Blackend Is The End

Rabu, 24 Mac 2010

PEMBUNUHAN DI SG MANIK DAN TELOK INTAN

Sementara itu, segera setelah fasis Jepun menyerah diri, di Sungai Manik dan daerah Teluk Anson, Perak telah berlaku peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa secara besar-besaran yang didalangi fasis Jepun. Kawasan ini merupakan salah satu pangkalan penting gerakan tentera kita dalam masa Perang Anti-Jepun.

Akan tetapi di sana terdapat sejumlah penyamun Kuomintang yang melakukan berbagai kejahatan, seperti merompak, membunuh dan mengganas di kalangan orang ramai. Oleh sebab para penyamun ini orang Tionghua dan menyamar diri sebagai tentera kita, maka orang Melayu menjadi terkeliru menyangka tentera kitalah yang melakukan semua keganasan itu.

Mereka pun berasa tak puas hati terhadap tentera kita, lalu ada yang pergi membuat pengaduan kepada fasis Jepun yang kemudian datang menyerbu ke situ menangkap sejumlah orang Melayu anasir cergas kita dan massa.

Fasis Jepun juga telah menggunakan kesempatan itu untuk di satu pihak, memfitnah parti dan tentera kita serta menghasut orang Melayu supaya memusuhi dan memerangi orang Tionghua; di lain pihak ia telah memaksa semua orang yang ditangkap tadi supaya mengabdi kepada polisi pemcahbelahan perpaduan bangsa-bangsanya.

Seorang anasir cergas kita bersama 6 orang penduduk kampung yang ditangkap musuh itu telah berkhianat dan bersetuju menerima syarat-sayrat fasis Jepun untuk melawan dan membunuh penyokong-penyokong parti komunis dan orang-orang Tionghua serta melawan tentera kita dengan cara membentuk satu pasukan parang panjang dengan orang kampung yang telah tertipu. Fasis Jepun telah membekalkan mereka 7 laras senapang serta 10 butir bom tangan, kemudian menghantar mereka balik ke Sungai Manik setelah mendapat latihan. Akan tetapi kerana mereka tidak cekap menggunakan senjata itu, mereka telah menukarnya dengan parang panjang dan memaksa orang kampung menjadi anggota kumpulan parang panjang untuk menyerang orang Tionghua. Dalam serangan terhadap orang Tionghua yang tiba-tiba itu, mereka membunuh siapa sahaja yang dijumpai, tak kira kanak-kanak, wanita dan orang tua. Di bawah serangan mengejut demikian, massa rakyat Tionghua terpaksa berundur ke kawasan Langkap meminta perlindungan tentera kita yang berkedudukan di Bidur ketika itu. Kemudian tentera kita menghantar 1 kompeni ke pekan Langkap untuk mengawal keadaan. Akan tetapi, anggota-anggota kumpulan parang panjang mengejar massa rakyat itu sampai ke Langkap.

Berdepa dengan keadaan yang genting di mana keselamatan orang ramai terancam, tentera kita tampil ke depan membentuk satu barisan pertempuran di tebing sebatang anak sungai serta melarang anggota-anggota parang panjang dari menyeberanginya. Kawan-kawan member nasihat kepada anggota-anggota parang panjang supaya pulang dan jangan membunuh sesama sendiri, akan tetapi, penyerang-penyerang itu tetap berdegil dan terus mara. Kerana tidak sampai hati hendak menembak, kawan-kawan berundur ke barisan kedua dengan diburu oleh orang-orang parang panjang. Setelah kawan-kawan tiga kali berundur dan setelah nasihat dan amaran kawan-kawan tidak dipedulikan oleh anggota-anggota parang panjang yang menjadi semakin bengis itu, komander kompeni terpaksa mengeluarkan perintah supaya melepaskan tembakan. Setelah para pemimpin dan sejumlah anggota mereka tumbang dan dongeng tentang kekebalan mereka terdedah, anggota parang panjang yang lain pun membuka langkah seribu. Kawan-kawan kita telah mengesan mereka hingga ke Sungai Manik, merampas 2,000 hingga 3,000 bilah parang mereka. Kawan-kawan kemudian menjalankan pendidikan secara berulang-ulang di kalangan orang ramai, barulah permusuhan bangsa-bangsa itu dapat dikendurkan, keadaan dapat ditenteramkan dan hubungan persahabatan Melayu – Tionghua beransur-ansur dipulihkan.

PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA DI TELUK ANSON

Untuk bertapak semula di Malaya, imperialis British melalui pasukan 136 dan tentera rasminya , dengan kejinya telah melaga-lagakan bangsa-bangsa, menimbulkan penyembelihan bangsa-bangsa serta memfitnah parti dan tentera kita untuk membangkitkan kemarahan orang ramai khasnya orang Melayu terhadap parti dan tentera kita.

Akibat komplotan British ini, beberapa peristiwa berdarah yang serius telah berlaku di beberapa negeri khususnya di Perak. Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

Di Perak, iaitu di kawasan antara Teluk Anson dan Parit, satu peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa telah berlaku akibat hasutan British. Apabila Jepun menyerah diri, tentera kita telah beredar dari pangkalan-pangkalan desa di sana lalu ke bandar untuk menguasainya, meninggakan kawan-kawan penyusun massa yang tidak begitu ramai dan tidak cukup persenjataan di situ. Mengambil kesempatan itu, imperialis British telah menghantar satu platun askar India yang beragama Islam daripada pasukan British untuk memasuki kampung-kampung di Teluk Anson bagi menjalankan hasutan dan membangkitkan pergaduhan bangsa-bangsa. Kerana terpengaruh oleh hasutan mereka, berates-ratus anggota parang panjang di situ telah bangkit mengamuk , membunuh ramai massa rakyat bangsa Tionghua. Kerana tentera kita tidak ada di sana, kawan-kawan penyusun massa tidak berupaya menghalang kemaraan anggota-anggota parang panjang, bahkan ada di antara mereka yang terkorban atau tertangkap. Di bawah serangan mengejut itu, orang ramai telah melarikan ke Teluk Anson dan Parit, tetapi terus dikejar oleh anggota-anggota parang panjang. Massa rakyat yang berkumpul di Teluk Anson, bertubi-tubi mendesak tentera kita untuk melakukan serang balas. Kawan-kawan kita secara susah payah telah berkali-kali menjalankan pendidikan, menasihati mereka supaya menahan diri, akhirnya barulah kawan-kawan kita dapat menghalang mereka daripada menyerang balas dan mencegah berlakunya peristiwa bunuh membunuh yang lebih besar.

Sungguhpun di Parit dan Teluk Anson parti dan tentera kita dapat mencegah peristiwa saling membunuh yang lebih besar, akan tetapi di Bekor, berhampiran dengan Manong, Kuala Kangsar, parti kita gagal berbuat demikian. Pada mulanya, kerana hasutan penjajah British, sejumlah anggota parang panjang dari kampung – kampung Melayu telah pergi menyerang kampung-kampung orang Tionghua dan membunuh sejumlah orang Tionghua. Massa rakyat Tionghua telah berundur ke kawasan tentera kita dan menuntut menyerang balas. Ketika itu, tentera kita telah meninggalkan kawasan tersebut. Kawan-kawan penyusun massa kita berusaha keras untuk mengendurkan keadaan dan menenteramkan mereka, serta menjelaskan polisi parti bahawa kerana ini adalah pertentangan di kalangan rakyat, kita tidak boleh menyerang balas, tapi hanya boleh membela diri bila diserang. Akan tetapi, perasaan mereka sudah begitu membakar kerana mereka rasa sudah dianiayai, jadi mereka pun tidak puas hati terhadap tentera kita, lalu mereka pergi menyerang balas tanpa pengetahuan kawan-kawan penyusun massa kita.

Di kampung-kampung Melayu yang diserang itu, terdapat organisasi parti kita dan ada kawan-kawan Melayu bergerak di sana. Kawan-kawan kita berusaha keras untuk mencegah pembunuhan yang sia-sia itu daripada berlaku. Seorang kawan Melayu anggota parti yang pandai berbahasa Tionghua telah pergi ke jambatan yang merentangi sungai di situ dan menyeru orang Tionghua di seberang sana supaya jangan menyerang kampung-kampung Melayu. Akan tetapi, malangnya nasihat dan rayuan tidak dipedulikan. Orang Tionghua terus merempuh dan membunuhnya, kemudian pergi menyerang dan membakar 80 buah rumah serta membunuh ramai orang Melayu. Dengan demikian lagi satu tragedi ngeri yang berpunca dari hasutan British telah terjadi di mana massa rakyat Melayu dan Tionghua telah saling membunuh antara satu sama lain.

DALANG SEBENAR PERMUSUHAN KAUM DI TANAH MELAYU



Sekarang marilah kita melihat sejumlah fakta tentang peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa di beberapa negeri yang didalangi dan dirancang oleh fasis Jepun dan imperialis British menjelang dan selepas kekalahan Jepun di Malaya.

Pada tahun 1945, dalam masa sebelum dan sesudah fasis Jepun menyerah diri di Johor telah berlaku peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa secara besar-besaran yang didalangi fasis Jepun. Mereka menggunakan Onn bin Jaafar yang ketika itu merupakan Pegawai Daerah Batu Pahat dan Kiai Salleh yang ketika itu menjadi panglima kumpulan parang panjang untuk merancang dan mencetuskan peristiwa itu. Salleh menggembar-gemburkan konon orang boleh menjadi kebal dengan memakai azimat yang dijualnya.
Orang Jepun melalui dua orang bangsat telah mempersenjatai anggota-anggota parang panjang di Batu Pahat dan Muar supaya membunuh orang Tioanghua. Fasis Jepun secara mencuri-curi telah menyembelih babi dan mencampakkannya ke dalam masjid Kampung Bagan Serai, Batu Pahat dan memfitnah orang Tionghua di situ bertanggungjawab melakukannya. Kerana tertipu oleh hasutan dan fitnahan musuh, orang Melayu menjadi sangat kepada orang Tionghua. Kemudian atas arahan Jepun dan dengan bantuan 1 platun tentera Jepun, Onn bin Jaafar dan Kiai Salleh telah mengerahkan kumpulan parang panjang melancarkan pembunuhan ke atas orang Tionghua secara besar-besaran. Mereka telah membunuh ratusan orang dan mencederakan ribuan orang Tionghua di kawasan Batu Pahat, Senggarang, Rengit dan Benut dan telah membakar banyak kampung orang Tionghua. Massa rakyat Tionghua itu terpaksa berundur ke dalam hutan meminta perlindungan tentera kita. Mereka meminta senjata untuk melawan. Akan tetapi, kawan-kawan kita dengan sabar menjelaskan polisi parti bahawa, kita hanya boleh ambil sikap membela diri, dan sekali-kali tidak boleh pergi menyerang.

Beberapa hari kemudian, ketika tentera Jepun dan kumpulan parang panjang mara ke Pontian, TAJRM terpaksa bertindak. Satu pagi, tentera fasis Jepun telah datang menyerang kampung Tionghua dengan membawa bersama meraka ribuan anggota parang panjang. Mula-mula TAJRM berseru kepada massa yang tertipu dan diugut, mendedahkan komplotan jahat imperialis Jepun. TAJRM menerangkan bahawa orang Melayu dan Tionghua bukan musuh, tetapi adalah saudara yang sama-sama ditindas oleh fasis Jepun, bahawa musuh bersama kita ialah fasis Jepun dan menasihati orang Melayu yang tertipu itu supaya meletakkan parang mereka. Akan tetapi, tentera Jepun yang amat ganas mengugut mereka dengan senjata dan memaksa mereka menyerbu TAJRM. Untuk membela diri dan menghancurkan komplotan imperialis Jepun, TAJRM terpaksa menyerang balas. Seluruh platun tentera Jepun itu telah dibasmi dan senjata mereka semuanya dirampas oleh tentera kita. Bersamaan dengan itu, sejumlah anggota parang panjang telah terbunuh dalam pertepuran. Di bawah keadaan demikian, massa yang tertipu dan diugut telah beramai-ramai meletakkan parang mereka. TAJRM telah menangkap beberapa orang yang didedahkan sebagai benggolan parang panjang di situ juga. Seterusnya TAJRM segera dihantar ke beberapa buah kampung untuk menghimpunkan massa dan mempropagandakan polisi parti komunis dan TAJRM. Massa telah memahami lebih lanjut pendirian parti komunis. Ramai orang telah menggugat jenayah fasis Jepun dan membongkarkan semua orang yang menjadi benggolan parang panjang. TAJRM menyatakan bahawa para benggolan itu boleh dilepaskan kalau ada massa yang mahu menjamin bahawa mereka tidak melakukan kejahatan lagi. Akibatnya kebanyakan benggolan tersebut telah dilepaskan kerana adanya jaminan daripada massa. Hanya beberapa kerat saja yang tidak ada seorang pun yang mahu menjamin telah dijatuhi hukuman yang setimpal. Setelah perhimpunan itu, kesedaran massa telah ditingkatkan lebih lanjut. Ramai di antara mereka telah menyertai gerakan revolusioner yang dipimpin parti komunis dan sesetengahnya telah menyertai perjuangan bersenjata anti-British pada bulan Jun 1948.

Dengan pembongkaran dan bantuan massa rakyat, TAJRM telah masuk ke Batu Pahat dan telah menangkap biang keladi peristiwa pembunuhan besar-besaran itu, iaitu Onn bin Jaafar dan seorang benggolan polis wargengara Jepun. Sungguhpun Onn bin Jaafar telah terbukti kejahatannya, tapi TAJRM tetap melaksanakan polisi bermurah hati terhadapnya dan telah melepaskannya setelah dia menyatakan kesediaan hendak bertaubat. Sedangkan benggolan polis warganegara Jepun itu telah dikenakan hukuman mati dengan segera.

Di Muar, Onn bin Jaafar juga telah menghasu orang Melayu supaya menyerang dan membunuh orang Tionghua. Satu malam, kira-kira 3,000 anggota penyokong kumpulan parang panjang telah mara beramai-ramai dari seberang Sungai Muar dengan bersenjata lengkap sambil membawa obor untuk menyerang orang Tionghua di sebelah sini. Di sebelah sini terdapat 1 platun tentera kita member perlindungan kepada orang ramai. Mereka bertalu-talu member amaran supaya orang parang panjang jangan menyerang dan mengamuk membunuh orang yang tidak berdosa. Akan tetapi, kerana penyerang-penyerang itu tetap berdegil mahu menyeberang juga, kawan-kawan kita terpaksa melepaskan tembakan yang mengakibatkan semua anggota parang panjang itu berpatah balik dan tidak jadi menyerang pada malam itu.

Dalam pada itu, akibat peristiwa di Batu Pahat, massa rakyat Tionghua telah melarikan diri ke Parit Jawa dan meminta perlindungan daripada 1 kompeni TAJRM yang bergerak di situ. Akan tetapi mereka terus diburu oleh orang-orang parang panjang. Bertolak dari prinsip membela diri dan melindungi nyawa orang ramai, kawan-kawan kita telah bertahan di tepi sebatang anak sungai dan berseru kepada anggota-anggota parang panjang supaya jangan menyerbu. Beberapa orang kawan Melayu telah tampil ke depan member nasihat kepada mereka supaya jangan berbunuhan sesama sendiri, serta menunjukkan bahawa massa rakyat Melayu dan Tionghua tidak bermusuhan; baik orang Melayu mahupun orang Tionghua kedua-duanya sama ditindas dan menghadapi musuh yang sama iaitu fasis Jepun. Malangnya, anggota-anggota parang panjang enggan mendengar penjelasan dan amaran itu, bahkan mereka terus mara dengan menghayun parang mereka. Akhirnya, di bawah keadaan terpaksa, kawan-kawan kita pun melepaskan tembakan dan berjaya mengundurkan penyerang-penyerang itu.

MENJELANG DAN SELEPAS KEKALAHAN JEPUN

Tidak lama sebelum pecahnya Perang Pasifik pada tahun 1941, parti kita telah mengeluarkan seruan yang khidmat untuk membentuk front persatuan anti-fasis yang luas dan selanjutnya telah mendirikan Liga Anti-Jepun Rakyat Malaya, sebuah organisasi fron persatuan yang berdasarkan massa, untuk menjalankan aktiviti membangkitkan dan menyusun massa rakyat berbagai lapisan semua bangsa di seluruh negara melawan fasis Jepun dan anjing-anjing buruannya serta membela tanah air.

Dengan semakin meningkatnya kontradiksi antara fasis Jepun di satu pihak dan rakyat Malaya di lain pihak, lebih-lebih lagi kontradiksi antara fasis Jepun dan imperialis British, parti kita telah menlancarkan perjuangan yang luas mendesak imperialis British supaya melepaskan polisi anti-komunis dan anti-rakyat mereka, membebaskan semua kader dan anggota parti yang telah dipenjarakan serta mempersenjatai semua anggota parti dan massa revolusioner untuk melawan fasis Jepun. Walaupun demikian, sesuai dengan wataknya yang reaksioner, imperialis British masih berdegil dan enggan menerima tuntutan parti kita . Selepas pecah perang itu, ia hanya membiarkan parti kita bergerak secara terbuka dan menyetujui sebilangan kecil orang yang dihantar parti kita menerima latihan tentera lalu melakukan kegiatan sabotaj di garis belakang musuh. Hanya apabila mereka berada dalam keadaan tercekik oleh buah si malakama ketika fasis Jepun sudah menduduki bahagian utara dan timur Malaya saja, baru imperialis British bersetuju untuk membebaskan 200 orang kader dan anggota parti yang dipenjarakan di berbagai negeri. Menjelang kejatuhan Singapura, ia baru memberi beberapa ratus pucuk senapang patah kepada Tenera Sukarela pimpinan parti kita.Oleh sebab rakyat tidak diikutsertakan dalam perang melawan pencerobohan itu, maka fasis Jepun dengan mudah saja dapat mengalahkan tentera British dan akhirnya 100,000 tentera imperialis British telah bertekuk lutut di hadapan kemaraan musuh pada 15 Februari 1942 di Singapura.

Demi membela tanah air, parti kita di bawah syarat-syarat yang paling sukar dengan gagah berani telah tampil ke depan mengibarkan tinggi-tinggi panji perang nasional dan telah memimpin rakyat berbagai lapisan semua bangsa melancarkan perang anti-fasis yang berkobar-kobar selama lebih 3 tahun. Sebagai kekuatan utama melawan musuh, pada 1 Januari 1942 parti kita telah mendirikan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM), membangun kawasan basis dan daerah gerila yang luas di seluruh negara serta telah memperluaskan fron persatuan anti-fasis untuk meliputi semua kekuatan yang dapat diajak bersatu melawan kaum penceroboh Jepun. Melalui perjuangan yang bersusah payah dan pengorbanan yang sangat berat, parti dan tentera kita serta massa revolusioner yang luas telah berjaya mengikat puluhan tibu tentera penceroboh Jepun di Malaya, membasmi lebih 5,500 orang tentera musuh serta telah membebaskan lelbih separuh daripada kawasan pedesaan dan lebih 1/3 penduduk seluruh negara.

Menjelang akhir perang pada tahun 1945, situasi telah berubah dengan sangat hebat. Barisan parti kita telah diperbesar dengan sangat pesat sehingga mempunyai hampir 8,000 anggota, Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya dengan cepat telah berkembang menjadi sebuah pasukan yang besar dengan kekuatan 10,000 perajurit yang bersenjata serta 50,000 lasykar rakyat. Fron persatuan anti-fasis yang berteraskan persekutuan buruh dan tani telah terbentuk secara luas. Liga Anti-Jepun Rakyat Malaya mempunyai ratusan ribu anggota. Parti dan tentera kita telah bergerak di berbagai tempat di seluruh negara dan dalam batas-batas tertentu telah mendirikan kekuasaan rakyat. Menanjaknya situasi revolusioner dan kekuatan revolusioner di seluruh negara telah amat mencemaskan bukan saja kaum fasis Jepun, tetapi juga telah mencemaskan imperialis British yang mempunyai tipu muslihat tertentu untuk bercokol semula di Malaya.

Berdepan dengan keadaan demikian, fasis Jepun dan imperialis British secara berasingan telah membuat komplotan yang keji dan menimbulkan arus balik kontra revolusi. Mereka dengan licik telah mempergunakan cirri-ciri istimewa masyarakat negara kita yang berbilang bangsa untuk menimbulkan permusuhan bangsa-bangsa. Oleh sebab itu, menjelang akhir perang dan sejurus selepas itu, bentrokan bangsa-bangsa telah meletus susul menyusul akibat komplotan fasis Jepun dan imperialis British. Di satu pihak, fasis Jepun yang sebelum itu berpura-pura memperagakan diri sebagai “pelindung orang Melayu” tapi sedang menghadapi kemusnahannya, telah menjalankan propaganda hasutan secara besar-besaran, memfitnah bahawa orang Tionghua menghina orang Melayu dan agama Islam dengan menyembelih babi dan mencampakkan ke dalam masjid dan lain-lain serta menuduh “Bintang Tiga” iaitu tentera kita melakukan keganasan dan membunuh orang Melayu. Di lain pihak, imperialis British yang berambisi untuk menguasai semula Malaya, menjelang akhir perang dan selepas itu telah mengarahkan Pasukan 136 dan kemudian tentera rasminya untuk menjalankan berbagai aktiviti menentang parti dan tentera kita serta merancang pembunuhan bangsa-bangsa.

Menjelang kekalahan Jepun, berbagai pasukan tentera kita telah beredar dari pangkalan-pangkalan di desa di berbagai negeri untuk masuk ke pekan dan bandar di sesetengah negeri bagi menguasai keadaan di sana. Mengambil kesempatan itu, imperialis British telah mengirim perisik-perisik mereka ke kawasan-kawasan desa untuk menghasut orang Melayu menentang parti dan tentera kita serta orang Tionghua. Berdasarkan latar belakang inilah fasis Jepun dan imperialis British dengan aktif telah mempersenjatai dan memperalat kumpulan-kumpulan parang panjang untuk mengamuk dan mengadakan penyembelihan bangsa-bangsa serta menyerang tentera kita. Anggota-anggota kumpulan perang panjang itu terkeliru tentang siapa kawan, siapa lawan, menyalah anggap orang Tionghua sebagai musuh, manakala musuh sebenar ialah fasis Jepun dan imperialis British, mereka terima sebagai sahabat bahkan rela menjadi alat mereka.

Dalam masa Perang Anti-Jepun, tentera kita telah menggunakan lambang “Bintang Tiga” sebagai mencerminkan perpaduan antara tiga bangsa utama negara kita (Melayu, Tionghua dan India) dalam perjuangan melawan pencerobohan Jepun. Dalam perang, memang tak terelakkan pembunuhan berlaku antara kedua pihak yang berperang. Tentera kita telah melakukan banyak kali pertempuran dan telah melakukan pembasmian ke atas ejen-ejen musuh. Mereka yang dibunuh atau dicederakan bukanlah massa rakyat yang tak berdosa tetapi adalah kaum penceroboh Jepun dan talibarut – talibarut musuh, kebanyakannya orang Tionghua yang menggunung dosanya. Apabila anggota-anggota parang panjang yang didalangi musuh itu mengamuk membunuh massa rakyat dan menyerang tentera kita, tidak dapat tidak tentera kita terpaksa melakukan perlawanan balas yang tegas untuk membela diri dan melindungi massa rakyat supaya dapat mengurangkan pengorbanan yang lebih besar.

Dalam perang itu, tentera fasis Jepun dan anjing buruan-anjing buruannya telah melakukan kekejaman-kekejaman yang tak terperikan ke atas massa rakyat semua bangsa dengan melaksanakan polisi “tiga habis” (bunuh habis, rompak habis dan bakar habis) dan kemudian memperalatkan kumpulan-kumpulan parang panjang untuk melakukan keganasan-keganasan berdarah. Sementara itu, imperialis British telah memeras dan menindas dengan kejam massa rakyat semua bangsa negara kita sebelumnya, pada akhir perang telah membuat sama seperti fasis Jepun dengan menghasut permusuhan bangsa-bangsa dan mendalangi penyembelihan bangsa-bangsa. Akan tetapi, untuk menutupi tangan mereka yang berlumuran darah itu serta untuk memencilkan parti dan tentera kita daripada massa rakyat khasnya massa Melayu, kedua-dua musuh itu dengan kejinya telah membuat fitnahan secara besar-besaran konon “Bintang Tiga” telah mengamuk, mengganas dan membunuh orang-orang Melayu. Kerana meluas dan mendalamnya propaganda musuh,maka di kalangan orang ramai hari ini, tidak sedikit yang masih tertipu oleh propaganda tersebut.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve