To Live Is to Die

free counters

Ahad, 2 Mei 2010

WAWANCARA BERSAMA PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA - VIDEO


SURAT DARI PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA KEPADA TIMBALAN PERDANA MENTERI

SEDUTAN VIDEO PENGITIRAFAN KEPADA PKM MENGHALAU JEPUN KELUAR DARI TANAH MELAYU

SEJARAH SAMBUTAN HARI PEKERJA DI MALAYSIA


Dari majalah Sosialis, terbitan Parti Sosialis Malaysia, Jilid Mei/Jun 2001


Walaupun cubaan demi cubaan dari pemerintah, sejak zaman British sehingga ke Perikatan dan akhirnya Barisan Nasional, untuk melemahkan gerakan pekerja di negara ini, kaum pekerja yang berbilang kaum, agama dan ideologi tanpa mengira jantina tetap kukuh dalam mempertahankan hak.


Sejak gerakan pekerja moden bermula pada awal tahun 1920-an, penjajah British mula bertindak ganas apabila pekerja bukan sahaja menunut hak tetapi juga mula menanam benih ke arah kemerdekaan.


Kelemahan British terdedah apabila tumpas mudah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Apabila penjajah kembali ke tanahair pada tahun 1945, mereka terpaksa berhadapan dengan gerakan pekerja dan politik progresif yang terang-terang tidak mahu penjajah kembali ke Malaya.


Menggunakan tipu-helah, termasuk memperkudakan pembesar-pembesar Melayu, tauke-tauke Cina dan pedagang-pedagang India (kombinasi feudal dan kapitalis tempatan), gerakan pekerja dan kesatuan sekerja mula ditekan.


Apabila kesatuan sekerja dan parti-parti politik kiri semakin mendapat sokongan meluas rakyat Malaya yang berbagai kaum, British yang mula bermain api perkauman sudah menggerakkan cengkaman kuku besi.

Darurat diisytiharkan pada tahun 1948, kononnya menentang pemberontakan komunis tetapi yang disumbatkan ke dalam penjara tanpa bicara (undang-undang yang menjadi ‘bapa’ kepada Akta Keselamatan Dalam Negara atau ISA) tidak ada kena-mengena dengan Parti Komunis Malaya (PKM).


Yang menjadi korban penjara adalah tokoh kesatuan sekerja, politik progresif dan mereka yang terang-terang mahu British keluar dari bumi Malaya dan merdeka penuh diisytiharkan.


Apabila Merdeka, pemerintahan Perikatan yang hampir semuanya diwakili anak didik British menerurkan tradisi penjajah dengan memusuhi gerakan pekerja dan progresif.


Zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman penuh dengan nasihat-nasihat dari Britain dan Amerika Syarikat yang benar-benar mahu Malaya menjadi kubu anti-komunis mereka di Asia Tenggara.


Malah, kedua-dua kuasa Barat itu menjadikan Malaya dan Singapura sebagai kuda tunggangan untuk menentang perjuangan kebangsaan Indonesia yang diterajui Sukarno.


Sekali lagi, Perikatan yang memerintah Malaya/Malaysia merdeka menjadi alat penjajah, dengan sokongan pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Pada tahun 1963, pemerintah Singapura menahan ratusan tokoh kesatuan sekerja dan politik progresif di bawah ISA manakala setahun kemudian, Perikatan mengikut jejak langkah kejam itu kerana tokoh-tokoh progresif sekali lagi menjadi mangsa ISA Malaysia.


Akhirnya kelemahan Perikatan mencetuskan pergaduhan kaum 13hb Mei 1969. Walaupun darah rakyat miskin yang mengalir di jalanan, kaum kapitalis dan pemerintah Perikatan yang mengaut untung.


Tun Abdul Razak menggantikan Tunku Abduk Rahman menjadi Perdana Menteri. Gerakan pekerja semakin tertekan kerana 13hb Mei dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan pekerja melancarkan tindakan perusahaan seperti piket dan mogok.


Namun, pekerja tidak pernah menyerah kalah. Walaupun pelbagai sekatan dikenakan, mereka tetap mogok apabila ditekan habis-habis oleh majikan dan kerajaan.


Apabila kerajaan BN sewaktu pemerintahan Datuk Hussein Onn menggunakan ISA terhadap pekerja Penerbangan Malaysia (MAS) yang mogok pada tahun 1979, ia dilihat sebagai petanda yang pemerintah tidak akan melayan pekerja kerana hati mereka sudah ditetapkan untuk bersama kapitalis dalam usaha mengaut keuntungan atas titik peluh pekerja.


Dengan itu, apabila Datuk Seri Mahathir Mohamad mengambil-alih pentadbiran negara, dia memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang kononnya bertujuan menjadikan pekerja Malaysia lebih rajin dan tidak lagi terikat dengan budaya mogok pekerja Barat.


Hasilnya memang baik. Pembangunan fizikal begitu pesat tetapi dalam masa 20 tahun pemerintahannya, rakyat Malaysia menderita di segi ekonomi, sosial, demokrasi dan hak asasi.


Malah, di segi perjuangan pekerja, kejayaan Dr. Mahathir yang paling besar ialah menjadikan ramai pemimpin kesatuan sekerja seolah-olah tidak yakin lagi kepada perjuangan pekerja.


Sepanjang tahun-tahun 1990-an, sesetengah pemimpin pekerja berlagak seperti pegawai kerajaan dan kerja-kerja kesatuan menjadi seperti karenah birokrasi. Sayangnya, kerajinan ala Jepun yang diharapkan tidak berlaku juga, terutama di kalangan pegawai tinggi.


Yang terus diperas ialah pegawai peringkat bawahan yang tidak banyak berubah di segi relatif sejak beberapa puluh tahun lalu. Hak-hak mereka sudah dicabul, sekadar ringgit bertambah. Tetapi peningkatan gaji itu sentiasa terkebelakang oleh pecutan mendadak harga barang dan perkhidmatan.


Inflasi semakin teruk tetap BN sudah menjadi pakar melindungi fakta-fakta melalui propaganda mereka.

Malah, parti-parti pembangkang juga tidak meletakkan agenda pekerja sebagai agenda utama kerana mereka lebih ghairah dalam usaha mendapatkan kuasa, seolah-olah tiada keikhlasan dalam usaha mengubah sistem yang menggalakkan korupsi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan penindasan kapitalisme terhadap pekerja.

Lebih separuh daripada 22 juta rakyat Malaysia adalah pekerja. Hampir separuh lagi akan menjadi pekerja dalam masa beberapa tahun lagi. Yang nyata kita semua adalah pekerja, yang bekerja untuk membolehkan kapitalis menambah untung berganda sedangkan kita dibayar cebisan itu untuk menyara hidup.


Itu adalah hakikat kehidupan pekerja di Malaysia. Sama ada pekerja itu adalah pengangkut sampah, kerani, pegawai akaun, eksekutif pemasaran atau doktor yang makan gaji – kita semua adalah pekerja yang tidak memiliki perusahaan atau perniagaan.


Hak asasi pekerja ialah hak untuk menentukan nasib dan masa depan sendiri. Namun, sejak Merdeka, hak-hak ini semakin terhakis.


Lebih buruk lagi, hak-hak yang hampir pupus semakin menjadi terhina apabila wang simpanan pekerja dijadikan gedung perjuduan kerajaan dan kroni-kroni kapitalisnya.


Penyalahgunaan pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) baru-baru ini, demi menyelamatkan perniagaan kapitalis yang menjadi krono pemerintah adalah bukti-bukti penghinaan paling teruk yang diterima oleh pekerja Malaysia.


Selama mana pekerja-pekerja akan berdiam diri tidak dapat dipastikan kerana penghinaan ini bukan sekadar memperbodohkan pekerja tetapi juga akan memiskinkan pekerja yang semakin teruk dilanda krisis ekonomi.

Parti Sosialis Malaysia menyokong mana-mana tindakan untuk mempertahankan serta mengembalikan hak-hak pekerja, termasuk cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk mengadakan piket di semua pejabat cawangan KWSP sebagai bantahan terhadap penindasan dan penghinaan terhadap pekerja.


Namun, Parti Sosialis Malaysia juga ingin mengingatkan setiap pekerja di Malaysia bahawa jika pekerja lupa bahawa mereka adalah pekerja – dan bukan sekadar ‘pengguna,’ ‘warganegara’ dan apa-apa yang dikaitkan dengan kaum dan agama – maka akan berakhirlah perjuangan pekerja.


Akhirnya, pekerja Malaysia akan tinggal sebagai ‘hamba upah’ yang terpaksa bersyukur kepada majikan yang sanggup memberikan kerja sedangkan pekerja hanya diberi cebisan untuk hasil titik peluh mereka.


Semoga Hari Pekerja akan mengukuhkan azam kita dalam usaha memastikan tidak ada sesiapa, mana-mana parti politik atau kapitalis-kapitalisa yang bersekongkol dengan mereka, cuba menghancurkan semangat pekerja.

Hayatilah perjuangan sebenar pekerja. Tanpa pekerja, modal beribu juta ringgit hanya akan tersadai begitu rupa. Hanya pekerja yang boleh menggerakkan ekonomi dan kehidupan rakyat.


Kapitalis dan ejen-ejen mereka yang berjawatan dalam kerajaan yang sebenarnya amat mengharapkan tenaga pekerja dari kaum pekerja. Jangan sekali-kali pekerja lupa akan hakikat ini.


Hidup perjuangan pekerja!

Blackend Is The End

Dyers Eve