To Live Is to Die

free counters

Jumaat, 2 April 2010

ABDULLAH C.D. BERUNDING DENGAN PENYAMUN KUOMINTANG


Setelah menandatangani perjanjian dengan Rejimen Ke-5 TAJRM, maka pasukan penyamun yang berada di situ tidak mengganggu massa rakyat lagi. Kerana penduduk kampung di kawasan Sungai Perak bahagian selatan menyokong TAJRM, maka mereka juga berlagak sebagai tentera anti-Jepun. Kerja menghubungi pasukan penyamun ini ditugaskan kepada saya bersama dengan seorang Tionghua, kader PKM.

Perbelanjaan hidup penyamun ditanggung oleh Rejimen Ke-5 TAJRM. Mereka dibenarkan mengambil barang-barang makanan dan keperluan harian di sebuah kedai.
Apabila cukup sebulan, kami berdua akan pergi menjelaskan bil mereka. Akan tetapi satu masalah yang timbul ialah bil mereka terus-menerus meningkat dari bulan ke bulan walaupun anggotanya tidak bertambah. Saya terpaksa membawa banyak wang (masa itu wang Jepun kurang nilainya) untuk menjelaskan bil itu. Kami menerangkan kepada mereka tentang kedudukan wang kami (wang parti) yang datangnya dari derma dan hadiah dari massa rakyat. Mereka menderma semata-mata kerana menyokong perjuangan melawan Jepun, bukanlah untuk berfoya-foya dan mengikut nafsu-nafsi perseorangan. Saya menjelaskan bahawa, anggota pasukan TAJRM dan lain-lain aktivis PKM hanya makan nasi bercampur dengan ubi kayu.

Pada suatu hari, pasukan penyamun itu sedang berjudi sambil minum arak di sebuah kedai. Senapangnya diletakkan berselerak di sekitarnya. Kebetulan saya dan seorang kader Tionghua itu tiba di situ. Melihat telatah itu kami merasa berang dan mencabut pistol mengacukan ke arah mereka. Kami bertempik: “Berhenti, kalau tidak aku tembak!” Mereka terkejut dengan kedatangan kami yang tiba-tiba itu. Di waktu itu terlintas di hati saya kalau mereka mahu berkeras dan tidak mendengar nasihat, saya akan tembak satu persatu. Mendengar amaran itu mereka berdiri tercengang-cengang dengan tidak berkata apa-apa. Lantas ketika itu kami mengambil semua wang yang diletakkan di atas meja yang menunjukkan bahawa mereka sudah melanggar peraturan, hidup berfoya-foya dan bermewah-mewah.

Apabila keadaannya agak tenang sedikit, barulah saya memulangkan semula wang mereka sambil memberi penerangan bahawa walaupun kami (pasukan TAJRM) ada wang, tetapi kami mempertahankan hidup sederhana dan bersimpati dengan kesulitan massa. Setelah peristiwa itu, kelakuan penyamun itu memperlihatkan perubahan-perubahan tertentu. Walau bagaimanapun susah nak dikatakan kerana hubungan mereka luas. Tetapi yang pasti di kawasan tersebut tiada berlaku apa-apa keganasan dan hal-hal yang tidak diingini.

Beberapa hari selepas peristiwa itu, lasykar rakyat dan Liga Anti-Jepun memberitahu bahawa orang-orang yang menyaksikan kejadian itu memuji tindakan kami yang mereka anggap sebagai sangat berani mencabar puak penyamun yang ramai jumlahnya itu.

MCA PEWARIS PENYAMUN KUOMINTANG MEMBUNUH ORANG MELAYU

Dalam masa pendudukan fasis Jepun, terdapat 100 orang lebih gerombolan penyamun bersenjata yang menggelar dirinya sebagai Pasukan Kuomintang Chiang Kai Shek menduduki kampung-kampung Melayu di sekitar lembah Sungai Perak.

Mereka masuk ke kampung-kampung merompak harta benda orang ramai, memaksa orang ramai memberikan bekalan makanan dan mata benda kepada mereka. Setiap hari, mereka makan, minum dan berfoya-foya; mereka juga sentiasa menyeksa dan memukul orang kampung, mencabul kaum wanita dan mengambil anak isteri orang.

Menyelesaikan masalah keganasan penyamun demi membela kepentingan orang ramai dan memelihara keselamatan kampung-kampung telah menjadi satu tugas penting Jawatankuasa Kawasan ketika itu.

Setelah Naib Setiausaha Jawatankuasa Negeri Chung Ai-ke bersama anggota-anggota Jawatankuasa Kawasan mengadakan perbincangan dan pengkajian secara teliti serta melalui pertemuan banyak pihak dan membuat pengaturan-pengaturan yang sewajarnya, beliau membuat keputusan untuk memberhentikan kegiatan keganasan penyamun itu dengan cara berunding.

Apabila saya mengetahui Ai-ke akan pergi berunding dengan puak penyamun itu, saya meminta izin kepadanya untuk ikut sama dalam regunya. Entah mengapa saya merasa ingin melihat bagaimana rupanya puak penyamun yang sangat ditakuti massa itu. Permintaan saya dipersetujui dengan cara saya menyamar sebagai setiausaha Ai Ke. Beliau membawa saya dan pengawalnya ke suatu tempat yang dijanjikan untuk mengadakan perundingan dengan puak penyamun.

Chung Ai-ke pandai menghadapi penyamun. Dengan gayanya yang tersendiri dia mengemukakan syarat-syarat kepada penyamun. Puak-puak penyamun itu tunduk mengalah di hadapannya. Antara syarat-syarat yang dikemukakannya ialah tidak membenarkan mereka masuk kampung merompak, mengutip cukai atau derma atau meminta harta benda massa. Semua belanja makan dan lain-lain untuk mereka akan ditanggung oleh pihak Tentera Anti-Jepun.

Tapi mereka haruslah membenarkan pihak Tentera Anti-Jepun menghantar seorang Wakil Parti duduk di pasukan mereka. Kepala penyamun itu terpaksa menerima syarat-syarat tersebut kerana takutkan kekuatan dan kewibawaan Tentera Anti-Jepun. Setelah berunding, setiap bulan kader Melayu Abdullah C.D. yang bertanggungjawab memimpin lasykar rakyat di kawasan itu membawa satu guni (guni beras) wang untuk kegunaan mereka.

Pada mulanya, puak penyamun itu mematuhi syarat-syarat yang diberikan, tetapi kemudiannya, mereka membelakangi perjanjian, merompak harta benda orang ramai dan mencabul kepentingan orang ramai. Akhirnya pihak Tentera Anti-Jepun terpaksa mengambil tindakan menyelesaikan mereka secara kekerasan, sebahagian besar daripada mereka itu telah dihapuskan, manakala sisa-sisanya melarikan diri ke tempat lain

Blackend Is The End

Dyers Eve