To Live Is to Die

free counters

Sabtu, 27 Mac 2010

KISAH RASHID MAIDIN BOLOS DARI PENJARA


Di antara kawan-kawan yang bekerja sebagai buruh binaan untuk membina balai polis itu ialah seorang pemuda bernama Yusof yang berasal dari Johor. Dia seorang penoreh getah dan sebelum itu tidak masuk campur hal-hal politik, apatah lagi politik radikal menentang British memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi dia pun ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa penjajah. Tangkap borong juga Operasi Darurat 1948 itu.

Yusof ini rapat dengan saya. Jadi, sempatlah saya menerangkan hal-ehwal politik tanah air, terutama tentang kezaliman penjajah ke atas nusa dan bangsa penjajah penjajah Portugis, Jepun dan British; cerita tentang sejarah perjuangan patriotik menentang penjajah terutama Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor; serta perkembangan politik perjuangan kemerdekaan Malaya dan kekejaman British terhadap para pejuangnya. Saya katakan bahawa kerakusan mengaut harta kekayaan bumi Malaya dan kekerasan menindas rakyatnya, menyebabkan ramai rakyat jelata bangun berjuang untuk menghalau penjajah British itu supaya segera mereka angkat kaki dari bumi tanah air. Dia juga kemudiannya sedar bahawa semua banduan di dalam kem tahanan itu adalah orang politik yang baik, golongan para patriot yang berkorban untuk kemerdekaan, itulah sebabnya penjajah British menangkap dan menahan mereka. Saya terangkan juga bahawa perjuangan bersenjata yang sedang bersemarak di hutan rimba di seluruh pelosok tanah air adalah juga bertujuan untuk memaksa penjajah British keluar dari tanah air dengan segera. Jadi, para gerila itu juga sebahagian dari perjuangan kemerdekaan Malaya.

Lama-kelamaan, semangat kebangsaan dan kemerdekaan mula membara dan menyala berkobar-kobar di dalam jiwa Yusof. Nampaknya dia pun sudah bersedia untuk masuk campur berjuang dan mengangkat senjata demi kemerdekaan. Saya yakin dengan semangat, kewibawaan dan perwatakannya. Yusof akan menjadi anggota gerila yang baik, berani dan berdisiplin di dalam Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Maka saya pun tidak sangsi lagi untuk mengajaknya membebaskan diri dari kem tahanan dan masuk pasukan gerila apabila ada peluang.

Berhampiran dengan tempat kami kerja itu ada sebuah kedai kopi milik orang Cina. Di sekitarnya pula ada seorang penggembala anak Cina berumur dalam lingkungan dua belas tahun. Tiap-tiap hari dia datang menggembala lembunya di situ.

Budak Cina inilah yang menjadi tumpuan saya. Aneh sekali anak Cina penggembala lembu itu. Apakah budak ini ada hubungan dengan unit gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya? Bolehkah dia membantu rancangan saya untuk membebaskan diri? Mula-mula saya panggil budak itu, tetapi dia buat malumalu. Tetapi akhirnya dia datang juga. Saya nyanyikan lagu ‘Internasional’ dalam bahasa Cina supaya dia dengar. Setelah budak itu datang rapat dengan saya, saya memberitahu kepadanya bahawa diri saya ialah Rashid Maidin.

Dalam teka-teki akan keadaan budak itu, tiba-tiba dua hari kemudian, ketika seperti biasa kami sedang bekerja, dia datang membawa sepucuk surat yang ditulis oleh seorang kawan Melayu dari dalam hutan yang bertugas dalam unit ‘massworker’ di kawasan tersebut. Antara kandungan surat itu mencadangkan untuk menyerang hendap anggota polis pengawal kami supaya kami dapat bebas lari. Tetapi saya jawab surat itu dengan mengatakan tidak perlu diserang hendap, saya ada rancangan lain untuk tujuan yang sama. Cuma berikan isyarat, tempat, hari dan waktunya sahaja.

Rasa gembira tidaklah terperikan. Setelah segala urusan dan keputusan dipersetujui dengan pasukan gerila, barulah saya beritahu Yusof bahawa hari esoknya kita akan bertindak. Untuk membebaskan diri tidaklah payah, kerana Sarjan Pak Mi agak yakin dan percaya kepada kami, kadang-kadang ke tandas pun tidak dikawal. Tetapi, di antara anggota polis pengawal kami itu ada seorang yang cukup pro-penjajah British. Dia mungkin akan menimbulkan masalah.

Pada hari yang telah ditentukan, ketika kami, Sarjan Pak Mi dan anak buahnya seperti biasa sedang makan tengah hari bersama, saya berpura-pura sakit perut dan mengadu kepadanya lalu minta izin pergi ke tandas. Demikian juga halnya dengan Yusof tadi. Maka kami pun dibenarkan untuk pergi ke tandas yang terletak kira-kira 70 hingga 80 meter dari tempat kerja. Saya minta Pak Mi iring kawal kami. Tetapi dia menjawab, “Tak payahlah.” Saya katakan pula, “Nanti salah Pak Mi.” Pak Mi menjawab lagi, “Ah! Kerbau balau tak ada.”

Saya membawa sebatang tukul dan Yusof sebatang besi alat kerja, itulah senjata untuk memukul jika ada anggota polis yang ikut mengiring dan mengawal kami. Tetapi nasib baiklah tiada seorang pun yang ikut mengiring. Kami berpura-pura pergi ke tandas kemudian melencong ke arah kedai kopi Cina dan memutuskan talian telefon di situ. Kami bergegas lari ke dalam sebuah kebun getah, ada tiga orang pula di situ sedang membuat kerja-kerja ukur. Besar kemungkinan mereka kenal saya sebagai seorang banduan yang melepaskan diri. Mereka bertiga lari lintang-pukang. Saya jerit jangan lari. Kami pun mahu beredar dari sini. Namun mereka bertiga terus lari tanpa menoleh ke belakang lagi. Tinggal segala peralatan dan bekalan makan minum mereka. Tentu mereka pergi lapor akan kejadian itu.

Dari situ kami berjalan beberapa langkah dan ternampak satu bendera merah yang sedang berkibar ditiup angin. Kami pun berlari ke arah bendera itu. Ada satu seksyen gerila. Mungkin dari Rejimen ke-4 Tentera Pembebasan Nasional Malaya, kira-kira dua belas orang semuanya, sedang menunggu di situ. Kami berjaya bergabung dengan unit ‘massworker’ dan bertemu dengan seorang anggota perajurit Melayu, berasal dari Melaka, yang menulis surat tempoh hari. Mereka menjemput saya dan Yusof minum kopi terlebih dahulu. Saya kata, “Jangan! Kita dekat sangat dengan sekumpulan polis. Nanti dikejarnya kita. Susah dan bahaya jadinya. Kita bukan ada banyak kekuatan.” Ketua seksyen mengatur barisan untuk beredar, siap mengawal sebelah kiri dan siap di sebelah kanan; beberapa orang di hadapan dan beberapa pula di belakang. Jadi keselamatan saya dan Yusof dijaga dengan rapi oleh mereka, baik ketika berjalan mahu pun berhenti berehat. Selang sepuluh minit kemudian kedengaranlah bunyi tembakan yang tidak putus-putus dari arah tempat kerja tersebut. Mungkin Pak Mi dan orang-orangnya baru sedar.

Saya berbanyak-banyak terima kasih kepada budak Cina penggembala yang berjiwa revolusioner ini, yang saya tak ingat namanya tetapi terpahat kukuh jasanya untuk melepaskan saya dari penjara. Begitu juga saya berterima kasih kepada kawan Melayu dari Melaka itu dan juga pasukan gerila Rejimen Ke-4 yang memberikan kerjasama kepada saya.

Selang lima hari selepas kami melepaskan diri, datanglah kapal terbang penjajah British yang dilengkapkan dengan alat pembesar suara menyiarkan seruan supaya saya menyerah diri. Siaran tersebut juga memburuk dan menakut-nakutkan saya dengan mengatakan bahawa saya ini akan dianggap sebagai daging busuk dan tidak akan diterima oleh kawan-kawan PKM dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Tidak kurang juga beribu-ribu risalah yang ditandatangani oleh seorang pegawai British di Melaka, digugurkan di Melaka dan di Negeri Sembilan memujuk saya menyerah diri. Saya pun dapat risalah itu dan membacanya. Isi risalah itu ialah, “Awak baliklah keluar. Kami tahu kehendak awak. Awak hanyalah daging busuk kepada PKM.”

Saya minta kertas dari kawan-kawan pengiring, saya lalu menulis surat jawapan terhadap desakan dan hasutan yang ditimpakan ke atas saya. Saya tidak mengepos atau menggunakan utusan untuk menghantar surat jawapan itu. Saya tinggalkan surat jawapan itu pada tempat yang pasti diketemui oleh kakitangan penjajah British. Selang beberapa hari, saya dapat berita tentera menceritakan bahawa saya telah meninggalkan surat. Perkara ini bukan sahaja menjadi buah mulut di kalangan pasukan askar penjajah, bahkan juga menjadi desas-desus orang ramai. Kalau tidak salah ingatan saya, kandungan surat saya itu ialah “Tamatkan darurat dengan segera. Awak menimbulkan keadaan porak peranda dan kesengsaraan kepada rakyat Malaya. Awak, penjajah Britishlah yang perlu balik ke negeri kamu.”

Sememang begitulah yang berlaku: kampung Melayu dan pendudukan Cina semuanya dikosongkan. Pokok buah-buahan ditinggalkan untuk makanan tupai sahaja. Tanaman padi ditinggal lalu dibakar oleh British. Rakyat dipaksa berpindah sehelai sepinggang membawa periuk buruk, dipaksa pula tinggal di dalam kem-kem penempatan yang di kurung. Perintah berkurung setiap malam. Pergerakan siang terbatas. Tiada kemerdekaan, tiada kebebasan, banyak kesengsaraan -  itulah musibah pendudukan kembali penjajahan British di Malaya. Orang Cina lebih berat penderitaan mereka. Keluarga pecah belah akibat dasar penindasan British itu. Ada yang sempat lari ke hutan masuk gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Ada yang dihalau dan dihantar secara paksa ke China. Ada yang meringkuk dalam kem-kem tahanan, dan ramai yang meringkuk di dalam kampung-kampung baru yang dipagar kawat berduri cukup dengan senterinya.

Bukan setakat mengosong, membakar rumah dan memusnah kampung-kampung, tindak-tanduk askar-askar di bawah kuasa pimpinan penjajah British itu juga kejam dan zalim sifatnya. Ramai rakyat yang dibunuh dan kepalanya dipotong dan digantung di tepi-tepi jalan raya. Saya sendiri melihatnya dalam perjalanan saya dari Melaka ke Pahang. Sengsara hati saya dibuatnya dan saya hanya dapat menggelengkan kepala sahaja.

Dikatakan pula saya ini daging busuk! Sebaliknya, saya disambut sangat mesra sekali oleh unit ‘massworker’ dan dibawa beredar dari satu tempat ke satu tempat untuk menemui kawan-kawan, hinggalah ke peringkat jawatankuasa pusat. Ke mana saya pergi, semangat setia kawan jelas sekali dirasakan. Kira-kira setahun kemudian barulah saya sampai ke Kerdau, Pahang untuk bergabung semula dengan Rejimen Ke-10 dan Abdullah C.D.. Manakala Yusof saya tinggalkan di Melaka kerana mengikut rancangan dia hendak pergi ke Johor bergerila di sana, kerana dia orang Johor. Di Johor ketika itu pun ramai juga gerila Melayu yang diketuai oleh Mat Indera. Saya pun bersetuju dengan perancangannya itu.

---
dipetik dari Memoir Rashid Maidin: Dari Buruh Kepada Perjuangan Bersenjata

KISAH BATALION AFRIKA

Pada permulaan saya bekerja di Temerloh menghadapi kesukaran kerana askar-askar musuh sangat mengganas. Di Temerloh ketika itu British menempatkan satu battalion African Rafles yang didatangkan dari Kenya, Afrika. Kerana kejam dan ganasnya askar-askar Afrika ini telah menyebabkan bandar Temerloh sunyi dan lengang, orang ramai tak begitu berani keluar bandar. Di kawasan luar bandar pula khasnya kaum wanita tak berani keluar daripada rumah untuk membuat pekerjaan.

Askar-askar Afrika ini sebenarnya ditipu oleh penjajah British datang ke Malaya. Mula-mula British mengatakan askar-askar itu akan dibawa berlibur ke Singapura dan Hongkong, tapi apabila sampai di Singapura, British telah mengarahkan supaya pergi ke Malaya dulu untuk membantu menghapuskan “pengganas-pengganas” yang bersenjatakan senapang buluh atau senapang tak meletup. Akan tetapi ketua pasukan Afrika ini dan pegawai-pegawai bawahannya banyak yang beragama Islam dan mencampuri gerakan MaoMao yang dipimpin oleh Jomo Kiniata yang sedang memperjuangkan kemerdekaan Kenya daripada penjajah British. Pegawai-pegawai tersebut setiap hari Jumaat datang bersembahyang di Masjid Temerloh.

Imam Masjid Temerloh, setiap hari Jumaat sebelum sembahyang , memberikan kuliah agama. Dia adalah seorang anggota Parti Komunis dan kader bawah tanah kita yang aktif. Imam yang merangkap khatib ini sentiasa memberikan pendidikan dan penjelasan melalui khutbah Jumaat. Kandungannya disampaikan dengan diselang selikan dalam bahasa Arab dan difahami oleh sesetengah pegawai itu.

Sebaik saja mengetahui keadaan dan latar belakang batalion askar Afrika ini, suatu hari, selepas sembahyang Jumaat, Ketua dan dua orang pegawai pasukan itu telah dijemput oleh Tok Imam ke sebuah restoran untuk dijamu makan. Ketika bercakap-cakap tentang perjuangan rakyat untuk kemerdekaan, ketua pasukan Afrika itu berkata bahawa gerakan Mao Mao berjuang melawan British untuk kemerdekaan Kenya, tetapi penjahat-penjahat di Malaya berjuang untuk merosak binasakan harta benda awam. Atas masalah ini Tok Imam mendedahkan fitnahan dan tipu muslihat British yang amat licik itu dengan menerangkan bahawa perjuangan bersenjata rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya melawan penjajah British demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat itu telah mendapat sokongan rakyat berbagai bangsa. Untuk melanjutkan kekuasaannya yang sedang goyah itu, penjajah British telah memfitnah pejuang-pejuang anti-British rakyat Malaya itu sebagai pengganas, pendurhaka dan perosak. Demikian juga dengan gerakan kemerdekaan Kenya, melalui akhbar-akhbar dan siaran-siaran radio yang kami dengar di sini British menyebut bandit (penjahat) Mao Mao, kumpulan pengacau Kenya dan lain-lain.

Setelah mendengar penjelasan Tok Imam, sambil menangis ia berkata: “Kami telah termakan tipu helah penjajah British”.

Selang beberapa hari kemudian keadaan Batalion African Rafles itu berubah sama sekali, memberhentikan operasi serangannya memasuki kampung-kampung, kebun getah dan belukar-belukar di daerah Temerloh. Mereka duduk saja secara berkumpulan, mesra dan sopan santun terhadap rakyat, marah-marah dan bersikap kasar terhadap hantu-hantu British dan kaum reaksioner. Keganjilan dan perubahan Batalion African ini telah sangat mencurigakan penjajah British lalu pasukan itu pun

PAHLAWAN DOLLAH MENGIKUT JEJAK SYAIDINA ALI


Kampung Tanjung Batu, Daerah Temerloh, adalah antara basis kukuh Rejimen Ke-10. Massa di sini tinggi kesedaran nasionalnya. Dalam masa aman selepas kekalahan Jepun, mereka giat menceburkan diri ke dalam berbagai organisasi patriotik-demokratik seperti PKMM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain. Bagi kanak-kanak juga didirikan Barisan Pelopor Kanak-Kanak yang dianggotai oleh kanak-kanak berusia antara 9 hingga belasan tahun. Mereka menjalankan bermacam-macam tugas membantu perjuangan untuk kemerdekaan.

Apabila diisytiharkannya Undang-Undang Darurat,sejumlah massa di sini telah memanggul senjata menyertai pasukan gerila anti-British, yang tidak masuk hutan pula menyertai pasukan lasykar rakyat dan menyokong pasukan gerila. Sebuah pasukan gerila iaitu Platun 2, Rejimen Ke-10 bergerak di Kampung Tanjung Batu dan kampung-kampung di sekitarnya.

Sejumlah anggota Barisan Pelopor Kanak-Kanak atau Tentera Semut di bawah pimpinan Dollah dibentuk di kampung tersebut. Mereka membuat kerja-kerja mengawal kampung, mengawasi gerak geri musuh, menyampaikan maklumat, membuat kerja-kerja hubungan utusan dan lain-lain.

Walaupun umurnya masih kecil, tapi semangat bencikan penjajah British istimewa mendalam dijiwa Dollah. Dia bercita-cita untuk menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Akan tetapi kerana umurnya masih kecil, dia dinasihatkan supaya buat kerja di kampung dulu. Setiap kali bertemu dengan pasukan gerila, dia mengajukan permintaannya itu. Walau bagaimana pun, Dollah mengajukan 2 tuntutan iaitu pertama, apabila dia besar kelak, mestilah menerimanya menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional dan kedua, sekiranya dia terkorban mestilah menerimanya sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Pada bulan Mac 1949, musuh telah memasuki kampung untuk menangkap dan mengugut orang ramai. Komander memberikan Dollah sebiji bom tangan untuk dilemparkan ke atas musuh. Akan tetapi ketika dia hendak membuang bom itu keadaannya telah berubah. Musuh telah bercampur gaul dengan orang ramai. Dalam saat genting ini Dollah memikir bahaya kepada massa jika bom itu dibuang. Lalu dia berpatah balik mendapatkan pasukan yang sedang bersembunyi di belukar. Musuh yang mencurigai gerak geri Dollah terus mengejarnya. Pasukan Tentera Pembebasan segera melepaskan tembakan hebat ke atas musuh. Musuh lari balik mendapatkan motobot. Manakala Dollah pula memimpin pasukan Tentera Semut bersama lasykar rakyat mengejar musuh untuk membantu Tentera Pembebasan. Sejumlah besar musuh telah terbasmi.

Atas tuntutan Dollah, ibunya seorang aktivis gerakan wanita telah menjahitkan sepasang pakaian seragam Tentera Pembebasan iaitu sepasang bajutentera berwarna hijau, sebuah topi berbucu lima dengan sebiji bintang merah di depannya serta sepasang patis.

Pada 12 Mei 1949, Platun 2 dikerahkan ke kampung tersebut untuk mengadakan perhimpunan massa. Dollah datang menyambut mereka dengan pakaian seragam Tentera Pembebasan. Dengan penuh bangga, beliau berkata: "Lihatlah kawan sekalian, alangkah perkasanya, alangkah mulianya seorang perajurit Tentera Pembebasan!" Katanya, "Kemuliaan ini bukan semata-mata kerana mengenakan pakaian seragam, melainkan kerana semangat revolusioner yang bertempur dengan gagah berani". Kawan-kawan Tentera Pembebasan memberikan tepukan yang hangat kepadanya.

Pada hari tersebut juga Dollah telah ditugaskan berkawal di penghujung kampung. Dengan menggenggam kejat-kejat senapang kulai berlaras dua dia berdiri tegak di atas sebuah busut. Kira-kira setengah jam kemudian, beberapa orang askar orang putih datang dari arah rusuk. Apabila melihat Dollah berpakaian Tentera Pembebasan, musuh cuba menangkapnya hidup-hidup. Dollah mengetahui musuh sudah mendekatinya. Dollah mengangkat senapang lalu berkata: "Hantu orang putih, saya akan basmi kalian semua" sambil melepaskan tembakan. 2 orang askar orang putih yang berjalan di depan segera tumbang. Seiring itu musuh telah melepaskan tembakan gencar ke arah Dollah. Beliau gugur sebagai pahlawan. Ketika itu beliau baru berusia 14 tahun.

Seluruh kawan bersedih kerana pengorbanannya. Setelah berdirinya Rejimen Ke-10 tak lama selepas peristiwa itu, saya atas nama Markas Besar Rejimen Ke-10 mengesahkan beliau sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan menganugerahkannya gelaran Pahlawan untuk menunaikan hasratnya ketika hidup. Darah pahlawan telah membasahi pertiwi, demi kemerdekaan dan pembebasan negara dan rakyat.

Sebuah lagu telah dicipta untuk mengenangi Pahlawan Dollah, seni katanya sebagai berikut:

Kawan Dollah -Pahlawan Muda
Yang Tak Mengenal Mati

Kawan Dollah berusia empat belas,
Punya cita-cita besar,
Kerana usia terlalu muda,
Tak disahkan masuk tentera.
Kawan Dollah setia pada parti,
Ikut parti jalankan perintah,
Kalau korban minta disahkan,
Masuk Tentera Pembebasan mulia.

Menyusun tentera semut kampung,
Bawa kanak-kanak revolusioner,
Punggah barang mengawasi musuh,
Ikut bertempur membasmi musuh.

Masuk kampung membawa tugas,
Nak lempar bom membasmi musuh,
Sayang keadaan telah berubah,
Segera laporkan kepada kawan.

Musuh sedar segera mengejar,
Dollah membawa masuk perangkap,
Kesempatan basmi musuh tiba,
Perajurit kita yang perkasa.

Pakai uniform tentera perwira,
Topi berbintang merah bersinar,
Senapang kulai kejat ditangan,
Tegak berkawal di pinggir kampung.

Orang Putih tiba dari rusuk,
Dollah tenang mengangkat senjata,
Bertekad bulat lantang berteriak:
"Saya akan hapuskan kalian".

Petik treger senapang gemuruh,
Segera tumbang dua orang musuh,
Musuh menembak secara gila,
Pahlawan gugur jasa abadi.

Dollah sumbangkan keremajaannya,
Kawan dan pimpinan bersemadi,
Rasmikan Dollah jadi perajurit,
Semangat sateria kekal abadi.


---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

Blackend Is The End

Dyers Eve