itu Rejimen Ke-5 hanya tinggal 12 orang saja. Kawan-kawan yang lain kebanyakannya telah terkorban kerana pengkhianatan.

Pengkhianatan Kui Ming mendatangkan akibat yang amat parah kepada Rejimen Ke-5. Lao Ma (Wi Kek) seorang kader pimpinan peringkat pusat parti juga terkorban kerana pengkhianatannya. Selain itu 1 platun kawan-kawan yang sakit di bawah pimpinan kader Area Komiti Ah Fuk ditangkap hidup-hidup. Kawan-kawan yang sakit itu diletakkan di suatu tempat yang sangat rahasia. Akan tetapi setelah Kui Ming mengkhianat, dia membawa askar yang menyamar sebagai Tentera Pembebasan masuk ke tempat kawan-kawan yang sakit itu. Lalu mereka ditawan semuanya.

Pada tahun itu juga (1959), Kawan Sukom membawa kami 12 orang berpindah dari Sungai Siput. Tiba di suatau tempat, barulah Kawan Sukom memberitahu bahawa sekarang kita sudah berada di Betong, Negeri Thai.

Tanya: Apakah Kawan Asi tidak merasa mahu menyerah diri di saat-saat susah payah begitu?

Asi: Ada sejumlah kawan keluar menyerah diri kerana tak tahan menderita dan sebahagiannya kerana terputus hubungan. Pada masa itu saya dan Alu tidak pernah berniat hendak menyerah diri, kami tak mahu menjadi anjing penjajah. Kami bersedia berkorban demi kemerdekaan tanah air.

Tanya: Bilakah Kawan Asi tiba di Rejimen Ke-10?

Asi: Tak lama setelah tiba di Betong, saya dan Alu dihantar ke Rejimen Ke-10 untuk belajar bahasa Melayu. Siapa tahu akhirnya saya terus menjadi anggota Rejimen Ke-10.

Tanya: Tadi kawan ada menyebut nama Alu. Bolehkah ceritakan sedikit tentangnya?

Asi: Alu atau nama sebenarnya Konco Pillai berasal dari India dibawa oleh penjajah British ke Malaya. Dia menjadi SC mengawal estet Gong. Pada 15 November 1948, pasukan asas Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Kawan Abdullah C.D. menyerang estet Gong dengan akal cerdik. Ramai SC telah ditawan termasuk Alu. Alu dan sejumlah SC lagi memilih untuk menyertai perjuangan bersenjata bersama Abdullah C.D.. Sejak itulah dia masuk pasukan dan kemudian dihantar ke pasukan India. Dia adalah rakan seperjuangan saya yang akrab, saya kira dia bertempur tak kurang dari 70-80 kali sedangkan saya 30-40 kali saja.

Tanya: Setelah tiba di Rejimen Ke-10, apakah Kawan Asi masih menjalankan kerja bahagian India?

Asi: Di Rejimen Ke-10, saya ikut serta dalam berbagai tugas tentera dalam pasukan. Di samping itu saya juga ikut serta kerja penerbitan bahasa India. Umpamanya menterjemah bahan-bahan dari bahasa Cina atau Melayu ke bahasa India, dicetak dan diedarkan kepada massa India. Pada tahun 80-an, Rejimen Ke-10 menerbitkan akhbar India bertajuk KEHIDUPAN BARU. Akhbar ini diedarkan secara bawah tanah di kalangan orang India. Pernah juga kawan petugas bawah tanah India datang berkunjung ke Markas Besar Rejimen Ke-10. Pada tahun 1980-an kami terbitkan majalah HARAPAN RAKYAT.

Tanya: Kawan Asi telah menceritakan suatu sejarah yang penting berkenaan pasukan India dan kami percaya sejarah ini tidak ramai orang yang mengetahuinya. Sejarah ini menunjukkan bahawa perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan tanah air kita dibayar dengan darah rakyat semua kaum dan lapisan negara kita.

Asi: Ya, pasukan India di Sungai Siput hanya tinggal saya dan Alu saja. Alu telah meninggal dalam tahun 80-an kerana sakit jantung. Jadi kini tinggal saya seorang saja. Begitu juga pimpinan Rejimen Ke-5 Kawan Sukom juga telah terkorban dalam tahun 1970-an.

JOHAN

JOHAN – PEJUANG
INTERNASIONALIS PROLETAR

Tatkala mendengar lagu TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL dan lagu BARISAN GERILA MALAYA, setiap perajurit Rejimen Ke-10 akan kembali mengenang Kawan Johan.

Johan seorang anggota Parti Komunis Indonesia, lahir di daerah Minangkabau, Sumatera. Ketika menuntut di sekolah menengah, beliau telah mendengar kisah ahli Parti Komunis Malaya telah melancarkan perjuangan gagah berani menentang kaum penceroboh fasis Jepun. Setelah tamat pengajian sekolah menengah, beliau bertekad datang ke Malaya untuk mengikuti perjuangan menghalau kaum imperialis bersama pejuang-pejuang patritot dan komunis Malaya.

Di Malaya, beliau ditugaskan bekerja secara bawah tanah di Jabatan Kerja Melayu di bawah pimpinan Abdullah C.D., berkhidmat di bahagian perpustakaan dan menerbitkan akhbar Suara Rakyat.

Awal Jun 1948, beliau menyertai sekolah Parti Kem Se-Malaya yang diadakan oleh Jabatan Kerja Melayu PKM. Johan dan kader-kader penting JKM dari seluruh Malaya telah menghadiri sekolah tersebut.

Pertengahan Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-udang Darurat. Johan bersama anggota PKM yang lain masuk hutan bergerila. Beliau menjadi salah seorang anggota pengasas Rejimen Ke-10 seramai 17 orang di bawah pimpinan seorang kader API dan Jabatan Kerja Melayu, Alang Kassim.

Pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 didirikan dengan rasminya di bawah pimpinan Abdullah C.D. Dalam upacara yang khidmat itu, Johan telah mempersembahkan 2 lagu ciptaannya bertajuk TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL dan BARISAN GERILA MALAYA. Selesai Komisaris Politik Rejimen Ke-10 mengangkat sumpah berjuang bermandi darah untuk kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajah British, Johan dengan memeganng sepucuk pistol di tangan melangkah dengan gaya march sambil menyanyikan lagu tersebut di depan kira-kira 200 orang perajurit Rejimen Ke-10. Kedua-dua lagu ini telah diiktiraf oleh Markas Besar Rejimen Ke-10 sebagai lagu rasmi pasukan Melayu tersebut.

Pada 7 Julai 1949, dalam satu rapat umum di kalangan massa yang diadakan di Kampung Bukit Chempedak untuk merayakan hari ulangtahun Barisan Tani Malaya, Johan tampil di depan massa rakyat menyampaikan pidato yang berapi-api dan pertunjukan kesenian, nyanyian dan tarian yang menarik. Massa rakyat yang menghadiri perayaan tersebut terpegun melihat kepandaiannya.

Johan sebagai pejuang internasionalis proletar yang berasal dari kalangan pelajar dengan cepat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan perang gerila yang kusut masai. Tidak lama setelah berdirinya Rejimen Ke-10, beliau dilantik sebagai pegawai warior dan ketua grup, kemudian dilantik sebagai ketua grup perubatan dan ketua grup aktiviti kesenian. Pada bulan September 1949, beliau dilantik sebagai Ketua Platun.

Pada tahun 1950, Johan diutus memimpin satu regu menjalankan tugas di kawasan Jerantut, Pahang Barat. Dalam perjalanan mereka telah diserang hendap oleh askar penjajah akibat pengkhianatan seorang pembelot. Dalam pertempuran tersebut, Johan telah gugur dengan serta merta.

Untuk mengenangi jasa dan kepahlawanannya dalam perjuangan kemerdekaan Malaya, Markas Besar Rejimen Ke-10 telah menganugerahkan gelaran “Pahlawan Internasionalis Proletar” kepadanya.

Gugurnya Johan menandakan semangat setiakawan proletar yang tinggi dari rakyat rumpun yang sama Malaya – Indonesia. Dalam revolusi kedua-dua negara, baik dalam masa perang-perang patriotik kaum tani di Malaya seperti Perang Bahaman dan lain-lain hingga ke revolusi menentang Belanda Indonesia, rakyat kedua-dua negara saling bekerjasama antara satu sama lain.

Abadilah Johan sebagai pejuang kemerdekaan dan perajurit Internasional rakyat!

Tumpah darahmu demi kemerdekaan rakyat Malaya dan pembebasan rakyat kedua-dua negara!

MOKTAR

MOKHTAR, KADER

BARISAN TANI MALAYA



  1. Mokhtar @ Mansor seorang kader Barisan Tani Malaya dan kader Rejimen Ke-10. Berasal dari Johor, beliau menyertai perjuangan anti-Jepun bersama Rejimen Ke-4 TAJRM di Johor.
  2. Tamat perang dunia II, beliau ditukar ke Selangor menyertai gerakan bawah tanah Jabatan Kerja Melayu PKM.
  3. 7 Julai 1947, Kongres penubuhan Barisan Tani Malaya diadakan di Selangor. Mokhtar dipilih sebagai anggota jawatankuasa pusat, di samping menyandang Setiausaha Barisan Tani Negeri Selangor. Beliau menumpukan usaha menyusun kaum tani di Tanjung Karang yang merupakan kawasan jelapang padi Selangor.
  4. Awal Jun 1948, beliau menyertai Sekolah Parti Kem Se Malaya di hutan Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang.
  5. Pertengahan Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, beliau dihantar ke Kedah untuk menyusun dan memimpin pasukan bersenjata kaum tani Melayu.
  6. 1959 beliau bersama beberapa orang pasukan Melayu Kedah ditransfer ke Markas Besar Rejimen Ke-10.
  7. 1961 Mansor dihantar keluar dari pasukan untuk membuka organisasai massa bawah tanah di Selatan Thai, terutamanya di Pattani dan Yala. Beliau menyusun beberapa buah sekolah agama di Yala dan Pattani.
  8. Pekerjaannya telah dicium oleh intelijen. Beliau diserbu polis, tapi dapat meluluskan diri. Beliau berundur ke Sungai Padi dan kemudian ke Bukit Ta di Daerah Weang, sempadan Kelantan Thailand. Beliau dapat berhubung dengan unit penyusun massa Rejimen Ke-10 dipimpin Ibrahim Chik.
  9. Di Bukit Ta, beliau mendapat dokongan massa rakyat. Massa mencarikan jodoh untuknya mendirikan rumah tangga dan mendapat beberapa orang cahaya mata.
  10. Tahun 1969 beliau meninggal dunia kerana sakit dalam usia 50 tahun lebih.

SASTERAWAN NEGARA USMAN AWANG

Apabila tamat Sekolah Parti Kem Se-Malaya, keadaan sudah menjadi tegang, polis melakukan penangkapan di sana sini. Surat khabar ketika itu juga banyak menyiarkan berita-berita penangkapan. Berdasarkan keadaan itu dan ketetapan dalam Kem Se-Malaya, saya tidak pulang ke Kuala Lumpur, tetapi terus pergi ke Benta.

Saya dan Taharuddin (Baharuddin Tahir) naik bas dari Temerloh menuju Benta. Kerana keadaan sudah panas, saya buat persiapan fikiran mungkin polis akan melakukan penggeledahan dan penangkapan. Saya memberitahu Taha supaya duduk jauh dari saya dan saling buat tak kenal. Jika saya tertangkap, mungkin Taha terlepas, tapi kalau duduk sekali sudah pasti kedua-dua akan disapu.

Apabila bas tiba di Raub, kami nampak polis sedang mengadakan pemeriksaan dan penangkapan. Beberapa orang polis naik ke atas bas memeriksa. 2 orang Tionghua yang berada dalam bas kami ditangkap. Tapi polis-polis itu buat tak kenal saya. Jadi saya dan Taha tiba di Benta dengan selamat.

Apabila kami tiba di Benta, beberapa orang anasir cergas membawa kami singgah di rumah Bendahari Awas, Hajjah Zaharah. Suaminya bernama Ibrahim, anggota PETA. Dia memberitahu kami bahawa polis telah menjalankan penangkapan dan penggeledahan, harus segera masuk hutan untuk mengelakkan dikesan oleh hantu dan perisik. Dia berpaling kepada kawan-kawannya dan berkata "cepat bawa pimpinan ke tempat yang selamat". Ketika itu juga mereka membawa kami ke tepi belukar.

Sedang kami berehat di tepi belukar, datang seorang polis menemui orang ramai di Benta. Dia memberitahu bahawa "Saya telah melepaskan pimpinan di dalam bas tadi. Harap pimpinan sihat dan selamat." Polis itu meminta orang ramai menyampaikan salam kepada pimpinan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai orang Melaka.

Polis itu ialah Usman Awang, ahli PKMM Melaka. Dia mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Semasa di Kuala Lumpur dia pernah menemui saya dan masuk dalam kesatuan askar patriotik. Usman menyertai Kongres Ke-2 PKMM yang diadakan di Melaka. Ketika itu dia sudah mengasah bakatnya sebagai seorang penulis.

Saya berterima kasih kepada Saudara Usman kerana telah menyelamatkan saya dalam perjalanan tadi. Tanpa bantuannya, saya mungkin telah menjadi banduan. Tindakan Saudara Usman itu telah memberikan bantuan besar kepada perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Dalam perjuangan bersenjata anti-British selepas itu, saya sentiasa ambil perhatian kepada Usman dan mengenang sumbangan yang beliau berikan.

Nota: dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, SIRD 2007

LAI RAFEL



  • Lai Raifel atau nama sebenarnya Du Lung San dilahirkan pada tahun 1922 di Sitiawan Perak, mendapat pendidikan di Sekolah Chun Cheng kemudian di Nan Hwa High School. Pandai berbahasa China, Melayu dan Inggeris.
  • Setelah fasis Jepun menceroboh China, Lai Raifel menjadi anasir cergas dalam Persatuan Membantu China Melawan Musuh yang ditubuhkan PKM. Dalam masa yang sama, beliau bekerja sebagai guru di sekolah swasta dan menjadi wartawan akhbar sebagai samaran. Beliau bertanggungjawab membawa Chen Ping menjadi anggota PKM.
  • Tahun 1940, beliau ditugaskan menyusun buruh penoreh getah, intelektual dan pelajar di kawasan Kampar, Slim River, Tanjung Malim dan lain-lain.
  • Tahun 1941, beliau dihantar menyusun buruh bijih timah di kawasan Tanjung Tualang – suatu industri terpenting penjajah British. Di sinilah beliau bertemu Rashid Maidin yang menjadi buruh mahir di kapal korek tersebut.
  • Kedudukan beliau sebagai pengorganais buruh telah diintip oleh sepai penjajah. Pada suatu hari beliau dan sejumlah kader pimpinan diserbu polis. Raifel dan kader-kader tersebut ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British.
  • Di dalam penjara, beliau bertekad teguh, sedikit pun tak tunduk kepada penjajah.
  • 20 Disember 1941, beliau dan sejumlah tahanan politik dibebaskan. Lai Raifel ditugaskan memimpin satu rombongan menerima latihan militeri di Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura bagi persiapan perjuangan bersenjata. Sekolah ini diadakan atas desakan PKM memandangkan tentera fasis Jepun terus menerus mara dan tentera penjajah British terus menerus memutih tapak kaki.
  • Setelah tamat latihan selama 9 hari, Raifel memimpin regunya mara hingga ke Negeri Sembilan dan mendirikan Rejimen Ke-2 di situ.
  • Julai 1942, Lai Raifel ditransfer memimpin Rejimen Ke-5 TAJRM di Perak.
  • 1 September 1942, Lai Raifel dan sejumlah pimpinan tertingi parti dan tentera terperangkap dalam kepungan fasis Jepun ketika mengadakan persidangan diperluas Jawatankuasa Pusat Partu di Batu Caves, Selangor. Persidangan ini dirancang oleh Lai Te yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung PKM untuk membasmi pimpinan tertinggi parti dan tentera. Lai Raifel telah bertempur sehingga pistolnya kehabisan peluru. Beliau bersama kawan-kawan lain menerobosi selapis demi selapis kepungan musuh. 18 orang kawan pimpinan dan kawan pengawal telah gugur dalam peristiwa tersebut. Kepala mereka yang gugur dipotong dan digantung di jalan-jalan utama Kuala Lumpur.
  • November 1943, Lai Raifel ditangkap fasis Jepun ketika beliau seorang diri dalam perjalanan pulang dari mesyuarat.
  • Di dalam penjara beliau dikenakan bermacam-macam seksaan di luar batas peri kemanusiaan, termasuk menggunakan bujukan wanita cantik dan lain-lain namun semua helah fasis Jepun tidak dapat menundukkan tekad beliau.
  • Kerana tiada cara untuk mematahkan semangatnya, akhirnya beliau dihukum pancung oleh fasis Jepun. Beliau gugur dalam usia 21 tahun.
Sajak:
BERSEMADI UNTUK KAWAN RAIFEL *1 (translit)
Oleh Jang Chang

Di tengah jalan di Pusing
Musim panas tahun 1943,
Tiba-tiba disergap musuh *2
Beliau menyerbu dengan berani.

Sebab tak mahir alam sekeliling
Beliau terjerumus ke dalam paya
Terjatuh ke tangan musuh
Diseksa dipaksa menyerah diri

Rela putih tulang, tak rela putih mata
Mendakwa mengutuk musuh terlaknat
Cita-cita kesateria tinggi mengawan
Darah pahlawan menyirami medan pembunuhan
Askar dan polis musuh keparat
Terpaksa menitiskan air mata kerananya *3

Keterangan dari penulis sajak:

*1. Sebelum ditangkap oleh fasis Jepun, Lai Raifel adalah anggota Markas Besar Rejimen Ke-5 Negeri Perak, Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya, semasa korban, beliau baru berusia 21 tahun.

*2. Beliau ditangkap musuh di sebelah pagi pada bulan November 1943.

*3. Semasa korban, semangatnya telah mengharukan tidak sedikit anggota tentera dan polis sehingga mereka menitiskan air mata secara diam-diam.

(Jang Chang adalah seorang rakan seperjuangan Lai Raifel yang sama-sama meringkuk dalam penjara fasis Jepun)


Baca sajak asal (Mandarin)

WAWANCARA BERSAMA IBU SURIANI

Ibu Suriani binti Abdullah adalah salah seorang pejuang wanita yang unggul dalam perjuangan kemerdekaan tanah air kita. Selama setengah abad lebih, beliau melibatkan diri dalam kancah perjuangan untuk membebaskan tanah air daripada belenggu fasis Jepun dan penjajah British serta untuk pembebasan dan kesejahteraan rakyat. Sejak tahun 1955, beliau ikut sama memimpin pasukan Rejimen ke-10 Tentera Rakyat Malaya (dulunya Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Beliau telah membuat sumbangan yang besar, melakukan banyak aktiviti dan pekerjaan, namun sejarah peribadi beliau bertautan erat dan berpadu dengan sejarah Rejimen ke-10. Beliau dihormati dan disayangi oleh segenap komander dan perajurit Rejimen ke-10 yang menganggap beliau sekali gus sebagai pimpinan, sahabat dan juga ibu tempat mereka mencurahkan segala kesulitan dan suka duka mereka. Kini, beliau masih aktif dan gigih memimpin.


Soalan: Sejak bila Ibu terlibat dengan Rejimen ke-10?

Suriani: Sejak tahun 1953, ketika Rejimen ke-10 melakukan Perjalanan Jauh dari Pahang Selatan ke Utara Malaya.


Soalan: Ibu begitu fasih berbahasa Melayu, bahkan menulis, membaca, berucap, malah bergaul seperti orang Melayu. Apa sebab Ibu begitu mengambil berat perjuangan orang Melayu?

Suriani: Tanahair kita berbilang kaum. Orang Melayu merupakan pengasas masyarakat bertamadun tanah air kita dan paling lama sejarahnya. Mereka juga melancarkan perjuangan yang gagah berani melawan penjajah dalam masa yang begitu panjang. Oleh itu, orang Melayu patut memainkan peranan pelopor dalam perjuangan di pelbagai medan. Dalam hidup saya pula, misalnya, semasa bersekolah Inggeris, saya bergaul dengan pelajar berbilang kaum, termasuk pelajar Melayu. Selepas Perang Anti-Jepun, saya bernasib baik dapat berdamping erat dengan pemimpin dan massa rakyat Melayu daripada kalangan nasionalis, agama, sosialis mahupun komunis. Juga dengan pejuang dari Indonesia. Saya tak lupakan sumbangsih salah seorang guru saya, Pak Jenain (Sutan Jenain), pejuang veteran dari Indonesia, yang menganggap saya murid dan anaknya.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit lagi tentang hubungan Ibu dengan gerakan kemerdekaan di kalangan orang Melayu selepas perang?

Suriani: Selepas perang, mula-mula, saya bertanggungjawab memimpin pasukan propaganda, kemudian sebagai wakil PKM bagi negeri Perak. Pada masa itulah, saya berkenalan dengan tokoh-tokoh Melayu yang masyhur, antaranya Abdullah C.D., Rashid Maidin, Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam. Gerakan kemerdekaan di kalangan orang Melayu berkembang pesat, lebih-lebih lagi dengan berdirinya PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar). Saya sering berucap bersama Dr. Burhanuddin dalam rapat umum – beliau bagi pihak PKMM dan saya bagi pihak PKM.


Selepas perang, kerana hasutan fasis Jepun dan British, berlaku rusuhan antara orang Melayu dan Cina. Kami berusaha sedaya upaya untuk mendamaikan pergaduhan tersebut dan menyatukan mereka supaya dapat sama-sama berjuang untuk kemerdekaan. Bersama- Ahmad Boestamam, saya pernah menyelesaikan satu peristiwa di Ipoh antara penjual durian Melayu dari Parit dengan orang Cina di sana. Peristiwa ini disentuh oleh Ahmad Boestamam dalam bukunya Dato’ Onn Yang Saya Kenal.


Satu peristiwa lagi yang saya masih ingat ialah rapat perayaan menyambut kemenangan Perang Anti-Jepun di Ipoh. Almarhum Sultan Perak hadir bersama dalam perayaan itu, yang dihadiri oleh hampir 100,000 orang dari seluruh Perak. Saya dijemput berucap selaku wakil PKM dalam rapat umum yang mencerminkan perpaduan berbilang kaum itu.


Waktu bertugas di ibu pejabat PKM di Kuala Lumpur, saya acap kali bertemu dengan pemimpin AWAS. Ketika bertugas di ibu pejabat parti di Singapura, saya sering bertemu dengan pemimpin buruh Melayu di sana.


Soalan: Benarkah Ibu merupakan satu-satunya wakil PKM wanita pada masa itu?

Suriani: Ya. Di negeri lain, wakil parti terdiri daripada kawan lelaki.


Soalan: Ada orang mengatakan Ibu juga pernah mewakili PKM dalam kerajaan BMA (British Military Administration) selepas perang. Benarkah?

Suriani: Benar. Saya berada dalam kerajaan BMA di Perak selama beberapa bulan. Pada masa itu, penyertaan kaum wanita dalam kerajaan dianggap sesuatu yang luar biasa, tak serupa sekarang.


Soalan: Beralih pula kepada latar belakang Ibu, bolehkah Ibu ceritakan tempat lahir dan keluarga Ibu?

Suriani: Saya lahir di Sitiawan, Perak, pada bulan Januari 1924. Bapa saya seorang kerani di sebuah pertubuhan Cina, ibu seorang suri rumah tangga. Keluarga ada sedikit kebun getah. Saya anak keempat daripada lima beradik – empat lelaki dan saya satu-satunya anak perempuan.


Soalan: Bagaimana pula pendidikan Ibu?

Suriani: Saya masuk sekolah rendah ketika berusia lima tahun, kemudian belajar di peringkat menengah di Nan Hwa High School, Sitiawan. Dari sekolah rendah hingga lulus sekolah menengah, biasanya memakan masa sembilan tahun. Tetapi, kerana kemajuan belajar yang baik, saya lompat darjah dua kali dan lulus dalam masa tujuh tahun. Sekolah Nan Hwa mungkin tercatat dalam sejarah kerana di situ juga Chin Peng belajar. Pada tahun 1937, saya masuk Kelas Normal untuk jadi guru, kemudian menyambung pelajaran di sekolah Inggeris dan lulus Kelas Tujuh. Waktu di sekolah Inggeris, saya mengajar bahasa Cina kepada pelajar-pelajar Cina sebelah petang.


Soalan: Jadi Ibu kenal Chin Peng sejak di bangku sekolah lagi?

Suriani: Ya.


Soalan: Ibu, satu perkara yang menarik perhatian ialah pada masa itu, ramai pelajar, termasuk Ibu sendiri, sudah menyertai perjuangan sejak umur masih remaja lagi. Walaupun umur baru awal belasan tahun, pemikiran sudah matang seperti orang dewasa. Mengapa agaknya? Dan apa pula pengaruh terhadap Ibu dan pelajar-pelajar lain?

Suriani: Mungkin kerana keadaan pada masa itu dan juga kerana kami menerima pengaruh progresif sejak di bangku sekolah lagi.


Keadaan politik dunia dan Asia amat bergolak dalam tahun 1930-an. Perjuangan melawan kuasa penjajah dan fasis sudah berkembang. Fasis Jepun telah menduduki sebahagian daripada negeri China dan mahu bergerak menguasai seluruh Asia. Di seluruh dunia, umat manusia progresif telah mengibarkan panji anti-fasis yang dipimpin oleh Uni Soviet. Malaya juga bergolak dengan perjuangan anti-penjajah dan anti-fasis, lebih-lebih lagi di kalangan kaum buruh dan pelajar. Di kalangan orang Cina, PKM memainkan peranan yang sangat penting. Di kalangan orang Melayu, terdapat Kesatuan Melayu Muda (KMM).


Saya masih ingat, pada masa itu, di sekolah saya, ramai orang adalah aktivis dalam gerakan anti-penjajah dan anti-fasis, termasuk guru-guru saya. Pemimpin-pemimpin penting PKM, seperti Huang Cheng, pernah datang ke Sekolah Nan Hwa membuat ucapan. Dalam keadaan demikian, ramai pelajar, termasuk saya, ikut serta dalam gerakan progresif, melawan penjajah dan melawan fasis. Yang sangat aktif masa itu ialah Chin Peng, yang kemudian menjadi Setiausaha Agung PKM.


Soalan: Apakah ada pengaruh-pengaruh lain lagi terhadap Ibu?

Suriani: Oh ya, sebuah buku bertajuk Red Star Over China, kalau tak silap diterbitkan pada tahun 1937.


Soalan: Buku karangan Edgar Snow, bukan?

Suriani: Ya. Buku tulisan pengarang Amerika itu memberi kesan yang mendalam kepada saya dan pelajar-pelajar lain.


Soalan: Adakah keluarga Ibu bersetuju dengan tindakan Ibu?

Suriani: Masyarakat pada masa itu memang tidak bersetuju anak-anak gadis mencampuri gerakan politik. Dalam keluarga saya, sebanyak tiga generasi tak ada anak perempuan. Jadi, sebagai satu-satunya anak perempuan, saya sangat disayangi oleh orang tua. Saudara boleh bayangkan sikap mereka terhadap saya.


Soalan: Jadi, bagaimana Ibu akhirnya dapat mengatasi masalah keluarga?

Suriani: Tekad dan keberanian. Apabila kita bertekad dan berani, dan perkara yang kita hendak lakukan itu betul, kita dapat lakukannya, sekalipun kita wanita. Siapa tak sayang orang tua dan adik-beradik – tentu sekali sayang. Tapi, kita juga sayangkan tanah air dan rakyat. Maka, kita perlu atasi kongkongan keluarga. Inilah yang saya lakukan. Pada masa itu (tahun 1939), untuk meneruskan perjuangan, saya terpaksa meninggalkan orang tua dan pergi ke Ipoh dengan bantuan kawan-kawan. Masa itu, ramai pemuda pemudi lain turut bertindak begitu. Keluarga saya menjadi gempar. Mereka membuat aduan kepada polis dan saya dicari polis di merata tempat.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit perjuangan Ibu menjelang dan sesudah fasis Jepun menduduki Malaya?

Suriani: Pada tahun 1940, di Ipoh, saya diterima menjadi seorang anggota PKM. Ketika itu, saya berusia 16 tahun. Untuk melampas diri dan bersebati dengan massa rakyat, saya dihantar bekerja di kalangan kaum buruh, mula-mula di Taiping, kemudian di Kampar. Pada awal 1941, saya memimpin mogok buruh wanita syarikat rokok di Kampar. Kerana selalu diekori oleh polis, saya pun beralih ke kawasan Pusing dan Teronoh. Di sana, seorang kader wanita kena tangkap. Saya pun diatur mengambil alih tugas beliau memimpin kerja wanita dan meneruskan penerbitan majalah Wanita. Pada bulan Disember 1941, kerana sudah “merah”, PKM mengatur saya berpindah ke Singapura. Ketika menunggu kereta api di Ipoh, tiba-tiba, kapal terbang Jepun datang mengebom, maka rancangan itupun dibatalkan. Saya berundur ke kawasan desa di Chemor. Pada tahun 1942, saya menjadi Setiausaha Jawatankuasa Parti Bandar Ipoh, tetapi kerana ada pengkhianat, tak lama kemudian, saya pun masuk pasukan.


Soalan: Apakah tugas Ibu dalam pasukan?

Suriani: Saya masuk Rejimen ke-5 Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya dan bertugas sebagai Wakil Parti dalam Kompeni Teladan. Ini memberi rangsangan yang kuat kepada kawan-kawan wanita.


Soalan: Kami dapat tahu Ibu pernah ditangkap oleh fasis Jepun dan diseksa. Bagaimana ini berlaku?

Suriani: Saya berada dalam Tentera Anti-Jepun untuk satu masa. Kerana keperluan kerja, saya ditukar daripada tentera untuk memimpin Jawatankuasa Daerah, mula-mula di Chemor dan Sungai Siput, kemudian di Tanjung Tualang, dan Batu Gajah dan lain-lain. Sambutan orang ramai, termasuk lapisan atas, terhadap perjuangan anti-Jepun sungguh baik. Tapi, perjuangan memang sangat kencang masa itu. Askar-askar Jepun selalu menyerbu dan menggeledah, kami sentiasa dalam bahaya. Suatu hari, kerana kerja berat, saya jatuh sakit dan tak dapat balik ke pangkalan di tepi hutan. Kami bermalam di sebuah rumah di tepi kampung. Rupanya, askar Jepun datang menggeledah dari rumah ke rumah dan melakukan penangkapan. Saya masih ingat peristiwa itu berlaku pada 28 Januari tahun 1945. Anasir cergas yang yang berjaga sewaktu kami tidur tidak sedar ketika askar fasis Jepun mengepung rumah. Saya terjaga mendengar tembakan pengawal saya yang bertempur dengan musuh. Malangnya, dia terkorban dalam peristiwa itu. Saya mencabut pistol menembak dua kali, tetapi sayangnya, kedua-duanya tak meletup. Saya pun ditangkap oleh askar Jepun dan dibawa ke pejabat Kempeitai (polis tentera Jepun) di Ipoh. Dalam tahanan, apabila ada kesempatan, saya berucap kepada tahanan lain dan mengajak mereka bernyanyi. Apabila disoal siasat, saya berbahas dengan algojo-algojo (fasis Jepun) itu, yang mengenakan bermacam-macam seksaan terhadap saya.


Soalan: Bilakah Ibu dibebaskan?

Suriani: Saya dibebaskan setelah Jepun menyerah diri pada 15 Ogos tahun 1945.


Soalan: Kami mendapat tahu Ibu pernah mendapat gelaran “Serikandi anti-Jepun” dalam satu sidang antarabangsa di Beijing. Bolehkah Ibu ceritakan sedikit tentang gelaran ini?

Suriani: Kemuliaan ini bukan untuk saya peribadi, tetapi sebagai penghargaan sumbangan kaum wanita tanah air kita dalam perjuangan anti-fasis. Dalam sidang itu, kisah tiga kawan wanita dari Malaya, termasuk saya, telah diperkenalkan, dan kami dianggap sebagai “Serikandi Anti-Jepun”. tetapi hal ini sudah begitu lama dahulu, dan saya sendiri tidak hadir dalam sidang itu. Saya tidak begitu ingat apakah sidang itu Sidang Perwakilan Wanita-Wanita Asia dan Australia pada tahun 1949, ataupun Sidang Perwakilan Serantau Asia-Pasifik pada tahun 1952, yang kedua-duanya berlangsung di Beijing.


Soalan: Ibu pernah ke Indonesia selepas perang?

Suriani: Ya, saya melawat Indonesia pada tahun 1947 dengan tujuan melawat sambil belajar serta memperkenalkan pengalaman Perang Anti-Jepun di Malaya. Saya dijemput berucap di Universiti Madiun dan tempat-tempat lain. Saya juga membantu Siauw Giok Tjan, Menteri Urusan Minoriti, untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada penduduk Tionghua supaya mendukung Republik Indonesia. Setiap hari, saya menulis rencana bahasa Cina di bawah arahan Tan Ling Che (pimpinan tertinggi Parti Komunis Indonesia), dan setiap malam pula, saya sendiri membaca rencana tersebut di Radio Republik Indonesia di Jogjakarta. Ketika itu, dalam kabinet Sukarno, terdapat empat orang anggota pimpinan PKI menjadi menteri. Saya diundang bertemu dengan Syarifuddin, yang menjadi Menteri Pertahanan. Saya mendapat sambutan hangat daripada kawan-kawan Indonesia yang sangat mengambil berat, lebih-lebih lagi kerana saya seorang wanita. Saya juga sempat menghadiri perayaan ulang tahun kemerdekaan Indonesia di Istana Presiden dan bertemu dengan Sukarno. Saya kembali ke Singapura berseorangan pada awal tahun 1948.


Daripada seorang wanita muda remaja, Suriani menjadi seorang pemimpin gerakan buruh, kemudian masuk hutan bergerila memanggul senapang. Beliau dilahirkan dalam putaran zaman itu. Beliau menyahut panggilan arus zaman yang raksaksa dan menempuh jalan hidup yang militan. Beliau mengharungi kehidupan perang gerila berpuluh puluh tahun di hutan rimba tropika. - catatan seorang analisis yang pernah beberapa kali berkunjung ke Kampung Perdamian Sukhirin


Soalan: Apakah Ibu sempat berkenalan dengan kawan-kawan dari negeri-negeri lain?

Suriani: Ada juga. Saya masih ingat, selepas Perang Anti-Jepun, banyak rombongan daripada pelbagai parti sekawan datang ke Malaya menemui kami. Ada rombongan dari Uni Soviet, ada juga dari England, Australia, India dan lain-lain. Saya ditugaskan menjadi pengiring dan penterjemah kepada rombongan perwakilan wanita dari Uni Soviet. Mereka menjemput saya melawat negeri mereka, tetapi saya tak dapat pergi.


Soalan: Bagaimanakah keadaan Ibu setelah British mengisytiharkan darurat pada 20 Jun 1948?

Suriani: Kerana penjajah melancarkan perang dan melakukan penangkapan besar-besaran, perjuangan secara damai untuk kemerdekaan terpaksa berubah menjadi perjuangan bersenjata. Mula-mula, saya bertugas dalam Jawatankuasa Negeri di Johor. Tak lama kemudian, saya dipindahkan ke Pahang dan bertanggungjawab atas kerja ketua politik dalam Markas Besar Rejimen ke-6. Ketika Rejimen ke-10 beredar dari Temerloh ke Utara Malaya pada tahun 1953-54, saya ditugaskan membantu Bapak Abdullah C.D. mengurus kerja hubungan dengan penanggungjawab tempatan, menguruskan bekalan, termasuk ubat, membuat kerja terjemahan dan lain-lain sepanjang jalan. Pada akhir 1954 dan 1955, parti menugaskan saya sebagai Pegawai Perhubungan Jawatankuasa Pusat PKM dengan Rejimen ke-10. Kemudian, pada tahun itu juga, saya dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen ke-10.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit pengalaman Ibu dalam Perang Anti-British?

Suriani: Pokoknya serupa dengan kawan-kawan lain juga. Kami bertekad tetap berjuang dan rela mengorbankan diri demi kemerdekaan tanah air. Semasa berpindah dari Johor ke Pahang, saya membawa puluhan kawan wanita menghadapi pemburuan dan halangan tentera British. Saya pernah beberapa kali diserang hendap di Johor, tetapi selamat. Di Mentakab, kapal terbang British mengebom dari pagi sampai petang selama seminggu, tetapi kami berundur ke tepi kampung, meneruskan kerja kami. Walaupun kadang-kadang menghadapi kelaparan, tetapi kami tetap berjuang dengan tabah. Begitu juga semasa Perjalanan Jauh ke sempadan Negeri Thai.


Soalan: Apakah tanggungjawab Ibu dalam PKM?

Suriani: Saya dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat sejak tahun 1975.


Soalan: Ramaikah pemimpin pusat PKM terdiri daripada wanita?

Suriani: (ketawa) Ramai tentulah tidak, tetapi ada beberapa orang. Jumlahnya tak dapat saya sebut buat masa sekarang. Harap maaf, ya.


Soalan: Dalam Rejimen ke-10, apakah terdapat ramai kawan wanita?

Suriani: Ya, ramai juga, hampir separuh. Kalau saudara tengok filem video Rejimen ke-10 Bunga Rampai 8 Mac, saudara boleh saksikan peranan kawan-kawan wanita di sini.


Soalan: Bolehkah ceritakan peranan Ibu di Rejimen ke-10 dan pengaruh Ibu terhadap kawan-kawan pasukan ini?

Suriani: Saya berada dalam Badan Pimpinan Rejimen ke-10 yang diketuai oleh Bapak Abdullah C.D.. Dalam badan pimpinan ini, terdapat juga Bapak Rashid Maidin dan pemimpin lain. Kami melakukan bermacam-macam pekerjaan seperti pendidikan, pembesaran dan pengukuhan pasukan, mengarahkan pertempuran, memimpin kerja bawah tanah, kerja massa dan barisan bersatu.


Yang amat mengharukan saya ialah semangat kepatuhan dan semangat kepahlawanan para komander dan perajurit Rejimen ke-10. Kawan-kawan, baik lelaki mahupun wanita, tak tunduk pada kesukaran, bahaya dan pengorbanan. Mereka telah membuat sumbangan yang amat berharga kepada usaha kemerdekaan tanah air dan kebahagiaan rakyat. Mereka layak digelar sebagai “kesuma bangsa”.


Satu perkara lagi, di Rejimen ke-10, jumlah terbanyak ialah kawan-kawan Melayu, tetapi terdapat juga terdapat kawan-kawan Cina, India, Thai dan Orang Asli. Inilah keistimewaannya – lima kaum erat bersatu bagaikan satu keluarga. Ini memang satu lambang perpaduan kaum masyarakat kita.


Terhadap saya, walaupun saya wanita, keyakinan, kemesraan dan kerjasama yang mereka berikan cukup ikhlas dan amat mengharukan. Pendek kata, ia tak berbelah bahagi, sama seperti terhadap pemimpin yang lain.


Soalan: Pada tahun 1981, Bapak Abdullah C.D. mendirikan PKMRM. Apakah pendapat Ibu tentang PKMRM?

Suriani: Saya rasa kelahiran PKMRM memang kena pada masanya. Ia sesuai dengan perkembangan sejarah dan keperluan perjuangan orang Melayu dewasa ini.


Soalan: Kalau tak melanggar tatasusila dan kesopanan, kami ingin menanyakan satu soal yang ramai orang ingin tahu, iaitu hubungan Ibu dengan Bapak Abdullah C.D..

Suriani: Kami berkenalan pada tahun 1945 di Ipoh. Pada masa yang sama, saya juga berkenalan dengan Pak Rashid Maidin. Perasaan saya amat gembira kerana dapat bersahabat dengan kawan-kawan Melayu dan dapat sama-sama berjuang untuk tanah air.


Soalan: Bilakah Ibu mendirikan rumah tangga dengan Bapak Abdullah C.D.? Bagaimanakah kehidupan Ibu bersama beliau?

Suriani: Kami mendirikan rumah tangga pada awal tahun 1955. Selama puluhan tahun ini, kami berjuang bersama, bertempur bersama, sama suka sama duka, siang malam memerah otak untuk mendewasakan Rejimen ke-10 serta mengembangkan perjuangan yang mulia ini. Kami berazam berjuang bersama-sama sampai ke akhir hayat.


Soalan: Apakah Ibu mendapat cahaya mata?

Suriani: Ya, kami dikurniakan seorang cahaya mata, seorang anak perempuan.


Soalan: Dia ada bersama-sama Ibu, bukan?

Suriani: Ya, sekarang dia sudah dewasa dan sudah berumah tangga.


Soalan: Apakah tanggapan Ibu tentang perjuangan kaum wanita tanah air kita selama puluhan tahun ini?

Suriani: Kata-kata Kartini memang benar: “Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncang dunia.” Pengalaman perjuangan kaum wanita tanah air kita pun demikian. Dalam sejarah, kita sudah jumpa nama serikandi Tun Fatimah dan Cik Siti Wan Kembang. Dalam abad ini, sebelum pendudukan fasis Jepun, ramai kaum wanita buruh, tani dan pelajar telah disusun dan bangkit berjuang melawan penjajah. Semasa pendudukan Jepun, ramai lagi wanita – baik buruh, tani mahupun pelajar – telah bangkit. Ada yang masuk pasukan gerila, ada yang ditangkap dan dibunuh. Dalam tindakan menyerbu keluar dari Penjara Pudu pada bulan Mei 1943, terdapat juga kawan-kawan wanita. Selepas perang, kaum wanita lebih aktif lagi. Pertubuhan wanita pelbagai kaum tumbuh seperti cendawan pada musim hujan. Di kalangan orang Melayu, terdapat Angkatan Wanita Sedar atau AWAS. Pemimpin dan anggota AWAS yang saya dampingi masa itu sungguh bersemangat. Dalam Rejimen ke-10 sekarang ini, terdapat sejumlah bekas anggota AWAS. Masa aman, PKM telah bergabung dalam barisan bersatu PUTERA-AMCJA untuk memperjuangkan kemerdekaan.


Soalan: Bagaimana setelah meletus darurat?

Suriani: Setelah peristiwa “20 Jun” (tahun 1948), ada kawan-kawan wanita yang ditangkap, ada yang meneruskan perjuangan di bawah tanah, dan tidak sedikit yang masuk hutan mengangkat senjata melawan British. Bersama kawan-kawan lelaki, mereka telah mencurahkan usaha yang luar biasa dan mengorbankan keremajaan mereka demi tanah air. Ramai terkorban sebagai serikandi yang patut menjadi kebanggaan bangsa ibu pertiwi kita. Saudara tentu kenal dengan nama serikandi Maimun, Asiah, Zahurah, Hitam dan lain-lain.


Soalan: Sebagai pejuang wanita unggul tanah air kita, Ibu telah menempuh seribu satu ujian, menghimpun banyak pengalaman dan telah mengukir sejarah yang berkilauan bagi kaum wanita masyarakat kita. Apakah pesanan Ibu kepada kaum wanita generasi sekarang?

Suriani: Dengan izin, ingin saya nyatakan sedikit pesan dan harapan. Kita tahu kaum wanita menyangga separuh langit. Lebih-lebih lagi, bagi kaum wanita hari ini, mereka mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi dan terbabit dalam banyak lapangan – kilang, pertanian, pendidikan, politik, undang-undang, pentadbiran, kewartawanan, kesusasteraan, kesenian, tentera, polis dan lain-lain. Masyarakat sudah beransur-ansur mengakui peranan penting kaum wanita. Ini tidak sama dengan puluhan tahun dulu. Ini adalah hasil perjuangan wanita sendiri. Kaum wanita mesti perhatikan perkembangan keadaan dalam dan luar negeri, mesti mengambil ambil berat soal tanah air dan masyarakat. Mereka harus mengkaji perubahan dalam masyarakat, harus tekun belajar dan meningkatkan taraf pengetahuan sendiri, termasuk pengetahuan dalam soal agama, dan harus menceburkan diri dalam aktiviti yang maju demi kebaikan masyarakat dan kaum wanita. Jangan semata-mata tumpukan pada diri sendiri dan rumah tangga. Wanita juga mesti hilangkan rasa rendah diri atau inferiority complex di jiwa mereka dan tanam rasa yakin diri.


Soalan: Ibu sudah berusia 80 tahun lebih, tetapi masih sihat dan cergas, bahkan kelihatan jauh lebih muda. Bagaimana Ibu menjaga kesihatan?

Suriani: Sihat itu sihat juga, tetapi kita yang hidup ini tak lepas daripada sakit, dan suatu hari, tentu kita akan tinggalkan dunia ini. Tetapi, masa kita hidup, biarlah badan kita sihat supaya dapat bekerja dan buat sumbangan. Bagi saya, mungkin kegemaran bersukan ada membantu. Sejak di sekolah, saya sangat suka bersukan. Pada masa sekarang, saya tidaklah begitu aktif. tetapi saya masih mengamalkan taichi qigong dan setiap pagi, berjalan setengah jam lebih.


Soalan: Apakah kegemaran Ibu yang lain?

Suriani: Membaca dan juga kesenian.


Soalan: Bercakap tentang seni, apakah pandangan Ibu tentang kesenian dalam masyarakat hari ini? Seni yang macam mana patut dikembangkan?

Suriani: Saya nampak ada dua aliran. Yang satu ialah kesenian yang kebaratan, atau apa yang dipanggil kebudayaan kuning. Nampaknya, kebudayaan inilah yang banyak membanjiri masyarakat kita dan mempengaruhi muda mudi kita. Ini tidak sihat.


Satu lagi aliran ialah gerakan menghidupkan kesenian asli, mengembangkan yang asli menurut perkembangan atau perubahan zaman di samping mencipta yang baru. Ada pula bentuk-bentuk seni yang mengintegrasikan ciri-ciri berbilang kaum di dalamnya seperti dalam tarian. Saya rasa ini baik dan sihat.


Pada prinsipnya, di masyarakat kita, kita patut membentuk kebudayaan masyarakat dengan kebudayaan Melayu sebagai unsur utama, dan kebudayaan kaum lain sebagai unsur penting yang tidak patut disisihkan. Di atas prinsip ini, seni itu mestilah maju isinya, popular dan bersifat rakyat unsurnya, serta mencerminkan kepusparagaman kesenian pelbagai kaum di Malaysia. Ini mungkin dapat membantu perpaduan kaum dan pembentukan Bangsa Malaysia tanpa paksaan.


Soalan: Akhir sekali, apakah pendapat Ibu tentang usaha memperkuatkan perpaduan kaum?

Suriani: Kita mesti kikis perasaan kebangsaan sempit atau perkauman, mesti berpandangan bahawa semua kaum adalah bersaudara dan sama darjat. Saya rasa setiap warganegara mesti mengambil berat penguasaan bahasa Melayu dan memahami adat resam Melayu dan sejarah tanah air. Usaha-usaha mempelajari bahasa, adat resam dan sejarah kaum lain juga patut digalakkan. Pokoknya, kita mesti berhasrat bersatu padu, mesti saling belajar, saling membantu dan saling melengkapi. Inilah pegangan saya selama ini. Sikap semacam ini patut ditanam dalam diri anak-anak kita sejak kecil lagi, khasnya di rumah dan di bangku sekolah. Ia juga patut disebarkan dalam media massa.



WAWANCARA BERSAMA BAPAK ABU SAMAH

Abu Samah bin Muhamad Kassim adalah seorang putera Sungai Pahang, cicit kepada pahlawan bangsa anti-British, Datuk Bahaman. Beliau menceburkan diri dalam gerakan kemerdekaan sejak selepas Perang Dunia Kedua. Demi mewarisi cita-cita moyangnya, beliau bersama-sama mengangkat senjata melawan penjajah British setelah meletusnya Peristiwa 20 Jun 1948. Di Rejimen ke-10, beliau banyak kali memimpin pertempuran melawan penjajah, pernah dianugerah gelaran “Pahlawan” dan dilantik menjadi anggota badan pimpinan Rejimen ke-10 sejak paruh kedua tahun 1950-an. Sebagai seorang ahli perjuangan dan pemimpin, sejarah beliau dan sumbangannya bertautan erat dan berpadu dengan sejarah Rejimen ke-10.

Soalan: Kami difahamkan Bapak berasal daripada keluarga Datuk Bahaman. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit?
Abu Samah: Moyang saya, Haji Daud dan Datuk Bahaman adalah saudara sepupu. Ayah saya Muhamad Kassim adalah cucu Haji Daud, atau cucu sepupu Datuk Bahaman. Jadi, saya adalah cicit beliau.

Soalan: Keturunan sebelah emak pula, bagaimana?
Abu Samah: Emak saya keturunan Bugis. Nenek moyang emak saya yang anti-penjajah Belanda terpaksa lari dari Sulawesi, lalu menetap di Selangor. Datuk saya, Daeng Busu bersama orang Bugis yang lain menyertai Perang Bahaman. Tempat mereka di Kelang dan perkampungan Bugis lainnya di Selangor bahkan menjadi pangkalan yang mendukung Perang Bahaman. Emak saya anak Daeng Busu.

Soalan: Kami dengar Bapak juga ada pertalian dengan kerabat diraja Pahang. Benarkah?
Abu Samah: Hanya ada sedikit pertalian saja. Saudara mungkin tahu tentang sejarah Bendahara Wan Ahmad, yang menang dalam perang saudara di Pahang dengan bantuan Bahaman dan ditabalkan menjadi Sultan selepas itu. Salah seorang isteri baginda ialah Hajjah Cik Fatimah, emak saudara saya dari sebelah ayah. Mereka mendapat seorang anak bernama Tengku Muhamad yang bergelar Tengku Panglima Perang (ayahanda kepada Almarhumah Tengku Afzan Tengku Ampuan Pahang). Tengku Muhamad adalah salah seorang orang kuat Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Pahang, dan menjadi Menteri Besar Pahang selepas Perang Dunia Kedua.

Soalan: Bagaimana tentang ayah Bapak?
Abu Samah: Ayah saya bergerak bersama anak Bahaman, Datuk Muhamad yang menjadi Penghulu Semantan. Dalam tahun 1920-an, mereka menganjurkan gerakan patriotik anti-British, mengerahkan pengikut mereka menampal poster, merampas gudang garam British serta menyerang balai polis penjajah di Mempatih dan merampas senjata. Selepas peristiwa terakhir itu, rahsia gerakan mereka terbocor. Datuk Muhamad dibuang daerah ke Selangor. Ayah saya pula terkena racun oleh tali barut British dan meninggal dunia pada tahun 1932.

Soalan: Bagaimana tentang emak dan adik-beradik Bapak?
Abu Samah: Saya ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Saya anak yang keempat. Abang pertama saya bergerak bersama Penghulu Muhyiddin (cucu Bahaman dan anak kepada Mat Lela), seorang penyokong kuat gerakan anti-Jepun. Tetapi, kerana angkara pengkhianat, fasis Jepun menangkap dan membunuh Penghulu Muhyiddin, manakala abang saya dibunuh secara gelap oleh anasir pro-Jepun. Seorang lagi abang juga anti-British dan menyokong Perang Anti-British. Menurut berita, dia dan emak saya mati diracun oleh orang tertentu dalam tahun 1970-an. Syukur alhamdulillah, adik- beradik perempuan saya masih hidup.

Soalan: Adakah adik-beradik Bapak menjenguk Bapak di sini sekarang? Bagaimana pandangan mereka terhadap perjuangan Bapak?
Abu Samah: Kini, dua orang adik perempuan saya masih ada lagi. Dalam masa Perang Pembebasan dan selepas perdamaian iaitu penghujung tahun 80-an dan awal 90-an adik-adik dan anak-anak saudara saya acap kali datang menemui saya di Sukhirin, Selatan Thai. Dan selepas perdamaian ini saya juga beberapa kali balik ke Pahang menziarahi kaum keluarga.
Sejak saya menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10, sanak saudara dan adik beradik saya tak pernah menentang cita-cita saya. Bahkan pada tahun 1951 Tengku Mohamad (anak Sultan Abdullah – saudara sepupu saya) pernah berpesan sekali-kali jangan menyerah diri, kalau tak tahan dalam hutan, kembali berlindung di rumahnya. Dalam masa yang sama Tun Abdul Razak juga pernah menghadiahkan sebuah jam rolex sebagai kenang-kenangan.

Soalan: Melihat latar belakang keluarga Bapak, nampaknya Bapak tentu telah mendapat didikan politik sejak kecil lagi. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit perkara ini?
Abu Samah: Saya lahir di Semantan, Temerloh, pada bulan Februari 1926. Semantan adalah kampung halaman Datuk Bahaman dan pernah menjadi medan perangnya. Banyak peninggalan Perang Bahaman, umpamanya keris, lembing, tombak, kubu dan lain-lain terdapat di sana dan di lain-lain tempat di Pahang. Sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan peninggalan ini dan diasuh dengan kisah-kisah perang Bahaman melawan British dan Perang Bugis melawan Belanda. Mat Lela, Datuk Muhamad, Cik Yang (ketiga-tiganya anak Bahaman) dan Daeng Busu selalu menceritakan kisah-kisah ini kepada saya. Orang Semantan pula, kalau bukan kerabat Bahaman, adalah pengikutnya yang bersemangat anti-British. Semasa di sekolah lagi, saya membaca hikayat yang meniupkan semangat seperti Tajul Muluk, Sultan Bistamam, kisah-kisah Perang Jawa dan Syair Siti Zubaidah. Demikianlah suasana dalam mana saya dibesarkan.

Soalan: Apakah Bapak menganggotai Kesatuan Melayu Muda (KMM)?
Abu Samah: Saya tidak menjadi anggotanya, tetapi penyokongnya saja, kerana pada masa itu, saya baru berumur antara 13 hingga 15 tahun. Tetapi saya membaca dan melanggan akhbar-akhbar terbitan KMM seperti Warta Jenaka dan Warta Ahad.

Yang mempengaruhi saya dengan agak mendalam ialah abang sepupu saya, Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad. Beliau adalah seorang ahli KMM yang dihormati oleh Ibrahim Yaacob, lebih-lebih lagi kerana beliau putera Sultan. Pada tahun 1939, saya diterima oleh Abu Bakar College, sebuah sekolah Arab di Pekan, untuk melanjutkan pelajaran di sana. Tetapi, Tengku Muhamad mengusulkan saya masuk Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), sebuah pasukan sukarelawan untuk membela tanah air. Alasannya ialah dalam pasukan itu, saya boleh bekerjasama dengan tokoh-tokoh KMM seperti Cikgu Abdul Rahman Talib (selepas Merdeka, menjadi Menteri Pelajaran), yang juga dari Pahang. Setelah fasis Jepun mendarat di Kelantan, pasukan saya dihantar ke sana. Masa itu, saya berpangkat Lanskoperal.

Soalan: Jadi, berapa tahun Bapak sempat bersekolah?
Abu Samah: Saya lulus Darjah Lima Sekolah Melayu, dan kemudian belajar di sekolah agama dan Arab selama tiga tahun. Masa pendudukan Jepun, saya belajar bahasa Jepun satu dua tahun.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit keadaan di tempat Bapak setelah British kalah dan Jepun menduduki Malaya?
Abu Samah: Apabila British kalah, Sultan Abubakar bersama kerabat-kerabat diraja, termasuk Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, berundur dari Pekan dan berlindung di Semantan. Pembesar Pahang, seperti Datuk Hussein dan anaknya Abdul Razak (kemudian bergelar “Tun” dan menjadi Perdana Menteri Malaysia), juga berlindung di situ dan tinggal di rumah saya serta rumah saudara-mara saya di sana. Tengku Muhamad menugaskan saya dan Razak sama-sama membuat penerangan kepada keluarga diraja tentang program KMM untuk mendapat kemerdekaan daripada British dengan bantuan Jepun. Selain itu, beliau juga mengatur saya menjadi utusan untuk hubungan surat-menyurat antara beliau dengan tokoh KMM yang lain seperti Cikgu Abdul Rahman Talib di Temerloh dan Encik Mohd Yassin Salleh di Mentakab.

Soalan: Jadi Bapak adalah sahabat Allahyarham Tun Razak masa itu?
Abu Samah: Ya, semasa beliau berlindung di Semantan. Kami acap kali menjalankan tugas yang diatur Tengku Muhamad pergi ke kampung-kampung di pendalaman Semantan.

Soalan: Kami dengar Bapak pernah ke Singapura masa pendudukan Jepun. Benarkah?
Abu Samah: Benar. Atas usulan abang saya, saya ke Singapura pada tahun 1943 untuk mengelakkan diri daripada ditangkap kerana terlibat dalam gerakan Penghulu Muhyiddin, yang ditangkap oleh Jepun sebelum itu dan kemudian dibunuh. Di Singapura, saya menjadi anggota pasukan Heiho berpangkat sarjan. Pada masa inilah, saya dapat berhubung dan bertemu dengan Ibrahim Yaacob, yang memimpin pasukan Malai Gyugun.

Soalan: Apakah Bapak berhubung dengan Tentera Anti-Jepun?
Abu Samah: Semasa dalam Heiho, saya dihubungi oleh seorang petugas bawah tanah yang meminta saya mendapatkan peluru dan bekalan tentera untuk Tentera Anti-Jepun. Barang-barang ini saya ambil dari gudang Jepun. Kemudian, dengan bantuannya, saya lari dari Heiho pada bulan Mac 1945 dan balik ke Semantan. Di sana, saya dapat berhubung secara langsung dengan Tentera Anti-Jepun. Mereka mengatur saya membuat kerja propaganda, mengadakan rapat perayaan antara tentera dan rakyat dan lain-lain. Tentera Anti-Jepun mendapat sokongan yang luas, bahkan berjaya menjalin hubungan dengan lapisan atas, termasuk Almarhum Sultan Abubakar.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak selepas Perang?
Abu Samah: Saya menjadi anggota PKMM pada tahun 1946 dan kemudian ketua PETA (Pembela Tanahair) di Semantan. Saya juga menyertai perarakan yang diadakan selepas tamatnya Kongres PETA di Temerloh pada tahun 1948. Dalam masa yang sama, saya diminta memasuki UMNO oleh tokoh UMNO tempatan. Selain menjadi Ketua Pemuda UMNO Semantan, saya juga dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Bahagian Pemuda UMNO Temerloh.

Soalan: Ini agak aneh, Bapak – boleh jadi ahli dua buah parti sekali gus.
Abu Samah: Ya, aneh, tetapi benar. Sebenarnya, Ketua UMNO ketika itu ialah Lebai Kamat, orang kuat PKMM. Jadi, ahli PKMM, PETA dan UMNO di situ hampir-hampir orang yang sama.

Soalan: Mengapa Bapak tidak terus menyertai UMNO sahaja, tetapi memilih menyertai PKM?
Abu Samah: UMNO didirikan dengan slogan hidup Melayu (bukan untuk kemerdekaan). Sedangkan saya sejak kecil lagi sudah tersemai dengan semangat perjuangan Datok Bahaman yang anti-British dan mahukan kemerdekaan. Kerana semangat inilah mulai tahun 1939 – 1940 saya menjadi anak tangan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pada tahun 1946 saya menjadi anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Pembela Tanah Air (PETA) dan seterusnya menyertai PKM untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Soalan: Apakah aktiviti Bapak yang lain?
Abu Samah: Saya bersama tiga orang kawan mendirikan sebuah kedai syarikat yang agak besar dan maju di Semantan. Kami juga menganjurkan gerakan kebajikan, aktiviti gotong-royong, pementasan, sukan, sekolah petang dan malam untuk belajar Inggeris, dan lain-lain. Pengaruh kami luas juga. Kami dapat kerahkan dan susun ratusan pemuda ambil bahagian. Tak lama setelah Peristiwa “20 Jun”, kedai kami ditutup dan barang-barang dirampas oleh British. Dua orang kawan saya ditangkap, manakala saya pula sebelum itu sudah pun berundur ke hutan bergerila.

Soalan: Boleh Bapak ceritakan sedikit tentang Peristiwa 20 Jun.
Abu Samah: Di Semantan, saya telahpun menjadi anggota PKMM, API dan PETA. Kemudian saya juga dimasukkan ke dalam Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Temerloh oleh Yahya Mohd Seh (Ketua Pemuda UMNO bahagian Temerloh yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang) serta dibawa menghadiri mesyuarat-mesyuarat pemuda UMNO di setiap daerah Temerloh.

Dalam pada itu, pada awal 1948, Kamarulzaman Teh mulai merapati saya. Kerana semangat mahukan kemerdekaan yang marak berkobar di dada, saya mulai merenggangkan hubungan dengan Yahya Mohd. Seh. Pada bulan April 1948, saya menghadiri Kongres PETA dan Perarakan di Temerloh. Pada 1 Mei 1948, saya membawa 100 orang lebih pemuda-pemuda menghadiri perarakan Hari Pekerja 1 Mei di bandar Mentakab.
Selepas itu, Mat Tara, intelijen British di Mentakab selalu mencari-cari saya untuk ditangkap. Kerana itu, lebih kurang sebulan setengah saya tak keluar ke mana-mana, tinggal di kampung pedalaman hingga diisytiharkan Undang-undang Darurat pada Jun 1948.

Soalan: Apa jadi kepada pemuda yang lain?
Abu Samah: Pada mulanya ketika saya masih di Semantan, kira-kira 70 orang pemuda pemudi ikut sama bergerila. Kemudian, Musa Ahmad memanggil saya bersama tiga orang kawan ke Temerloh, maka kumpulan itu pun tinggallah tanpa orang memimpin mereka. Untuk menyelamatkan mereka, saya mengusulkan kepada Musa supaya menerima mereka ke dalam pasukan, tetapi Musa menolak.

Soalan: Apa alasannya?
Abu Samah: Musa membuat alasan kita tak cukup senjata dan wang. Sebenarnya, yang penting ialah manusia yang bersemangat anti-British. Soal senjata dapat diperoleh melalui pertempuran, manakala wang dan makanan dapat diikhtiarkan dengan bersandar pada massa.

Soalan: Jadi adakah mereka terus tidak diterima?
Abu Samah: 70 orang lebih pemuda-pemuda yang bergerila itu memang tak diterima oleh Musa Ahmad. Akhirnya ornag-orang ini berpecah 3 bahagian – sebahagian menyambut seruan Sultan Abu Bakar Pahang duduk di Kampung Lamai, Pekan, Pahang; sebahagian keluar ke banda-bandar seperti Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain mencari kerja dan sebahagian lagi memasuki Polis Tambahan (SC).

Soalan: Mengapa Bapak dan kawan-kawan lain mengangkat senjata masa itu? Tak bolehkah berjuang secara damai?
Abu Samah: Nak berjuang secara damai atau sebaliknya pada masa itu bukan ditentukan oleh kita semata-mata, tetapi pada pokoknya oleh British. Kalau British sudah mengisytiharkan Undang-undang Darurat, mengharamkan semua parti dan pertubuhan patriotik, melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh negara – pendek kata, secara menyeluruh dan dengan kekerasan menindas orang yang berjuang menentangnya serta menyumbat segala saluran demokrasi, apakah yang patut kita buat? Dalam situasi begini, saya rasa, kita tidak dapat tidak mesti mengangkat senjata. Ia dipaksakan ke atas kita. Dalam agama Islam pun diizinkan berperang untuk menegakkan keadilan melawan mereka yang zalim.

Soalan: Ertinya, Bapak dan kawan-kawan lain tidak menolak cara damai?
Abu Samah: Kita tidak menolak cara damai. Bahkan setelah berperang untuk satu masa, pihak PKM menganjurkan perdamaian. Maka, diadakan Rundingan Baling pada tahun 1955. Sayangnya, ia gagal menamatkan perang secara adil dan munasabah.

Soalan: Betul, Bapak, berperang melawan British memerlukan pengorbanan yang amat besar di pihak pejuang seperti Bapak dan kawan-kawan lain.
Abu Samah: Ya. Kalau bukan demi menghalau penjajah untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat, kami tidak akan buat begitu.

Soalan: Tetapi, Bapak, ada orang mengatakan perjuangan bersenjata ini sia-sia.
Abu Samah: Ini bergantung kepada di mana orang itu berdiri. Kalau dia di pihak British, dia akan berkata lebih daripada itu – dia akan menganggap kami sebagai musuh, pengganas, pengkhianat bangsa dan lain-lain. Tetapi, kalau dia berdiri di pihak rakyat dan tanah air serta melihat perang ini secara objektif dan dalam konteks sejarahnya, dia pasti akan menarik kesimpulan bahawa perang anti-British ini adalah adil. Dia juga tentu akan mengaku bahawa orang yang mengangkat senjata melawan British adalah pejuang dan pahlawan kemerdekaan yang sejati, yang rela mengorbankan segala-galanya untuk tanah air dan rakyat. Bukankah begitu?

Soalan: Pejuang anti-British ini pula patut diberikan kedudukan yang sewajarnya dalam sejarah dan masyarakat. Bapak, satu masalah lagi – ada orang mengatakan perjuangan bersenjata ini tidak mendapat sokongan orang Melayu. Benarkah? Bolehkah Bapak ceritakan sedikit pengalaman Bapak dalam soal ini?
Abu Samah: Kalau orang Melayu tidak menyokong, Rejimen ke-10 tentu tidak dapat didirikan, apa lagi berkembang. Saya berikan beberapa contoh sokongan orang Melayu di bandar Temerloh di peringkat terakhir sebelum Rejimen ke-10 melakukan Perjalanan Jauh pada tahun 1953. Pada masa itu, Markas Besar Rejimen ke-10, yang dipimpin Bapak Abdullah C.D., beralih ke kawasan Semantan (tempat gerakan saya), dan beliau menugaskan saya memimpin sejumlah kawan mengembangkan kerja massa dan bawah tanah di sekitar bandar Temerloh.

Soalan: Bagaimana hasilnya?
Abu Samah: Hasilnya cukup memuaskan. Pertama, kerja massa. Kerana menyokong Rejimen ke-10, ramai massa rakyat dihalau ke kem-kem kurungan di sekitar bandar Temerloh. Kem-kem itu, bahkan bandar Temerloh itu sendiri, dipagari kawat berduri. Tetapi, dalam keadaan demikian pun, massa rakyat terus-menurus menyokong kami, menyampaikan maklumat, memberikan bekalan dan lain-lain.

Kedua, pasukan bersenjata British, seperti anggota AP (Auxilliary Police) dan Home Guard, ditugaskan untuk mengawal kem kurungan itu serta untuk menentang kami. Tetapi mereka inilah yang telah kami susun dan didik hingga menjadi sahabat dan penyokong kami yang teguh. Dengan adanya kawalan merekalah, kawan-kawan kami dapat keluar masuk secara bebas di kem-kem kurungan itu untuk menyusun orang ramai, mengadakan rapat umum, perayaan dan lain-lain serta mendirikan pelbagai organisasi di sana.

Ketiga, ramai anggota Batalion Askar Melayu yang berpangkalan di Temerloh juga dapat kami menangi hingga kami dapat mendirikan Persatuan Askar-Askar Patriotik. Askar-askar itu membantu memberikan maklumat, peluru, bom tangan, alat-alat kelengkapan tentera dan lain-lain kepada kami, bahkan menggunakan trak tentera untuk mengangkut alat kelengkapan kami yang penting. Ada antara mereka datang ke perkhemahan kami untuk bertemu serta berbincang.

Keempat, UMNO Pahang, khasnya UMNO Temerloh yang ketika itu hampir-hampir mati, telah dapat kami hidupkan semula melalui usaha beberapa orang kader bawah tanah yang dihantar ke sana. Dengan demikian, kami dapat membentuk barisan bersatu anti-British dengan UMNO tempatan dan UMNO di tempat lain.

Soalan: Bagaimana sambutan di kalangan tokoh-tokoh agama?
Abu Samah: Ya, tokoh-tokoh agama juga begitu. Ramai yang menyokong kami dan mendoakan semoga perjuangan kami berjaya. Saya berikan satu contoh, iaitu Imam Long, yang selain daripada menjadi Imam di Masjid Bandar Temerloh, juga memberi kuliah agama di situ. Beliau bukan sekadar menyokong kami, bahkan menjadi anggota PKM dan kader bawah tanah. Ketika itu, di Temerloh, British menempatkan pasukan African Rifles dari Kenya yang sangat ganas terhadap rakyat. Tetapi melalui usaha Imam Long, yang dapat memenangi pegawai pemerintahnya (seorang yang beragama Islam), pasukan itu berubah menjadi baik terhadap rakyat.

Soalan: Benarkah General Templar pernah datang ke Temerloh masa itu untuk meninjau keadaan tetapi tak berani tidur di bandar?
Abu Samah: Benar. Kerana takut serangan kawan-kawan kami, Templar tidur di dalam motorbot khas di Sungai Pahang dengan dikawal oleh satu batalion askar kulit putih. Ini menunjukkan prestij Rejimen ke-10 memang tinggi, dan kerja bawah tanah di Temerloh cukup berhasil.

Soalan: Kami ada membaca yang Bapak dianugerahkan gelaran “Pahlawan” oleh Markas Besar Rejimen ke-10 pada tahun 1952.
Abu Samah: Ya, gelaran itu dianugerahkan sempena ulang tahun ketiga Rejimen ke-10 kepada 13 orang kawan sebagai menilai jasa-jasa mereka dalam pertempuran.

Soalan: Apakah ada peristiwa yang tak dapat Bapak lupakan, sesuatu yang luar biasa yang Bapak alami sendiri?
Abu Samah: Mengenang balik zaman itu, ada beberapa peristiwa yang memang tak dapat saya lupakan. Peristiwa pertama berlaku pada awal tahun 1951 di Batu 7, Jalan Mentakab–Bentong. Masa itu, saya bersama enam orang kawan grup utusan terperangkap dalam satu serang hendap oleh 100 orang lebih askar penjajah British di tepi bendang di sebuah kampung. Sebaik saja kami masuk ke dalam perangkap hendapan itu, musuh menghujani kami dengan peluru dari sudut depan dan belakang. Empat orang kawan terkorban serta-merta, manakala kawan yang paling belakang sempat berundur. Tinggallah saya bersama seorang kawan lain dalam kepungan itu. Tempat itu, langsung tak ada perlindungan, hanya ada setompok lalang di tepi bendang. Kami merangkak perlahan-lahan memasuki lalang dan meniarap di situ. Ketika musuh cuba menyerbu, saya menembaknya dengan pistol. Seorang mati di situ juga, manakala rakan-rakannya lari. Musuh mengubah taktik pula. Kali ini, mereka membakar lalang itu. Bahangnya sungguh panas, tetapi mujurlah, tempat kami berlindung tidak dimakan api. Entah kenapa, sungguhpun askar itu ramai, tetapi mereka tak berani menyerbu secara mendadak ke tempat kami. Petangnya, beberapa ratus orang lagi askar didatangkan dari Kem Batu 5 yang berhampiran untuk melakukan kepungan yang rapat. Dalam keadaan yang amat pasif itu, saya berbincang dengan kawan itu supaya bertahan sampai malam, kemudian cuba menyerbu keluar. Akhirnya, kira-kira pukul 9 malam, kami secara nekad berlari keluar menembusi kawalan musuh dan terus menyelinap di celah-celah rumah orang ramai tak jauh dari situ. Ketika kami meredah khemah-khemah askar dan menuju ke bendang, askar-askar yang sedang berbual-bual itu terkejut. Apabila kami selesai menyeberangi bendang barulah askar-askar itu melepaskan tembakan yang hebat.

Soalan: Bagaimana tentang peristiwa kedua?
Abu Samah: Peristiwa kedua berlaku beberapa bulan selepas itu di rumah saya sendiri di Semantan. Masa itu, penjajah British sudah menawarkan hadiah sebanyak $30,000 untuk mendapatkan saya. Saya bersama seorang kawan hendak balik ke rumah untuk mengambil barang-barang yang dihantar oleh emak saya. Seorang pengkhianat yang gilakan wang hadiah itu telah melaporkan kepada musuh. Maka, kira-kira 160 orang askar dihantar menunggu saya di rumah. Ketika sampai di rumah, hari hampir sudah gelap dan tiba-tiba turun ribut. Kawan itu saya tinggalkan di bawah untuk berkawal, sedangkan saya sendiri naik ke rumah. Setelah berada di dalam rumah, musuh pun melepaskan berondongan demi berondongan, kemudian memerintahkan kami menyerah diri. Kawan saya luka di kaki, tetapi dia sempat berundur. Saya cuba keluar melalui pintu belakang, tetapi pintu terkunci dan tingkap bertutup. Akhirnya, dengan sebelah tangan menggenggam bom tangan dan sebelah lagi menggenggam pistol, saya turun melalui pintu depan. Di anak tangga terakhir, beberapa orang askar menerkam menangkap saya sambil memukul saya dengan gagang senapang hingga saya terjatuh. Kami bergelut, kemudian saya lempar bom tangan, lalu bergolek keluar. Dua orang askar mati dan seorang luka-luka. Saya cedera di tangan dan di pinggang. Esoknya, British mengerahkan 600 orang askar menggeledah kawasan itu untuk mencari saya.

Soalan: Setahu kami, dua kisah ini sudah menjadi dongeng, khasnya di kalangan massa rakyat di Pahang. Ada orang berkata Bapak dapat melepaskan diri daripada kedua-dua kepungan itu kerana Bapak pakai ilmu. Apakah Bapak ada ilmu halimunan dan tak lut dek peluru?
Abu Samah: (Ketawa) Memang ramai orang, termasuk askar sendiri, bercakap begitu. Tetapi, saya hanya manusia biasa saja. Yang penting dalam keadaan demikian ialah keberanian dan ketabahan, serta taktik dan teknik yang sesuai dengan keadaan.

Soalan: Bagaimana tentang nasib?
Abu Samah: Mungkin unsur nasib pun ada juga. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana saya masih hidup sampai hari ini.

Soalan: Rumah Bapak di Semantan itu patut menjadi bahan sejarah. Apakah rumah itu masih ada?
Abu Samah: Ya, masih ada, bahkan dipelihara dengan baik. Kesan-kesan peluru masih boleh kelihatan di dinding, tiang dan tempat-tempat lain. Menurut berita, rumah itu selalu dikunjungi oleh orang yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang peristiwa itu.
Satu kejadian lagi – saya juga pernah dua kali terputus hubungan dengan pasukan akibat pertempuran. Bagi setiap kali, saya terpaksa bergerak dan bertempur seorang diri berbulan-bulan lamanya di hutan dan kampung-kampung, sambil mencari hubungan semula dengan pasukan. Pengalaman ini cukup pahit dan mencabar.

Soalan: Menurut sejarah yang kami baca, Rejimen ke-10 beredar dari Temerloh menuju ke kawasan sempadan Malaya–Thai pada tahun 1953 dan tiba pada tahun 1954. Dalam perjalanan, penjajah British pula melancarkan kempen kepung basmi satu demi satu untuk menghapuskannya. Bolehkah Bapak ceritakan satu pertempuran yang melibatkan Bapak dalam melawan kempen kepung basmi ini?
Abu Samah: Salah satu pertempuran yang penting ialah serang hendap di Sungai Sekam, Cameron Highlands, pada 28 Januari 1954. Ketika itu, saya membawa satu pasukan kawan-kawan melakukan ambushing ke atas 160 orang askar pasukan handalan British yang pernah mendapat pingat keberanian dalam Perang Dunia Kedua. Dalam pertempuran itu, 40 orang askar mati dan luka-luka. Kekalahan mereka ini menyebabkan kempen “kepung basmi” -- yang sudah berjalan selama tiga bulan itu -- segera ditamatkan.

Soalan: Bagaimana sambutan orang ramai di Perak terhadap Rejimen ke-10?
Abu Samah: Ketika Markas Besar Rejimen ke-10 berada di Ulu Kinta buat sementara waktu, saya ditugaskan membawa satu pasukan ke Sungai Siput. Sambutan massa Melayu, penanam sayur Tionghua dan buruh India kepada kami sungguh hangat. Di sana, kami bergabung dengan pasukan Tionghua dan pasukan India bersama-sama melakukan kerja massa, pertempuran dan lain-lain.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di kawasan sempadan Malaya–Thai apabila Rejimen ke-10 tiba di sana?
Abu Samah: Keadaan pada mulanya sungguh sukar bagi kami. Kerana hasutan intelijen British, orang ramai terkeliru. Mereka menyangka kami benar-benar pengganas dan penyamun, hingga apabila kawan-kawan memberi salam, ada yang menjawab dengan mengangkat parang. Sungguhpun begitu, keadaan itu dapat diubah melalui tindakan nyata kami sendiri. Bila keluar ke kampung, kami bawa barang-barang hutan seperti rotan, akar-akar kayu, buah-buahan dan lain-lain yang diperlukan orang ramai. Kami lancarkan gerakan membersihkan rumah dan kampung halaman daripada sampah sarap, najis haiwan, semak samun dan lain-lain. Kawan-kawan wanita pula membersihkan pinggan mangkuk, kain baju dan mengajar orang ramai tentang bagaimana menjaga kebersihan dapur dan makan minum. Di sesetengah kampung, kami mendirikan surau dan masjid, mendorong orang ramai bersatu padu, bekerjasama dan beramal ibadat. Orang kampung pula, khasnya kanak-kanak, banyak yang berpenyakit. Maka, kami berikan rawatan sekadar yang kami mampu. Kesannya sangat baik. Orang ramai bukan saja percaya kepada kami, bahkan memberi sokongan dan dukungan yang kuat kepada kami selepas itu. Berita-berita ini tersebar luas hingga mereka dari jauh juga datang menjemput kami ke tempat mereka.

Menurut kepercayaan orang kampung, kalau anak-anak ada penyakit, serahkan dia kepada bapa atau emak angkat. Pada masa itu, saya sendiri di tiga empat buah kampung saja mendapat 37 orang anak angkat.

Soalan: (Ketawa) Oh, begitu ramai. Satu lagi Bapak – apakah Bapak pernah memimpin pasukan penggempur bergerak di tanah air?
Abu Samah: Ya. Saya pernah memimpin salah sebuah pasukan penggempur Rejimen ke-10 dari tahun 1969 hingga 1976 untuk bergerak di lembah Sungai Pergau dan Sungai Nenggiri Ulu Kelantan. Sambutan orang ramai, baik orang Melayu mahupun Orang Asli, sungguh memuaskan. Ketika bergerak di sanalah, saya bertemu dan mendapat sokongan daripada kumpulan Orang Asli yang datuk neneknya pernah ikut serta dalam Perang Bahaman. Mereka memberi perlindungan kepada Bahaman ketika angkatan beliau berundur ke Ulu Kelantan.

Soalan: Menyentuh semula soal Bahaman – apakah pendapat Bapak tentang hubungan antara Perang Bahaman dengan Perang Anti-British?
Abu Samah: Ringkasnya, boleh dikatakan Perang Anti-British ini adalah kesinambungan daripada perang patriotik dahulu, termasuk Perang Bahaman, yang dilancarkan dalam zaman yang berlainan dan di bawah syarat sejarah yang baru.

Soalan: Bapak, salah seorang pahlawan yang masyhur dalam Perang Bahaman ialah Mat Kilau. Dalam tahun 1970-an, orang heboh membicarakan yang Mat Kilau masih hidup. Apakah pendapat Bapak dalam soal ini?
Abu Samah: Saya bukan ahli sejarah. Tetapi, menurut datuk saya, Mat Lela, anak kepada Bahaman yang turut serta dalam Perang Bahaman, ketika angkatan Bahaman berundur ke Ulu Kelantan, Mat Kilau, Tok Gajah dan Mat Lela ikut bersama. Menurut cerita Mat Lela kepada saya, Mat Kilau terbunuh akibat terkena racun dalam satu jamuan yang diatur khas oleh intelijen British yang menyeludup di kalangan orang ramai yang menyambut angkatan Bahaman. Untuk pengetahuan saudara, sungguhpun Mat Lela dibuang negeri ke Chiangmai, Thailand Utara, bersama ayahnya Datuk Bahaman, tetapi 20 tahun lebih kemudian, beliau diizinkan balik ke Semantan. Beliau meninggal dunia di sana selepas Perang Dunia Kedua.

Soalan: Apakah tanggungjawab Bapak dalam Rejimen ke-10 dan dalam PKM?
Abu Samah: Saya dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen ke-10 sejak paruh kedua tahun 1950-an dan dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PKM pada tahun 1975 hingga sekarang.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit soal rumah tangga Bapak?
Abu Samah: Setelah meletus Peristiwa “20 Jun” 1948, saya masuk hutan dengan meninggalkan seorang isteri dan seorang anak kecil yang belum sampai usia satu tahun. Anak kecil itu bersama ibunya kemudian dihalau oleh British dan dikurung di Balai Polis Lancang hingga anak itu meninggal dunia di situ. Pada tahun 1958, saya mendirikan rumah tangga dengan Siti Norkiah binti Mahmud Baginda, Ketua AWAS Negeri Pahang sebelum darurat.

Soalan: Siti Norkiah berasal dari mana?
Abu Samah: Dari Raub, Pahang. Dia adalah kakak kepada Osman Abadi, bekas pengarang Utusan Melayu dan juga seorang karyawan filem.

Soalan: Apakah Bapak ingin memberikan sedikit pendapat dalam soal kemerdekaan negara kita?
Abu Samah: Kemerdekaan ini tidak dicapai dengan mudah. Ia juga bukan hasil perjuangan satu pihak atau satu golongan saja, melainkan hasil bersama yang dicapai melalui perjuangan semua parti, pertubuhan dan orang perseorangan yang anti-British dan inginkan kemerdekaan. Ada yang berjuang secara damai, seperti beberapa buah parti politik yang ada hari ini, manakala kami berjuang secara bersenjata. Kemerdekaan negara kita telah dibayar dengan darah dan jiwa pahlawan dan serikandi daripada pelbagai kaum serta dengan pengorbanan seluruh rakyat. Kita patut menilai semula sejarah secara objektif dan menyeluruh tanpa sebarang prasangka terhadap ideologi atau fahaman politik satu-satu pihak.

Soalan: Bapak, kami ada membaca anjuran PKM untuk menamatkan perang dalam negeri yang berlangsung selepas merdeka.
Abu Samah: Ya, memang sejak dulu lagi, PKM menganjurkan begitu. Kita semua adalah orang yang sebangsa dan setanah air. Kita mungkin ada fahaman dan cara yang berbeza, tetapi kita adalah patriot yang mahukan tanah air aman damai serta makmur, dan mahukan rakyat bersatu pada dan bahagia. Saya rasa anjuran PKM ini wajar. Perang ini patut diselesaikan secara adil dan munasabah agar semua pihak dapat membuat sumbangan masing-masing untuk mengisi kemerdekaan tanah air kita.

Soalan: Semasa pertempuran sama ada zaman penjajah atau selepas merdeka, Bapak terpaksa berperang dengan rakan sebangsa terutama orang Melayu. Apa perasaan Bapak ketika itu?
Abu Samah: Perjuangan saya di dalam Rejimen Ke-10 adalah untuk kemerdekaan tanah air. Musuh kami hanyalah penjajah British. Pertentangan antara kami dengan askar atau polis Melayu adalah secara politik, bukan musuh secara mutlak. Dalam tempoh awal perang melawan penjajah British, Tentera Pembebasan Nasional (TPNM) sangat kurang bertempur dengan askar-askar Melayu, kerana ramai anggota-anggota Batalion Askar Melayu ketika itu mempunyai semangat patriotik dan dapat kami menangi sehingga kami dapat mendirikan persatuan askar patriotik. Mereka membantu menyampaikan maklumat-maklumat, memberikan peluru, bom tangan, alat-alat kelengkapan tentera dan lain-lain.

Lagipun kerana banyak askar-askar Melayu itu terdiri dari keluarga-keluarga progresif,maka penjajah British kurang bersandar kepada mereka. British gunakan askar-askar yang didatangkan dari England, Australia, Afrika, Penjab dan lain-lain untuk memerangi kami.
Walaupun Perundingan Baling bulan Disember 1955 itu gagal mencapai maksud memberhentikan perang secara adil dan menasabah, tetapi kami menyokong rombongan Tunku Abdul Rahman pergi mesyuarat ke London untuk mencapai kemerdekaan tahun 1957.

Soalan : kenapa bapa memilih tidak kembali ke Malaysia?
Abu Samah: Sejak dari awal lagi saya memilih untuk balik ke Malaysia setelah selesai masalah-masalah pokok kehidupan kawan-kawan yang tinggal di Selatan Thai. Setelah masalah kawan-kawan di sini sudah dapat diselesaikan, saya kemukakan permohonan kepada pihak Malaysia untuk balik. Akan tetapi pihak Malaysia menjawab “Masa tempoh balik ke Malaysia sudah ditutup”.

nota: interview ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989, kemudian pada tahun 2005, dibuat sedikit tambahan setelah dirujuk semula kepada Pak Abu Samah.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve