Blackend Is The End

Khamis, 25 Mac 2010

HAKIM CINA MENJATUHKAN HUKUMAN KE ATAS SEORANG ISLAM KERANA TAK HADIR SOLAT JUMAAT


Dalam masa Perang Dunia Kedua, kedua belah tebing Sungai Perak merupakan pangkalan anti-Jepun. Rakyat berbagai kaum di situ menyertai persatuan anti-Jepun di bawah pimpinan PKM. Di kawasan ini, fungsi kekuasaan rakyat pernah dijalankan. Sungguhpun begitu keadaan ini berubah apabila penjajah British menjalankan hasutan dan mencetuskan rusuhan bangsa-bangsa.

Suatu kisah benar tetapi amat melucukan pernah berlaku di Mahkamah Rakyat di Lambor Kiri di mana seorang kader PKM Cina menjadi hakim mengadili kes penduduk kampung tidak hadir solat Jumaat. Kisah ini telah diceritakan oleh Abdullah C.D. dalam memoir bahagian pertamanya yang bertajuk Zaman Pergerakan Sehingga 1948. Di bawah adalah petikan tulisan beliau.

Mahkamah Rakyat

Jawatankuasa Liga Rakyat Anti-Jepun mengadakan mesyuaratnya secara berkala. Melalui mesyuarat inilah mereka mengkaji kekurangan dan kelebihan untuk menimba pengalaman pada masa hadapan. Setiap kali mesyuarat diadakan, ada-ada sahaja masalah yang dikemukakan seperti perbalahan sesama sendiri, melanggar undang-undang Pasukan Simpanan Anti-Jepun dan lain-lain yang berkaitan dengan peraturan dan keamanan kampung. Jadi untuk menyelesaikan masalah itu, kami bentuk suatu mahkamah. Pada mulanya ia merupakan mahkamah biasa sahaja. Akan tetapi perkembangannya amat menggalakkan dan akhirnya ia berfungsi sebagai mahkamah rakyat yang membicarakan masalah seluruh kampung.

Apabila mahkamah dibuka, semua orang dijemput hadir. Hakim, biasanya terdiri dari seorang kader PKM, kadang-kadang saya sendiri. Hakim akan meminta ahli jawatankuasa membacakan semua perkara yang hendak dibicarakan dan setiausaha akan mencatat semuanya. Kemudian hakim akan menyoal orang yang didakwa dan meminta penjelasan atau bela diri. Setelah itu hakim akan meminta fikiran daripada orang ramai yang hadir di situ. Pandangan orang ramai itu kemudiannya disintesiskan dan dijadikan keputusan. Setelah itu hakim akan membawanya sekali lagi kepada orang ramai dan diadakan undian secara angkat tangan. Apabila majoriti hadirin mengangkat tangan, maka keputusan itu dikira sah.

Pada suatu hari mahkamah dibuka di Lambor Kiri. Kerana saya ada urusan mustahak, maka saya tidak dapat hadir. Jadi seorang kader parti Tionghua yang menjadi hakimnya. Perkara yang hendak dibicarakan amat lucu iaitu masalah orang-orang yang melanggar peraturan masjid. Seorang ahli keluarga saya, Zainal Abidin didapati bersalah kerana berturut-turut tidak menghadiri tiga kali sembahyang Jumaat di masjid. Apabila didakwa, dia mengaku bersalah di hadapan orang ramai dengan penuh keinsafan. Dia didenda lima ringgit dan mengangkut air dan pasir untuk tiga kali Jumaat. Apabila bertemu dengan saya kemudiannya, dia mengatakan bahawa kalau perbicaraan itu diadakan oleh British atau Jepun, sudah tentu dia tidak akan hadir, tetapi ini diadakan oleh pakatan seluruh rakyat, dia mematuhinya dengan tulus ikhlas. Kebetulan pula Zainal Abidin masa itu sudah menunaikan fardu haji di Mekah. Maka kejadian ini menjadi cerita lucu orang ramai kerana seorang Tok Haji dihukum tidak sembahyang Jumaat oleh seorang Tionghua. Kerana mahkamah ini benar-benar bercorak rakyat, mengikut kehendak masyarakat di situ, maka ia disokong dan dipuji oleh orang ramai. Akan tetapi penjahat-penjahat seperti pencuri, perompak dan lain-lain amat takut kepadanya kerana mereka sukar menyembunyikan kejahatannya kerana semua orang akan menjadi saksi dan akan mengadili kejahatannya dengan teliti.

JASMAN KADER

Nama sebenar Jasman ialah Jamal bin Haji Sulaiman, tetapi beliau menggunakan nama samaran sebagai J.H. Jasman. Beliau lahir di sebuah kampung di Sengarang, Batu Pahat, Johor pada tahun 1918. Ibu bapanya berasal dari Kalimantan Selatan (masa itu di bawah pemerintahan Belanda) dari suku bangsa Banjar.

Jasman mendapat pelajaran awal di sekolah kampung dengan bayaran sendiri. Setahun kemudian dia meneruskan pelajaran di Sekolah Melayu Parit Kemang, Sengarang dan di sebelah petangnya pula belajar sekolah Arab. Beliau lulus darjah lima sekolah Melayu dan mendapat pilihan menjadi guru pelatih.
Akan tetapi kerana beliau tidak mempunyai surat beranak, beliau tidak diakui sebagai guru pelatih bahkan diberhentikan terus dari sekolah. Di sekolah Arab pula beliau lulus darjah enam dan juga ditawarkan menjadi guru pelatih. Kemudian beliau meneruskan pelajaran Inggeris di sekolah swasta sebelah petang dengan bayaran sendiri. Pelajarannya terhenti kerana pencerobohan Jepun ke atas Malaya.

Setelah fasis Jepun menduduki Malaya, beliau dan isteri menyertai gerakan anti-Jepun pada Mei 1942. Kemudian beliau bersama 43 orang pemuda Melayu yang menganggotai organisasi anti-Jepun dijemput menyertai kursus politik dan latihan militeri selama 27 hari. Melalui kursus politik dan militeri ini mereka telah mendapat kesedaran yang lebih mendalam dan memperkuatkan tekad juang menentang fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air. Beliau diatur menjalankan tugas menyusun orang ramai, memberi penerangan, mengutip yuran dan derma, mengadakan rapat-rapat umum dan lain-lain. Pekerjaannya berkembang ke seluruh Batu Pahat. Di bawah pimpinan beliau, kampung-kampung Melayu di Batu Pahat telah disusun ke dalam organisasi anti-Jepun.

Menjelang akhir Perang Anti-Jepun, di kawasan Batu Pahat telah berlaku peristiwa pembunuhan besar-besaran akibat hasutan fasis Jepun. Jasman dan kawan-kawan lain dalam organisasi anti-Jepun bahagian Melayu berusaha mencegahnya dan menyiasat duduk perkara sebenarnya dalam keadaan yang amat bahaya. Akan tetapi kerana pertentangan antara orang Melayu dan orang Tionghua semakin serius, maka organisasi anti-Jepun seperti lasykar rakyat dan lain-lain di kampung menjadi kucar kacir, kader-kader bahagian Melayu turut menjadi mangsa serangan kumpulan parang panjang. Jasman dan sembilan orang kawan pernah terkepung, tetapi berjaya berundur ke Johor Bahru bersama pasukan TAJRM. Sementara itu kawan-kawan lain di bawah pimpinannya telah terputus hubungan sama sekali.

Pada Januari 1945, Jasman diterima sebagai anggota PKM. Pada bulan Februari 1947, beliau dilantik sebagai Setiausaha Jabatan Kerja Melayu Johor. Menjelang darurat, beliau menghadiri kursus politik dan militer di Sekolah Parti Kem Se-Malaya. Apabila tercetusnya darurat, beliau memimpin pasukan Melayu di Johor dan Melaka dan bergerak di kawasan Tangkak Barat – Melaka.


Bergabung Dengan Rejimen Ke-10 Di Temerloh

Kira-kira awal 1953, Jasman memimpin sejumlah kawan-kawan Melayu yang bergerak di kawasan Tangkak, Melaka datang ke Pahang bergabung dengan Rejimen Ke-10. Antara mereka yang masih saya ingat ialah Suti.

Jasman dan kawan-kawan Melayu Melaka.
Kedua dari kiri ialah Jasman dan
kedua dari kanan ialah Suti

Jasman adalah kader peringkat Negeri Jabatan Kerja Melayu bertanggungjawab di bahagian Melaka. Beliau ikut serta dalam perkumpulan Sekolah Parti Kem Se-Malaya di Lubuk Kawah, Temerloh pada bulan Jun 1948. Seorang kawan lagi ialah Suti. Dalam masa aman dia keluar negeri. Tapi apabila Darurat diisytiharkan, dia balik untuk menyertai perjuangan bersenjata.
Ketika itu di Melaka terdapat ramai orang API / PETA, PKMM dan lain-lain di bawah pengaruh Dr. Burhanuddin mahu menyertai perjuangan bersenjata. Tetapi kerana Undang-Undang Darurat, mereka tak dapat berhubung dengan organisasi PKM. Kerana itu mereka secara beramai-ramai masuk menjadi askar Melayu menunggu peluang menyertai perjuangan bersenjata.

Mengikut laporan dari Jasman dan Suti, mereka yang bergabung dengan pasukan Tionghua di Melaka telah menghubungi Rashid Maidin melalui seorang budak penggembala lembu. Mereka telah menjanjikan isyarat bendera merah sebagai sasaran bagi Rashid Maidin bergabung dengan pasukan gerila. Setelah bergabung, mereka dibom hebat oleh tentera penjajah British. Akhirnya Rashid Maidin dapat dihantar ke Rejimen Ke-10 di Pahang dengan selamat.

Jasman pernah membuat sumbangan besar dalam masalah menyelesaikan peristiwa Siao Liu tahun 1949 - 1950. Siao Liu bekas Wakil Pengarah Jawatankuasa Kerja Kecil Tentera Ke-2 Johor - Melaka. Dia memutuskan hubungan dengan Jawatankuasa Wilayah, semua keputusan tak disampaikan kepada kawan-kawan. Siao Liu cuba melakukan pemecah belahan dengan membuat programnya sendiri: Katanya inilah "Kunci Revolusi Malaya." Dia mengemukakan untuk "membahagi-bahagikan ladang getah secara sama rata". Di samping itu dia juga mengemukakan harus melakukan pertempuran-pertempuran siang malam. Tapi apabila menghadapi serangan kempen kepung basmi musuh secara besar-besaran, dia menjadi luntur semangat dan berkata pula "situasi Malaya sekarang belum matang lagi, perjuangan bersenjata tak sesuai". Maka itu pasukan bersenjata harus dibubarkan. Semua kawan tak dibenarkan keluar dari perkhemahan, semuanya harus ikut keputusannya.

Jasman dan kawan-kawan Melayu di sana menentang tindakan Siao Liu itu. Dengan menggunakan alasan hendak pergi ambil kad pengenalan, Jasman memimpin kawan-kawan Melayu menghubungi Jawatankuasa Wilayah dan menyampaikan laporan terperinci mengenai Siao Liu. Jawatankuasa Wilayah telah menghantar satu pasukan tentera bersama dengan unit pimpinan Jasman ke Melaka. Mereka telah membekuk Siao Liu. Dengan itu rancangan Siao Liu yang cuba mengkhianati pasukan bersenjata berjaya dibongkar dan digagalkan. Kawan-kawan pasukan itu dapat diselamatkan. Ini satu sumbangan besar Jasman dan kawan-kawan Melayu Melaka kepada perjuangan bersenjata.

Setelah tiba di Rejimen Ke-10, Jasman dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Berdasarkan ketetapan Jawatankuasa Pusat dan Markas Agung, Jasman memimpin sebahagian pasukan Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Dewan Sentral Komiti Selatan Malaya (DCCSM) manakala saya pula memimpin sebahagian Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Dewan Sentral Komiti Utara Malaya (DCCUM).

--- dipetik dari Memoir Abdullah C.D. (Bahagian 1 dan 2),

REJIMEN TENTERA ANTI JEPUN RAKYAT MALAYA


Sekarang kita tunjukkan pengalaman konkrit dari setiap rejimen Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya.

Pertamanya Rejimen Pertama. Rejimen Pertama didirikan pada 1 hari bulan Januari tahun 1942. Pada mulanya 15 orang kawan daripada Sekolah 101 dari Singapura. Mereka datang ke Selangor dengan setiap orang membawa selaras pistol point 3.2 saja. 3 orang barulah dapat memiliki selaras tomygun. Setiap orang ada sedozen bom tangan dan sejumlah ubat ledak. Apabila mereka tiba di Selangor, bersama-sama dengan kawan-kawan di Selangor, jumlahnya 50-60 orang telah membentuk Rejimen Pertama.

Rejimen Ke-2 ialah kawan-kawan dari Perak, jumlahnya 28 orang. Setelah mereka keluar dari Sekolah 101, mereka pada mulanya nak balik ke Perak, tetapi tak dapat, tinggal di Negeri Sembilan. Kumpulan ini mempunyai senjata lebih sedikit, iaitu setiap orang mempunyai 2 laras pistol, tomygun pun lebih sikit. Mereka tinggal di Negeri Sembilan telah membentuk Rejimen Ke-2 pada pertengahan bulan Januari.

Rejimen Ke-3. Kawan-kawan ini semuanya 40 orang lebih. Orangnya datang dari Kuala Lumpur dan Pahang. Setelah mereka meninggalkan Sekolah 101, mereka telah dihantar masuk dan tinggal di Johor Utara, kemudian telah membentuk Rejimen Ke-3 di Johor Utara (termasuk juga Melaka).

Rejimen Ke-4 ialah kawan-kawan dari Singapura dan Johor. Setelah mereka menerima latihan di Sekolah 101 dan baru saja dihantar masuk ke Malaya tinggal di Johor Selatan, Tambak Johor telah diledakkan. Jumlah orangnya 60 orang lebih. Merekalah membentuk Rejimen Ke-4.

Kawan-kawan, 4 kumpulan kawan yang tadi ialah murid-murid dari Sekolah 101, sekolah militeri. Dan lagi pada saat itu latihannya sangat rendah. Masanya hanya seminggu atau 10 hari sahaja. Tetapi telah memberikan teladan tepat kepada kita. Di sana kawan-kawan kita semua tak tahu soal senapang, soal perjuangan bersenjata. Maka sedikit sebanyak pengetahuan itu juga memberi bantuan kepada kita. Inilah mula-mula membentuk 4 rejimen.

Rejimen Ke-5 didirikan oleh State Komiti sendiri iaitu State Komiti di Perak. Pada masa itu kawan-kawan yang berlatih di Singapura itu telah tinggal di Negeri Sembilan, tak dapat balik. Maka organisasi Parti Perak sendiri telah mendirikan satu pasukan. Kerana di Perak organisasi Parti agak kuat sedikit dan mempunyai anggota Parti beberapa ratus orang dan mereka mengambil senjata-senjata daripada massa yang ditinggalkan oleh tentera British dahulu. Pada 15 hari bulan 2, kompeni yang pertama telah didirikan di Bidor. Kawan Chen Ping pada masa itu menjadi Komisaris pasukan kompeni itu. Kemudian sampai bulan 5 atau 6, pada tahun 1942 barulah dirasmikan menjadi Rejimen Ke-5.

Rejimen Ke-6 pada mulanya ialah pasukan tempatan. Mereka tidak mempunyai senjata. Sewaktu gard hanya menggunakan parang sahaja. Kemudian pasukan tempatan ini telah berkembang. Sampai bulan Ogos tahun 1943 telah dirasmikan menjadi Rejimen Ke-6.

Rejimen Ke-7, mereka dirasmikan pada pertengahan tahun 1944, tapi yang sebenarnya awal-awal lagi mereka telah banyak bertempur. Mereka ialah tentera (pasukan) tempatan iaitu di Pahang Timur dan di Terengganu. Apabila kita membaca buku Panji Merah Menggulung Pantai Timur maka kita tahulah seluruh sejarah pertempuran mereka. Mereka banyak bertempur dan banyak merampas senjata musuh serta pernah juga membunuh pegawai tinggi tentera Jepun dan askar-askar Jepun. Periuk-periuk api yang mereka guna di sana telah memainkan peranan besar di dalam pertempuran-pertempuran.

Rejimen Ke-8 dirasmikan pada masa Jepun nak menyerah diri. Tetapi mereka juga bertempur lebih awal lagi. Rejimen Ke-8 ini istimewanya ialah gunakan senapang kayu. Pada mulanya mereka tak cukup senapang, apabila membuat kerja maka mereka senantiasa gunakan senapang kayu dan pistol kayu.

Pada masa Perang Anti-Jepun, ejen dalam selimut Lai Te masih belum terbongkar lagi. Dia yang mula-mula menjadi perisik imperialis British kemudian telah menjadi perisik Jepun. Ia dengan seribu satu daya cuba hendak meniadakan perjuangan bersenjata. Dia selalu menganjurkan supaya perjuangan kaum buruh dan perusahaan industri dititikberatkan. Dia juga menganjurkan supaya senjata-senjata pasukan gerila disorokkan dan pasukan-pasukan dipencarkan menjadi gerup-gerup kecil lalu bergerak di tengah-tengah massa dengan dalih konon untuk menggerakkan massa. Akan tetapi, kerana kawan-kawan seluruh Parti melaksanakan sepenuhnya garis perjuangan bersenjata yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat Parti dan menggenggam kejat-kejat senapang maka kejahatan serigala musuh itu telah gagal. Di bawah pimpinan Parti kita, rakyat negeri kita telah mencapai kemenangan besar dalam perang anti-Jepun. Kepemimpinan Parti kita, rakyat negeri kita telah mencapai kemenangan besar dalam perang anti-Jepun. Tetapi Parti kita belum dapat meningkatan praktik dalam masa itu. Belum sedar sepenuhnya akan keharusan Parti Revolusi Demokratik Baru negeri kita untuk menempuhi jalan mengepung kota dari desa dan merebut kekuasaan politik dengan kekuatan bersenjata. Dan juga belum dapat memecahkan secara tegas masalah tentang tenaga penggerak revolusi negeri kita. Oleh kerana itu setelah fasis Jepun menyerah diri, Parti kita telah tertipu oleh musuh sehingga melaksanakan garis revisionis yang dianjurkan ejen dalam selimut Lai Te yang melepaskan perjuangan bersenjata, akibatnya buah hasil kemenangan telah terkubur. Ini telah menjelaskan bagaimana Parti kita telah ditipu oleh pengkhianat Lai Te. Kerana pada masa itu kita belum lagi sedar tentang soal desa kepong kota dan senapang rebut kuasa. Dan juga kita kurang faham lagi tenaga penggerak revolusi. Lai Te berkata, bangsa Tionghua dan bangsa India ialah bangsa pendatang, maka mereka adalah kaum perantau tetapi bangsa Melayu adalah bumiputera. Dia berkata, kalau kita mencapai kemenangan dalam perang anti-Jepun, kekuatan antara berbagai-bagai bangsa tak seimbang. Maka tak dapatlah mempertahankan perjuangan bersenjata. Kita telah tertipu oleh tipu helah musuh. Maka pengalaman baik dari segi positif mahupun segi negatif telah menginsafkan kita sedalam-dalamnya tentang teramat pentingnya memegang senapang.

Sekarang kita belajar pengalaman yang ketiga. Mestilah bersandar pada massa. Tepat sebagaimana yang diajarkan oleh guru agung Kawan Mao bahawa sumbangan paling kaya dari kekuatan perang terletak di kalangan massa rakyat. Perang revolusioner adalah perang massa. Perang itu dapat dilakukan hanya dengan mengerahkan massa dan hanya dengan bersandar kepada massa. Ketika itu, rakyat luas semua bangsa yang telah bersatu dan berorganisasi merupakan satu kekuatan yang tak terkalahkan. Justeru kerana mendapat sokongan kuat dari massa rakyat amnya dan massa di kawasan pedesaan khasnya barulah Parti kita dan tentera anti-Jepun rakyat dapat mengatasi seribu satu kesulitan dan bertalu-talu menghancurkan serangan musuh. Hubungan erat bagaikan isi dengan kuku antara Parti kita dengan rakyat luas ialah kerana kita mempunyai garis dan program yang pada pokoknya tepat dan kerana kita senasib, sepenanggungan dengan massa dan telah melakukan pekerjaan dengan teliti dan tak kenal susah payah di kalangan massa.

Kawan-kawan, pada masa itu memang kita mencapai hasil-hasil yang sangat baik di lapangan ini, iaitu kerja di kalangan massa. Terutamanya separuh pedesaan telah dikuasai oleh kita dan telah disusun serta dipengaruhi oleh kita. Tapak-tapak ormas juga diperluas dan kukuh atau satu pertiga penduduk seluruh Malaya telah dipengaruhi oleh kita. Semua bandar-bandar, baik bandar-bandar kecil mahupun bandar-bandar sederhana bahkan setengah-setengah bandar besar juga dapat dikuasai oleh kita. Dengan ini, kita telah dapat sokongan yang kuat daripada massa dari segi ekonomi mahupun di segi makanan. Pada pertengahan tahun 1944, di sesetengah negeri ada yang boleh tahan dan ada perbaikan di segi kehidupan kerana perjuangan massa. Pada masa itu, kita juga ada lima puluh ribu lasykar rakyat di sekeliling Parti kita. Maka inilah sumber kekuatan, sumber tenaga. Oleh sebab itu tentera kita dengan pesatnya berkembang sampai 10,000 orang. Yang terbukanya ada 4,000 dan yang sulitnya pula ada hampir 5-6,000 orang. Pada masa itu kita melatih kader-kader massa gunakan sekolah rakyat kerana kerja telah berkembang dengan pesatnya maka memerlukan mendidik ramai kader maka adakan latihan-latihan dan kursus-kursus di dalam sekolah rakyat. Sekolah rakyat tak lama, latihannya kadang-kadang sampai 3 hari sahaja telah dilepaskan, kemudian mereka bekerja. Pada masa itu pekerjaan di kalangan kaum tani juga ada perkembangan yang baru. Di seluruh Malaya, khasnya di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, sudah ada mulai menyusun massa kaum tani. Umpamanya di sepanjang Sungai Perak, hampir 51 kawasan sana seperti kawasan bebas. Bendera tentera kita berkibar-kibar di atas motobot yang boleh membawa 100 orang itu berulang-alik di dalam Sungai Perak. Rapat-rapat umum massa kaum tani di kampung-kampung kadang-kadang diadakan sampai 3 hari 3 malam. Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kawan-kawan kita juga menyusun massa di sana dan menghantar salah seorang State Komiti telah bersandar kepada kawasan inilah untuk menjalankan tugas-tugas mereka. Pasukan kita juga bebas di kalangan kawasan-kawasan Melayu. Kita bukan sahaja menyusun massa-massa kaum tani, bahkan kita dapat juga memenangi setengah-setengah orang-orang atasan, seperti penghulu-penghulu bahkan sultan-sultan kita juga ada buat kerja terhadap mereka. Dan setengah-setengah Sultan juga mempunyai hubungan yang erat dengan kita.

PENGALAMAN SEJARAH DAN TRADISI MULIA


Bahagian Keempat: Pengalaman Sejarah Dan Tradisi Mulia Parti Kita.

Bila tentera penceroboh Jepun menginjakkan kakinya di bumi tanah air kita, pada masa itu seratus lima puluh ribu tentera British telah terus-menerus berundur dan mengangkat bendera putih menyerah diri, maka fasis Jepun melakukan kekejaman di tanah air kita. Pada masa itu hanya Parti Komunis Malaya sajalah yang berani berjuang, berani meremehkan musuh, berani memimpin rakyat seluruh negeri melakukan perjuangan bersenjata dan telah mencapai hasil-hasil yang besar, akhirnya terus mencapai kemenangan. Tetapi pada masa itu bagi pihak kelas komprador tuan tanah dan birokrat, baik wakil-wakil mereka, pada mulanya mereka bergantung kepada imperialis British, kini mereka bekerjasama dengan fasis Jepun. Di sini kita buatkan beberapa contoh, umpamanya Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman pada waktu sebelum Jepun menceroboh Malaya, adalah seorang DO. Tetapi setelah Jepun mari, dia pun berkhidmat kepada Jepun. Seorang lagi Tun Abdul Razak. Tun Razak pada waktu Jepun adalah seorang juru bahasa. Tapi dia memihak Jepun dan berkhidmat kepada musuh. Lee Kuan Yew juga begitu. Pada masa Jepun, dia juga selaku seorang juru bahasa berkhidmat untuk kaum fasis Jepun. Pada masa itu, orang-orang yang terkemuka di masyarakat luar, semuanya telah berundur atau lari ke tempat-tempat lain, negeri-negeri lain atau menyorokkan diri. Tetapi hanya Parti Komunis Malaya sahajalah yang tampil ke hadapan untuk memimpin rakyat melawan musuh dengan gagah berani. Parti Komunis Malaya, satu-satunya pemandu massa yang terpercaya di saat-saat menghadapi ujian yang berat.

Dari pengalaman Parti kita sendiri telah membuktikan jika Parti kita dapat memainkan peranan di dalam usaha pembebasan maka usaha revolusi akan berkembang. Oleh sebab itu Parti, tentera, lasykar rakyat dan semua ormas (organisasi massa) telah berkembang. Dengan ini, kita dapat menguasai lebih separuh daripada bumi tanah air dan juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan massa dan di kalangan askar-askar, polis-polis, pegawai-pegawai kerajaan, orang-orang atasan dan lain-lain. Pada masa itu orang ramai gelar kita sebagai kerajaan hutan. Beginilah kita telah mencapai kejayaan yang sangat besar.

Kawan-kawan yang dikasihi, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang, berani meremehkan musuh dan mempunyai semangat berani mendaki gunung melati dan menerjun lautan api, maka Parti Komunis Malaya berani mengeluarkan seruan-seruan tempur yang jaya kepada massa seluruh negeri supaya angkat senjata melakukan perang gerila. Cuba kawan-kawan fikir, pada masa itu tentera fasis Jepun mempunyai kekuatan yang besar dan mereka mempunyai banyak pengalaman-pengalaman di medan peperangan bahkan seratus lima puluh ribu tentera British pun tak terlawan, hanya terus-menerus berundur dan menyerah diri. Di dalam keadaan demikianlah bagaimana Parti kita, lebih-lebih lagi pada masa itu sesetengah orang yang demokrat,mereka pun tak berkeyakinan Malaya boleh melancarkan perang gerila. Mereka berkata, Mao Zedong pun tidak menulis tentang masalah itu. Mereka tak percaya Malaya boleh melakukan perang gerila. Maka ini di segi teori kita nak menetapkan boleh atau tidak melancarkan perang gerila di Malaya pun menjadi satu masalah yang sangat-sangat penting. Tetapi, Parti kita berani berjuang, berani menang. Parti kita berani menetapkan bahawa di Malaya boleh melakukan perang gerila. Ini telah melahirkan satu semangat keberanian untuk melancarkan perang gerila. Dan pada masa itu, Parti kita telah menghadapi seribu satu macam kesukaran. Umpamanya tanpa pengalaman militer, tidak mempunyai senjata dan perbekalan, tanpa pengalaman di dalam hutan dan asas-asas di desa agak lemah jika dibandingkan dengan asas-asas di kota-kota. Tambahan lagi, pada waktu Jepun memijak bumi tanah air kita, organisasi Parti kita telah bercerai-berai. Kader-kader banyak yang berkorban dan tertangkap dan lain-lain. Akan tetapi, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang, berani meremehkan musuh yang ganas dan durjana, maka Parti telah membentuk Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang pertama dipimpin oleh Parti proletar, dengan tidak menghiraukan segala-gala kesukaran di atas tadi, dan akhirnya terus melakukan perjuangan-perjuangan hingga mencapai kemenangan yang besar di dalam Perang Anti-Jepun.

Selainnya, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang maka seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita telah memperlihatkan semangat kepahlawanan, semangat keperwiraan di dalam pertempuran-pertempuran dan di dalam perjuangan-perjuangan. Kesah-kesah yang heroik mereka itu telah melukiskan sajak yang gilang-gemilang di dalam lembaran sejarah pembebasan Malaya. Peristiwa “1 September” adalah contoh yang paling tipikal pencerminan semangat kepahlawanan kader-kader dan kawan-kawan kita. Dan banyak lagi pahlawan-pahlawan terkorban dan menyumbangkan darah segar mereka demi usaha pembebasan Malaya. Peristiwa ramai-ramai menyerbu keluar dari penjara Selangor pada waktu Jepun juga sangat menggemparkan musuh dan memberangsangkan rakyat seluruh Malaya.

Yang kedua, semangat organisasi dan semangat disiplin yang teguh. Berkat adanya semangat organisasi, semangat disiplin yang teguh dari kader-kader dan kawan-kawan kita maka di bawah bimbingan garis Parti yang tepat, kita telah memperolehi perkembangan dan kemenangan yang besar dalam perang anti-Jepun. Pada waktu Jepun, seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita mempunyai semangat organisasi dan semangat berdisiplin yang sangat-sangat baik. Pertama-tamanya ialah sikap baik terhadap organisasi. Mereka patuh kepada organisasi dengan tanpa syarat. Mereka tidak pernah menolak dan memilih-milih tugas. Apa yang disuruh oleh Parti, itulah dibuat. Mana yang ditunjuk oleh Parti, situlah pergi. Mereka menjalankan tugas Parti tanpa menghiraukan keadaan yang merbahaya, keadaan yang mengancam mereka, tanpa menghiraukan segala-gala kesulitan, sakit demam dan juga tidak mengira nama, kedudukan atau untung rugi diri sendiri. Di dalam hati mereka hanya memikir satu masalah sahaja, iaitu bagaimana menghalau fasis Jepun keluar dari Malaya, bagaimana melaksanakan tugas Parti dengan menonjol.

Di sini bolehlah saya buatkan beberapa contoh. Umpamanya pada waktu perang melawan Jepun, keadaannya sangat-sangat bergelora. Tentera fasis Jepun sentiasa melancarkan serangan-serangan terhadap kita. Tetapi kawan-kawan kita tidak takut keadaan yang merbahaya, tetap mengobarkan semangat tak takut mati, tak takut susah untuk menjayakan tugas Parti, untuk menjalankan keputusan-keputusan yang ditetapkan oleh Parti. Ketika itu kawan-kawan kita ramai yang mengidap penyakit malaria, demam kura, mereka sentiasa bekerja di dalam keadaan sakit, tetapi semangat tetap berkobar-kobar. Ada kalanya di tengah jalan telah sakit. Maka terpaksalah berhenti menyorokkan diri ke tepi jalan, bersembunyi dalam daun lalang. Setelah sedar pada suatu ketika barulah keluar meneruskan perjalanan. Ada kalanya tengah-tengah mesyuarat, tengah-tengah metting ketar pula. Maka terpaksa rehatlah sebentar, baring sebentar, lepas itu bangun pula untuk meneruskan mesyuarat. Tapi kawan-kawan kita tidak menghiraukan sakit, tiga tahun lapan bulan masa sakitnya hampir tiga tahun bagi sesetengah kawan, tetapi tidak mengganggu sedikit pun pekerjaan sendiri.

Satu contoh lagi umpamanya Kawan Chen Ping sendiri, Setiausaha Agong Parti Komunis Malaya. Mula-mula Jepun menceroboh Malaya, beliau bekerja di kawasan xx. Beliau selain membuat kerja-kerja memimpin, beliau sendiri juga menulis bahan-bahan penerangan, kemudian sendiri menulis stensel dengan cepat, dan terus bekerja dengan kencang.

Kawan Chen Nan juga begitu. Pada mula-mula perang anti-Jepun, beliau bekerja di kalangan massa, bertanggungjawab memimpin Liga Anti-Jepun. Selain daripada membuat kerja-kerja organisasi, beliau sendiri juga menjadi utusan, beliau sendiri juga menghubungi pihak organisasi dan menghubungi kawan-kawan serta memimpin satu kawasan yang luas. Kemudian beliau juga ditranfer sampai kawasan timur untuk bekerja di sana. Beliau sangat-sangat kencang dalam pekerjaan. Kalau kawan-kawan lain satu hari hanya dapat membawa satu kali mesyuarat di salah satu kampung, tetapi Kawan Chen Nan membawa mesyuarat 3-4 buah kampung (3-4 tempat). Beliau mempunyai prestij (kewibawaan) yang sangat tinggi di kalangan massa rakyat di sana.

Satu contoh lagi umpamanya salah seorang kawan yang bekerja di Perak. Beliau tetap bekerja siang berganti malam sehingga beliau demam pada siang hari pukul 12, tetapi sampai malam beliau pun meninggal dunia. Ini telah menunjukkan betapa tingginya semangat bekerja, dan keghairahan revolusioner kawan tersebut. Dan banyak lagilah contoh-contoh yang lain.

Tentang semangat organisasi disiplin ada satu yang patut ditegaskan ialah semangat mencintai pimpinan Parti. Pada masa itu, kader-kader dan kawan-kawan sangat menghormati pimpinan Parti, mengkagumi pimpinan Parti. Dalam masa perang anti-Jepun semangat disiplin kader-kader dan kawan-kawan kita juga sangat baik. Mereka mempunyai kesedaran diri sendiri untuk menaati disiplin, menaati kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan. Kawan-kawan kita menjaga rahsia Parti dengan baik. Segala-galanya ikut saluran organisasi. Selainnya sangat mengambil berat tentang keputusan mesyuarat. Pada masa itu, sentiasa diadakan mesyuarat-mesyuarat Parti. Agendanya mudah, satu keadaan internasional. Dua, mengkaji keadaan dalam negeri. Selepas itu, laporan kerja, ulang kaji dan perbincangan. Dan juga sentiasa diadakan kritik-mengkritik untuk menyelesaikan segala-gala pertentangan di dalam fikiran atau pertentangan antara kawan dengan kawan. Semasa itu, kawan-kawan kita sangat mengambil berat tentang kehidupan mesyuarat, ada kalanya mesyuarat diadakan siang berganti malam, atau sampai beberapa hari langsung tak tidur, terus mesyuarat sampai selesai barulah mula bekerja, ertinya kehidupan sangat-sangat kencang.

Pada waktu perang anti-Jepun, semangat kerjasama antara kader-kader dan kawan-kawan pun sangat baik. Sesama kader-kader saling hormat-menghormati, saling belajar mempelajari, sangat kasih mesra, semangat perbincangan baik. Hubungan antara kawan dengan kawan juga baik. Saling tolong bantu dan jika ada apa fikiran secara tulus ikhlas bentang di atas meja. Tidak bercakap-cakap di belakang. Pada waktu Jepun, kawan-kawan kita banyak membuat jasa. Tetapi mereka tidak sombong, tidak congkak, sebaliknya semua jasa diserahkan kepada Parti dan sangat menghormati perintah atasan. Walaupun sesetengah kawan kita memimpin kawasan-kawasan yang luas, tetapi mereka segala-galanya patuh kepada organisasi. Tidak berlagak sebagai raja tempurung atau menganggap kawasan itu sebagai kawasan untuk diri sendiri. Selainnya, kawan-kawan kita juga sangat-sangat menyayangi buku-buku Parti, menyayangi surat khabar Parti. Mengambil berat untuk membaca dan mengedarkan buku-buku Parti, surat khabar-surat khabar Parti ke berbagai-bagai tempat.

Yang ketiga ialah, semangat tak takut susah payah, hidup sederhana. Semangat tahan susah payah dan hidup sederhana merupakan langgam terpuji dan tradisi mulia dari Parti dan tentera kita pada waktu perang anti-Jepun. Seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita telah dapat mempertahankan perang gerila dalam keadaan yang sangat-sangat sukar, tetapi seluruh kawan-kawan dan kader-kader telah memperlihatkan langgam yang terpuji dan terbentuklah tradisi yang revolusioner ini. Kawan-kawan kita semua faham, pada waktu kita melakukan perang anti-Jepun ialah di dalam keadaan yang sangat-sangat sukar. Kehidupan kita ialah kehidupan gerila. Yang pertama sekali ialah tak cukup perbekalan dan makanan. Mula awal-awal lagi, kawan kita kebanyakan makan beras kapur.

Pada tahun 1944, Rejimen Pertama masih makan ubi kayu campur nasi. Ubi kayu di Selangor pula kecil-kecil belaka kerana di sana banyak lombong bijih. Di stet-stet yang lain sampai pertengahan atau akhir-akhir perang anti-Jepun, keadaannya ada perubahan sedikit, umpamanya setiap orang diberi 7 gantang beras. Setiap orang lapan pot. Tetapi kerana pandangan ekonomi kawan kita sangat tepat, walau pun Parti bagi 7 gantang beras, (campur) dengan ubi kayu, tetapi mereka tidaklah ambil 7 gantang, sentiasa kurangkan jumlah itu. Dan sesetengah tempat masih sangat sukar lagi. Umpamanya, kawan Jasman, beliau adalah kader dari Rejimen Ke-4. Maka pasukan yang beliau duduk itu, sampai akhir-akhir atau sampai masa Jepun menyerah diri, pasukan beliau masih makan ubi keledek lagi, ertinya masih belum ada beras lagi.

Di segi alat-alat kelengkapan pun serba-serbi kurang. Pada masa itu tak ada uniform. Kawan-kawan kita pakai pakaian biasa sahaja. Dan barang-barang runcit pun sangat kurang. Setiap orang tentera sangat ringkas di segi alat kelengkapan. Biasanya seorang kawan ada dua pasang seluar baju, sehelai selimut, barang yang lain tak ada belaka. Kain getah pada zaman itu langsung tak ada lagi. Pada masa itu juga tak ada haversyek. Pakaian mereka dibungkus di dalam kain menjadi satu bungkusan, kemudian ikat pada badan sendiri. Alat-alat kerja pun sangat sukar. Pada masa itu, buku-buku Parti dicetak daripada kertas orang-orang Tionghua menyembah tok kong. Ertinya tiadalah kertas-kertas yang baik. Tetapi kawan-kawan kita sangat-sangat gemar membaca buku-buku Parti dan surat khabar-surat khabar Parti. Alat-alat muzik di dalam pasukan juga tak ada. Kita dengar cerita di Rejimen Pertama, mereka menciptakan alat-alat muzik sendiri, umpamanya gunakan tempurung, gunakan alat ini dan itu untuk membuat alat-alat muzik sendiri.

Di segi perubatan lebih sukar lagi. Pada masa itu tak ada ubat injeksyen. Kalau adapun sangat-sangat kurang. Kawan-kawan kita yang demam kura tiada ubat injeksyen, dan tiada tablet, hanya gunakan air kuining. Air kuining semua kawan pun faham sangat-sangat pahit. Tetapi kerana tiada ubat yang lain, terpaksalah minum juga. Selain daripada kawan-kawan yang demam, pun ada suatu penyakit lagi, iaitu usus buta. Usus buta ini boleh katakan hampir seluruh kawan yang kena. Ini menimbulkan banyak kesulitan, khasnya pada waktu malam nak tidur susah, kalau gatal hanya garu sahaja. Tetapi pada masa itu, sakit-sakit pun tidak menghalangkan pekerjaan kita. Kawan-kawan kita memandang sakit itu macam tak ada sakit. Tak ada baring, sakit-sakit pun bekerja dan belajar terus. Cuba kawan ingat kembali, bagaimana Kawan Yang Li, Kawan yang menciptakan lagu Pembebasan Malaya ini, oleh kerana sakit dan kerana kekurangan perubatan maka beliau telah terkorban. Masa itu seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita sangat mengambil berat kehidupan politik. Mereka meremehkan kehidupan material. Oleh sebab itu, walaupun keadaan sangat sukar, walaupun tak cukup material, walaupun tak cukup makanan, walaupun tak cukup perubatan, akan tetapi seluruh kawan-kawan dan kader-kader tetap bekerja dengan semangat yang berkobar-kobar, keghairahan revolusioner tetap meluap-luap, tetap optimistik.

ERTI BESAR PERANG ANTI-JEPUN


Perang Anti-Jepun yang dipimpin oleh Parti kita mempunyai erti yang sangat besar. Satu, ia telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar bagi usaha pembebasan nasional Malaya. Ini ada dua segi. Satu seginya ialah perkembangan Parti dan tentera kita telah menambah kekuatan pembebasan nasional Malaya. Sejak mulanya anggota Parti berkembang dari 1,000 orang sampai 7,000 orang, tenteranya berkembang sampai 10,000 orang, lasykar rakyat 50,000 orang, kawasannya separuh kawasan pedesaan telah dikuasai oleh kita dan penduduknya separuh lebih atau 1/3 telah dipengaruhi oleh kita.
Ini bukanlah satu kekuatan kecil, ini telah memperkuatkan kekuatan Pembebasan Nasional Malaya. Kedua pengaruh politik juga sangat besar. Pengaruh politik ini selama-lamanya akan tersemat di dalam sanubari massa rakyat.

Kesah-kesah perjuangan yang heroik dari Parti dan Tentera kita akan dijadikan pendidikan yang berharga kepada massa rakyat dan pendidikan-pendidikan rohaniah ini akan melahirkan senjata material yang tak terhinggakan. Ini adalah erti yang pertama. Ia telah memberikan sumbangan yang mulia, penting dan aktif bagi perang anti-fasis seluruh dunia. Pada ketika itu, tentera kita telah bertempur sebanyak 340 kali dan kita telah dapat membasmi kekuatan efektif musuh seramai 5,500 orang, merampas sejumlah senjata, ini telah memberikan pukulan yang hebat ke atas musuh. Parti kita telah mengorbankan sejumlah kawan-kawan pimpinan, kader-kader Parti dan kawan-kawan untuk usaha pembebasan rakyat. Selainnya kita juga telah mengikat ratusan ribu kekuatan tentera fasis Jepun di Malaya. Ini semuanya telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar bagi perang anti-fasis seluruh dunia.

Hasil yang ketiga ialah pengalaman-pengalaman perjuangan anti-Jepun yang berharga itu telah memberikan sumbangan yang penting bagi usaha revolusi kita. Ia bukan sahaja memberikan sumbangan-sumbangan bagi pembebasan nasional Malaya dan juga memberikan sumbangan-sumbangan kepada negeri-negeri serta rakyat-rakyat yang tertindas di dalam dunia ini. Pada waktu Jepun, perjuangan kita adalah perlu, perjuangan kita lingkungannya juga sangat luas dan juga sangat sesuai.

Oleh sebab itu kita telah memperolehi pengalaman-pengalaman yang kaya-raya. Apabila pengalaman-pengalaman itu disimpulkan, ia akan menjadi teori pembimbing dan mempunyai erti yang sangat besar bagi kita untuk kita meneruskan perjuangan. Dengan demikian, pengalaman-pengalaman Parti kita telah memperkayakan khazanah teori Marxisme-Leninisme dan Fikiran Mao Zedong. Inilah tiga erti besar perang anti-Jepun.

Kawan-kawan apakah sebabnya tercapainya kemenangan perang anti-fasis? Ini adalah hasil perjuangan bersama dari rakyat semua negeri di dunia khasnya rakyat Soviet Union di bawah dipimpin Kawan Stalin dan rakyat Tiongkok yang dipimpin oleh Kawan Mao Zedong. Maka akhirnya kita telah memperolehi kemenangan besar dalam perang anti-fasis. Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun yang berlangsung selama 3 tahun 8 bulan adalah perang rakyat yang pertama kali dalam sejarah negeri kita yang dipimpin oleh Parti proletar. Ia merupakan lembaran yang ditulis dengan tinta emas dalam sejarah negeri kita, rakyat negeri kita yang tertempa dalam perang itu telah meningkatkan kesedaran politiknya ke suatu taraf yang sangat-sangat tinggi, ke satu tahap yang merupakan titik balik iaitu ketika fasis Jepun menyerah diri, Parti kita telah menjalankan garis salah, imperialisme British telah dapat memulihkan semula kekuasaan kolonialnya di negeri kita. Untuk melawan penindasan imperialisme British yang kejam dan menggulingkan kekuasaan kolonial imperialisme British berserta boneka-bonekanya maka Parti kita sekali lagi memimpin rakyat semua bangsa, mengangkat senjata dan melancarkan perang Pembebasan Nasional anti-British pada bulan Jun tahun 1948.

MENGAPA PKM BEKERJASAMA DENGAN BRITISH SEWAKTU PERANG JEPUN

Sebenarnya British adalah musuh kita. Setelah kaum fasis Jepun menduduki Malaya, maka kita telah bekerjasama dengan kaum imperialis British, bersama-sama melawan pencerobohan fasis Jepun. Sebenarnya imperialis British juga di pihak Berikat. Maka bagaimana caranya kita gunakan pertentangan antara British dan Jepun, bagaimana pula kita berhubung dengan pihak British untuk melawan fasis Jepun, cerita konkritnya begini:

Pada masa itu kaum imperialis British hendak menyerang balas dan kembali ke Malaya. Oleh sebab itu mereka ada rancangan hendak menggugurkan pasukan-pasukan dan senjata-senjata di merata tempat di Malaya. Maka di dalam parti kita pada masa itu telah mengadakan satu sidang kader-kader peringkat tinggi iaitu pada bulan September tahun 1944. Pada masa itu salah seorang kader iaitu Kawan Pan Sao Siong telah membuat lagu sambutan (yang sekarang kita nyanyikan) untuk menyambut wakil-wakil daripada seluruh Malaya. Inilah sejarah lagu sambutan.

Pada masa itu, di dalam sidang itu Kawan Chen Ping juga menghadiri persidangan ini kerana beliau adalah Stet Komiti di Perak. Di dalam sidang ini telah banyak membuat keputusan-keputusan termasuklah keputusan tentang menghantar orang-orang kita untuk berhubung dengan British agar dapat memperoleh senjata-senjata daripada pihak British. Sebenarnya kawan-kawan, kita ada hubungan dengan British itu bukan pada masa itu sahaja, tetapi dari mula lagi, mula perang anti-Jepun lagi sudah ada hubungan, umpamanya baru sahaja Jepun menceroboh Malaya, telah kita berunding dengan pihak British. British pun membebaskan hampir 200 orang kawan-kawan kita, maka kita pun hantar ramai kawan pergi menghadiri Sekolah Latihan Khas 101, Sekolah latihan militer yang diadakan oleh kaum imperialis British di Singapura untuk melatih kader-kader militer kita. Pada masa itu kita telah hantar 4 gerup kawan-kawan untuk berlatih di dalam sekolah 101 dan seratus orang lebih telah dilatih.

Setelah Malaya jatuh ke dalam tangan fasis Jepun, maka pihak British meninggalkan Malaya, mereka pun hantarlah beberapa rombongan orang-orangnya masuk ke Malaya. Salah satu rombongan diketuai oleh Che Man, dia membawa 50-60 orang masuk ke Malaya untuk melakukan perang pengrosakan. Mereka berangan-angan hendak bergerila juga, akan tetapi akhirnya habis mati tinggal Che Man seorang dan seorang lagi manager estet. Che Man dengan manager ini pun pergilah mencari kawan-kawan kita. Mereka bertemu dengan Kawan Si Chien Piao, Komisaris Rejimen Pertama dan juga kawan Chen Tian Ching Ketua Rejimen Pertama kerana kawan-kawan ini adalah murid kepada Che Man, sebabnya di dalam sekolah 101 Che Man menjadi guru besar di sana.

Chek Man pun memberitahu Kawan Si Chien Piao dan kawan Chen Tian Ching, katanya di Pahang mereka ada menyimpan senjata, bom tangan, 2 laras tomy, 4 laras raifel dan sejumlah ubat ledak. Lepas itu Kawan-kawan pergilah bersama-sama dengan mereka untuk mengambil senjata-senjata itu. Sewaktu pergi mereka berjalan kaki, waktu balik mereka tak mahu berjalan, tapi kawan-kawan ada kerja mendesak, balik dahulu; tinggal 2 orang di sana dijaga oleh kawan-kawan. Tetapi yang dikatakan manager tadi itu tak mahu berjalan, dia buat sakit, nak kawan kita kandar. Kemudian kawan kita buat berita mengatakan musuh nak menyerang, terpaksalah dia berjalan.

Berjalan sampai satu tempat dia tak mahu jalan pula. Kebetulan pada masa itu ada salah seorang kaum buruh beritahu katanya boleh pakai kereta, maka dia pun sangat gembiralah, nak kawan kita pergi cari kereta. Kawan kita pun berundinglah dengan seorang driver kereta untuk membawanya. Kawan kita menghantar mereka dengan baik, hantar seorang ketua Platun dan seorang perajurit yang agak perwira bersama-sama dengan dua orang putih ini. Dua orang putih ini naik kereta, berjalan 8-9 batu bertemulah dengan sebuah kereta. Kereta itu lori membawa ikan.

Yang sebenarnya tadi yang diberi tahu kaum buruh boleh membawa kereta itu ialah hantu. Dia telah membuat laporan kepada fasis Jepun, dengan ini mereka menyamar sebagai lori membawa ikan. Apabila bertemu, Fasis Jepun pun terjun turun ke bawah, dan menembak kereta kawan-kawan kita. Ketua Platun tadi dengan segera melompat ke bawah, seorang perajurit tadi juga dengan segera turun. Chek Man boleh tahan juga, dia turun ikut kawan kita. Akan tetapi manager tadi lembek, duduk di atas kereta, akhirnya ditembak mati oleh musuh. Maka 2 orang kawan dan Chek Man ini selamatlah berundur, tetapi sejumlah senjata telah hilang, hanya beberapa laras rifle itu selamat dibawa dengan basikal barulah dapat selamat bawa balik.

Chek Man ini pada masa yang sudah ialah seorang pelajar pernah menjelajah ke gunung-gunung India dan menjelajah ke eskimo, sebab itu dia ada sedikit-sedikit pengetahuan dapat juga dia ikut-ikut kawan kita berundur. Tetapi apa bila balik ke pasukan dia cakap besar. Dia pun berceritalah bagaimana dia pandai berperang, pandai lawan musuh sebab itu dia dapat selamat balik. Sebenarnya dia ikut kawan kita sahaja. Kalau tak dapat ikut kawan kita, dia pun tak selamat.

Chek Man ini juga, di dalam pasukan, kawan-kawan kita pernah minta dia menyampaikan sesetengah pengetahuan militeri. Dengan ini dia ada memberi sedikit sebanyak kursus kepada kawan-kawan kita, tetapi membawa kursus empat belas kali atau lima belas kali semua pengetahuan pun habis disampaikan, tak banyak bahan juga. Tetapi kawan-kawan kita nak dia menyampaikan pengetahuan militeri tadi nak ada cara, harus sentiasa dilayani dengan kopi, kalau ada kopi, maka dia pun rajinlah.

Selainnya dia sentiasa pergi memburu, apabila dapat buruan kawan kita masak beri sedikit sebanyak kepada dia. Dia pun sangat gembira dan rajin memberi kursus. Tetapi apabila dia menembak tepat tak apalah, kalau tak tepat dia sentiasa memberitahu kawan-kawan katanya peluru tak baik. Maka satu kali tak baik, dua kali tak baik, apabila banyak kali tak baik, akhirnya tak ada siapa nak percaya kepadanya.

Sampai satu masa Chek Man ini telah balik ke India, balik ke New Delhi. Pada masa itu Markas Besar British di New Delhi. Maka British menganggap dia ini kader penting, kader besar kerana dia seorang yang selamat sebab itu transfer dia balik.

Selainnya ada satu rombongan lagi askar orang putih di Negeri Sembilan, lebih kurang 150 orang lebih. Orang-orang ini adalah tentera British, mereka juga melakukan perang pengrosakan. Tetapi orang-orang ini kita tak dapat membuat apa-apa kerja. Di antara mereka banyak sangat pertentangan. Yang dikatakan tentera British, sebenarnya mereka sentiasa berebut-rebut makanan, berbalah, bertumbuk dan lain-lain. Apabila mereka nak makan telor ayam atau nak makan ayam, mereka pun tukar dengan pistol atau jam tangan dengan orang ramai. Apabila mereka sakit, tak ada semangat tolong bantu. Oleh sebab itu, apabila sakit, tak berapa hari telah mati. Seorang mati, seorang lagi, seorang demi seorang, akhirnya 150 orang pun habis mati. Maka itu bukannya mudah, kawan-kawan kita berpuluh-puluh tahun berjuang pun tak mati, bahkan sihat pula. Tetapi mereka kerana tak ada semangat dan tak ada semangat tolong bantu pula, sebab itu tak tahan,tak sampai berapa lama sahaja semuanya sudah habis.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve