Blackend Is The End

Rabu, 31 Mac 2010

PENUBUHAN REJIMEN KE 10 BAHAGIAN 4 (SOKONGAN PADU ORANG MELAYU )

Tanpa mendapat sokongan massa, Rejimen Ke-10 tak akan dapat melancarkan perjuangan menentang kaum penjajah British. Walaupun dengan alat persenjataan yang paling rendah mutunya berbanding dengan kekuatan penjajah British yang mendapat sokongan dari Amerika Syarikat, Rejimen Ke-10 dapat melancarkan perjuangan yang menggelora dan menimpakan pukulan yang teruk ke atas penjajah British.

Salah satu syarat pentingnya ialah sokongan kuat massa rakyat. Walaupun kaum penjajah dan talibarut-talibarutnya menggembar gemburkan kononnya Rejimen Ke-10 tidak mendapat sokongan massa rakyat, tetapi kenyataan sebenarnya tidaklah demikian. Rejimen Ke-10 itu sendiri adalah lahir dari massa rakyat terutamanya kaum tani Melayu yang luas dan mendapat sokongan massa rakyat.
Perjuangan pahit maung dari 1948 – 1953 sudah cukup memberi bukti bahawa Rejimen Ke-10 mendapat sokongan sekuat tenaga dan tulus ikhlas dari massa rakyat.

Warga Lubuk Kawah adalah salah satu contoh yang menonjol memberikan sokongan yang tak berbelah bagi kepada Rejimen Ke-10. Boleh dikatakan berbagai peringkat penduduknya memberikan sokongan kepada pasukan. Guru-guru agama kampung ini mempunyai pandangan yang luas dan progresif. Mereka menanam semangat patriotik dan jiwa merdeka di kalangan murid-muridnya serta menyeru mereka menyertai perjuangan bersenjata menentang penjajah British untuk kemerdekaan tanah air.

Tanpa mengira mara bahaya, massa revolusioner di sini tak putus-putus membekalkan pasukan dengan bahan-bahan makanan, alat-alat kelengkapan termasuk sejumlah senjata, peluru dan lain-lain. Sejak dari masa penyelenggaraan Sekolah Parti Kem Se-Malaya pada Jun 1948 hinggalah basis ini ditinggalkan pada tahun 1953, ia terus menerus memberikan sokongan yang tegug kepada pasukan Rejimen Ke-10 (kecuali pada masa 2 kali massa dihalau dari kampung itu). Massa revolusioner aktif memberikan derma dan lain-lain untuk pasukan. Gembar-gembur kaum penjajah konon Rejimen Ke-10 telah berpecah belah dan hancur selepas peristiwa Padang Piol pada bulan November 1949 itu sedikitpun tidak menggoyangkan pendirian massa kampung ini. Mereka penuh yakin kepada pasukan dan terus menerus memberikan sokongan yang amat berharga.

Ada sebuah keluarga petani revolusioner di kampung ini yang sejak awal-awal lagi telah menyokong revolusi. Petani tua ini tak sayang membekalkan pasukan; dalam beberapa kali gerakan pendermaan yang dianjurkan, dia telah mendermakan ratusan gantang padi atau beras kepada pasukan. Dua orang puteranya diserahkan masuk pasukan, kedua-duanya telah gugur dengan gagah perwira di medan pertempuran. Seorang lagi anaknya ditangkap kaum penjajah. Di hadapan dugaan yang berat, petani tua ini teguh pendirian, sedikitpun tidak patah semangat dan terus menerus memberikan sumbangan kepada pasukan.

Yang paling memberangsangkan lagi ialah massa revolusioner kampung ini dengan penuh kerelaan menyerahkan 40 orang putera-puteri terpuji mereka memasuki Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Di kampung hanya tinggal beberapa orang yang sudah berumur serta kanak-kanak. Mereka berpesan kepada anak-anak mereka supaya berjuang terus, sekali-kali jangan patah di tengah jalan, apa lagi menjadi pengkhianat.

Siti Mariam Idris - salah seorang puteri terpuji
Lubuk Kawah
yang menyertai pasukan Rejimen Ke-10.

Apabila terbentuknya pasukan asas 17 orang dan lebih-lebih lagi setelah Rejimen Ke-10 dirasmikan pada bulan Mei 1949, massa kampung ini melonjak-lonjak gembira. Mereka menjadi lebih terberangsang lagi kerana mempunyai tentera mereka sendiri melawan penjajah British dan membela kepentingan rakyat.

Pada tahun 1949, selama lebih setengah tahun, sebuah platun besar iaitu Platun Ke-5 telah bertapak di basis ini. Sebahagian besar anggota platun tersebut terdiri dari pemuda pemudi Kampung Lubuk Kawah. Untuk mematahkan kecongkakan kaum penjajah dan membangkitkan massa rakyat, kawan-kawan platun tersebut telah melancarkan sederetan tindakan-tindakan militer, menyerang pos-pos pasukan penjajah dan merampas senjata-senjata.

Sepanjang proses perjuangan bersenjata baik di Temerloh mahupun di kawasan sempadan, pemuda-pemudi kampung ini yang menyertai Rejimen Ke-10 telah memberikan sumbangan yang mulia kepada usaha kemerdekaan tanah air.

RENDETAN PENUBUHAN REJIMEN KE 10 BAHAGIAN 4 (KAMPUNG LUBUK KAWAH)


Pada masa awal Undang-undang Darurat, daerah Temerloh yang luas bertaburan kampung-kampung petani Melayu yang menjadi pangkalan pasukan gerila Rejimen Ke-10. Kampung Lubuk Kawah adalah salah sebuah kampung sedemikian.

Kampung revolusioner ini dipagari oleh hutan yang kecil sahaja. Di sisinya terbentang Sungai Pahang yang mengalir beralun-alun sepanjang tahun. Kebanyakan penduduknya terdiri dari kaum tani miskin dan tani sedang lapisan bawah.
Walaupun kampung ini kecil dengan belasan buah rumah dan penduduknya hanya 90 orang sahaja namun ia memiliki kisah-kisah revolusioner yang kaya raya dan mengkagumkan. Ia adalah sebuah basis kecil yang ulung bagi Rejimen Ke-10.

Rakyat dan hanya rakyatlah yang merupakan tenaga penggerak yang menciptakan sejarah dunia. Peranan yang dimainkan oleh massa rakyat revolusioner Lubuk Kawah serta sokongan yang telah mereka curahkan kepada revolusi merupakan sumbangan-sumbangan yang amat berharga kepada perjuangan bersenjata.

Sejak dari masa perang Bahaman hinggalah ke masa Perang Anti-Jepun, melalui masa aman (selepas Jepun kalah hingga darurat) membawa kepada Perang Pembebasan Nasional Anti-British, massa revolusioner kampung ini bertekad teguh dan dengan semangat patriotisme yang berkobar-kobar telah bangkit berjuang melawan penjajahan demi membela kampung halaman dan demi kemerdekaan tanah air.

Di masa Perang Anti-Jepun, pemuda-pemudanya secara rahsia telah mendirikan persatuan anti-Jepun, melakukan kerja kawalan, mengutip derma, mencari berbagai maklumat tentang musuh dan lain-lain. Apabila fasis Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, massa kampung Lubuk Kawah turut serta mengambil bahagian dalam perarakan di bandar Temerloh bagi merayakan kemenagan perang anti-fasis itu.

Pada masa aman, pengaruh PKM PKMM, API AWAS, Barisan Tani dan kemudian PETA berurat berakar di kampung ini. Massa kampung khasnya pemuda pemudi revolusioner telah memupuk aktivis-aktivis baru dalam berbagai lapangan. Anggota-anggotanya menubuh dan mengelolakan sebuah kedai syarikat kerjasama, mengerjakan kebun syarikat, mengelolakan 2 buah motobot syarikat, mengadakan aktiviti bergotong royong kampung seperti menanam padi, menyemai dan menumbuk padi, mengadakan pakatan sekampung untuk khairat kematian dan lain-lain.

Mereka sering mengadakan perbincangan-perbincangan mengenai pergolakan politik tanah air, mengadakan perbarisan, menaikkan bendara, menganjurkan rapat umum anti-British dan lain-lain. Apabila API diharamkan dan cawangannya ditutup, pemuda-pemuda revolusioner kampung mendirikan pula PETA. Gerakan PETA setengah terbuka dan setengah rahsia. Anggota-anggota PETA disusun bergerup-gerup belajar dalil-dalil revolusi secara rahsia di bawah bimbingan kader-kader parti di bawah tanah. Pada bulan April 1948, anggota-anggota PKMM, PETA dan AWAS tempatan telah menghantar perwakilan ke Kongres Kebangsaan PETA dan sama-sama mengambil bahagian dalam perarakan besar-besaran di Temerloh pada akhir kongres itu.

Ketika diadakan Sekolah Parti Kem Se-Malaya yang diadakan di kawasan hutan berhampiran Lubuk Kawah, massa revolusioner kampung ini telah memainkan peranan penting. Mereka aktif menghulurkan derma dalam berbagai bentuk untuk mendukung sekolah parti tersebut. Setiap buah rumah telah memberikan 50 gantang padi atau lebih. Ada keluarga-keluarga petani yang mendermakan ratusan gantang. Apabila padi dikumpulkan, anggota-anggota pergerakan wanita sibuk mengorganais aktiviti menumbuk padi secara bergotong royong di kalangan orang ramai.

Massa revolusioner kampung ini menghadapi ujian-ujian lebih berat setelah diisytiharkan Undang-undang Darurat. Pemuda pemudi revolusioner, kader-kader dan anggota PKMM, PETA, AWAS dan Barisan Tani Malaya tempatan dengan semangat yang menyala-nyala telah menyahut seruan PKM dan berdahulu kemudian memanggul senjata menceburkan diri dalam pasukan gerila.

Kaum penjajah British semakin bermaharajalela di merata kampung mengugut, menangkap bahkan membunuh orang ramai untuk memutuskan hubungan antara pasukan-pasukan gerila di hutan dengan massa rakyat. Akan tetapi massa revolusioner kampung Lubuk Kawah sekali-kali tidak tunduk di hadapan terror putih musuh. Biar keadaan betapa sulit sekalipun, mereka tetap berpendirian teguh, dengan hangat menyokong dan mendukung pasukan gerila walaupun diugut, dipenjarakan, disiksa bahankan dihukum gantung.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve