To Live Is to Die

free counters

Jumaat, 19 Mac 2010

ISHAK HAJI MUHAMAD

Pak Sako, atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhamad, dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Mukim Perak, Temerloh, Pahang - negeri yang pernah melahirkan pahlawan bangsa yang agung - Datuk Bahaman.


Beliau adalah seorang pejuang kemerdekaan yang besar dan sekali gus juga seorang sasterawan rakyat yang progresif dan bercita-cita tinggi. Seumur hidup beliau telah disebatikan dengan cita-cita untuk kemerdekaan tanah air.


Beliau pernah menyertai KMM dan kemudiannya mengambil bahagian dalam menubuhkan PKMM. Saya menemui beliau apabila PKMM berpindah ke Kuala Lumpur dan menerbitkan akhbar Pelita dan majalah Suluh. Pak Sako telah dijemput menjadi salah seorang anggota sidang pengarangnya. Walaupun elaun penulis amat kecil, beliau bukanlah bekerja untuk mengejar keuntungan peribadi, malah untuk mempropagandakan cita-cita merdeka, untuk menyedarkan seluruh rakyat mengenai apa itu merdeka dan bangun berjuang untuk merdeka.

Dengan menggunakan kemahirannya di bidang kesusasteraan, beliau telah membangkitkan hati nurani rakyat untuk cita-cita merdeka. Pena beliau ibarat keris tajam yang sentiasa menikam jantung penjajah, membela keadilan dan membela rakyat jelata.

Beliau adalah seorang pemimpin penting PKMM. Bersama-sama dengan pejuang kemerdekaan lainnya dari pelbagai kaum dan aliran, beliau pernah ikut merasai pahit maung liku-liku jalan perjuangan untuk kemerdekaan, dan pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British di bawah Undang-undang Darurat.

Selepas keluar penjara, beliau bersama Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan lain-lain aktif dalam Partai Rakyat dan Partai Buruh.

Pak Sako telah meninggal dunia pada 8 November 1999. Pemergiannya merupakan satu kerugian besar negara. Sumbangannya yang besar untuk cita-cita kemerdekaan kekal abadi dalam sejarah.

PAK SAKO PEJUANG YANG DILUPAKAN

Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM


Tanggal 14 November yang baru lalu genaplah 100 tahun (jika masih hidup) usia pejuang kemerdekaan yang digeruni penjajah, reformis bangsa yang mendahului zaman dan genius Melayu yang namanya sentiasa meniti di bibir rakyat, Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Pak Sako.

Tokoh besar dalam sejarah tanah air dan cendekiawan Melayu bertaraf negarawan ini mempunyai sejarah perjuangan yang panjang bermula dengan kerelaannya meninggalkan kehidupan elit sebagai pegawai kerajaan Inggeris demi untuk bergelumang dengan perjuangan memerdekakan bangsanya. Pengorbanannya pula terpaksa ditebus dengan harga yang mahal termasuk ditohmah sebagai berhaluan kiri, komunis dan diperap ke penjara sebanyak tiga kali. Namun begitu sejauh manakah jasa patriot bangsa ini dikenang dan dihargai?Apakah pihak berkuasa jujur dengan beberapa fakta melibatkan tokoh-tokoh tertentu seperti Pak Sako dalam sejarah perjalanan negara ini menuju kemerdekaan?


Bagi adik Pak Sako, Khalid Muhammad, 75, intipati serta sepak terajang perjuangan hero rakyat itu perlu diketengahkan supaya dihayati generasi muda terutama pelajar-pelajar pengajian tinggi. Namun begitu beberapa fakta sejarah yang difahami umum selama ini perlu diperbetulkan kembali.“Betulkan balik fakta sejarah. Kerajaan kena jujur dan adil. Selama ini yang diketengahkan memperjuangkan kemerdekaan hanyalah Umno. Tanpa menolak sumbangan Umno, parti itu lebih berperanan dalam tiga aspek iaitu merundingkan kemerdekaan dengan Inggeris, menandatangani perjanjian kemerdekaan dan seterusnya mengisytiharkan kemerdekaan. Sedangkan mereka yang bergelumang dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sebenar terus dilupakan dan dimomok-momokkan pula sebagai berhaluan kiri atau komunis”.

“Dari segi anutan politik mungkinlah Pak Sako tidak sealiran dengan parti pemerintah, tetapi fakta sejarah tidak boleh dilencongkan. Bagaimana dengan tulisan-tulisannya yang membangkitkan kesedaran orang Melayu dulu untuk merdeka daripada belenggu penjajahan? Sepatutnya kajian tentang perjuangan beliau dikembangkan lagi,” katanya.


Khalid berkata, Pak Sako tidak dilayan setimpal dengan jasanya. Dalam masa beliau dipuja ramai, sebenarnya beliau ‘pergi’ begitu sahaja tanpa apa-apa penghargaan setimpal daripada kerajaan sebagai negarawan. Ketika ini bandar kelahirannya sendiri di Temerloh, nama pak Sako hanya diabadikan pada jalan yang tidak penting.“Sebagai contoh, dulu ada exco yang berjanji untuk meletakkan tanda nama pada makam Pak Sako untuk memudahkan pelawat berkunjung. Tapi hingga kini janji tetap tinggal janji. Bayangkan jika datang pelancong dari Barat yang membaca sejarah negara ini. Bagaimana pandangan mereka bila melihat sambil lewa dan tiada penghargaan daripada pihak berkuasa terhadap tokoh tempatan?”, keluh Khalid.


Dari pegawai Inggeris ke bidang penulisan dan politik

Pak Sako diputerakan pada 14 November 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung. Tengah, Temerloh bermula tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928 dan lulus Sijil Persekolahan Cambridge dalam tahun 1929 di Sekolah Inggeris Raub.Pada tahun 1930 melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar dan seterusnya memulakan perkhidmatan sebagai pegawai daerah bermula pada tahun 1931.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Majistret di Bentong dan Rembau, Negeri Sembilan. Setahun kemudian ditukarkan pula ke Kuala sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada tahun 1935 bagi menumpukan usaha menuntut kemerdekaan.Ketika itu negara-negara di rantau Asia sedang bergelut bagi membebaskan diri daripada cengkaman penjajah. Pak Sako mengikutinya dengan penuh minat.

Pada peringkat itu beliau memilih kerjaya kewartawanan bagi merealisasikan cita-citanya dan mula bertugas dengan Warta Malaya, di Singapura sebagai pengarang dan penterjemahan. Dari situ beliau terus meningkatkan kegiatannya dalam bidang penulisan. Pada tahun 1938 beliau menghasilkan novel sulungnya yang berjudul Putera Gunung Tahan.Pak Sako merupakan pengasas penerbitan akhbar Utusan Melayu yang pada waktu itu sangat berpengaruh meniupkan semangat antipenjajah dan berkhidmat bersama Abdul Rahim Kajai dan Yusof Ishak bermula pada tahun 1939 hingga tahun 1941.

Pada tahun tersebut Pak Sako ditangkap penjajah kerana terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan rakannya Ibrahim Yaakob.Setelah dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluk Singapura pada tahun yang sama, beliau menjadi Ketua Pengarang Berita Malai.Setelah tamat Perang Dunia Kedua, pada tahun 1945 Pak Sako mengasaskan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 dan PKMM diharamkan, Pak Sako disumbatkan seklai lagi di Penjara Pudu, Kuala Lumpur bersama Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Aziz Ishak. Beliau kemudiannya telah dibebaskan tanpa syarat dalam bulan Mei 1953.Setelah bebas dari tahanan tidak lama kemudian beliau dilantik Ketua Pengarang akhbar Semenanjung di Singapura. Walau bagaimanapun minatnya terhadap politik tanah air tidak pernah malap terutama apabila beliau dilantik mengetuai Parti Buruh Malaya dan Socialist Front.


Dalam pilihan raya umum (PRU) 1959, Ishak bertanding bagi kawasan Bukit Bintang dan pada tahun 1964 bertanding di Temerloh, namun gagal untuk menang.Sewaktu tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1965, Pak Sako telah ditahan sekali lagi. Selepas dibebaskan pada tahun 1966, beliau kembali menulis dengan Utusan Melayu dan penulis ruangan pojok “Pepatah Petitih” dalam majalah Gila-gila.Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Pak Sako menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk mengobarkan semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya. Beliau menghasilkan tidak kurang daripada 23 buah cerpen pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua. Dua buah daripada 17 novelnya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila adalah antara novelnya yang mendapat sambutan hangat.Selain Utusan Melayu, Berita Malai dan Warta Malaya beliau juga menulis dalam akhbar Watan, Warta Jenaka, Semangat Asia, Pelita Malaya, dan Suluh Asia.

Antara nama pena yang digunakannya ialah Isako San, Anwar, Hantu Raya, Tok Siak, Pak Pandir Moden dan Nenek Kebayan. Penulisannya menarik minat ramai kerana berbentuk sindiran, kritik, seloroh dan jenaka, bertujuan mengkritik, mengajar dan menghibur masyarakat menarik minat massa.Persoalan yang dimainkan dalam penulisannya mempunyai mesej dan bertujuan membimbing rakyat ke arah suatu kehidupan yang aman damai, bekerjasama, makmur, mewah, berbudi bahasa, berkhidmat dan berbakti. Inilah hasil rasa cintanya terhadap bangsa dan negara yang terlalu besar.

Pada 29 Jun 1973, Universiti Malaya telah menganugerahi beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan dan pada 29 Mei 1976 pula, dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri Malaysia.Pak Sako kembali ke rahmatullah pada 7 November 1991 ketika berusia 82 tahun di rumahnya di Kampung Bukit Raya, Hulu Langat, kerana diserang angin ahmar. Jenazah insan yang banyak berjasa itu diterbangkan dengan helikopter Nuri balik ke kampung asalnya di Buntut Pulau.

Sebagai menghargai jasanya dalam mempelopori bidang kewartawanan, politik dan sastera, beliau dianugerahkan “Tokoh Kewartawanan Negara” pada 24 September 1995.


Pak Sako manusia luar biasa

Seorang pengamal undang-undang, Ahmad Nizam Hamid, 40, kagum dengan pemikiran, perjuangan dan keberanian Pak Sako yang sentiasa mendahului zamannya. Bagi beliau Pak Sako manusia luar biasa yang sanggup meninggalkan kehidupan elit dan terhormat sebagai pegawai daerah dan majistret dalam perkhidmatan kerajaan Inggeris demi menceburi perjuangan membebaskan anak bangsanya yang dibelenggu penjajahan.

Beliau yang pernah membawa Pak Sako berceramah di Asrama Za’ba semasa menuntut di Universiti Malaya pada 1990, Pak Sako mempunyai keperibadian yang tinggi dan idea yang tajam dalam berunding.“Pak Sako seorang hebat, tercatat dalam sejarah selepas Jepun kalah dan Bintang 3 memerintah dengan zalim, beliaulah yang berperanan menjadi pendamai di Temerloh sehingga dapat dielakkan pertumpahan darah dengan orang Melayu tempatan. Ertinya dia berkeperibadian tinggi, pintar dan sangat dikagumi”.

“Pak sako juga tidak memilih establishment di mana beliau tidak menyertai Umno dan sanggup mengorbankan dirinya daripada kesenangan sedangkan beliau boleh memilih untuk kekal hidup mewah seperti pegawai Melayu lain yang berkhidmat dengan kerajaan Inggeris”.“Masyhur ceritanya semasa Pak Sako menjadi majistret di Kuala Pilah, dia bentang tikar untuk rakyat membuat aduan dan melaporkan masalah. Ini bermakna jiwanya sangat dekat dengan rakyat dan tidak pernah memikirkan soal darjat. Itulah Pak Sako yang walaupun berpendidikan Inggeris, tetapi amat kuat berpegang dengan jati diri dan budaya Melayunya”.

Salah seorang rakan rapat semasa hayat Pak Sako, Alang Ahmad Teh, 70, mahukan tokoh politik dan sasterawan terbilang ini dicatat dalam sejarah negara sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.“Saya masih ingat ketika Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) mencadangkan Sekolah Menengah Seberang Temerloh diberi nama Sekolah Ishak Muhammad, ia mendapat tentangan daripada kalangan penduduk tempatan sendiri,” kata bekas Ketua Biro Utusan Pahang itu.

Menghimbau kenangan bersama Pak Sako apabila ke mana-mana dari Temerloh, ke Kuantan dia akan disambut meriah oleh orang yang dia sendiri tidak mengenalinya. “Apabila Pak Sako pergi ke pekan sari atau masuk kampung beliau selalu dihadiahkan dengan pelbagai barangan. Yang peliknya, semua pemberian orang itu kemudiannya diberikan pula kepada orang lain. Ini membuktikan beliau pemurah, disayangi dan menjadi sanjungan orang ramai”.

Alang juga sempat mengikut Pak Sako berkempen semasa bertanding di Parlimen Temerloh pada PRU tahun 1964 melawan calon Perikatan Yusof Mahmud dia hanya memberikan joran kail. Selepas kalah dalam pilihan raya tersebut seorang penganalisis politik berbangsa Inggeris datang kepadanya melahirkan rasa hairannya dengan mentaliti pengundi Temerloh bagaimana tokoh yang begitu terkenal seluruh dunia hanya dikalahkan oleh calon biasa daripada parti pemerintah.

Seorang lagi pengkagum Pak Sako yang juga pernah membantunya dalam PRU, Suhaimi Said, 65, menganggap beliau sebagai nasionalis tulen yang sanggup berkorban demi masa depan anak bangsanya. Katanya pemikiran Pak sako jauh mendahului zaman dan bersifat global apabila mendokong penyatuan Melayu Raya yang meliputi Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.Menurut Suhaimi semasa bertanding dalam PRU 1964 di Parlimen Temerloh, Pak Sako tinggal di rumah rakit di Kuala Semantan bersebelahan rakit beliau.

Katanya, perkenalan dengan Pak sako secara tak sengaja apabila semasa tinggal di rumah rakit berhampiran, saya yang semasa itu lebih cenderung kepada Umno selalu membaling batu ke arahnya.“Namun itulah Pak Sako, saya yang pada ketika itu masih berumur lingkungan 14 tahun akhirnya berjaya dilunakkannya dan saya mengambil cuti sekolah selama tiga bulan untuk mengikutnya berkempen.

Pada masa itu kawasan pilihan raya bagi Temerloh luas iaitu dari sempadan Jerantut hingga sempada Kuantan dan Negeri Sembilan dan tempoh berkempen pula selama tiga bulan”. “Saya selalu ikut dia untuk mengangkat bateri untuk pembesar suara. Pada masa itulah saya diperkenalkan dengan barisan pimpinan parti sosialis seperti Lee Siew Choh, Naza Nong, Karam Singh dan lain-lain.

Apabila saya pulang dari menuntut di England, persahabatan kami diteruskan dan saya sering memandu kereta membawanya ke seluruh negara,” katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.Suhaimi mencadangkan, pihak yang berautoriti sepatutnya mengambil inisiatif mengkaji pemikiran Pak Sako kerana lazimnya apa sahaja yang diperkatakannya menjadi kenyataan pada masa hadapan.“Saya ambil contoh mudah, satu ketika pada masa kempen dia pernah mengingatkan orang kampung jangan suka menebang pokok jering nanti satu masa harganya melonjak empat biji seringgit. Pada masa itu beliau diketawakan tetapi hakikatnya ingatannya ternyata benar”.“Jadi kalau perkara sekecil inipun boleh diucapkan Pak Sako, maka khazanah pemikirannya sudah tentu lebih banyak lagi hikmah yang terkandaung di dalamnya. Jadi buatlah kajian pemikirannya

KENYATAAN AKHBAR ABDULLAH C.D., PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA (2 haribulan Disember 1989)

Perjuangan bersenjata yang meletus pada 20 Jun 1948 secara rasminya ditamatkan hari ini. 41 tahun yang lalu, kerana Undang-undang Darurat penjajah British, pejuang-pejuang kemerdekaan daripada berbagai parti termasuk PKM, PKMM, API, AWAS, Hizbul Muzlimin dan lain-lain ramai yang ditangkap, manakala tidak sedikit terpaksa masuk hutan mengangkat senjata melawan British. Ini adalah satu babak baru dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air kita.

Dalam Perundingan Baling pada tahun 1955, pihak kami telah berusaha untuk menamatkan perjuangan bersenjata dan mewujudkan perdamaian demi sama-sama mengisi kemerdekaan yang tercapai tak lama kemudian. Akan tetapi, kerana berbagai sebab, perundingan itu gagal. Maka konflik bersenjata pun berterusan.

Rakyat negara kita sangat gembira dengan tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957. Tidaklah dibesar-besarkan kalau saya katakan bahawa kemerdekaan itu adalah hasil bersama semua parti dan pertubuhan patriotik baik PKM di medan perjuangan bersenjata mahupun UMNO, PAS, Partai Rakyat dan lain-lain yang berjuang secara damai.

Hari ini dua persetujuan damai telah tercapai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM serta di antara Kerajaan Diraja Thailand dan PKM. Melalui persetujuan ini, PKM bersetuju menamatkan perjuangan bersenjata dengan membubarkan pasukan-pasukan bersenjata dan memusnahkan senjata-senjatanya, manakala Kerajaan Malaysia berjanji akan mengizinkan bekas anggota-anggota pasukan bersenjata kami yang berkewarganegaraan Malaysia untuk ikut serta dalam kegiatan politik menurut undang-undang dan perlembagaan Malaysia. Saya rasa persetujuan ini adil dan menasabah demi perdamaian dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran tanah air. Saya mengalu-alukan semangat saling memahami dan saling bertolak ansur yang diperlihatkan semua pihak hingga membolehkan persetujuan damai ini ditandatangani

Saya berseru kepada rakyat semua kaum – Melayu dan bukan Melayu – supaya mempereratkan perpaduan dan bersama-sama berganding baru memperjuangkan demokrasi dan keadilan masyarakat demi mengisi kemerdekaan tanah air.

PENGUMUMAN BERSAMA OLEH KERAJAAN DIRAJA THAILAND, KERAJAAN MALAYSIA DAN PARTI KOMUNIS MALAYA

Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya sesuai dengan hasrat bersama untuk pendamaian dan perdamaian, telah mengambil dua persetujuan bersama: Satu, di antara Markas Gerakan Keselamatan Dalam Negeri Kawasan Ke-4 Tentera Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya, dan yang satu lagi di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya untuk menamatkan semua aktiviti bersenjata serta mewujudkan perdamaian di seluruh kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

2. Bekas anggota pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya memberi jaminan mereka kepada Thailand dan Malaysia untuk menghormati undang-undang kedua-dua negara ini serta untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat demi faedah rakyat. Thailand dan Malaysia akan memberikan layanan yang adil kepada anggota-anggota ini. Kerajaan Malaysia selepas satu masa akan membenarkan bekas anggota pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya itu yang terdiri daripada warganegara Malaysia ataupun yang telah menjadi warganegara Malaysia untuk mengambil bahagian secara bebas dalam kegiatan politik dalam rangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

3. Semua ketiga pihak mengakui bahawa penyelesaian secara terhormat ini akan mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keselamatan di kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

4. Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya menyatakan rasa terima kasih yang tulus ikhlas kepada Kerajaan Diraja Thailand atas usaha-usahanya menyediakan kemudahan-kemudahan bagi melangsungkan perundingan damai tiga pihak serta membawa penamatan yang berjaya bagi perundingan damai ini.

2 Disember 1989



TERJEMAHAN UCAPAN PANGLIMA TERTINGGI TENTERA DIRAJA THAILAND TAN SRI JENERAL CHAOVALIT YONGCHAIYUTH KETUA PERWAKILAN KERAJAAN DIRAJA THAILAND DI U

Saya berasa gembira dan sukacita kerana telah dilantik oleh Perdana Menteri, Jeneral Chatchai Choonhawan untuk mewakili Kerajaan Diraja Thailand dalam upacara menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia, Parti Komunis Malaya dan Negeri Thailand.

Hari ini merupakan hari yang amat penting bagi Malaysia, Parti Komunis Malaya dan Thailand. Ia akan tercatat dalam sejarah sebagai salah satu hari keamanan dunia. Kita sudah lama menanggung derita akibat sengketa bersenjata. Ideologi kita berbeza. Namun akhirnya kita menerima hakikat bahawa perbezaan dan masalah itu tidak boleh diselesaikan dengan kekerasan. Rundingan-rundingan di antara ketiga-tiga pihak diadakan untuk mencapai keamanan melalaui penamatan aktiviti-aktiviti bersenjata dan di waktu yang sama untuk membubarkan unit-unit bersenjata PKM.

Menerusi perjanjian itu Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya, sesuai dengan hasrat bersama untuk berdamai dan keamanan telah mencapai dua persetujuan bersama iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya dan di antara Markas Gerakan Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Ke-4 Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya untuk menamatkan semua aktiviti bersenjata serta mewujudkan keamanan di seluruh kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

Bekas anggota unit-unit bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya memberi jaminan kepada Thailand dan Malaysia untuk menghormati undang-undang di kedua-dua negara ini serta akan mengambil bahagian dalam pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara untuk faedah rakyat jelata. Thailand dan Malaysia akan memberikan layanan yang adil kepada mereka ini. Kerajaan Malaysia selepas satu masa akan membenarkan bekas anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya yang terdiri daripada warganegara Malaysia ataupun yang telah menjadi warganegara Malaysia untuk mengambil bahagian secara bebas dalam kegiatan politik dalam rangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

Ketiga-tiga pihak mengakui bahawa penyelesasian secara terhormat ini akan mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keselamatan di kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Diraja Thailand atas usahanya menyediakan kemudahan-kemudahan bagi rundingan damai tiga pihak ini dan peranannya dalam menghasilkan rundingan yang berjaya.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang seikhlas hati kepada semua yang terlibat dalam peristiwa yang bersejarah ini. Semoga keamanan berkekalan dan membawa kesejahteraan, ketenteraman dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia dan Thailand dan semoga rakyat berbilang kaum di rantau ini dapat hidup dengan perpasaan saling faham memahami di antara satu dengan lain.

BERUNDING DENGAN GHAFAR BABA

Saya mengenali Ghafar Baba ketika kami sama-sama bergerak dalam PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Beliau bergerak aktif dalam PKMM bahagian Melaka. Ketika saya menghadiri kongres KMM di Melaka pada tahun 1946, Ghafar Baba dan kawan-kawan PKMM Melaka menghadiahkan saya satu tongkat sebagai kenang-kenangan. Setelah PKMM diharamkan oleh penjajah, Ghafar Baba dan ramai kawan dalam PKMM memasuki UMNO untuk meneruskan perjuangan. Pada tahun 1981, Ghafar Baba dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sejak itu saya sebagai rakan seperjuangan lama selalu menghantar siaran-siaran terbitan PKMRM kepada beliau sebagai tatapan.

Pada tahun 1985, Haji Mokhtar datang berkunjung ke pangkalan Rejimen Ke-10 di Sukhirin untuk menemui kakak iparnya Abu Samah Mohd Kassim. Dalam pertemuan itu, Haji Mokhtar telah mengemukakan pendapatnya tentang menamatkan perang melalui cara ala-Baling, maksudnya menamatkan peperangan melalui perundingan damai. Berkenaan masalah itu, pimpinan Rejimen Ke-10 telah mengadakan pengkajian dan penelitian. Kami menyerahkan perkara itu kepada Abu Samah supaya membuat laporan dan minta petunjuk kepada Dewan Sentral Komiti Utara Malaya (DCCUM). Akan tetapi tiada perkembangan yang positif.

Pada bulan Jun 1985, saya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10. Dalam mesyuarat itu, saya telah membentangkan masalah mencari cara menyelesaikan peperangan seperti cadangan yang telah dikemukakan oleh Haji Mokhtar. Saya ada cara sendiri kalau perkara itu dipersetujui iaitu menghubungi Ghafar Baba sebagai rakan seperjuangan lama. Mesyuarat sebulat suara menyetujui pandangan saya tersebut. Dengan itu, atas nama peribadi dan Rejimen Ke-10, saya mulai membuka hubungan dengan Ghafar Baba.

Surat pertama saya bertarikh 25 Jun 1986 telah dihantar kepada Ghafar Baba melalui Haji Mokhtar. Isinya agak panjang, hampir 3 muka huruf mesin taip roman di atas kertas bersaiz legal. Isi kandungannya hanyalah menyampaikan tahniah dan harapan kepada beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri atas nama rakan seperjuangan yang telah lama berpisah.

Ghafar Baba telah membalas surat itu dengan suratnya yang bertarikh 7 September 1987. Dalam suratnya Ghafar telah maju selangkah mengusulkan menghantar wakil mengadakan perjumpaan bagi mencari jalan menamatkan peperangan.

Setelah mendapat jawapan dari Ghafar Baba, saya segera membuat laporan dan memperolehi restu dari DCCUM. Lepas itu saya menghantar Majid menghubungi pegawai tentera Thai yang selalu mengadakan hubungan dengan kami. Apabila Majid memberitahu mereka bahawa kami akan mengadakan perundingan dengan pihak Malaysia, pegawai tentera Thai merasa terkejut, lantas mereka mengemukakan berbagai soalan. Majid menjelaskan satu persatu kepada mereka. Pada masa itu juga, mereka menelefon atasannya. Kesimpulannya pihak tentera Thai sudi memberikan sebesar-besar dukungan dan bantuan dan berharap perundingan itu berjaya menamatkan peperangan.

Mereka berkata, pihak tentera Ketumbukan Ke-4 sudah lama berusaha memujuk kami berunding dengan mereka secara baik-baik dan mendengar polisi pihak Ketumbukan Ke-4, akan tetapi semuanya ditolak dengan berbagai alasan. Sekarang kami bersetuju mengadakan perundingan dengan pihak Malaysia, mereka sangat gembira dan berharap akan berjaya menamatkan peperangan. Setelah itu, pihak tentera Ketumbukan Ke-4 telah mengeluarkan surat kebenaran untuk wakil kami keluar dari hutan.

Dengan kerjasama yang baik dari pihak tentera Thai, saya yakin kami boleh mengadakan perundingan dengan Ghafar Baba dan menjamin masalah keselamatan wakil-wakil saya.

Melalui perhubungan surat menyurat antara saya dan Ghafar Baba, akhirnya kami bersetuju menghantar wakil mengadakan perundingan. Ingin saya terangkan di sini bahawa perundingan ini adalah titik permulaan perundingan damai. Perundingan ini hanya mewakili saya dan Rejimen Ke-10 dengan Ghafar Baba yang mewakili kerajaan Malaysia. Selain itu juga pihak wakil tentera Thailand ikut serta dalam perundingan. Saudara Haji Mokhtar menjadi orang tengah yang mempertemukan wakil saya dan wakil Encik Ghafar.

SIKAP PKM TERHADAP PERUNDINGAN BALING







Sejak sekian lama, media awam yang dikuasai UMNO mendakyahkan bahawa PKM haus perang, PKM mahu menumbangkan kerajaan yang sah dengan pemberontakan bersenjata dan banyak lagi. Lebih-lebih lagi ketika hari perayaan kemerdekaan 31 Ogos, media kerajaan secara besar-besaran menyiarkan apa yang dikatakan “keganasan komunis”.

Ini sebenarnya propaganda murahan media massa milik UMNO semata-mata. Propaganda sedemikian sama sahaja dengan apa yang telah dilakukan penjajah British. Kenyataan menunjukkan PKM pernah banyak kali mengemukakan usulan untuk mengadakan perundingan menamatkan perang dengan Tunku Abdul Rahmah. Berlangsungnya perundingan Baling pada tahun 1955 justeru atas inisiatif pihak PKM. Selepas gagalnya perundingan Baling, PKM beberapa kali mengemukakan usulan untuk mengadakan perundingan bagi menamatkan peperangan dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Akan tetapi, Tunku menjawabnya dengan melancarkan kempen kepung basmi secara besar-besaran ke atas pasukan TPNM. Inilah kenyataan sebenarnya.

Dalam perundingan Baling, Tunku jelas tidak mahu perundingan itu mencapai persetujuan. “No. I am not, I never wanted it to be a success”, itulah jawaban Tunku ketika ditanya tentang perundingan tersebut. Nak jelas lagi, sila lihat tulisan Pak Said Zahari MENITI LAUTAN GELORA muka 296 – 304.

Apakah sikap PKM selepas perundingan itu? Untuk menjawab persoalan itu, dipaparkan temu bual ringkas yang dibuat oleh wartawan akhbar Seruan Rakyat dengan Abdullah C.D. pada 10 Disember 1957.


JAWAPAN CIK DAT BIN ANJANG ABDULLAH (ABDULLAH C.D.)
JURUCAKAP JAWATANKUASA PUSAT PARTI KOMUNIS MALAYA
ATAS PERTANYAAN-PERTANYAAN WARTAWAN SERUAN RAKYA
(Tertanggal 10 Disember 1957)

Tanya: Bagaimanakah saranan dan usaha PKM terhadap perundingan Baling?

Jawab: Pada tanggal 22 Disember 1955 parti kami telah mengeluarkan manifesto untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya serta mengemukakan keinginan yang ikhlas bagi menamatkan peperangan di dalam negara kita ini. Di akhir tahun tersebut, perundingan Baling pun diadakanlah. Disebabkan Malaya belum merdeka lagi ketika itu, maka tidaklah tercapai apa-apa persetujuan dalam perundingan itu. Akan tetapi, walaupun demikian, namun rundingan itu telah memberi sebesar-besar dorongan kepada gelombang pasang perjuangan rakyat di negara kita ini untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamnan.

Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos tahun ini. Sehari selepas perisytiharan kemerdekaan ibu pertiwi iaitu tanggal 1 September, parti kami telah mengeluarkan lagi manifesto yang menyerukan supaya menamatkan peperangan dan melaksanakan keamanan di dalam negeri; sekali lagi menyatakan bahawa kami mahu memberhentikan perjuangan bersenjata ini, menumpukan taat setia kami terhadap ibu pertiwi kita dan mengambil bahagian di dalam segala rupa gerakan untuk kemerdekaan, demokrasi dan kemakmuran ibu pertiwi kita ini, sebagaimana yang dilakukan oleh warga negara yang lain di dalam negeri kita, bukanlah dengan cara perjuangan bersenjata atau kekerasan malahan dengan cara jalan demokrasi di dalam lingkungan batas-batas perlembagaan.

Tanggal 12 Oktober, Saudara Chen Ping telah mengirim surat kepada Perdana Menteri Persekutuan dalam mana dinyatakan bahawa beliau bersedia berunding semula dengan Tunku Abdul Rahman untuk mencapai persetujuan yang adil dan munsabah bagi menamatkan peperangan. Dalam hal ini agar perundingan itu dapat mencapai persetujuan dengan lunaknya (ayat ini telah disalah terjemahkan oleh kerajaan yang berbunyi: “adalah dijangka pada kali ini persetujuan akan tercapai bagi saling memuaskan”.), maka dicadangkan hendaknya diadakan terlebih dahulu pertemuan pendahuluan di antara wakil-wakil dari kedua-dua pihak.

Tanggal 9 Disember, Saudara Chen Ping telah sekali lagi mengirim surat kepada Perdana Menteri dalam mana dimaklumkan kepada kerajaan bahawa pihak kami bersedia mengutus Saudara Rashid Maidin dan Saudara Chen Tien sebagai wakil pihak kami untuk mengadakan rundingan pendahuluan dengan wakil kerajaan. Dalam surat itu, Saudara Chen Ping menegaskan bahawa perundingan yang hendak kami adakan dengan pihak kerajaan itu langsung tidak kena mengena dengan apa yang disebut penyerahan diri itu, dan menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan pun telah berjanji kepada rakyat hendak menamatkan Darurat, maka Kerajaan Perikatan patutlah ikhlas menamatkan peperangan sebagai mana parti kami, patutlah mencapai persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami bersendikan prinsip penghentian perang dengan tidak bersyarat. Mengeluarkan omong-omongan menyerah diri yang langsung tidak berpatutan itu sama sekali tidak beralasan. Ini semata-mata menunjukkan ketidak ikhlasan bagi menamatkan peperangan dan bagi mencapai persetujuan yang adil dan menasabah. Sekiranya pihak kerajaan benar-benar ikhlas mahu menamatkan peperangan serta ingin mencapai persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami, maka Saudara Chen Ping meminta kepada Tunku supaya mengatur tempat dan haribulannya supaya wakil pihak kami dapat menghadiri rundingan pendahuluan itu. Demikianlah surat Chen Ping itu.

Dengan demikian ternyatalah bahawa parti kami telah berkali-kali mengemukakan saranan-saranan yang menasabah serta berusaha dengan tidak mengenal lelah untuk memperjuangkan terwujudnya perundingan damai dan tercapainya persetujuan yang adil dan menasabah bagi menamatkan peperangan ini.

Tanya: bagaimanakah sikap PKM terhadap apa yang disebut penyerahan diri yang seperti digembart gemburkan oleh Kerajaan Perikatan?

Jawab: Tujuan perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh parti kami ini adalah untuk mengusir kaum kolonial dan untuk memperjuangkan kemerdekaan ibu pertiwi kita ini. Oleh itu, jelaslah bhawa di antara Kerajaan Perikatan dengan pihak kami langsung tidak terdapat persoalan penyerahan diri.

PKM berserta dengan rakyat revolusioner dari berbagai-bagai kaum selamanya tetap berjuang untuk kemerdekaan tanah air dan telah membayar harga yang mahal dan memberikan sumbangan yang maha besar. Sepatutnya, kerajaan haruslah memberi balasan yang adil dam menasabah. Tetapi sebaliknya, sekarang kerajaan hendakkan parti kami menyerah diri. Ini sama sekali tidak beralasan.

Hendakkan parti komunis menyerah diri adalah juga bertentangan dengan idam-daman rakyat dari berbagai-bagai kaum, golongan, parti, serta sebahagian terbesar ahli-ahli Parti Perikatan. Kehendak yang tidak beralasan inilah yang menyebabkan peperangan tidak dapat ditamatkan dan keamanan tidak dapat dilaksanakan.

Mencuba memaksa PKM menyerah diri adalah sesungguhnya mencuba merampas hak-hak berperlembagaan dari sebahagian warga negara yang telahpun bersusah payah berjuang serta gagah berani berkorban untuk kemerdekaan tanah air. Ini adalah pelanggaran yang hebat sekali terhadap hak demokratik milik rakyat yang telah dikanunkan di dalam perlembagaan negara kita ini. Ini adalah juga pukulan yang hebat sekali kepada kehidupan demokratik bagi rakyat. PKM adalah pasukan yang teguh menentang penjajahan serta memperjuangkan kemerdekaan ibu pertiwi. Berniat memaksa PKM menyerah diri atas dalih menuduh parti komunis menjalankan gerakan-gerakan subversive (penumbangan) tidaklah berbeza dengan omong-omongan anti-komunis yang telah terkenal nama buruknya dari SEATO. Fitnahan-fitnahan yang dilemparkan ke atas parti komunis dan penyingkiran terhadap parti komunis adalah pukulan yang hebat kepada kekuatan kebangsaan dan kekuatan rakyat negara kita. Ianya sudah barang tentu akan menimbulkan perselisihan di antara rakyat berbagai-bagai kaum, dan amat melemahkan perjuangan rakyat seluruh negeri untuk melaksanakan kemerdekaan penuh, kebebasan demokratik, keamanan dan kemakmuran ibu pertiwi. Ianya sangat merosaki usaha kemerdekaan kebangsaan kita.

Umum mengetahui bahawa peperangan ini ialah dipaksakan oleh penjajah British ke atas rakyat segala bangsa di negeri kita serta ke atas PKM. Memujuk serta memaksa PKM supaya menyerah diri pada mulanya dulu adalah dasar pemerintahan penjajahan British. Kalaulah sebahagian orang-orang atasan yang tertentu dari Perikatan sekarang masih tetap berpegang kepada dasar menyerah diri yang tidak beralasan itu, maka jelaslah ini adalah dalih mereka nak melanjutkan peperangan. Perbuatan demikian sesungguhnya tidak sedikitpun berlainan dengan dasar pemerintah penjajah British yang melaga-lagakan orang Malaya berlawan sesama sendiri. Ini hanya berfaedah kepada si penjajah yang sangat-sangat suka merintangi kemerdekaan, demokrasi, bebasan, keamanan dan kemakmuran Malaya.

Kalau Kerajaan Perikatan benar-benar ikhlas tentang perundingan damai itu, maka sekali-kali jangan bersifat talam dua muka dan lain niat lain yang disebut, sekali-kali jangan mengugut-ugut dengan memberi kata dua, sekali-kali jangan meneruskan dasar-dasar perang penjajah British dengan menggunakan tuntutan menyerah diri sebagai dalih.

Sebarang syarat memaksa parti kami menyerah diri sekali-kali tak akan parti kami terima. PKM akan terus-menerus berjuang untuk melaksanakan penghentian perang bersendikan syarat yang adil dan menasabah.

Tanya: Jikalau peperangan ini berlanjutan, apakah akibatnya kepada usaha kemerdekaan bangsa kita?

Telah diterangkan di dalam manifesto parti kami pada tanggal 1 September itu bahawa lahirnya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini hanyalah langkah yang pertama dari kemenangan dalam usaha kemerdekaan negara kita; warisan penjajahan masih mendalam lagi di lapangan politik, iktisad, ketenteraan dan kebudayaan negara ktia. Tugas besar dan berat yang bersifat jangka panjang masih terbentang di hadapan kita iaitu terus berjuang utnuk mewujudkan Malaya baru yang merdeka penuh, bebas dan demokratik serta aman dan makmur.

Bagi melaksanakan tugas yang besar dan berat yang bersifat jangka panjang ini, maka hendaknya peperangan dihentikan dan darurat ditamatkan terlebih dahulu. Cuma begini sajalah rakyat negara kita baru dapat memperkukuh perpaduan antara berbagai-bagai kaum, dapat memajukan kebebasan demokratik, dapat memperkuat serta memelihara kedudukan kemerdekaan negara kita, dapat membangun Malaya baru yang aman dan makmur.

Kalau membiarkan si penjajah melaga-lagakan berbagai-bagai kaum, meneruskan peperangan dan Darurat, menyekat kebebadan rakyat, maka akibatnya terus memelihara hak-hak istimewa si penjajah di dalam negara kita dan Malaya akan tetap diperhambakan dan tidak akan dapat memelihara kemerdekaan serta hak kedaulatan dalam hal ehwal luar negari dan di dalam negeri pula Malaya akan berada di dalam keadaan berbunuh-bunuhan, kemiskinan dan kemunduran. Dengan perkataan yang lain bahawa negara kita akan terus menderita bencana penjajahan, dan tak akan dapat memperkukuh dan menyelamatkan dudukan kemerdekaan, dan cita-cita suci untuk membangun ibu pertiwi kita pun akan menjadi hampa layang.

Kami berpendapat bahawa asal saja Kerajaan Perikatan dapat membuang tuntutan menyerah diri yang tidak berpatutan itu serta ingin mencari persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami bersendikan prinsip penghentian perang dengan tidak bersyarat, maka dapatlah perundingan damai diadakan dengan cepat, dapatlah peperangan ditamatkan tepat pada waktunya atas persetujuan yang adil dan menasabah.

SURAT KENYATAAN PKM BERKENAAN DENGAN KEADAAN SEKARANG

PKM telah mengumumkan manifesto program pada 22 Disember 1955 dalam mana telah menjelaskan tujuan parti kami berjuang untuk melaksanakan kemerdekaan, demokrasi dan keamanan di Malaya serta mengemukakan jalan yang betul bagi melaksanakan tujuan itu.

Rundingan damai telah diadakan di Baling pada penghujung bulan Disember yang lalu. Di dalam pertemuan itu PKM telah mengambil sikap yang paling sabar dan bertolak ansur dan berikhtiar dengan sedaya upaya supaya rundingan itu boleh mencapai persetujuan supaya rakyat di seluruh negeri boleh bersatu lebih erat lagi dan berjuang untuk melaksnakan kemerdekaan tanah air.

Oleh itu, parti kami telah menyatakan dengan terus terang bahawa kami sanggup memberhentikan perlawanan-perlawanan dan menamatkan peperangan asal saja pihak yang berkuasa Malaya sanggup mengambil sikap yang munasabah, umpamanya membatalkan Undang-Undang Drurat, Memberikan hak-hak demokratik dan kebebasan politik kepada rakyat seluruh Malaya termasuk orang-orang komunis, menjamin tidak melakukan keaiban politik dan pembalasan ke atas batang tubuh orang-orang komunis dan anggota-anggota tentera kebebasan dan lain-lain. Tetapi sangatlah dikesalkan kerana pihak lawan di dalam perundingan itu menolak sama sekali kepada usulan-usulan kami yang munasabah, tetap berpegang kepada syarat-syaratnya yang tidak menasabah yang memaksa pihak kami supaya menyerah diri, sedangkan syarat-syarat yang kasar dan tidak munasabah itu tak dapat tidak kami tolak dengan tegas sehingga menyebabkan pertemuan itu tidak dapat mencapai persetujuan. Dari sini bolehlah nampak bahawa sebabnya pertemuan Baling itu tidak mencapai hasil adalah sama sekali kerana haluan yang telah lama sedia ditetapkan oleh British sebelum pertemuan itu lagi untuk mengkhianati rundingan damai tersebut.

Sesudah pertemuan Baling itu, British telah mengadakan rundingan London dengan pihak yang berkuasa Malaya. Hasil-hasil rundingan itu membuktikan bahawa British telah membuat sesetengah tolak ansur kepada pihak yang berkuasa Malaya, tetapi Malaya tidakpun mendapat kemerdekaan, Malaya masih tetap sebagai tanah jajahan British. Mesti ditegaskan bahawa tolak ansur itu telah dibuat oleh British juga kerana menerima tekanan-tekanan dari gerakan kemerdekaan rakyat negeri kita dan perjuangan parti kami. Apa yang lebih penting lagi ialah British masih mempunyai satu niat jahat yang baru iaiatu mencuba dengan menerusi sesetengah tolak ansur itu untuk mengumpan sebahagian anasir-anasir atasan Malaya supaya bekerjasama dengannya untuk meneruskan peperangan bagi mencapai tipu daya niat jahatnya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya”.

PKM yang bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat seluruh negeri, menuntut kepada rakyat seluruh negeri supaya mengambil pengertian yang waras kepada tipu daya kaum kolonial British yang jahat itu. Boleh dipastikan, jika sekiranya tipu daya British itu berhasil dan peperangan di Malaya terus menerus berkepanjangan, maka bukan saja segala bangsa-bangsa yang berpersaudaraan di negeri kita akan saling membunuh dan kesengsaraan rakyat di negeri kita akan semakin bertambah-tambah, tetapi juga ada kemungkinan bagi kaum kolonial menggunakan kelanjutan peperangan dan perpecahan di dalam Malaya untuk mengetatkan lagi penguasaannya kepada Malaya, melambatkan kemerdekaan Malaya, bahkan menghampakan sama sekali segala penyerahannya kepada Malaya dahulu.

Oleh itu, PKM berpendapat bahawa kewajipan mustahak bagi segala bangsa, segala lapisan dan segala parti dan perkumpulan-perkumpulan di negeri kita sekarang ini ialah untuk mencegah perpecahan, meneguhkan perpaduan, meleburkan tipu daya yang jahat dan bisa dari British iaitu tipu daya “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita.

PKM berpendapat bahawa kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya adalah saling berkaitan dan tak boleh dibelah bagi. Parti kami sedang dan akan berjuang terus menerus dengan tidak sayang menggunakan segala tenaga untuk memulihkan keamanan. Parti kami menyatakan sekali lagi dengan tegasnya bahawa sebarang percubaan untuk memaksa parti kami menyerah diri itu semestinya akan gagal, tetapi kalau pihak yang berkuasa Malaya sanggup menamatkan peperangan dengan bersendikan syarat-syarat yang adil dan menasabah sebagaimana yang kami sebutkan di atas itu, maka kami adalah mengalu-alukan supaya rundingan-rundingan diadakan semula.

Dengan ikhlasnya kami menasihati lagi kepada pihak yang berkuasa Malaya bahawa orang-orang yang menumpahkan taat setianya kepada usaha kemerdekaan negeri kita hendaklah dan tidak pula susah dengan penuh kesanggupan meninggalkan sikap yang dipertahankan oleh British untuk memaksa pihak kami menyerah diri itu, dan mengadakan semula rundingan-rundingan dengan parti kami di bawah syarat-syarat yang adil dan menasabah, kalau tetap berpegang kepada haluan yang salah untuk memaksa orang-orang komunis menyerah diri sehingga peperangan tak dapat ditamatkan dan keamanan tak dapat dipulihkan dengan segera, nescaya akan jatuh ke dalam perangkap British dan merosakkan usaha kemerdekaan negeri kita, bahkan tidak akan dapat terelakkan daripada tanggungjawab meneruskan peperangan, tidak syak lagi, bahawa di dalam keadaan yang demikian itu pihak kami akan terpaksa meneruskan penentangan bersenjata yang semestinya bagi membela kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Saudara-saudara di seluruh negeri! Bersatu padulah lebih erat lagi, mencegah perpecahan, meleburkan niat jahat British “menggunakan orang-orang Malaya melawan orang-orang Malaya” dan berjuang dengan sekeras-kerasnya untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan negeri kita! Kita pasti mencapai kemenangan asal saja kita bersama-sama berusaha.

Jawatankuasa Pusat

Parti Komunis Malaya

5 Mac 1956

KESINAMBUNGAN NASIONALISME SELATAN THAI DAN MALAYA -

Disember 1941, fasis Jepun menceroboh Malaya. Selain dari mendarat di pantai Sabak, Kota Baharu, mereka juga mendarat di Pattani dan Songkla. Perdana Menteri Thai ketika itu Phibun Songkhram menjalankan polisi bekerjasama dengan Jepun. Melalui persekongkolannya dengan fasis Jepun, Phibun telah melaksanakan polisi Thai Raya dan memperluaskan penguasaannya hingga ke Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Phibun Songkhram naik takhta pada tahun 1938 melalui rampasan kuasa dan melaksanakan polisi cauvinisme "Thai Raya". Di bawah polisi ini bangsa-bangsa lain harus berbahasa dan berkebudayaan Thai, bahkan di segi agama juga dikehendaki beragama Budda. Polisi ini telah mencetuskan pertentangan hebat berbagai bangsa di Thailand.

Orang Melayu yang tinggal secara memusat di Selatan Thai berbahasa Melayu dan beragama Islam, mempunyai sejarah, kebudayaan, kesenian dan tradisinya sendiri. Akan tetapi mereka dipaksa mengikut cara Barat, misalnya makan dengan sudu dan garpu, lelaki diharuskan memakai topi, wanita diharuskan memakai gaun, dan lain-lain. Mereka juga dilarang menggunakan bahasa Melayu, menggunakan nama Melayu, pakaian Melayu, dilarang memakan sirih pinang dan menghisap rokok pucuk nipah. Sejarah orang Melayu Pattani diharamkan daripada diajar di sekolah-sekolah. Polisi ini mendatangkan ketidak puasan orang Melayu di Selatan Thailand.

Akan tetapi, kekuatan patriotisme dan demokrasi Thailand tetap tak tertundukkan. Pridi memimpin gerakan patriotik-demokratik bawah tanah Thailand melawan fasis Jepun dan bekerjasama dengan pihak Berikat. Gerakan ini mencapai perkembangan besar dan akhirnya dapat menumbangkan kerajaan Phibun. Pada tahun 1944, Pridi mendirikan kerajaan yang baru dan memulihkan kedudukan kekuatan patriotik-demokratik.

Kerajaan Pridi dapat bekerjasama dengan seluruh masyarakat. Seorang pemimpin terkemuka Selatan Thai, Hj. Sulung pernah mengemukakan tuntutan ke atas Kerajaan Thai dan pengaruhnya berkembang di kalangan masyarakat Islam Selatan Thai. Anjuran Hj. Sulung ialah:

1. Menggesa Kerajaan Thai melantik seorang anak tempatan yang dipilih oleh rakyat setempat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran wilayah-wilayah selatan.

2. Cukai dan hasil pendapatan dari keempat-empat wilayah berkenaan mestilah dilaburkan untuk projek pembangunan ekonomi setempat.

3. Mengadakan pelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah hingga darjah 6 sebelum mempelajari bahasa Siam.

4. Pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir wilayah-wilayah ini mestilah terdiri daripada 80 peratus orang Melayu - Islam peranakan tempatan.

5. Bahasa Melayu dan bahasa Siam dijadikan bahasa rasmi.

6. Penubuhan Majlis Agama Islam Wilayah yang berkuasa penuh bagi menyelaraskan perundangan Islam bersabit dengan syarak dan kebudayaan Melayu di keempat-empat wilayah dengan persetujuan ketua dalam syarat no. 1.

7. Kerajaan Thai mestilah mengasingkan antara Mahkamah Syariah dengan mahkamah kerajaan wilayah serta memberikan kuasa kepada kadi membicarakan sesuatu kesalahan di Mahkamah Syariah.

Setelah penjajah British berkuasa semula di Malaya, Kedah, Perlis Kelantan dan Terengganu yang tadinya dicantumkan oleh Jepun ke dalam wilayah Thailand telah diambil balik oleh British berdasarkan perjanjian Inggeris - Siam 1909.

Tapi, kerajaan Pridi tak dapat bertahan lama. Pada tahun 1947 ia digulingkan oleh Phibun. Pridi terpaksa meninggalkan tanah airnya merantau keluar negeri.

16 - 17 Oktober 1945, PKMM mengadakan kongres penubuhannya di Ipoh, Perak. Kongres telah memilih Ketua PKMM Mokhtaruddin Lasso, Naib Ketua Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Saya hadir dalam kongres sebagai wakil PKM untuk menyampaikan tahniah kepada kongres. Wakil dari berbagai pihak hadir menyertai kongres itu, kira-kira 300 orang lebih.

Tengku Mahmood Mahyiddeen wakil dari Pattani (Selatan Thai) juga hadir. Dia berpakaian seragam tentera (force 136). Mahyiddeen membentangkan masalah kemerdekaan kawasan Selatan Thai dengan menggabungkannya dengan Malaya.

Kerana rancangan Tengku Mahmood Mahyiddeen itu adalah sebuah projek kolonial, maka kami menentangnya. Kami berpendapat, soal Selatan Thai haruslah ditentukan oleh rakyat Selatan Thai sendiri. Mokhtaruddin, Dr. Burhanuddin, Boestamam, saya, dan lain-lain dari PKMM menentang cara Tengku Mahyiddeen itu. Ucapan Mokhtaruddin yang berapi-api membantah rancangan itu mendapat tepukan yang bergemuruh oleh para wakil.

Mac 1946, diadakan kongres Islam di Gunung Semanggol dipimpin Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Wakil berbagai pihak hadir. Dr. Burhanuddin wakil PKMM, Boestamam wakil API, saya wakil PKM. Yang pentingnya kami bertemu dengan Mohd. Amin, wakil rakyat Selatan Thai. Kami menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Selatan Thai jika ia benar-benar pilihan rakyat Selatan Thai sendiri. Dalam ucapan di dalam kongres itu saya menegaskan pendirian PKM yang menyokong perjuangan rakyat Selatan Thai untuk membela nasib bangsanya sendiri. Saya juga menegaskan PKM dengan tegas menentang sebarang bentuk kolonialisme.

Selepas majlis itu, saya dan Boestamam secara khusus bertemu dengan wakil dari Pattani itu. Kami menegaskan pendirian kami yang telah saya nyatakan di atas. Saya memberikan alamat pejabat PKM untuk mereka hubungi kemudiannya.

Dalam masalah ini, Boestamam mempunyai rancangannya sendiri. Atas dasar membantu rakyat Selatan Thai, Boestamam menghimpunkan 60 orang anggota API di Padang Rengas mengadakan long march ke kawasan sempadan Betong. Strategi Boestamam ialah terlebih dahulu membantu revolusi rakyat Selatan Thai kemudian dengan bantuan rakyat Selatan Thai melancarkan peperangan terhadap penjajah British di Malaya pula.

Akan tetapi rancangannya gagal. Rombongan Boestamam bertembung dengan pasukan askar Gurkha di tengah jalan. Mereka berpecah beberapa kumpulan balik semula ke kampung masing-masing. Boestamam sendiri pergi ke Balik Pulau, Pulau Pinang menulis buku dengan tajuk "14 hari".

Sebelum itu, ketika kongres API di Melaka, Boestamam juga pernah membuat rancangan long march ke Pahang. Pahang menjadi ilham kerana pernah melahirkan pahlawan bangsa menentang Inggeris yang dikenali sebagai Perang Bahaman. Kira-kira 60 orang pemuda API menyertai long march tersebut. Akan tetapi bila tiba di Negeri Sembilan, mereka disekat oleh polis. Para peserta long march lari bercempera. Antaranya ada yang mencari pejabat PKMM Negeri Sembilan untuk berlindung. Pejabat PKMM membantu menghantar mereka balik ke rumah.

Tahun 1947 - 1948, 2 orang wartawan British Miss. Bowo James dan Miss. Barbara pernah mengapi-apikan semangat nasionalisme orang Selatan Thai untuk bergabung dengan Malaya (kesatuan Malaya) tajaan penjajah British. Banyak akhbar membesar-besarkan perkara itu untuk mempengaruhi pendapat awam.

Pada masa itu, saya yang menjadi wakil PKM juga mengeluarkan kenyataan akhbar yang disiarkan oleh akhbar PKMM untuk menjawab propaganda tersebut. Dalam kenyataan itu saya menyerukan orang ramai supaya tidak termakan dakyah penjajah British yang mahu memperluas tanah jajahannya ke Selatan Thai dengan cara menggabungkan Selatan Thai dan Malaya. Saya juga membentangkan lagi pandangan kami iaitu menyokong perjuangan rakyat Selatan Thai untuk menentukan nasib bangsanya sendiri tetapi menentang sebarang bentuk penjajahan, atau kolonialisme. Kenyataan akhbar itu telah dikutip oleh wartawan-wartawan dan disiarkan di akhbar masing-masing. Tengku Mahyiddeen tidak senang hati dengan kenyataan saya itu. Dia menganggap saya telah mengganggu rancangannya untuk menguasai wilayah-wilayah Selatan Thai.

Selepas itu beberapa orang wakil dari Pattani datang untuk berhubung dengan pejabat PKM di Kuala Lumpur. Akan tetapi apabila wakil tersebut tiba di Kota Baharu, mereka disekat oleh Tengku Mahyiddeen. Tengku Mahyiddeen melarang mereka pergi ke pejabat PKM. Beliau membawa wakil dari Pattani itu ke Selangor untuk mempelajari ilmu kebal bagi membentuk pasukan parang panjang.

Dengan itu, wakil dari Pattani itu mengubah rancangan asal dengan belajar ilmu parang panjang. Setelah mendapat latihan singkat, mereka balik ke Selatan Thai untuk mengembangkan ajaran tersebut.

April 1948, meletus pemberontakan Dusun Nyor. Kumpulan pemberontak menawan balai polis dan lain-lain. Orang-orang Tionghua yang menetap di situ juga memberikan beras dan lain-lain tanda sokongan kepada pemberontakan tersebut.

Walau bagaimanapun, pemberontakan itu tidak dapat bertahan lama. Setelah beberapa hari, pemerintah pusat dari Bangkok telah menghantar askar untuk menumpas pemberontakan itu. Mengikut pengumuman akhbar ketika itu terdapat 400 hingga 600 orang terlibat dalam pemberontakan itu. 30 orang anggota polis terkorban. Selepas itu mereka terpaksa berundur, ada sebahagiannya berundur ke Malaya.

Selepas peristiwa itu Tengku Mahyiddeen dengan kerjasama penjajah British menghantar 400 orang gerilanya bergerak di kawasan Selatan Thai.

Blackend Is The End

Dyers Eve