Blackend Is The End

Selasa, 20 Julai 2010

KISAH TENTERA RAKYAT MALAYA SEWAKTU DI DALAM HUTAN ( Update terkini)

TRM: DEMI RAKAN SEPERJUANGAN


Dalam keluarga besar revolusioner, para kader dan perajurit Tentera Rakyat Malaya yang hidup dan berjuang bersama-sama dengan cita-cita yang sama saling memperhatikan, saling bantu membantu dan bersatu padu. Hubungan mereka lebih akrab dari saudara sekandung.


Untuk mempertahankan kawasan gerila dan keutuhan pasukan, setiap pasukan, baik pasukan besar mahupun unit kecil akan memasang periuk api. Berbagai unit atau pasukan akan menentukan kawasan periuk api masing-masing. Kadang-kadang, untuk memudahkan pergerakan, pasukan-pasukan ini akan menghantar rombongan masing-masing memasang periuk api secara bersama-sama. Mana-mana pasukan yang perlu melalui kawasan periuk api pasukan lain haruslah memberitahu terlebih dahulu.

Suatu kali, kawan-kawan dari pasukan sesaudara hendak memasuki kawasan yang ditanam periuk api oleh unit suatu pasukan lain. Setelah memberitahu hal ini kepada unit berkenaan melalui kawat wayarles mereka pun bertolak. Tapi ada beberapa periuk api yang baru dipasang di kawasan laluan kawan-kawan tersebut yang tidak diketahui mereka.

Keadaan seperti telur di hujung tanduk. Kawan penanggungjawab unit tersebut amat gelisah. Beliau segera mendapatkan kawan yang tahu periuk api di situ untuk melakukan langkah-langkah mendesak bagi menjamin keselamatan nyawa kawan-kawan dari pasukan sesaudara. Kebetulan pula kawan yang bertugas memasang periuk api di kawasan itu sedang mengalami demam panas yang tinggi. Tapi bila mengetahui berita ini, dia mengenepikan sakitnya. Dia dengan tegas meminta 2 kawan bersamanya untuk pergi membongkar periuk api tersebut.

Sepanjang perjalanan melalui sungai lurah bukit bukau dan gunung ganang itu, 3 kawan tadi tak berhenti berehat sedikit pun demi mengejar masa. Akhirnya mereka sempat membongkar periuk api itu sebelum rakan seperjuangan pasukan sesaudara melalui kawasan tersebut sehigga kemalangan dapat dihindarkan.

Satu kali, tentera Malaysia mengadakan kempen kepung basmi besar-besaran ke atas suatu pasukan Penggempur Tentera Rakyat Malaya . Kerana itu keadaan menjadi tegang. Suatu unit dari pasukan penggempur sangat kekurangan bahan makanan. Mereka terpaksa mengisi perut dengan sayuran liar dan ubi-ubian. Namun demikian mereka tetap bersemangat tinggi dan meneruskan perjuangan.

Kebetulan ketika itu ada seorang kader veteran yang sudah berumur mendapat sakit. Kerana prihatin kepadanya, kawan-kawan pasukan itu khusus memberikannya beberapa tin daging sardin untuknya. Tapi memikirkan kawan-kawan lain yang menderita kelaparan, kawan kader tersebut tidak sampai hati menerima. Beliau menuntut supaya makanan itu diberikan kepada kawan-kawan lain yang bekerja keras dan bertempur di garis depan.

Walau bagaimanapun kawan-kawan berpendapat daging tin itu harus diserahkan kepada kader tersebut kerana dia sedang sakit dan usianya juga sudah lanjut. Kawan-kawan tetap mahu kader tersebut menerimanya.

Kerana tidak mahu bertegang leher, kader tersebut terpaksa akur dengan kehendak kawan-kawan. Tapi seorang kader revolusioner yang benar-benar berjuang untuk rakyat tidak akan mementingkan dirinya sendiri. Mereka adalah pengabdi rakyat, bukan menjadi penguasa yang mengaut keuntungan sendiri di atas duka dan titik peluh rakyat

Bertolak dari hasrat itulah, kader tersebut secara diam-diam membuka kesemua daging tin itu. Kemudian beliau secara curi-curi memasukkan daging tersebut ke dalam periuk besar yang sedang memasak sayuran liar untuk dinikmati bersama oleh seluruh kawan-kawan.

Perkara seperti ini sentiasa berlaku di dalam keluarga besar revolusioner di berbagai unit Pasukan Tentera Rakyat Malaya. Di medan perang, bila menghadapi keadaan yang bahaya, kawan seperjuangan yang menderita luka-luka menyuruh kawan-kawan meninggalkannya demi keselamatan kawan lain. Akan tetapi kawan-kawan lain pula bertolak di atas rasa persaudaraan sekelas yang tebal mendalam dengan tegas menjawab: asalkan masih ada seorang, kami sekali-kali tidak akan meninggalkan rakan seperjuangan.

Di garis pengangkutan atau di garis perjalanan utusan di dalam hutan, walaupun haversek yang digalas kawan-kawan sangat berat, namun jika ada kawan yang tidak berdaya berjalan atau jika terdapat kawan yang sakit, terkena ular-ular dan sebagainya, kawan-kawan lain akan membantu membawa barang yang digalasnya. Kadang-kadang barang-barang kawan tersebut dibahagikan sedikit seorang supaya bebannya dapat diringankan.

kerja sangat sibuk, kawan kader selalu mengatur pegawalan waktu malam dan kerja yang paling susah untuk dirinya sendiri, sedangkan kawan-kawan selalu dengan diam-diam terlebih dahulu mengerjakan tugas itu.

Apabila seorang kawan jatuh sakit, kawan-kawan lain akan membawa nasi, sayur dan minuman untuknya. Pakaian yang disalinnya juga diambil oleh kawan-kawan untuk dicuci bahkan kotorannya pun dibuang oleh kawan-kawan. Pendek kata, kawan-kawan dengan sedar dan ghairah membantunya membereskan semua urusan.

Dalam kehidupan bersama, kawan lama yang teruji dalam perang revolusioner berjangka panjang akan dengan ghairah membimbing dan membantu perajurit yang muda; sementara perajurit yang muda dengan tulus ikhlas dan rendah hati belajar dari kawan-kawan yang lama.

Kawan-kawan berbagai bangsa yang hidup bersama saling mempelajari, saling bantu membantu, karib seperti saudara sekandung. Dalam barisan, hubungan di kalangan kawan-kawan dan antara kader dan perajurit sangat mesra. Demikian pula antara berbagai unit sesaudara. Apabila suatu unit menghadapi apa-apa kesulitan, maka unit-unit yang lain akan dengan sekuat tenaga memberi bantuan tanpa mementingkan diri sendiri.

Pendek kata, dalam barisan revolusioner setiasa diliputi semangat persaudaraan sekelas dan bekerjasama dengan akrab. Dalam keadaan bagaimana sekalipun kawan-kawan semuanya akan secara sedar memikir dan membantu kawan seperjuangan bahkan tanpa ragu-ragu mengorbankan segala-gala sesuatu milik sendiri untuk kawan seperjuangan.

TRM: REGU UTUSAN DALAM HUTAN

Utusan adalah satu tugas yang sangat sulit. Untuk mengembangkan perjuangan bersenjata, membantu unit-unit sesaudara, regu utusan sering kali menggalas bebanan yang berat, siang dan malam berjalan dalam hutan rimba. Mereka bukan sahaja harus mendaki gunung ganang, mengharungi sungai, bahkan harus menembusi garisan sekatan musuh, melencong mengelakkan kawasan periuk api musuh dan menempuhi bermacam-macam ujian yang serius. (gambar kiri: Komisar Politik Kompeni Ke-21, Abu Samah Mohd. Kassim [Allahyarham] dibantu rakan seperjuangan ketika melalui kawasan berbatu dan berlubang-lubang)

Seribu satu kesulitan ternyata terbentang di depan, namun apabila ada tugas, kawan-kawan akan berebut-rebut menawarkan diri. Kadanng-kadang, tak ada nama tersenarai, tapi kawan-kawan berkali-kali meminta dari markas pengarah sampai mendapat jawaban yang memuaskan.

Berapa beratnya bebanan yang digalas kawan-kawan regu utusan? Tinggi haversek mereka separas pinggang dan beratnya 50 kilo ke atas, bahkan ada yang sampai 70 kilo. Sejauh mana perjalanannya? Ini tak siapapun yang dapat tentukan. Yang dekat harus berjalan setengah bulan hingga 20 hari dan yang jauh harus berjalan beberapa bulan lamanya. Ini kerana tak ada jalan yang tersedia. Ibarat kata kawan-kawan, telapak kaki itulah jalan. Untuk megelakkan diri dari serangan musuh, mereka sering mengubah-ngubah jalan, pergi di satu jalan, balik di jalan yang lain pula. Mereka merintis jalan dengan mendaki gunung dan mengharungi sungai. Sesat jalan sering juga terjadi.

Sepanjang perjalanan utusan, tak ada kedai dan tak ada kampung. Barang makanan dan alat-alat keperluan semuaya harus digalas sendiri. Bagi perjalanan yang jauh, kawan-kawan selalu megurangkan barang-barang makanan dan alat keperluan sendiri untuk menggalas lebih banyak barang keperluan untuk membantu rakan seperjuangan di pasukan sesaudara. Oleh sebab itu, regu utusan biasanya hanya makan bubur dengan sayur liar, buah-buahan dan berburu binatang.

Kadang kala, setelah berjalan sehari suntuk mereka tidak dapat berehat dengan baik pada malamnya, lebih-lebih lagi ketika berkhemah di tepi sungai, nyamuk dan agas tak dapat diceritakan banyaknya. Bila bangun pagi, selimut dan katil buaian kawan-kawan terdapat kesan-kesan darah gigitan nyamuk atau pacat. Kadang kala mereka bermalam di atas gunung beribu-ribu kaki tingginya, mereka sering tersedar di tengah malam kerana kedinginan akibat tiupan angin dan kabus lembab. Terpaksalah mereka duduk mengelilingi unggun api sampai hari cerah.


Seorang perajurit wanita sedang beraksi di atas katil buaiannya
Ada kala pula angin ribut membadai dan hujan lebat mencurah-curah, atap kain getah pun diterbangkan angin sehingga kawan-kawan basah kuyup. Selain itu mereka harus bertempur, harus menembusi garis seakatan dan kawasan periuk api musuh dan lain sebagainya. Pendek kata, kehidupan mereka sangatlah susah dan perjalanan sangat bahaya. Namun demikian, kesemua itu tidak dapat menggertak atau menundukkan kawan-kawan. Mereka berebut-rebut untuk memikul tugas yang berat dan merempuh bahaya maut. Kadang kala kawan di depan telah gugur, namun lebih ramai lagi di belakangnya yang maju ke depan. Justeru demikianlah, bersandar pada kecerdasan dan kekuatan kolektif, kawan-kawan berkali-kali mengatasi kesulitan, mengalahkan musuh dan dengan jaya membawa barang-barang kepada kawan-kawan unit sesaudara.


Kawan-kawan regu utusan bukan sahaja membawa sejumlah besar barang-barang organisasi ke tempat tujuan, ada kalanya untuk menyokong kawan seperjuangan yang mempertahankan perjuangan dalam keadaan yang susah payah, mereka bahkan meninggalkan makanan dan barang-barang keperluan sendiri atau bertukar barang-barang dengan mereka. Barang-barang yang baik diberikan kepada kawan-kawan seperjuangan dan barang-barang yang rosak atau usang mereka ambil untuk kegunaan sendiri. Kadang kala dalam perjalanan balik mereka sendiri hanya mengalas perut dengan sayuran liar dan hasil buruan.
Walaupun tugas begitu berat dan susah payah, tapi pada pandangan para perajurit yang teguh ianya penuh bererti dan puitis. Setiap kali pulang dari menjalankan tugas utusan, mereka dapat menceritakan banyak kisah yang menarik, tapi tak seorang pun yang menyebut bagaimana susah dan bahaya dalam perjalanan. Mereka menganggap kehidupan yang berjuang untuk tanah air dan rakyat adalah kehidupan yang sejahtera.
Betapa tidaknya, lihatlah, berjalan dalam hutan belantara, menyedut udara yang nyaman, alangkah senangnya hati. Alangkah sedapnya meminum seteguk air sungai yang jernih dan bersih. Mendaki ke puncak tinggi, menyongsong matahari yang terbit dari ufuk timur, melepas pandang ke bumi pertiwi yang indah permai, akan segera melapangkan dada dan melipatgandakan tekad. Pada malam yang bercuaca baik, kawan-kawan mengelilingi unggun api, mengecap hasil buruan dan asyik berbincang mengenai hari depan perjuangan, memandang masa depan yang indah.

TRM: GARIS PEMUNGGAHAN

Pemunggahan boleh dikatakan salah satu tugas yang terpokok dalam pasukan. Barang-barang yang diperlukan pasukan semuanya harus harus dipunggah pulang oleh kawan-kawan. Di dalam hutan, semua kenderaan moden akan kalah berbanding dengan daya kedua belah kaki kawan-kawan. (gambar kiri: Para perajurit sedang mendaki bukit dengan membawa bebanan yang berat) Baik hujan beribut mahupun gunung tinggi dan lurah yang dalam, baik waktu siang atau waktu malam semuanya tidak dapat menghalangi perjalanan kawan-kawan kita.

Pada suatu masa, suatu pasukan telah melakukan pertempuran yang menang melawan kempen kepung basmi tentera musuh dan membela kawasan gerila. Terdorong oleh kemenangan tersebut, massa rakyat telah membelikan sejumlah besar bahan makanan dan barang-barang untuk tentera kita. Seunit kawan-kawan dari suatu pasukan telah ditugaskan untuk mengangkut dan menyimpan barang-barang tersebut.

Waktu itu, kempen kepung basmi tentera musuh masih berlangsung dengan sengitnya, bedilan meriam berdentam dentum, bunyi tembakan senapang bagai bertih digoreng. Dalam keadaan ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menyelesaikan tugas pemunggahan dengan jaya. Tambahan pula waktu itu sering hujan, ini lebih menyulitkan kawan-kawan.

Unit pemunggah pula dibentuk dengan tidak cukup persiapan, guni galas dan karung plastik juga sangat kurang. Sedang kawan-kawan gelisah mencari ikhtiar, kawan-kawan dari pasukan sesaudara telah menghulurkan bantuan dengan penuh ikhlas. Mereka mengirimkan banyak karung plastik bahkan kain getah atap milik mereka sendiri pun disumbangkan.

Soal guni galas dan karung plastik mengangkut bahan makanan telah diatasi. Akan tetapi beras yang begitu banyak hendak diletak di mana? Seorang kawan mengusulkan supaya membuat kepuk sementara dari karung-karung plasltik. Berikutnya kawan-kawan bekerja keras menyiapkan kepuk menyimpan beras, ada yang menggergaji kayu, ada yang membela buluh, ada yang menjahit karung plastik dan lain-lain. Dalam waktu singkat, 2 kepuk besar yang memuat lebih kurang 700 gantang sudah siap dibuat dalam stor rahsia. Seterusnya kerja memunggah dijalankan dengan giat.

Apabila tiba di stor sementara, kawan-kawan tanpa lengah-lengah lalgi mengisi barang dan ada yang mengikat. Setiap orang membawa sekarung besar, sekurang-kurangnya 60 kilo, ada yang sampai 90 kilo bahkan ada yang sampai 100 kilo. Kawan-kawan wanita juga tidak mahu ketinggalan, ada di antara mereka yang galasnya seberat 70 kilo. Bila semua sudah beres, kawan-kawan menggalas beban yang berat tadi mendaki gunung mengharungi sungai balik ke perkhemahan atau stor rahsia.

Bebanan perajurit ini tak kurang dari 70 kg

Kerana terdorong semboyan tempur “kejar waktu dan kecepatan, pasti mendahului musuh”, kawan-kawan tidak takut susah dan letih, merempuh hujan ribut dan merencah denai yang becak, sehari demi sehari memunggah bahan perbekalan. Ramai di antara mereka diserang selesema kerana berhari-hari terkena hujan dan keletihan, tapi tiada seorang pun yang mahu meminta cuti sakit.

Kawan penanggungjawab mengetahui keadaan itu lalu menasihatkan mereka berehat sehari, tapi mereka enggan. Mereka tetap memunggah bahan perbekalan bersama kawan-kawan lain.

Kerja pemunggahan dijalankan serentak dengan penyimpanan. Untuk secepat mungkin menyimpan bahan makanan yang dipunggah balik, kawan-kawan bekerja dengan kencang. Untuk menjamin supaya barang-barang yang disimpan itu tahan lama, bahan itu harus dimasukkan ke dalam tin yang bersih dan sempurna. Di bahagian luar tin pula harus disapu damar supaya tidak berkarat dan tidak masuk angin.

Membuat tin pula harus mengeluarkan bunyi yang bising yang membolehkan tentera musuh mengetahui kedudukan pasukan kita. Oleh itu kawan-kawan yang bertugas membuat tin setiap hari masuk terowong membentuk kepingan zin menjadi tin.

Kawan-kawan lain pula dibahagikan kepada gerup-gerup kecil mengumpulkan tin-tin lama, mencari damar, memasak damar, menyapu damar dan sebagainya secara kencang siang dan malam.

Kawan-kawan memasak nasi ketika berehat waktu petang

Kawan-kawan yang menyimpan barang-barang pula sentiasa menyimpan dengan berhati-hati agar barang tahan lama. Mereka memunggah barang-barang itu ke tempat yang telah ditetapkan oleh markas pengarah, menggali lubang dalam tanah dan menyimpan satu demi satu secara teratur. Kemudian lubang itu disamar supaya tidak diketahui oleh musuh.

Demikianlah suatu proses dari memunggah sehingga menyimpan perbekalan dilakukan secara kencang oleh suatu pasukan TRM di tengah-tengah kempen kepung basmi tentera musuh. Dalam perang gerila, segala kemungkinan boleh berlaku. Walaupun barang-barang itu sudah dihadiahkan oleh massa kepada pasukan TRM, tetapi sewaktu-waktu ia boleh dirampas pula oleh tentera musuh jika tidak dipunggah dan disimpan secepat mungkin.

Kerja pemunggahan dalam jangka lama bukan saja menempa ideologi dan tekad para perajurit, tetapi juga telah menempa tubuh badan mereka. Hasilnya, kaki dan bahu setiap kawan menjadi kuat dan tahan lasak. Baik kawan lelaki dan kawan wanita, daya menggalas dan menahan berat amat menakjubkan.

TRM: SUMBANGAN PERAJURIT ORANG ASAL

Dalam suatu perjuangan melawan kempen kepung basmi, pasukan mengalami kekurangan bekalan makanan untuk sementara waktu. Walaupun kawan-kawan keluar memasang jerat, tapi hasilnya tidak mencukupi. Pada waktu itu buah jerai disekitar perkhemahan sudah masak. Berbagai jenis burung hutan tertarik olehnya. Beberapa perajurit Asal (Orang Asli) melihat keadaan ini lalu mengusulkan kepada markas pengarah untuk menggetah burung di atas pokok. Walaupun perkara ini sering dilakukan oleh saudara-saudara Asal, tapi ini bukan hal mudah dikerjakan.

Di dalam hutan, pokok yang ditumpangi jerai biasanya 2 – 3 pemeluk besarnya dan berpuluh-puluh meter tingginya. Jika hendak menggetah burung harus memanjat ke hujung pokok di waktu malam. Ini adalah suatu kerja yang sangat bahaya dan meletihkan. Menimbang dari segi keselamatan, markas pengarah tidak segera memberikan restu atas usulan mereka.

Kawan-kawan Asal sangat gelisah kerananya, maka mereka berkali-kali tugas ini diberikan untuk menambah makanan pasukan. Setelah puas membuat pertimbangan, barulah markas pegarah meluluskan permintaan mereka.

Mendengar jawapan dari markas pengarah barulah kawan-kawan Asal merasa gembira. Mereka segera sibuk membuat persiapan, ada yang membuat getah dan ada yang meraut getah regis (seperti lidi untuk disalut getah).

Semua sudah beres. Mereka ke pangkal pokok jerai bila malam tiba. Dalam cahaya yang muram, seorang demi seorang dengan berani dan tangkas memanjat pokok yang tinggi melangit, merangkak-rangkak di atas dahan-dahan besar dan kecil, menyisip satu demi satu regis bergetah di tempat-tempat yang paling banyak buah, memotong ranting-ranting yang mengganggu mereka menyisip regis. Mereka sering bekerja berjam-jam di atas pokok bahkan semalam suntuk sampai fajar menyingsing baru turun.

Tapi ini belum selesai lagi. Mereka harus bersembunyi pula sehari suntuk di bawah pokok menangkap atau memungut burung-burung yang jatuh kerana sayapnya terkena getah.

Demikianlah dalam perjuangan melawan kempen kepung basmi itu, kawan-kawan Asal tanpa menghiraukan bahaya dan sulit, dengan keistimewaannya pandai bekerja di atas pokok pada waktu malam, dapat menangkap hampir seribu ekor berbagai jenis burung. Kawan-kawan seluruh pasukan amat terharu dan memuji-muji keluruhan mereka serta teknik yang istimewa itu

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve