Blackend Is The End

Jumaat, 26 Mac 2010

HARI PAHLAWAN REVOLUSIONER 1 SEPTEMBER

Di saat-saat Perang Anti-Jepun berkembang menggelora, ejen dalam selimut Lai Te yang telah bersalin bulu dari sepai British menjadi sepai Jepun cuba mematahkan perjuangan dengan taktik jahat. Dia di satu segi merangka suatu Persidangan Yang Diperluas Jawatankuasa Pusat di Batu Caves, Kuala Lumpur dan di segi lain pula bersubahat dengan fasis Jepun mengatur 5 lapis kepungan ke atas tempat persidangan. Pimpinan penting parti dan tentera telah awal-awal lagi tiba di tempat persidangan. Raifel dan Chang Lang Ping menghadiri persidangan itu sebagai wakil dari Rejimen Ke-5. Sedangkan Lai Te sendiri tidak menunjukkan dirinya.
Tanpa menyedari bahaya akan menimpa, kawan-kawan yang berkumpul di tempat persidangan itu sangat gembira kerana dapat bertemu rakan seperjuangan yang telah lama berpisah menjalankan tugas di merata penjuru tanah air. Waktu subuh, askar fasis Jepun mulai menyerang tempat persidangan. Kawan-kawan melakukan pertempuran dengan gagah berani melawan askar fasis Jepun. Lai Raifel telah bertempur sehingga pistolnya kehabisan peluru. Beliau bersama kawan-kawan pimpinan dan kawan-kawan lain menerobosi selapis demi selapis kepungan musuh.

Tugu Kesatria - untuk memperingati para pejuang
kemerdekaan tanah air dari berbagai zaman
yang didirikan pada tahun 1998, terletak
di sebuah bekas perkhemahan lama
Rejimen Ke-10, kira-kira 1 kilometer
dari Kampung Perdamaian Sukhirin.

Pada tahun 1980, ketika saya dijemput ke Organ Jawatankuasa Pusat, Chang Ling Yun, seorang anggota Politbiro Jawatankuasa Pusat PKM yang hadir dalam persidangan 1 September itu berkata kepada saya bahawa “Lai Raifel adalah seorang kader parti yang berteladan dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi”. Chang Ling Yun menceritakan bahawa beliau yang mewakili Rejimen Ke-6 menghadiri persidangan itu telah tercedera di bahagian betis dalam pertempuran menerobos kepungan. Apabila sampai di Sungai Tua, Raifel nampak beliau telah luka lalu mengeluarkan sapu tangannya membalut luka dan memberikan rawatan cemas kepadanya. "Jika Raifel ingin melepaskan dirinya dia boleh tidak menghiraukan saya". Dalam masa itu juga mereka berhadapan dengan kepungan lapisan terakhir fasis Jepun. "Dalam saat kemelut itu, Raifel melihat seorang kawan masih mempunyai sebutir bom tangan lalu memintanya. Dengan secepat kilat Raifel melemparkan bom tangan itu ke atas musuh dan memerintahkan kami menyerbu keluar dalam kepulan asap ledakan yang dahsyat itu. Demikianlah kami terselamat dari bahaya fasis Jepun."

Serentak dengan serangan ke atas tempat persidangan, Kompeni Teladan Rejimen Ke-1 yang ditugaskan menjaga keselamatan persidangan juga diserang oleh tentera fasis Jepun. Kerana itu kompeni tersebut tidak dapat memberikan bantuan kepada kawan-kawan di tempat persidangan.

Setelah bertemu semula, Raifel menceritakan seluruh proses peristiwa tersebut kepada saya. Kami sangat berduka cita kerana 18 orang kawan pimpinan dan kawan pengawal telah gugur dalam peristiwa tersebut. Semangat tempur yang gagah berani yang ditunjukkan oleh seluruh kawan pimpinan dan kawan-kawan dalam peristiwa itu sangat mengkagumkan kami.

Peristiwa 1 September telah menimbulkan kerugian besar ke atas PKM dan kekuatan anti-Jepun. Namun, peristiwa ini sedikit pun tidak mematahkan semangat perjuangannya, malah perjuangan bersenjata anti-Jepun lebih marak berkobar-kobar lagi. Jawatankuasa Pusat PKM mengambil sempena 1 September sebagai hari memperingati Para Pahlawan dan Kesateria Revolusioner baik dalam masa Perang Anti-Jepun mahupun dalam masa Perang Pembebasan Nasional Anti-British.


---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan

KESATUAN MELAYU MUDA (KMM)

Kesatuan Melayu Muda ringkasnya KMM ialah perubuhan Melayu yang berunsur politik yang pertama di Tanah Melayu.

KMM ditubuhkan pada bulan Mei 1937, bertempat di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan tujuan untuk menimbulkan kesedaran kemerdekaan orang-orang Melayu, disamping melancarkan perjuangan anti-British. Pada waktu yang sama terdapat pertubuhan orang Melayu yang lain seperti Persatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Selangor, dan lian-lain tetapi tidak mengamalkan prinsip perjuangan seperti KMM.


Penubuhan KMM adalah hasil dariapda satu himpunan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) bersama-sama dengan segelintir para inteligensia Melayu dari beberapa institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur, dan golongan muda Melayu yang bersikap radikal, serta wartawan akhbar Majlis.

Jawatankuasa pusat KMM awal terdiri daripada Ibrahim Hj. Yaacob (presiden), Mustapha Hussein (Naib Presiden), Hasan Manan (Setiausaha Agung), Othman Mohd. Noor (Setiausaha), Idris Hakim (Bendahari), dan ahli jawatankuasa Pusatnya ialah Idris Hakim, Ishak Hj. Mohammad, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Abdullah Kamil, Abdul Samad Ahmad, Mohd. Salehuddin dan Ahmad Boestamam. Semasa penubuhan ini, turut hadir ialah Sutan Djenain, pemimpin Serekat Islam Merah dari Indonesia. Sutan Djenain merupakan orang di belakang penubuhan KMM, dan pergerakannya menyebarkan pengaruh sebelum perang Dunia Kedua.

KMM yang ditubuhkan secara sulit ini mempunyai ideologi dan prinsip perjuangan berlandaskan demokratik sentralisme. KMM menolak monopoli harta dan kekayaan oleh perusahaan swasta atau gabungan koperasi multinasional. Tetapi dasar sosialisme yang diamalkan ini tidak menafikan hak dan kebebasan dalam proses pengumpulan harta. Cuma dalam mengamalkan demokrasi dalam ekonomi ini, KMM mahu mengelakkan monopoli dan eksploitasi ke atas rakyat jelata. KMM berhasrat menggunakan sosialisme untuk menjamin kelancaran pelaksanaan mekanisme demokratiknya.

Dasar perjuangan KMM antaranya ialah anti penjajahan, anti elite birokrat Melayu yang berorientasi Barat, penyatuan nasional, berperikemanusiaan, kemerdekaan nusa dan bangsa, demokrasi rasa persaudaraan dan berasaskan kebenaran dan kesucian. Bagi KMM penyatuan nasional penting bagi mewujudkan suatu tekanan kepada penjajah British di Tanah Melayu. Orang-orang Melayu harus bersatu menghapuskan semangat kenegerian yang pada pendapat KMM sengaja diwujudkan oleh dasar penjajah. Atas dasar inilah KMM tidak dapat berjuang bersama-sama persatuan yang mirip kepada kenegerian, misalnya Kesatuan Melayu Selangor dan Kesatuan Melayu Perak. Malahan hakikat penubuhan KMM itupun atas kesedaran menentang persatuan Melayu yang bersifat kenegerian yang memisahkan orang-orang Melayu.

Memandangkan kelemahan di kalangan sesetengah sultan dan pembesar Melayu terlalu ketara, hingga menunjukkan kelemahan kekuasaan mereka kepada bangsanya sendiri, golongan elit inteligensia yang insaf dalam KMM berpendapat bahawa KMM harus menjadi badan yang akan cuba mempengaruhi sultan dan pembesar, atau sekurang-kurangnya memberikan petunjuk ajar dan panduan kepada mereka apabila berhadapan dengan Residen British dalam menghadapi masalah negara.

KMM juga berpendapat bahawa ia harus menjadi badan yang akan menuntut hak bangsa Melayu dengan mengesyorkan melalui akhbar-akhbar agar perkara ini dibincangkan dalam majlis mesyuarat negeri-negeri atau persekutuan. Salah satu daripada syor yang dikemukakan oleh KMM ialah penubuhan ‘kampung-kampung baru orang Melayu’ untuk dijadikan penempatan orang-orang Melayu di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Syor ini dikemukakan kepada sultan kerana bimbang orang-orang Melayu akan terusir ke kawasan pedalaman.

Kontroversi yang timbul daripada fahaman anti-feudal menyebabkan orang Melayu tidak menyokong KMM di peringkat awalnya. Sultan dan pembesar Melayu juga mencurigai KMM, dan ada di antara mereka yang menentang pengaruh KMM di negerinya. Mereka tidak suka pada demokrasi yang menuntut persamaan hak, dan adanya badan yang menyertai politik membela bangsanya. Pada mereka orang-orang Melayu tidak berhak campur tangan dalam urusan politik negeri dan bangsanya. Mereka harus taat dan setia kepada sultan dan pembesar. Walaupun begitu, terdapat juga sultan yang memahami dan member sokongan moral kepada KMM. Di antaranya termasuklah Sultan Abu Bakar, Pahang yang tidak dapat menyokong secara terang-terangan kerana menjaga keselamatan diri mereka.

Di samping itu, dasar-dasar perjuangan KMM tidak dapat dinyatakan secara terang-terangan kerana kerana keadaan politik masa itu yang terlalu sensitive. Untuk menyatakan sikap anti-penjajah dan anti-feudal adalah suatu hal yang tidak mungkin. Oleh itu pemahaman ideologi dan dasar-dasar perjuangan KMM tidak tersebar dan diketahui oleh orang-orang Melayu. Ini merupakan salah satu faktor kekurangan pengaruhnya di kalangan orang-orang Melayu sebelum perang.

Sungguhpun begitu, kehebatan KMM dalam usaha menyebarkan idea dan pengaruhnya dengan begitu cepat (2 tahun sahaja) amatlah mengkagumkan, sehingga membawa kepada penangkapan pemimpin-pemimpin KMM pda Disember 1941.

---
sumber: arkib Muzium Kampung Perdamaian Sukhirin

PERANG ANTI JEPUN


Perang Anti-Jepun adalah Perang Rakyat

Perang Anti-Jepun selama 3 tahun 8 bulan itu sukar dipertahankan sekiranya tanpa sokongan aktif dari massa rakyat, dan tanpa kesanggupan se hidup se mati, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul antara massa rakyat yang luas dengan Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun.
Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun bergantung pada sokongan massa rakyat, manakala massa rakyat yang luas pula meletakkan harapan ke atas Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun, supaya mereka dapat dibebaskan lebih awal dari lanyakan kuku besi fasis Jepun. Massa rakyat Tanjung Tualang menyokong Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun dengan sekuat tenaga, sama seperti massa rakyat di tempat-tempat lainnya. Walaupun mereka tahu bahawa polisi yang dijalankan oleh fasis Jepun itu adalah "polisi 3 habis" yang amat zalim, akan tetapi kesemuanya itu tidak dapat menggertak mereka. Fasis Jepun banyak kali menghimpunkan orang ramai dalam kawasan pedesaan, kemudian dengan biadab menyeksa orang-orang yang ditangkapnya di hadapan orang ramai. Askar-askar Jepun yang bersifat kebinatangan itu memasukkan air sabun ke dalam perut orang ramai yang tidak berdosa sebanyak-banyaknya, kemudian meletakkan papan ke atas perut mereka dan dipijak-pijak dengan kaki sehinggakan air bercampur darah memancut keluar. Dengan perbuatan yang ganas demikian fasis Jepun cuba menggertak tundukkan orang ramai, tetapi orang ramai tidak dapat ditundukkan, bahkan sebaliknya, mereka sentiasa menyongsong mara bahaya, berikhtiar dengan seribu daya menghantar maklumat dan makanan kepada tentera, termasuklah padi, beras, sayur mayur, ubi keledek, ubi kayu dan bahkan sekoi yang sangat digemari kawan-kawan.

Semasa menyambut hari tahun baru, orang ramai mengadakan gerakan menyampaikan hiburan kepada tentera, menghantar ayam itik dan barang-barang makanan lainnya kepada tentera. Sesetengah orang ramai bukan saja menyumbangkan banyak mata benda kepada Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun, bahkan anaknya sendiri pun diserahkan kepada pihak organisasi. Seorang wanita tua sudah banyak tahun kehilangan suami. Dengan tenaga dan usahanya sendiri, dia membesarkan 2 orang anaknya. Setelah meletusnya Perang Anti-Jepun, dia menyerahkan anak lelaki yang amat disayanginya kepada pihak organisasi tempatan di samping dirinya dengan aktif mendukung Parti Komunis dan Tentera Anti-Jepun. Anak lelakinya itu kemudiannya telah menjadi seorang penyusun massa yang cergas di tempat tersebut. Anak wanitanya juga turut ambil bahagian dalam perjuangan melawan Jepun, menjadi seorang kader wanita dalam pekerjaan menyusun massa tempatan di situ. Akhirnya dia telah diterima sebagai anggota parti dengan mulianya.

Dengan adanya usaha gigih regu penyusun massa, parti dan tentera menikmati kewibawaan yang sangat tinggi di kalangan orang ramai. Parti dan Tentera Anti-Jepun dalam batas-batas tertentu dapat menjalankan fungsi sebagai kekuasaan politik rakyat di kalangan orang ramai. Massa rakyat sangat menghormati kader-kader penyusun massa walaupun kader-kader itu muda-muda belaka, ada yang baru berumur 17 - 18 tahun. Di samping membantu orang ramai menguruskan masalah-masalah keselamatan tempatan dan tata tertib dalam masyarakat, kawan penyusun massa juga menguruskan banyak kes di kalangan orang ramai. Apabila terdapat kejadian besar atau kecil, orang ramai sentiasa meminta kawan penyusun massa tolong menguruskan dan menyelesaikannya, seperti masalah membuka ladang, masalah tanah, dan sehinggalah kepada masalah nikah kahwin dan lain-lain. Apabila timbul pertikaian di kalangan orang ramai termasuklah perbalahan antara suami isteri, ketidakharmonian antara ibu bapa dengan anak-anak dan lain sebagainya, mereka juga mendapatkan kawan penyusun massa tolong menyelesaikannya.

Semangat revolusioner dan keuletan yang dimanifestasikan oleh massa rakyat kawasan Tanjung Tualang amat mengkagumkan. Di bawah kekuasaan zalim fasis Jepun, mereka pernah melancarkan tidak sedikit perjuangan, seperti perjuangan orang ramai menentang undang-undang reaksioner musuh, gerakan kaum tani meneroka tanah, bercucuk tanam dan penambahan hasilnya, perjuangan untuk perbaikan hidup kaum buruh kapal korek, perjuangan mogok belajar barisan kanak-kanak menentang pendidikan perhambaan, dan lain sebagainya. Yang menonjol sekali ialah perjuangan orang ramai melawan sepai-sepai dan anjing-anjing buruan musuh. Tindakan ini memberikan galakan yang amat besar kepada orang ramai dalam perjuangan melawan sepai-sepai dan anjing buruan musuh. Massa rakyat sentiasa menyampaikan maklumat kepada kawan penyusun massa, dan selepas itu kawan penyusun massa bertindak menangkap sepai dan anjing buruan musuh itu. Penanggungjawab Jawatankuasa Kawasan mengadakan mahkamah rakyat, menjalankan pemeriksaan ke atas sepai-sepai musuh. Mahkamah rakyat dipengerusikan oleh kawan penyusun massa. Manakala orang ramai yang membenci sepai-sepai dan anjing buruan musuh sampai ke tulang sumsum itu membongkar dan mendakwa dosa-dosa mereka dengan kemarahan yang meluap tinggi.
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan,

ZAMAN RAKYAT


Pada tahun 1952, imperialis British melantik Tampler sebagai pengarah gerakan perang kontra revolusioner merangkap Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya. Pada waktu itu, imperialis British mengalami kesulitan yang bertindih-tindih kerana komplotannya hendak melakukan perang cepat selesai di bidang ketenteraan telah menderita pukulan.

Untuk mengatasi kesulitan-kesulitannya, imperialis British telah menyusun strategi kontra revolusioner yang menyeluruh termasuk rancangan-rancangan seperti memperhebat serangan tentera, memainkan penipuan politik, mempergiat perompakan ekonomi dan memecah belah perpaduan bangsa-bangsa. Salah satu arahan yang diberi imperialis British kepada Templer berbunyi: harus menggalakkan dan menolong orang-orang Melayu memainkan peranan penuh dalam kehidupan ekonomi Negara kita untuk membetulkan ketidak seimbangan ekonomi pada masa ini. Arahan itu telah dilaksanakan Templer dengan sekuat tenaga setelah dia memegang jawatannya.

Orang Melayu mana yang hendak ditolongnya? Tentulah bukan petani Melayu yang tidak bertanah atau kekurangan tanah dan juga bukan nelayan Melayu yang miskin. Imperialis British bertujuan hendak membentuk satu kelas kapitalis birokrat yang terdiri dari kaum birokrat dan anasir-anasir bangsawan feudal Melayu yang mengabdi pada rejim penjajahannya sebagai satu lagi tiang seri untuk memelihara kepentingan penjajahan imperialis British di bawah syarat-syarat sejarah yang baru.

Untuk melaksanakan arahan tersebut, imperialis British telah mendirikan RIDA pada tahun 1953, kemudian menubuhkan FELDA pada tahun 1956. Selain itu ia telah mengambil langkah-langkah yang sesuai dengan arahan itu bagi mempersiapkan syarat-syarat kebendaan untuk terbentuknya kelas kapitalis birokrat. Jadi jelaslah bahawa DEB yang dijalankan klik Razak dulu dan yang diteruskan oleh Klik Hussein Onn itu berdasarkan arahan yang dibawa Templer dari London. Inilah lanjutan dasar ekonomi colonial. Dengan demikian terbentuklah kelas kapitalis birokrat yang berindukkan benggolan-benggolan utama UMNO, pegawai tinggi tentera dan ansiar-anasir bangsawan feudal di bawah tunjangan kuat imperialis British.

(Suara Revolusi Malaya 27 – 28 Mac 1979)

KISAH IBU SURIANI DI DALAM PENJARA



Pada suatu hari, ketika menjadi Setiausaha Kawasan Tanjung Tualang, saya jatuh sakit kerana banyak hari berturut-turut bekerja sampai jauh malam. Sungguhpun begitu, kerana banyak kerja yang harus cepat diselesaikan, saya kobarkan semangat keluar ke kampung dan ke tepi bandar. Sewaktu pulang, saya merasa badan terlalu lemah, lalu meminta kawan-kawan bermalam di rumah massa yang terletak di hujung kampung. Untuk ke tempat penginapan masih jauh lagi. (telah saya ceritakan dalam bab 3). Rumah itu sudah tidak dihuni lagi, dindingnya ada yang dah terkoyak. Beberapa orang petugas penyusun massa dari regu kami balik ke rumah masing-masing; yang bermalam di rumah itu ialah saya, seorang pengawal peribadi, seorang "siao kui" dan seorang anasir cergas wanita.

Kebetulan pada malam itu askar fasis Jepun masuk kampung menjalankan pembersihan, menggeledah setiap rumah, menangkap massa dan sebagainya. Pada pagi itu, 28 Januari 1945 askar Jepun tiba di rumah tumpangan kami. Malangnya, pada masa giliran anasir cergas itu berkawal, dia tertidur. Askar Jepun menyerbu ke rumah. Begitu mengetahui Jepun datang, pengawal saya melakukan perlawanan yang gagah berani. Beliau terkorban dalam pertempuran. Saya yang sedang sakit segera bangun dan menerobos keluar melalui dinding belakang. Akan tetapi, beberapa orang askar Jepun yang sudah menunggu di situ menerkam. Saya jatuh ke tanah. Saya cuba melepaskan tembakan. Dua kali saya memetik picu, pistol revolver saya tidak meletup. Beberapa orang askar Jepun menindih belakang saya. Kerana terasa sangat marah, saya memaki mereka. Askar-askar Jepun itu menginjak-injak belakang saya dengan kasut dan menahan saya. Anasir cergas dan seorang "siao kui" tadi juga ditangkap bersama saya. Kami digiring ke dalam trak tentera Jepun. Saya lihat di dalamnya sudah terdapat sejumlah massa yang ditangkap, penuh sebuah trak tentera. Kami di bawa ke Ipoh.

Saya dan dua orang wanita lagi dikurung dalam satu sel. Pagi esoknya, pegawai Jepun mulai menjalankan soal siasat menanyakan bermacam-macam, soal organisasi anti-Jepun dan lain-lain. Tapi saya hanya jawab tak tahu sahaja. Soal siasat begini diadakan hampir setiap hari. Ada kalanya kerana merasa muak dengan pertanyaan mereka, saya tidak mahu menjawab. Pegawai Jepun marah dan menyeksa saya dengan teruknya. Mereka membakar badan saya dengan puntung rokok dan lain-lain. Saya selalu dipukul dan dipijak dengan kasut bot sehingga muntah bercampur darah.

Kemudian saya dikurung secara perseorangan. Tapi sel-sel yang menjadi jiran saya semuanya massa rakyat tempatan. Bila masa luang saya menyanyi lagu-lagu patriotik, lagu-lagu yang mengobarkan semangat dengan sekuat-kuatnya supaya orang lain dapat mendengar. Ada masa saya melantangkan semboyan-semboyan dan berucap secara ringkas seperti "Saudara-saudari harus tegap pendirian! Kemenangan akhir milik kita!" Dan lain-lain lagi. Pernah beberapa kali, ketika saya sedang bernyanyi kuat-kuat dan berucap kepada tahanan yang lain, askar Jepun menjirus air panas ke arah saya. Tapi saya melompat ke sana sini mengelakkan terkena air panas tersebut.

Pernah sekali saya mengukir tukul sabit, lambang PKM, di dinding bilik sel. Apabila askar Jepun nampak, dia sangat marah. Mereka merampas barang-barang saya, sehinggakan sepit rambut pun tidak dibenarkan berada di sisi saya. Mereka memberikan mangkuk kayu menggantikan mangkuk tembikar saya. Selain bimbang saya menggunakan benda itu untuk melukis dan menulis, juga bimbang saya gunakan untuk bunuh diri.

Setelah beberapa lama di penjara, fasis Jepun mencuba mengelabui mata saya dengan bermacam-macam teori karut marut. Dengan muka manis, pegawai Jepun memberitahu bahawa tentera Jepun datang ke sini untuk membantu rakyat di sini membebaskan diri dari penjajah British dalam rangka “Kemakmuran Asia Raya” Kerajaan Jepun. Katanya, kita sama-sama orang Asia. Pegawai itu menunjukkan kehandalan tentera Jepun dan betapa lemah dan tak bergunanya tentera British. Pernah pegawai itu bertanya bagaimana kesannya setelah tentera fasis Jepun membakar habis sebuah kampung dekat Ipoh yang bertujuan untuk menakut-nakutkan massa rakyat. Saya jawab, cara kejam ini akan lebih membangkitkan amarah orang ramai. Selain itu pegawai Jepun membawa pengkhianat untuk memujuk saya. Seorang pengkhianat cuba memberi nasihat dengan mengatakan: "Mengapa kamu terlalu keras kepala, orang yang lebih tinggi dari awak telah bekerjasama dengan tentera Jepun. Demi keselamatan, tiada jalan lain selain bekerjasama dengan tentera Jepun." Setelah dimaki oleh saya, pengkhianat itu berundur, gagal tanpa hasil.

Kekejaman fasis Jepun sudah diketahui umum. Oleh itu apabila ditangkap, saya hanya bersedia untuk berkorban pada bila-bila masa. Di dalam penjara yang sunyi sepi, saya selalu teringat kepada kawan-kawan pimpinan saya khasnya Ai Ke dan Chen Ping; teringat kepada kawan-kawan yang telah korban dan kawan-kawan seperjuangan yang sedang bertempur bermandi darah melawan fasis Jepun. Bila teringat mereka, saya menggenggam tangan kuat-kuat dan melafaz keazaman dalam hati: "Kawan-kawan, teruskan perjuangan hingga akhir, aku akan teguh tak berganjak biar mati sekalipun". Lebih-lebih lagi saya tidak lupa kepada semangat pengorbanan Lai Raifel. Surat terakhir beliau seolah-olah berdengung-dengung di telinga. Saya berazam mesti mencontohi beliau dan mengikut jejak langkah beliau. Peristiwa-peristiwa ini sering timbul berulang kali dalam diri saya menyebabkan saya merasa lebih yakin dapat memperteguh pendirian berhadapan dengan fasis Jepun yang ganas itu.

Layanan dalam penjara memang sangat buruk. Tidak ada selimut dan kain untuk tidur, tidur di atas simen menyebabkan saya diserang penyakit romatism. Mandi tanpa sabun, tak ada kain baju untuk bersalin, tidak ada berus gigi, saya mengambil sedikit daun untuk menggosok gigi, makanan tak berzat, jarang-jarang dapat sedikit ikan kering, itupun kira mujur.

Seksaan physical dan deraan jiwa dalam penjara, menyebabkan saya bukan saja mendapat penyakit romatism seumur hidup dan sakit dada tetapi juga dua perubahan pada tubuh saya. Kerana terkejut, perjalanan haid saya terhenti. Pernah saya diinjek oleh doktor penjara kerana demam, tapi selepas itu ingatan saya menjadi sangat lemah. Saya ragu-ragu apakah fasis Jepun sengaja injek ubat supaya hilang ingatan agar rahsia saya dapat dicungkil. Kedua-dua gejala tersebut beransur-ansur dipulihkan selepas keluar dari penjara.

Pengawal penjara kami kadang-kadang askar Jepun dan kadang-kadang Hei Ho saja. Hei Ho ini pokoknya orang Melayu, tidak bengis seperti askar Jepun. Mereka ada sedikit belas kasihan kepada tahanan. Oleh itu setiap kali Hei Ho datang, saya selalu mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepadanya. Mereka juga simpati kepada saya. Pada waktu malam mereka curi-curi hantar sedikit makanan kepada saya. Ada sejenis roti diperbuat dari jagung sangat enak rasanya, mereka selalu menghantarnya kepada saya. Setiap kali mereka menghantar nasi, saya meminta mereka berikan sebahagian nasi saya untuk tahanan-tahanan lain yang kuat makan. Seorang Hei Ho yang agak rapat dengan saya pernah menunjukkan satu resit yang membuktikan dia pernah memberi derma kepada organisasi anti-Jepun. Mereka tahu Jepun akan kalah masa akan datang, sebab itu mereka perlu cari bukti untuk menunjukkan mereka ada hubungan atau menyokong perjuangan anti-Jepun.

Pencerobohan fasis Jepun telah membangkitkan perjuangan besar rakyat berbagai lapisan. Perang Anti-Jepun marak berkobar-kobar laksana api membakar padang lalang. Fasis Jepun akhirnya telah terjerumus ke dalam rawa-rawa perang yang tak bertepi. Pada 15 Ogos, kerajaan Jepun telah mengumumkan penyerahan diri.

Hari itu, seorang pegawai Jepun datang membuka pintu bilik kami dan memberitahu: "Kerajaan Jepun telah mengumumkan penyerahan diri. Sekarang kamu semua dibebaskan". Mendengar pengakuan itu, saya merasa besar hati, ingin melompat-lompat dan berteriak-teriak sepuas hati rasanya. Saya segera keluar mencari kereta untuk balik ke Tanjung Tualang. Sepanjang perjalanan, saya nampak Tentera Anti-Jepun telah berkawal di sana sini. Ada juga pasukan yang memeriksa saya. Saya memberitahu mereka bahawa saya baru keluar dari penjara.

Di Tanjung Tualang suasananya telah berada di kemuncak kehangatan. Orang ramai berhimpun menyambut kemenangan Perang Anti-Jepun. Bendera PKM dan TAJRM berkibaran megah di sana sini ditiup angin. Saya yang baru keluar dari penjara dikerumuni kawan-kawan dan massa rakyat. Mereka yang kenal rapat memeluk dan mencium saya tanda kesyukuran. Saya merasa sangat bangga dan bertuah, seolah-olah baru tiba ke sebuah dunia yang serba baru.

Ketika saya menceritakan kisah dalam tahanan fasis Jepun, Abdullah C.D. memberitahu bahawa masa itu dia yang memimpin pasukan lasykar rakyat Lambor, juga mendengar berita tentang saya kena tangkap dari anggota Hei Ho. Hei Ho itu mengatakan "Wanita itu sangat berani". Abdullah C.D. memberitahu lagi bahawa: “kemudian ketika kita berada dalam pasukan propaganda di Teronoh, bekas Hei Ho itu datang. Sambil menunjukkan jarinya kepada awak, dia berkata: ’Inilah orangnya yang sangat berani dalam penjara’".
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan,

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve