PENYOKONG

RAONG (RADIO ORANG PENANG)

PELAWAT DARI SELURUH DUNIA

free counters

JUMLAH PELAWAT BLOG INI

IKLAN - 1

IKLAN 3

IKLAN 3
Kembara Seniman Jalanan Jelajah Bumi Siam Bersama Pyanhabib

Ahad, 28 Mac 2010

KAMARUL ZAMAN TEH

Profile Kamarulzaman Teh
  • Nama: Kamarulzaman Teh, lebih dikenali sebagai Pak Zaman
  • Tarikh Lahir: Tahun 1920, di Kampung Tanjung Broga, Mukim Sanggang, temerloh, Pahang
  • Keluarga: Anak sulung daripada 5 orang adik beradik, 2 lelaki dan 3 perempuan
  • Pendidikan: Lulus darjah 5 sekolah Melayu, melanjutkan pelajaran hingga standard 7 di sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Kemudian lulus Sekolah Pertanian Serdang, Selangor.
  • Pekerjaan: Pada tahun 1940 dan 1941, beliau berkhidmat di Serdang sebagai Malay Agriculture Subordinate (Pegawai Rendah Pertanian).
  • Politik: Dalam Masa Perang Anti-Jepun bertugas secara bawah tanah di Temerloh berkoodinasi dengan TAJRM
  • Tahun 1943 diterima menjadi anggota PKM. Awal 1946, beliau menubuhkan API Pahang dan menjadi Ketua 1. Bila API diharamkan, beliau menubuhkan PETA.
  • Beliau adalah pengasas basis revolusioner Temerloh khasnya dan Pahang amnya.
  • Pada bulan Oktober 1947, kamarulzaman dilantik sebagai seorang wakil PKM yang terbuka, bertugas di bahagian Pantai Timur.
  • Awal Jun 1948, Kamarulzaman menghadiri kursus Kem Se-Malaya yang diadakan di hutan Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang dan dilantik sebagai komender Platun.
  • 20 Jun 1948 beliau ditangkap oleh penjajah British. Beliau dihantar ke Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Berkat usaha bapanya, beliau mendapat “pengampunan” Sultan, keputusan hukuman mati diubah menjadi penjara seumur hidup.
  • 1962, beliau dibebaskan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Setelah dibebaskan Kamarulzaman bekerja di Temerloh Bus Company. Kemudian menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia. 1981-1989 dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PSRM. Beliau pernah menjadi calon Parlimen Temerloh dalam pilihanraya 1974, tetapi dikalahkan.
  • Dalam tahun 1950-an, ketika beliau masih dalam penjara, beliau dilantik sebagai anggota Kehormat Markas Besar Rejimen Ke-10.
  • Rumahtangga: Beliau berkahwin pada tahun 1947. Tapi isterinya minta fasah ketika beliau di dalam penjara.
Catatan Abdullah C.D. berkenaan Kamarulzaman Teh: Pemimpin dari Temerloh, Kamarulzaman Teh

Kamarulzaman Teh dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Tanjung Broga, Mukim Sanggang, Temerloh, Pahang. Bapanya, Haji Teh bin Tok Abu Bakar, seorang guru sekolah yang lulus dari Maktab Perguruan, berasal dari Kampung Lebak, Temerloh. Ibunya bernama Hajah Siteh binti Ali.

Pada mulanya Kamarulzaman belajar di Sekolah Melayu Kampung Lebak, Temerloh, lulus darjah lima pada tahun 1929. Pada tahun 1930 Kamarulzaman masuk Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis, Pahang, lulus darjah tujuh. Kemudian beliau memasuki Sekolah Pertanian Serdang dan mendapat kelulusan pada tahun 1939. Pada tahun 1940-41, Kamarulzaman berkhidmat di sana sebagai Pegawai Rendah Pertanian. Kegemarannya masa di sekolah ialah menjadi pengakap, bermain kriket, hoki dan badminton.

Kamarulzaman gemar membaca buku-buku sejarah seperti sejarah kolonial dan tanah jajahan, sejarah Revolusi Oktober, pemberontakan di Indonesia dan lain-lain. Buku-buku ini terdapat di sekolah pada waktu itu. Ini merupakan pengaruh politik yang awal di sanubari beliau.

Sebelum Perang Dunia Kedua, beliau menyertai KMM di bawah pimpinan Mustapha Hussein. Beliau dan Nazar Nong, juga dari Pahang, adalah rakan seperjuangan dan bercita-cita sama berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Pada masa Perang Anti-Jepun, Kamarulzaman bergerak secara bawah tanah selama dua tahun, dari hujung tahun 1943 hingga Ogos 1945. Tugasnya ialah memimpin badan propaganda di bahagian Temerloh dan berkoordinasi dengan pasukan TAJRM. Dalam badan propaganda, beliau menyebarkan siaran-siaran kepada massa, memberi penjelasan tentang perjuangan antifasis, serta membuat siasatan dan mengutip maklumat tentang gerak-geri mata-mata gelap Jepun.

Kamarulzaman menjadi anggota PKM melalui cawangan di Temerloh pada tahun 1943.
Setelah Jepun menyerah kalah, Kamarulzaman ditugaskan membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu. Beliau bekerjasama dengan PKMM. Ketika itu API sebagai sayap PKMM baru sahaja ditubuhkan. Kamarulzaman telah menubuhkan API di Pahang pada awal tahun 1946 dengan beliau sebagai Ketua satunya dan Yusuf Salleh sebagai Setiausahanya.

Di bawah pimpinan Kamarulzaman, semangat nasionalisme anggota-anggota di dalam barisan API Temerloh berkobar-kobar, militan dan revolusioner. Sebahagian daripada mereka dipupuk untuk diserapkan menjadi anggota PKM. Di seluruh Pahang anggota API ketika itu berjumlah lebih kurang seratus orang. Tiga puluh empat orang daripadanya ialah anggota PKM.

Tugas API ialah memberikan penerangan kepada massa rakyat tentang perjuangan anti-British. Salah satu cara dalam menjalankan tugasnya ialah menubuhkan badan sandiwara yang terdiri daripada dua puluh hingga tiga puluh orang kawan. Pementasan sandiwara mengisahkan penderitaan rakyat di bawah belenggu penjajahan, dan sindiran tajam terhadap penjajah British. Apabila tirai dibuka, anggota API menyanyikan lagu “Darah Rakyat,” “Tanah Air” dan lain-lain. API bergerak di pelbagai tempat seperti Chenor, Bera, Lubuk Kawah, Semantan, Benta dan lain-lain.

Apabila API diharamkan, ditubuh pula PETA dengan Wahi Anuar sebagai Ketua Satunya. Anggota-anggota API secara automatik menjadi anggota PETA. Bersempena kongres PETA yang diadakan pada bulan April 1948 di Temerloh, satu perarakan secara besar-besaran telah diadakan. Polis cuba menghalang tetapi ditentang dengan gagah berani oleh para peserta perarakan.

Selepas Perang Dunia Kedua, berlaku rusuhan antara kaum di Batu Malim, Raub, Pahang. Semasa rusuhan itu meletus, Kamarulzaman dihantar oleh PKM bersama dengan Shamsuddin Salleh dan Nazar Nong yang mewakili PKMM dan seorang kawan Tionghua wakil PKM dari Bentong memberi penerangan kepada orang Melayu dan Tionghua. Rusuhan itu akhirnya dapat dicegah daripada merebak.

Pada Oktober 1947 Kamarulzaman dilantik sebagai salah seorang wakil PKM secara terbuka, bertugas bagi kawasan Pantai Timur meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan. Beliau bergerak secara terbuka atas nama wakil PKM. Dalam kongres penubuhan BTM di Kajang, Selangor pada Oktober 1947, beliau dijemput berucap sebagai wakil PKM. Orang ramai banyak yang terkejut, kerana sebelum ini beliau dikira wakil API.

Dalam Jabatan Kerja Melayu, Kamarulzaman bertanggungjawab terhadap tugas untuk mengembangkan organisasi PKM bahagian Melayu di kawasan Sektor Timur, dengan Pahang sebagai titik utamanya.

Semakin bergolaknya situasi perjuangan, penjajah British semakin hebat menekan gerakan untuk kemerdekaan. Pihak organisasi PKM mengeluarkan arahan untuk melatih kawan-kawan dalam soal persenjataan. Kamarulzaman ditugaskan menyediakan satu tempat latihan. Beliau berbincang dengan kawan-kawan dan memilih hutan Lubuk Kawah sebagai kem tempat latihan. Kawan-kawan tertentu sahaja yang dibenarkan membuat kem itu yang dikenali dengan nama Kem Se-Malaya. Satu demi satu regu kader bahagian Melayu dari setiap negeri datang untuk berlatih. Jumlah yang hadir seramai tiga puluh enam orang. Kursus hanya dapat diadakan selama dua minggu sahaja kerana keadaan semasa yang berubah amat cepat.

Sebelum latihan bermula, satu regu kawan-kawan yang diketuai oleh Ibrahim Chik pergi mengambil 15 pucuk senjata daripada kawan Tionghua di Batu Tiga.

Pada 20 Jun 1948, Kamarulzaman ditangkap oleh penjajah British di bawah Undang-undang Darurat. Mengikut laporan yang saya terima, beliau ditangkap pada kira-kira pukul 10 pagi di Kedai No. 1, Jalan Abu Bakar, Temerloh. Masa itu beliau menyeberang sungai dari kampung ke bandar. Dia belum mengetahui yang darurat telah diisytiharkan pada malam sebelumnya. Apabila sampai ke kedai, dia terus pergi ke stesen bas untuk pergi ke Mentakab. Tiba-tiba datang beberapa orang. Yang beliau ingat ialah seorang sub-inspektor (beruniform) dan dua orang mata-mata gelap bernama Ismail dan Mat Taram (tidak beruniform). Mereka berkata kepada Kamarulzaman. “Minta segera pergi ke Mentakab, kerana OCPD Day mahu berjumpa.”

Kamarulzaman menjawab, “Saya penduduk di Temerloh, saya boleh pergi, tak payahlah kalian arahkan, dan saya boleh pergi sendiri.”

Polis itu berkata lagi, “Che Kamar mesti pergi sekarang juga kerana hal ini penting.”

Kamarulzaman terus menjawab, “Penting tak penting tu soalan saya. Kalau ada warrant of arrest (surat rasmi tangkapan), boleh saya mengikut secara teratur.”

Mereka memberitahu Kamarulzaman bahawa mereka tak ada waran. Kamarulzaman menjawab, kalau tak ada waran, dia tak mahu pergi, biarlah dia pergi bersendirian, jangan memaksanya.
Mereka berkata, “Kalau begitu Che Kamar tak mahu pergilah.”

Kamarulzaman menjawab, “Tidak, bukan saya tak mahu pergi.”

Tiba-tiba mereka cuba mengasak beliau untuk ditangkap. Apabila beliau diasak ke suatu sudut, secara tak sedar beliau telah mengenakan tumbukan kepada mereka bertiga. Dan mereka terlentang di atas tong peti surat di situ sambil berteriak, “Tangkap dia. Dia melawan!”

Kamarulzaman jawab, “Saya tidak melawan. Encik datang menggasak saya. Saya sudah beritahu jangan, saya boleh pergi sendiri.”

“Mana boleh,” jawab mereka. Mereka datang sekali lagi, Kamarulzaman menumbuk mereka lagi hingga terjatuh.

Beberapa kali pertarungan berlaku. Akhirnya mereka bertiga menyerang Kamarulzaman lagi, memegang dan membawa beliau ke tengah lorong simpang tiga bandar Temerloh. Kamarulzaman meminta mereka berhenti sebentar kerana nak memberitahu orang ramai hal yang sudah terjadi. Dengan kesempatan ini beliau memberitahu orang ramai di situ yang beliau telah ditangkap oleh penjajah British. Lantas Kamarulzaman terus dibawa menuju ke balai polis.

Di tengah jalan, Mat Taram berkata kepada beliau, “Matilah saya Che Kamar, orang Che Kamar tentu cari saya.”

Kamarulzaman berkata kepadanya, “Encik Taram menjalankan tugas, tugas Che Taram sudah selesai. Tapi sekiranya perkara itu sejengkal, jangan buat jadi sedepa.” Kerana orang ramai di situ adalah penyokong gerakan kemerdekaan.” Mat Taram telah melahirkan rasa takut dan bimbang akan padah tindakannya.

Sesampai sahaja di Balai Polis Temerloh, OCPD Day ada di situ. OCPD bukan main garang. Dia memaki Kamarulzaman dengan berkata “You’re a Russian dog!” (Kamu anjing Russia).
Kamarulzaman menumbuk meja dan menjawab, “You’re an imperialis dog!” (kamu anjing imperialis).

“Sombong, ya!”, kata Day lagi dalam bahasa Melayu pelat Inggeris.

Kamarulzaman menjawab, “Tidak, saya tidak sombong. Tuan yang bercakap dulu.”

Day memerintahkan Kamarulzaman dikurung dalam lokap. Dia ambil beg Kamarulzaman lalu membuka dan menjumpai sepucuk pistol di dalamnya.

Day bertanya, “Apakah itu senjata kamu?” Kamarulzaman berkata, “Bukan, saya tak tahu, takkan saya pergi ke bandar bawa senjata, lagi pun ini menurut undang-undang memang salah.” Semasa beliau bergelut dengan polis, pistol itu tak terlepas ada di bahunya.

Sarjan polis Temerloh waktu itu adalah orang bawah tanah. Kerana itu, Kawan Haji Hashim (Chen Nan) telah mengutus Rosli (waktu itu dia belum masuk pasukan lagi) membawa sepucuk surat meminta Sarjan melepaskan Kamarulzaman. Kerana ini adalah tangkapan yang dirancang oleh penjajah British, maka Sarjan tak boleh buat apa-apa. Walau bagaimanapun Rosli dilepaskan.

Kamarulzaman tinggal dilokap Temerloh selama tiga hingga empat hari sahaja, kemudian terus dihantar ke penjara Kuala Lipis. Di sana sudah terdapat ramai kawan-kawan yang ditahan di bawah Undang-undang Darurat. Mereka itu terdiri daripada anggota PKMM, API, dan lain-lain. Dua malam di sini Kamarulzaman dihantar ke Balai Polis Campbell, Kuala Lumpur. Keesokannya pula beliau dihantar ke Penjara Pudu. Di sana beliau diasingkan di bilik khas menunggu pembicaraan mahkamah. Dalam bilik khas itu, beliau bertemu dengan Adnan dari Kajang, Selangor yang juga ditangkap kerana kes senjata api.

Mengikut rancangan yang ditetapkan dalam perhimpunan kader di Kem Se-Malaya, Kamarulzaman ditugaskan membentuk pasukan bersenjata di daerah Temerloh sebagai persiapan untuk menghadapi tindakan penjajah British yang telah diduga akan bertindak dengan lebih keras dan melakukan penangkapan secara sekali gus. Temerloh juga diputuskan sebagai pusat pasukan Melayu. Di situ ramai pemuda berdarah revolusioner dari PKMM, PETA, BTM dan lain-lain telah berkumpul dan menunggu perintah dari Kamarulzaman sahaja. Akan tetapi kerana Kamarulzaman tertangkap, kawan-kawan itu terpaksa bergerila secara sendiri-sendiri untuk mengelakkan penangkapan penjajah British.

Kerana beliau ditangkap, saya yang sedang membangun pasukan di Benta dipanggil balik ke Temerloh untuk mengambil alih tugas Kamarulzaman. Malangnya, saya juga tertangkap di tengah jalan di kawasan Ulu Dong. Keadaan ketika itu amat genting bagi gerakan revolusi di bahagian Melayu kerana tiga orang pimpinan utama telah ditangkap, menimbulkan rasa pesimis di kalangan organisasi dan massa rakyat. (Rashid Maidin juga ditangkap pada Julai 1948). Hanya setelah saya berjaya melepaskan diri dari tangkapan musuh dan kembali ke Temerloh bergabung dengan pasukan asas, barulah dikembangkan semula pembangunan pasukan Melayu. Hampir setahun kemudian iaitu pada 21 Mei 1949, barulah kami berjaya membentuk Rejimen Ke-10. Dan sejak itu, barulah revolusi di bahagian Melayu berkembang semula. Untuk menghargai sumbangan Kamarulzaman memimpin perjuangan untuk kemerdekaan di kawasan Temerloh sehingga terdapat ramai pemuda Melayu yang tinggi kesedaran nasional dan revolusioner serta terbentuk sejumlah anggota asas untuk pembentukan Rejimen Ke-10, Markas Besar Rejimen Ke-10 telah menganugerahkan gelaran sebagai anggota Markas Besar Kehormat Rejimen Ke-10 kepadanya. Dan sejak itu, barulah revolusi di bahagian Melayu berkembang semula.

Mengikut laporan Kamarulzaman, semasa perbicaraan, hakim menjatuhkan hukuman bersalah memiliki senjata api dan dikenakan hukuman gantung sampai mati ke atas beliau. Akan tetapi setelah itu beliau diberitahu bahawa ada surat yang mengatakan beliau sudah diampunkan oleh Sultan Pahang, lalu hukuman diubah menjadi penjara seumur hidup.

Kamarulzaman adalah pejuang kemerdekaan yang pertama sekali dijatuhi hukuman gantung kerana memperjuangkan kemerdekaan setelah darurat diisytiharkan. Akan tetapi kerana beliau mendapat pengampunan dari Sultan Pahang, beliau tidak jadi digantung. Pejuang kemerdekaan yang pertama menjalani hukuman gantung ialah Adnan yang di penjara bersama dengan Kamarulzaman. Beliaulah putera terbaik tanah air yang pertama menghadapi tali gantung penjajah. Beliau anggota PKMM dan BTM yang berasal dari Selangor. Setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, beliau menyertai perjuangan bersenjata anti-British di Selangor. Akan tetapi beliau tercedera dalam pertempuran dan ditangkap musuh lalu dijatuhi hukuman gantung. Mengikut laporan Kamarulzaman, selepas Adnan digantung, barulah kawan-kawan lain turut digantung, kadang-kadang tiga orang, kadang-kadang enam orang satu kali digantung. Yang saya maksudkan di sini ialah dari orang Melayu sahaja. Selain itu masih ramai pejuang kemerdekaan dari kaum lain juga menghadapi tali gantung penjajah. Antara yang meninggalkan kesan mendalam bagi saya ialah Ganapathy.

Ganapathy adalah seorang pejuang peringkat internasional yang ulung yang pernah bersama-sama saya bergerak dalam PKM untuk usaha kemerdekaan tanah air. Yang teristimewanya ialah beliau dua kali dihukum gantung. Kali pertama semasa Perang Dunia Kedua oleh kaum fasis Jepun. Akan tetapi kerana kekalahan Jepun secara mendadak, maka beliau tidak sempat digantung. Kali kedua pada masa Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Beliau memasuki perjuangan bersenjata anti-British setelah darurat diisytiharkan. Akan tetapi beliau tertangkap oleh penjajah lalu dijatuhi hukuman gantung.

Mengikut laporan Kamarulzaman kawan-kawan yang dikenakan hukuman gantung cukup bersemangat dan amat mengharukan. Esok mereka akan digantung, malamnya mereka tidak tidur, menyanyi lagu-lagu patriotik dan meneriakkan slogan “Hidup PKM.” Apabila mereka dibawa ke tali gantung, kedengaran mereka terus menyanyi.

Di Penjara Pudu, Kamarulzaman bersama kawan-kawan lain memimpin para tahanan melancarkan perjuangan untuk perbaikan layanan dan lain-lain. Berkat perjuangan mereka, pihak berkuasa penjajah terpaksa memberikan sedikit kelonggaran ke atas mereka.

Tiga bulan sebelum tarikh Kamarulzaman dikeluarkan daripada penjara, beliau telah dipanggil oleh tiga orang pegawai Special Branch untuk soal siasat – seorang menyoal, seorang memerhatikan gerak-geri beliau dan seorang lagi membuat catatan.

Tiga bulan kemudian, pada tahun 1962, Kamarulzaman dibebaskan. Sebelum keluar daripada penjara pihak Special Branch membacakan beberapa syarat yang dikenakan ke atas beliau seperti tidak boleh campur politik, tak boleh campur kesatuan sekerja, tidak boleh bercakap dengan bekas tahanan politik, tidak boleh meninggalkan daerah Campbell Police District, tidak boleh tukar alamat tanpa izin dan mesti berada di dalam rumah antara jam 10.00 malam hingga 6.00 pagi.

Setelah dua tahun Kamarulzaman berada di Kuala Lumpur, beliau menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memohon balik ke Temerloh untuk menjaga ibunya yang sudah tua. Permintaannya ini diluluskan tetapi ditambah lagi dua syarat – iaitu mesti melaporkan diri ke polis daerah Temerloh dan tidak boleh pindah dari daerah Temerloh ke tempat lain. Syarat-syarat ISA seperti yang disebutkan di atas tadi tetaplah dikenakan selama lapan tahun mulai 1962 hingga 1970.

Setelah semua syarat-syarat yang dikenakan ke atas beliau dibatalkan pada tahun 1970, kawan-kawan dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) (kemudiannya Parti Rakyat Malaysia) datang menemuinya dan minta beliau menjadi anggotanya. Pada tahun 1974, PSRM minta beliau menjadi calon Parlimen Temerloh menentang Datuk Hamzah Abu Samah, seorang menteri dalam Kerajaan Barisan Nasional. Kamarulzaman mendapat sokongan yang sangat baik daripada semua kaum di Temerloh, walaupun beliau baru sahaja berkecimpung dalam politik pilihan raya. Kamarulzaman terus bergiat dalam PSRM dan telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pusat parti itu selama sembilan tahun dari tahun 1981 hingga 1989. Beliau meninggal dunia pada 5 November 2002 dalam usia 82 tahun.

JASA ORANG ASLI DI DALAM TUNTUTAN KEMERDEKAAN

Dalam perjuangan besar untuk kemerdekaan tanah air yang kita nikmati hari ini turut disulami dengan keringat dan darah massa Orang Asli. Dalam berbagai tahab perjuangan kemerdekaan, ternyata Orang Asli telah memberikan sumbangan yang besar. Dalam Memoirnya, Abdullah C.D. telah mendedahkan sebahagian fakta tentang sumbangan Orang Asli kepada perjuangan kemerdekaan – sejak dari Perang Perak sehingga Perang Bahaman dan dari perjuangan menentang fasis Jepun sehingga perjuangan bersenjata menentang penjajah British di bawah pimpinan PKM. Di Rejimen Ke-10 terdapat 3 orang perajurit Orang Asli. (Gambar kiri: Mek Poh, kakak kepada 2 beradik Orang Asli di Kompeni Ke-23, Rejimen Ke-10 TRM) Mereka hidup bersama perajurit-perajurit Rejimen Ke-10 di dalam satu keluarga besar revolusioner, tanpa diskriminasi, menikmati sama derajat, penuh rasa kasih sayang sebagai rakan seperjuangan. Berikut adalah sedutan dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua yang bertajuk PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10:

Bergaul dengan Massa Orang Asli

Sementara itu, saya dan beberapa orang kawan pengawal tinggal bersama Orang Asli di gua batu untuk melakukan penyelidikan. Mengambil peluang inilah saya menyelami perasaan Orang Asli serta membuat penyelidikan tentang masyarakat Orang Asli di situ.

Orang Asli di situ terdiri dari suku Senoi. Mengikut angka yang disiarkan akhbar, dalam tahun 1950-an, suku Senoi di Semenanjung berjumlah 12,500 orang.
Chen Ping bergambar dengan 3 beradik Orang Asli ketika melawat Rejimen Ke-10 pada tahun 1989

Orang Asli adalah satu komponen penting masyarakat Malaya. Di masa silam, Orang Asli dan Orang Melayu pernah bekerjasama menentang penjajah asing khasnya British dan Jepun yang termanifestasi dalam Perang Bahaman di Pahang serta Perang Perak dipimpin Maharajalela dan Datok Sagor. Dalam Perang Perak, Si Puntum dan Si Gondah yang membunuh Birch adalah Orang Asli. Dalam 2 kali perjuangan besar menentang pencerobohan fasis Jepun (1941-1945) dan Perang Anti-British (1948) yang kedua-duanya dipimpin PKM juga mendapat sokongan kuat dari Orang Asli. Ini menunjukkan peranan penting masyarakat Orang Asli ke atas kemerdekaan dan pembangunan Malaya. Sebab itulah saya sangat berminat untuk mengetahui keadaan mereka. Dalam tahun 1940, ketika belajar di Kuala Kangsar, saya juga pernah membuat pengkajian tentang Orang Asli. Di kawasan Lambor ketika itu terdapat ramai Orang Asli. Ada di antara mereka telah bersemenda dengan orang Melayu.

Orang Asli telah menetap di Semenanjung Tanah Melayu ribuan tahun dahulu. Mereka adalah penduduk pribumi sebenar rantau ini. Mengikut catatan ahli sejarah, Negeri Perak dibuka oleh Orang Asli yang mendirikan Kerajaan Gangga Negara pada masa kegemilangan pemerin- tahan Melayu Buddha Kerajaan Sriwijaya (600 - 1294 Masehi). Kemudian didirikan pula Kerajaan Beruas bertempat di Beruas dalam masa kegemilangan Kerajaan Majapahit, sebuah kerajaan Melayu Hindu sehingga kepada Kerajaan Melaka, sebuah kerajaan Melayu Islam.

Beruas juga mempunyai sejarah patriotik menentang penjajahan. Pada masa Perang Anti-Jepun, Beruas menjadi basis Perang Anti-Jepun. Rakyat berbagai kaum menyokong PKM melancarkan Perang Anti-Jepun. Selepas Jepun kalah, perjuangan untuk kemerdekaan yang dipelopori PKMM, PKM, API, AWAS, BTM dan lain-lain berkobar di Beruas. Ketika saya datang ke Beruas bersama Pasukan Propaganda PKM pada tahun 1945, tokoh-tokoh nasionalis Beruas beramai-ramai menyambut kami.

Kerana sejarah inilah, saya, Dr. Burhanuddin, Mustapha Hussein dan lain-lain datang ke Beruas mengadakan rapat umum untuk mempertebal semangat kebangsaan di kalangan massa rakyat di sana. Selepas itu, baru kami pergi ke Gunung Semanggol.

Selesai membuat pengkajian tentang Orang Asli, saya meninggalkan gua batu bergabung semula dengan Rashid Maidin dan Musa. Masa itu perbekalan kami bergantung seratus peratus pada bantuan Orang Asli. Terdapat 2 kumpulan Orang Asli, satu Orang Asli di Perak dan satu lagi Orang Asli di Ulu Kelantan.

Untuk menjalin perpaduan yang lebih erat dengan Orang Asli, saya menghantar Sukur memimpin satu regu kecil menemui Orang Asli di Ulu Kelantan. Orang Asli di situ menyokong Tentera Pembebasan dengan sepenuh hati. Ladang-ladang mereka diserahkan kepada kami untuk diambil bahan makanannya. Pernah terjadi suatu peristiwa di mana dua orang datuk mengikat tali persahabatan. Satu pihak ialah Rashid Maidin, bergelar Datok, mewakili kami semua dan satu pihak lagi ialah Datok Angoi yang mewakili kumpulan Orang Asli. Kedua-dua Datuk ini mengikat perjanjian persahabatan yang ikhlas di bawah cahaya unggun api mengikut adat istiadat Orang Asli.

Selepas upacara mengikat perjanjian persahabatan, diadakan majlis bergabak iaitu majlis menari tarian Orang Asli dengan iringan irama hentakan buluh. Ketika bergabak, Orang Asli membaca mantera dan sebagainya mengikut kepercayaan mereka. Cara begini juga diadakan untuk mengubati anggotanya yang sakit demam. Kawan-kawan dari Pasukan Hang Jebat bersama Orang Asli menyertai majlis yang hangat itu dari petang hingga ke pagi. Seorang perajurit bernama Agus (gambar kiri) terjatuh ke dalam unggun api kerana terlalu bersemangat bergabak.

Selepas itu, hubungan kami dengan massa Orang Asli lebih rapat lagi. Orang Asli di bawah riayah Datok Angoi dengan kami ibarat satu keluarga. Massa Orang Asli membantu kami memunggah ubi dari ladang mereka yang jauh dan dekat untuk kami.

RUSUHAN KAUM DI BATU KIKIR


Satu peristiwa pembunuhan yang bersifat perkauman telah berlaku di Batu Kikir, Negeri Sembilan pada bulan Jun 1945. Peristiwa itu berlaku ketika saya bertugas di bahagian propaganda parti Negeri Perak di Ipoh. Peristiwa itu dimaklumkan secara rasmi oleh organisasi PKM kepada saya dan kawan-kawan lain.

Kemudian pada tahun 1946, ketika saya diberi tugas sebagai wakil PKM bahagian Melayu untuk kawasan Selatan dan juga memimpin organisasi JKM kawasan itu, saya secara khusus pergi ke Negeri Sembilan termasuk ke Batu Kikir.


Satu soal penting yang saya titik beratkan dan ingin mencari jawapannya ialah mengapakah timbulnya peristiwa pembunuhan di Batu Kikir yang seolah-olah merupakan satu gerakan orang Melayu menentang PKM dan TAJRM, sedangkan mereka aktif menyokong Perang Anti-Jepun bahkan menjadi sandaran penting Perang Anti-Jepun. Untuk mendapatkan jawapan yang pasti berkenaan masalah ini, saya pergi mencari organisasi PKM dan menemui orang ramai di kawasan berkenaan. Zahid dan beberapa orang kader Melayu di situ memberi bantuan besar dalam usaha ini. Zahid sendiri pernah ambil bahagian dalam gerakan mendamaikan hubungan antara orang Melayu dan orang Tionghua di situ dan memulihkan perasaan muhibah mereka.

Ketika peristiwa pembunuhan itu berlaku, penanggungjawab bahagian stet PKM Negeri Sembilan ialah seorang kawan seperjuangan saya, Ah Chen namanya atau di kalangan kawan-kawan Rejimen Ke-10 dikenali dengan nama Kawan Jasa. Kemudiannya saya bersama-sama beliau bertugas dalam JKP PKM. Selain daripada Zahid, Jasa juga banyak menceritakan berkenaan peristiwa pembunuhan kaum tersebut. Beliau pernah menulis kenang-kenangannya dalam buku Siri Perjuangan Anti-Jepun dan diterbitkan oleh Pejabat Suara Demokrasi pada 1 Februari 1982.

Daripada penyiasatan itu, saya membuat kesimpulan bahawa peristiwa itu berlaku kerana hasutan penjajah British yang mahu bertapak semula di Malaya dan mahu melemahkan kekuatan progresif yang diwakili PKM; manakala peristiwa itu pula dilakukan oleh segelintir orang Melayu yang terpedaya oleh hasutan penjajah. Menghasut sentimen permusuhan antara kaum adalah strategi penting dan senjata paling berkesan penjajah British untuk melemahkan kekuatan rakyat.

Kerana perkembangan perjuangan anti-Jepun yang menggelora baik di hutan, di kampung-kampung dan di bandar-bandar yang telah disebutkan di atas, kaum penjajah iaitu Jepun dan British amat tidak senang hati. Mengikut maklumat yang diberikan orang ramai, pada bulan Mac 1942 fasis Jepun telah mencetuskan tragedi Jeludung. Dalam tragedi tersebut, Jepun membuat dalih meminta orang ramai pergi mengambil kad pendaftaran di Titi kemudian askar Jepun telah mengatur kepungan dari empat jurusan. Mereka membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Kira-kira seribu orang massa rakyat telah dibunuh dan seratus orang lebih cedera. Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa fasis Jepun cuba menundukkan orang ramai daripada menyokong gerakan anti-Jepun dengan cara pembunuhan beramai-ramai. Akan tetapi, di sebalik tindakannya itu orang ramai lebih teguh lagi menyokong gerakan anti-Jepun.

Sehingga penghujung tahun 1945, gerakan anti-Jepun berkembang di Negeri Sembilan. Ketika itu penjajah British pula yang ingin berkuasa semula di Malaya telah menimbulkan pembunuhan kaum di Batu Kikir. Kawasan Batu Kikir adalah basis anti-Jepun yang kukuh. Rakyat berbagai-bagai kaum di situ saling bekerja sama menyokong Perang Anti-Jepun. Di kampung-kampung di kawasan tersebut didirikan berbagai-bagai organisasi anti-Jepun seperti Liga Anti-Jepun, lasykar rakyat dan lain-lain.

Mengikut maklumat dari organisasi anti-Jepun dan orang ramai, pada akhir bulan Jun 1945, pegawai-pegawai penghubung tentera berikat iaitu Pasukan Gerila 136 British telah menggugurkan sejumlah senjata kepada pasukan-pasukan TAJRM. Seorang pegawai penghubung British untuk kawasan Negeri Sembilan bernama Lt. Kol. C.H. Fenner telah dihantar ke dalam pasukan TAJRM untuk bekerjasama menentang fasis Jepun.

Akan tetapi, penjajah British mempunyai niat yang terselindung. Selain cuba mengontrol pasukan gerila TAJRM, C.H. Fenner didapati selalu pergi ke Jempul, Tanjung Ipoh dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menemui anasir-anasir yang boleh dipengaruhinya untuk menjalankan propaganda anti-komunis dan mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan rakyat berbagai-bagai kaum khasnya antara Melayu dengan Tionghua.

Apabila Jepun menyerah kalah, pasukan-pasukan TAJRM segera beredar ke pekan-pekan dan bandar-bandar untuk mengawal keselamatan orang ramai. Pada masa ini jugalah penjajah British menghantar pegawai-pegawai perisik dan tenteranya serta satu pasukan India Muslim dari India ke Negeri Sembilan. Mereka masuk ke kampung-kampung Melayu untuk menjalankan hasutan anti-komunis dan anti-Tionghua.

Untuk meruncingkan lagi keadaan, pihak British secara sembunyi mengarahkan seorang agennya, orang Tionghua, menyembelih seekor babi dan mencampakkannya ke dalam sebuah masjid di kampung dekat Batu Kikir. Sebaik sahaja hari cerah, berita itu pun segera tersebar. Orang Melayu merasa amat marah di atas perbuatan yang merupakan satu pencemaran ke atas agama Islam dan penghinaan kepada orang Melayu. Maka sekumpulan anggota parang panjang dari Juasih menyerbu ke sebuah kampung Tionghua di Batu Kikir. Kerana menyangkakan orang Tionghua menghina agama Islam dan bangsa Melayu, mereka memarang semua orang yang mereka jumpai, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ketika kejadian tersebut berlaku, di situ hanya terdapat enam orang perajurit TAJRM mengawal keselamatan orang ramai. Melihat keadaan itu, mereka cuba menasihati dan menghalang anggota parang panjang supaya berhenti melakukan pembunuhan. Akan tetapi dua di antara enam orang perajurit tadi telah tercedera ditetak oleh anggota parang panjang. Kerana keadaan yang amat kemelut ini, mereka terpaksa melepaskan tembakan dan mengundurkan kumpulan parang panjang tersebut.

Peristiwa itu tidak selesai setakat itu sahaja, penjajah British masih berusaha memanjangkan peristiwa tersebut. Pegawai tentera British pura-pura bersimpati dengan perajurit-perajurit dan massa yang cedera dengan menghantar kereta konon untuk membantu membawa mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Setiba kereta tersebut di pekan Batu Kikir, pihak British sengaja memberhentikan kereta di hadapan sekumpulan anggota parang panjang dan membiarkan kumpulan itu mengheret orang-orang yang tercedera di dalam kereta itu keluar dan di cincang di situ juga.

Setelah peristiwa itu, berbagai-bagai organisasi politik seperti pejabat PKM Wilayah Negeri Sembilan, kesatuan buruh, kesatuan tani, liga pemuda, persatuan wanita dan lain-lain pertubuhan kebudayaan telah mengadakan sidang tergempar bersama mengutuk komplot penjajah British yang sengaja melaga-lagakan antara kaum itu dan membiarkan dua orang perajurit TAJRM dan orang ramai yang tercedera itu di cincang hidup-hidup.

Pak Sutan Djenain dan Zahid segera datang ke pejabat PKM menemui penanggungjawab Jawatankuasa Parti Wilayah Negeri Sembilan menuntut pihak PKM supaya segera membuat bantahan ke atas tindakan British itu. Kemudian berbagai-bagai pertubuhan yang disebut di atas mengadakan sidang secara berasingan, mengadakan perhimpunan massa mendedahkan tipu muslihat British dan menyeru orang ramai berbilang kaum supaya jangan termakan tipu helah penjajah dan mesti terus mempereratkan perpaduan antara kaum.

Dalam satu rapat umum di Kuala Pilah, veteran revolusi Indonesia Pak Sutan Djenain telah membuat ucapan berapi-api dan mendedahkan komplot keji penjajah British tersebut. Beliau menyeru orang ramai bersatu padu melawan polisi pemecah-belahan kaum oleh penjajah British. Selain daripada itu, wakil Melayu dari Liga Anti-Jepun juga membuat ucapan menyeru orang ramai bersatu dan sekali-kali jangan termakan hasutan penjajah. Pidato para wakil itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat pelbagai kaum khasnya orang Melayu dan Tionghua.

Selain daripada itu, pihak TAJRM juga menyatakan sikapnya yang tegas kepada penjajah British bahawa kalau peristiwa sedemikian berlaku lagi, maka pihak British haruslah memikul segala akibat dan tanggungjawabnya.

Terdorong oleh suasana muhibah sama-sama menentang komplot melaga-lagakan antara kaum itu, banyak kampung Tionghua dan Melayu yang berjiran menandatangani perjanjian kerukunan bersama. Komplotan jahat penjajah British itu berjaya dihentikan berkat usaha bersama pertubuhan dan rakyat pelbagai kaum.

---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, diterbitkan SIRD, 2005

PENYATUAN ISLAM, SOSIALIS DAN KOMUNIS DI KONGRES ISLAM GUNUNG SEMANGGOL


Tidak lama setelah saya balik ke Kuala Lumpur selepas menghadiri persidangan Asia, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjemput Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Mustapha Hussein dan saya untuk menghadiri pula suatu kongres di Gunung Semanggol, Perak. Beliau mengirim keretanya untuk membawa kami ke sana.

Perjalanan kami diatur oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dengan bantuan penasihatnya, Mustapha Hussein. Sebelum tiba di Gunung Semanggol, kami singgah di beberapa tempat bersejarah yang juga kubu kuat PKMM iaitu Beruas, Air Tawar dan Lumut.

Mengikut sejarah, di Beruas pernah muncul sebuah kerajaan Melayu Islam yang awal. Kerana sejarah nasionalisme inilah, kami singgah di sana. PKMM bahagian Beruas mengadakan rapat umum untuk menyambut kami. Dr. Burhanuddin Al-Helmy dihadiahkan kalungan bunga. Kemudian atas usulan Mustapha Hussein, kalungan bunga itu dilelongkan sebagai cara mengutip derma untuk PKMM. Kami masing-masing membuat ucapan dalam rapat umum itu. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyampaikan laporannya berkenaan persidangan di New Delhi dan keadaan di Burma. Saya juga memberikan ucapan atas semangat kemerdekaan dan anti-kolonialisme. Satu destinasi lagi yang kami singgah ialah Air Tawar. Di sini tidak jauh dari Bota. Ayah saya pernah mendirikan sebuah rumah dan kami pernah tinggal di situ ketika permulaan Perang Dunia Kedua untuk mengelakkan tangkapan penjajah British. Masa itu sesiapa yang disyaki menjadi anggota KMM akan ditangkap. Dalam masa Perang Dunia Kedua, kawasan Air Tawar, dan kawasan lain di sepanjang Sungai Perak terkenal sebagai kubu kuat gerakan anti-Jepun. Dari Air Tawar kami bermalam di Lumut yang juga mempunyai sejarah nasionalisme Melayu. Bersetentangan dengan Lumut adalah Pulau Pangkor yang pernah mencatat sejarah permulaan penaklukan Inggeris ke atas Perak sehingga membawa kepada Perang Perak kemudiannya. Esoknya barulah kami meneruskan perjalanan ke Gunung Semanggol.

Di Gunung Semanggol, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan para wakil yang berada di situ menyambut ketibaan kami. Kami nampak bendera Merah Putih berbintang 12 – lambang Malaya merdeka – dikibarkan dengan megahnya.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy memberikan ucapan di majlis sambutan itu. Saya juga dijemput memberikan ucapan. Saya menyeru perpaduan di kalangan berbilang kaum berjuang untuk kemerdekaan di atas prinsip PKMM iaitu perpaduan nasionalisme, agama dan sosialisme. Saya sebutkan juga pengalaman India yang dipecahbelahkan oleh penjajah British.

Esoknya barulah diadakan kongres untuk merasmikan penubuhan Hizbul Muslimin. Wakil-wakil dari beberapa tempat memberikan ucapan berapi-api. Isi ucapan adalah mengenai memperjuangkan kemerdekaan tanah air dan menentang kolonialisme dengan mempersatukan tenaga nasionalis, agama dan sosialis. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir seorang ulama, guru agama dan sekali gus seorang nasionalis yang besar dipilih menjadi Ketua Hizbul Muslimin.

Pada kongres itu, saya dicadangkan sebagai Bendahari, tetapi kerana tugas ini amat rumit, maka saya tidak dapat menerimanya. Saya memberitahu bahawa kalau tugas lain saya boleh lakukan, kalau Bendahari kerjanya rumit, saya sudah banyak tugas. Mengikut taksiran saya, cadangan ini datang dari Mustapha Hussein. Beliau ada menyebut bahawa setiap bahagian dalam PKMM semuanya beres soal kewangannya di bawah kelolaan saya. Sebenarnya, kewangan yang kami gunakan untuk perjuangan ialah kewangan dari bahagian buruh. Kesatuan buruh paling banyak membuat sumbangan kewangan untuk perjuangan kemerdekaan.

Walaupun tidak lama masanya (kerana beberapa bulan lepas itu diisytiharkan Undang-undang Darurat), akan tetapi Hizbul Muslimin merupakan sayap bahagian Islam PKMM yang berjaya mempersatukan tenaga dari berbagai-bagai aliran untuk kemerdekaan di atas dasar yang diajukan Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu nasionalis-agama-sosialis.

Satu hal yang menarik dalam ingatan saya dari kongres itu ialah pertemuan saya dengan wakil dari Pattani, Hj. Mohd. Amin. Beliau banyak berbincang dengan Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, saya dan lain-lain berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan Pattani. Dalam ucapannya pada kongres, Mohd. Amin selain mengucapkan tahniah atas kejayaan kongres, juga menyampaikan laporan berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan orang Melayu Pattani.

Dalam ucapan pada kongres itu, saya atas nama Parti Komunis Malaya menyokong sepenuhnya kongres tersebut, menyeru berbagai-bagai aliran dan golongan yang patriotik-demokratik bersatu untuk cita-cita bersama – kemerdekaan tanah air. Selain itu, atas nama PKM saya juga menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Pattani, tetapi atas dasar kemampuan mereka sendiri, bukan secara masuk ke dalam rancangan kolonial British.

Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, institusi pengajian Islam dan institusi pengajian Inggeris pernah memainkan peranan penting. Daripada dua aliran ini telah lahir ramai tokoh pejuang kemerdekaan yang cemerlang. Dalam masa Perang Dunia Kedua, sejumlah pelajar dari aliran Islam seperti Taharuddin dari Perak, Mat Indra dan Kadir Murei’ih dari Johor, Ibrahim Chik dan Abu Samah dari Pahang, Musa Ahmad dari Pulau Pinang, Asri Hj. Muda dari Kelantan dan banyak lagi telah menyertai perjuangan anti-Jepun ataupun perjuangan anti-British untuk kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua.

Gunung Semanggol merupakan pusat pengajian Islam yang progresif di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Di situ telah lahir ramai tokoh politik Islam yang membawa kepada penubuhan PAS kemudiannya pada tahun 1951.

Menjelang Rejimen Ke-10 berangkat ke kawasan sempadan, saya mengatur hubungan dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol melalui seorang pekerja bawah tanah bernama Harun Ibrahim. Sayangnya, dia meninggal dunia tak lama selepas kami bertolak. Pemergian Harun, menyebabkan hubungan saya dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol dan dengan Dr. Burhanuddin terputus.

Pada 10 Zulhijah 1384 bersamaan dengan 20 April 1965, saya menubuhkan Parti Persaudaraan Islam Malaya (PAPERI). Penubuhan PAPERI ini juga disebabkan oleh kemajuan perjuangan golongan pelajar Islam di beberapa pusat pengajian Islam di tanah air.

Ada dua ilham yang membawa kepada pembentukan PAPERI iaitu:

Pertama, ilham dari Kongres Persatuan Islam Sedunia yang dilangsungkan di New Delhi, India pada tahun 1947. Dalam kongres itu saya dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk Malaya.

Kedua, ilham daripada gerakan Islam yang gigih memperjuangkan kemerdekaan seperti yang dilancarkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain.

PAPERI bertujuan meneruskan semangat perjuangan golongan Islam progresif tersebut. Mereka berhubung langsung dengan Markas Besar Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Beberapa cawangan kemudian ditubuhkan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain.

Syarat-syarat pembentukan PAPERI pula bukanlah dirancang daripada awal. Selepas gagalnya perundingan Baling pada tahun 1955, bahagian intelijen penjajah British telah memupuk anasir-anasirnya dari kalangan orang Melayu masuk ke tapak-tapak organisasi Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan.

Pernah suatu kali tak berapa lama selepas perundingan Baling, ada beberapa orang datang menemui regu penyusun massa Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Mereka mengakui diri mereka sebagai “utusan” bagi pihak kerajaan untuk mengadakan perundingan dengan Rejimen Ke-10. Saya memberi jawapan bahawa kalau pihak kerajaan benar-benar mahu berunding, cari sahaja Chen Ping.

Hal itu berlaku berkali-kali, walaupun dijelaskan bahawa perundingan haruslah melalui Chen Ping sendiri sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat. Akhirnya saya merasa ini bukan lagi ‘wakil,’ tetapi adalah muslihat intelijen British. Oleh itu saya memutuskan supaya dia ditahan dan diperiksa.

Hasil dari pemeriksaan didapati bahawa dia benar-benar dihantar oleh pihak Special Branch untuk memujuk kami menyerah diri. Mengambil peluang ini, unit penyusun massa Rejimen Ke-10 yang dipimpin oleh Suti memberikan penerangan terperinci berkenaan matlamat perjuangan Rejimen Ke-10.

Akhirnya ‘wakil’ tersebut memahami perjuangan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan tanah air. Dia menyatakan perasaan akan membantu perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Kami memberi tugas supaya mengembangkan revolusi di kawasan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand.

Di luar sangkaan kami, beberapa tahun kemudian, di Kelantan mulai berkembang dan terbentuk satu asas regu bawah tanah Rejimen Ke-10. Dari sinilah kami beransur-ansur menyebarkan semula semangat perjuangan PKMM, Hizbul Muslimin dan lain-lain di kalangan orang ramai dan pelajar-pelajar di pusat pengajian Islam di Kelantan.

Perkembangan gerakan di kalangan pelajar pusat pengajian Islam amat menggalakkan sehingga terbentuk syarat menubuhkan PAPERI seperti yang saya sebutkan di atas.

Seorang pengasas PAPERI ialah anggota KMM yang berasal dari Selangor. Beliau ikut serta dalam front persatuan anti-Jepun di bawah anjuran PKM. Dalam masa aman selepas Jepun kalah, dia menyokong gerakan kemerdekaan. Di samping itu, dia juga mengajar di sekolah agama di kawasan Ulu Langat.

LAGU PAPERI

PAPERI, PAPERI, PAPERI
Kitalah patriot Islam yang jaya lagi mulia
Siapa bela rakyat dialah sahabat kita
Siapa musuhi rakyat dialah musuh kita

Oh, bangkit
Bangkitlah umat Islam
Di gunung ganang panji merah berkibar
Di hutan rimba gerila bertapak

Susun barisan maju tak gentar
Maju, maju,
Majulah rebut kemenangan!
---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948, terbitan SIRD, 2005