Blackend Is The End

Selasa, 4 Mei 2010

ISHAK HAJI MOHAMMAD (PAK SAKO)


Ishak Haji Muhammad menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Temerloh dalam tahun 1919 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford di Kuala Lipis dari tahun 1924 – 1928. Beliau lulus Sijil Persekolahan Cambridge dalam tahun 1929 di Sekolah Inggeris Raub.

Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar untuk berlatih menjadi pegawai tadbir Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1931, beliau bertugas sebagai pegawai dalam latihan selama setahun di Pejabat Daerah Temerloh sebelum ditukarkan ke Pejabat Daerah Bentong sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah pada tahun berikutnya. Dengan itu beliau dilantik sebagai Majistret Kelas III dan pemungut hasil tanah. Setelah berkhidmat selama tiga bulan di Bentong, beliau telah ditukarkan ke Daerah Kecil Rembau, Negeri Sembilan. Kira-kira setahun setengah kemudian, beliau ditukarkan pula ke Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas III sehinggalah beliau meletakkan jawatan tersebut pada tahun 1935.

Selepas bebas daripada jawatan kerajaan, Ishak menjadi guru bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Inggeris di Polis Depot dan kemudian beliau mengembara ke seluruh tanah air selama tiga tahun. Sewaktu menjelajah tanah air inilah beliau mula menceburkan diri dalam bidang penulisan. Pada tahun 1937, Ishak mula bertugas dengan Warta Malaya, di Singapura sebagai pengarang dan penterjemahan. Dari situ beliau terus meningkatkan kegiatannya dalam bidang penulisan. Pada tahun inilah beliau menghasilkan novel sulungnya yang berjudul Putera Gunung Tahan yang dicetak oleh Jamaliah Press, Muar pada tahun 1938.

Ishak Haji Muhammad ialah orang pertama yang bercita-cita menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan seterusnya menjadi pengasas penerbitan akhbar tersebut. Beliau berhenti dari Warta Malaya pada 1 April 1939 lalu menjelajah ke negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk memberi penerangan kepada masyarakat tentang cita-cita beliau untuk menerbitkan sebuah akhbar kebangsaan. Usahanya ini telah mendapat sokongan dan dukungan yang hangat daripada masyarakat dan pada 29 Mei 1939, lahirlah akhbar Utusan Melayu.

Muhammad Haji Ishak adalah antara penulis sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau menghasilkan novel, cerpen, esei, dan memoir. Beliau menghabiskan seluruh usianya sebagai penulis rencana Utusan Melayu di Kuala Lumpur. Ishak Haji Muhammad terkenal dengan nama samarannya seperti Pak Sako, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden. Beliau merupakan tokoh wartawan negara dan pejuang sastera.

Pada tahun 1941, Ishak yang terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah ditangkap oleh pihak British dan dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluk Singapura pada tahun yang sama. Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarang Berita Malai di samping turut menyumbangkan rencana dan cerpen dalam Semangat Asia dan Fajar Asia.

NOVEL

  • Budak Beca, Marang: H.C. Muhammad Abdul Rahman,1957, 173 hlm.(dua penggal), Penggal I, 98 hlm., Penggal II, 75 hlm.
  • Cemburu Celik, Singapura: Geliga Limited, 1957, 19 hlm.
  • Mencari yang Lari, Singapura : Geliga Limited, 1957, 108 hlm.
  • Pengantin Baru, Singapura: Geliga Limited, 1957, 120 hlm.
  • Pertemuan di Sungai, Singapura: Geliga Limited, 1957, 93 hlm.
  • Putera Gunung Tahan, Singapura: Geliga Limited, 1957(cetakan kedua),113 hlm. (cetakan pertama 1937)
  • Selayang Pandang, Singapura: Geliga Limited, 1957 – 1959, 209 hlm.(dua penggal), penggal I, hlm. 1-84, Penggal II, hlm. 85-209
  • Judi Karan, Singapura: Geliga Limited, 1958, 132 hlm.
  • Mata-mata Sukarela, Singapura: Geliga Limited, 1959, 123 hlm.
  • Anak Mat Lela Gila, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad,1966 (cetakan ketiga),131 hlm., (cetakan pertama 1941).
Dalam bidang penulisan kreatif, Ishak menghasilkan tidak kurang daripada 23 buah cerpen pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua. Dua buah novelnya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila adalah antara novelnya yang mendapat sambutan hangat dan beberapa kali diulang cetak. Kedua-dua novel tersebut mencerminkan pandangan dan cita-cita pengarangnya sebagai seorang patriot dan sasterawan.

Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Ishak menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk membakar semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya.

Putera Gunung Tahan lahir daripada semangat kebangsaan dan rasa cemburu kepada pengaruh-pengaruh asing khususnya penjajahan Inggeris. Oleh itu novel ini adalah sebuah novel politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan.
Novelnya yang berjudul Anak Mat Lela Gila dianggap sebagai novel yang cukup berjaya sebelum Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan keadaan masyarakat Melayu dengan kisah-kisah hasil pengalaman beliau mengembara ke seluruh negara. Watak-wataknya melontarkan sindiran terhadap sikap tidak adil penjajah Inggeris dan pembesar-pembesar tanah air terhadap masyarakat Melayu.

Satu perkara yang harus kita beri perhatian dalam karya-karya Ishak adalah tentang cita-citanya terhadap masyarakatnya masa itu. Pokok persoalannya tetap tentang rakyat jelata, dan beliau berpendapat bahawa setiap cerita mestilah mempunyai mesej dan bertujuan membimbing rakyat ke arah suatu kehidupan yang aman damai, bekerjasama, makmur, mewah, berbudi bahasa, berkhidmat dan berbakti.

Oleh sebab cintanya terhadap bangsa dan negara terlalu besar, maka tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan karya Ishak bercorak didaktik dan idealistik. Sebagai seorang pejuang nasional dan sasterawan, Ishak mempunyai tempat yang penting dalam sejarah kebangsaan dan kesusasteraan tanah air.

Kesusasteraan Melayu moden mulai berkembang selepas Perang Dunia Pertama. Pada dasarnya karya sastera pada zaman itu lebih bercorak protes. Tradisi itu mencapai kemuncaknya menjelang Perang Dunia Kedua. Dalam tahap perkembangan Ishak Haji Muhammad muncul sebagai penulis yang paling berjaya menawan hati para pembaca sehingga beliau menjadi lambang zaman itu. Selain itu, Pak Sako pernah menulis skrip filem berjudul Padi Kunca terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 1955. Filem ini yang juga menggunakan suara latar Pak Sako telah memenangi anugerah Golden Harvest dalam satu pesta filem yang berlangsung di Singapura.

ANUGERAH
Bagi menghargai sumbangan serta jasanya terhadap kesusasteraan Melayu moden, maka pada 29 Jun 1973, Universiti Malaya menganugerahi beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan.

Pada 29 Mei 1976 pula, Ishak dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri Malaysia berserta hadiah wang tunai RM10 000.00 dan watikah penghargaan.

Walau bagaimanapun, Pak Sako telah menolak anugerah “Budayawan GAPENA 1987” atas sebab-sebab tertentu.

Kasih sayang Allahyarham Dr Ishak bin Haji Muhammad terhadap bangsanya cukup tinggi dan kuat. Kerana kasih sayangnya itulah, Allahyarham sanggup melepaskan jawatan tinggi semasa pemerintahan penjajah untuk sama-sama berdampingan dengan rakyat. Tidak keterlaluan jika penulis katakan, tidak ada duanya Pak Sako di tanah air kita.

Melalui "master-piece" nya ini, Allahyarham menyindir penjajah dan coba membuka minda bangsa tentang kelicikan penjajah untuk terus bertapak, terus memperbodohkan rakyat yang dijajahnya.

Putera Gunung Tahan adalah puncak sumbangan Allahyarham kepada bangsanya yang dikasehi.



Tokoh nasionalis muda di zaman itu, seperti Allahyarham Tun Muhammad Gahazali bin Shafie turut kagum dengan corak perjuangan Allahyarham Pak Sako.



Allahyarham Pak Sako merupakan seorang penulis yang amat kritis. Bakatnya yang tinggi dalam dunia penulisan telah digunakan sebaiknya untuk menyedarkan anak bangsanya yang lena dibuai mimpi hedonisma oleh penjajah.

Allhayarham Pak Sako hidup paling sederhana sepanjang hayatnya semata-mata untuk bangsanya. Kekentalan semangat juangnya memberi inspirasi yang cukup berkesan kepada seluruh masyarakat bangsanya.

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve