Blackend Is The End

Khamis, 22 Julai 2010

KOLEKSI PUISI PERJUANGAN RAKYAT SEBELUM MERDEKA


MARILAH!
oleh Harun Aminurrashid

Marilah saudara kita berjuang,
Jangan kira penat dan wang,
Semangat takut dan ragu lekaslah dibuang,
Sementara lapangan lagi terluang.

Marilah saudara kita bersatu,
Perubahan kaum tolong dan bantu,
Berdermalah kepada yatim piatu,
Pergerakan kaum masuk sekutu.

Marilah kita berpadu terus,
Di zaman nasib sedang tirus,
Hindarkan perasaan yang kurang lurus,
Supaya maju seperti harus.

Marilah kita berikat erat,
Buang kotor kikislah karat,
Bersatu kita laut dan darat,
Supaya terangkat barang yang berat.

Marilah kita terus bergerak,
Kumpulkan segala tenaga yang terserak,
Himpunkan segala kekuatan yang berjarak,
Ke medan kemenangan kita beranak.


Sumber: Majalah Hiburan, Dis 1946

PERJUANGAN PANGKAL KEJAYAAN
oleh Masuri S.N. (Martina)

Sejak dahulu turun temurun,
Berzaman-zaman berkurun2,
Sejarah menukilkan, riwayat menyebutkan,
Perjuangan itu pangkal kejayaan.

Bukankah sesudah hujan lebat,
Segala tumboh2an segar sehat,
Bukankah satelah ayer bah melimpah,
Sekali pantai berubah!

Bila waktu menchapai hujong usaha,
Adakah hasil atau kechewa,
Maka berjuang hebat itulah penutup kata,
Pemutus akhir hina atau mulia.

Bukankah berjuang itu maha dahshat,
Hebat ngeri payah gelisah resah,
Tetapi berjuang juga 'kan jadi hebat,
Bagi Perwira yang berhati tabah.

Kerana itulah disa'at pembangunan ini,
Jiwa semangat kita mesti tahan uji,
Berjuang sajalah lambang kita kini,
Dalam menchapai cita2 suchi.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 4, Apr 1947

BAMBU RUNCHING
oleh M.A. Yahya

Bambu runching Kita bawa,
Menghadap musoh dengan tersenyum,
Senjata sakti adalah chinta,
Pengikat semboyan tiga sekuntum.

Chinta kepada nusa dan bangsa,
Diperteguh bahasa satu,
Chinta yang bersarang senantiasa,
Didada Pemuda setiap waktu.

Sorak sorai ramai berderai,
Menandakan kepastian didalam hati,
Tujuan kita akan terchapai,
Kemenangan Kita sudahlah pasti.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 3, Mac 1947

SERUANKU!!!
oleh Hz. Umar

Oh Malaya tanah pusaka,
Tempatku suka, Tempatku duka.
Bilakah masanya akan tiba.
Terlepas kamu dari sipenjajah?

Bilakah masa akan tibanya.
Zaman kebesaran dahulu kala,
Zaman Hang Tuah dan Tun Fatimah,
Pahlawan Malaya yang gagah perkasa.

Ta’kan Melayu hilang di dunia.
Itulah kata Panglima Hang Tuah,
Wahai pemuda Malaya selurohnya
Itulah pedoman maju kemuka.

Wahai pemuda turut Hang Tuah,
Kaum pemudi chontoh Tun Fatimah,
Maju kita bersama sama
Menuntut kemerdekaan Tanah Malaya

Pemuda pemudi bangunlah! bangun!
Buka selimut hari lah siang,
Jangan lah lagi duduk ngalamun!
Sekaranglah sa’at kita berjuang.

Chobalah lihat kiri dan kanan!
Timor barat utara selatan,
India, Indonesia, China, Pilipina,
Menjadi chambuk kepada kita.

Kemerdekaan Malaya kewajipan kita
Untok mencharinya sampai berjumpa
Marilah kerahkan segala tenaga,
“Malaya Merdeka” musti terchipta.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 2, Feb 1947

BERGERAK SERENTAK
oleh Nor Kalam

Bergerak serentak Melayu se-Malaya
Menuju kemerdekaan sinar bercahaya
Bersatu padu sedaya upaya
Untuk pusaka Tanah yang mulia

Bergerak serentak ke pantai Merdeka
Ombak yang gurindam seloka
Berharap syurga jahanamlah neraka
Mudah-mudahan bersama suka…


Sumber: Majalah Mastika, April 1947

ANGKATAN BARU
oleh Masuri S.N.

Berlapis barisan angkatan baru
Melangkah gerak maju setia
Merentak lebor ikatan dulu
Merentak putus belitan jiwa

Bangun semua, para perwira
Dari gunong terjun menurun
Menuju laut idaman sukma
Tiada peduli aral bersusun

Sudah tekad di dalam hati
Angkatan baru semarak watan
Sudah sepakat di dalam bakti
Rela derita, sudi berkorban

Tiada lain ikatan datang
Hanya satu bukanlah dua
Angkatan baru tetap berjuang
Sahingga Nusa gemilang rupa....


Sumber: Majalah 'Kenchana' Bilangan 7, Julai 1947

BERMULANYA DETIK PERJUANGAN
Oleh Majid Salleh

Pada akhir-akhir tahun 1945
tahun empire Jepun menyerah kalah
detik jajahan Jepun hancur musnah
detik ‘ohayo gozaimas’ mula dilupakan
diganti semula dengan ‘good morning’

Pada saat-saat itulah juga awal mula pertama mula
bangsa Melayu mengukir sejarah
sejarah yang tak kunjung padam
sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan
menerusi sebuah pertubuhan parti politik

PKMM nama badannya
Parti Kebangsaan Melayu Malaya nama penuhnya
Malay Nationalist Party nama Inggerisnya
ditubuhkan di Ipoh, Perak

Para penajanya terdiri dari budak-budak
nakal belaka
budak-budak yang berumur di bawah 30 tahun
budak-budak yang tidak punya apa-apa kelulusan

Di antara budak-budak penajanya
Ahmad Boestamam dari Behrang, Tanjung Malim, Perak
Baharuddin Tahir dari Kuala Kangsar, Perak
Mokhtaruddin Lasso dari Bidor, Perak
Abdullah CD dari Lambor, Perak
Dahari Ali dari Sungai Raya, Kampung Kepayang, Perak
Swito dari Ayer Kuning, Kampar, Perak
Arshad Ashaari dari Bidor, Perak
Musa Ahmad dari Pengkalan Baru Gopeng, Perak
Rahman Rahim dari Tanjung Rambutan, Perak
Dan… dan… ramai lagi

Pada awal tahun 1946 datang Dr. Burhanuddin
datang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) sekarang doktor
datang Shamsuddin Salleh, penulis dan pengarang
datang Cikgu Harun Aminurrashid
dan datang… datang mencurah-curah

PKMM tertubuh di seluruh pelusuk tanah air
dari Timur ke Barat dan
dari Utara ke Selatan hingga ke Singapura

Puak-puak yang mula-mula menerima
ialah rakyat jembel, orang-orang kampung
orang-orang buta huruf, rakyat jelata
rakyat tertindas, rakyat miskin

Orang-orang kaya jangan diharap
apa lagi orang berpangkat
orang-orang mengerat jauh sekali

Ayuh berjuang! Seru pemimpin
Maju sekarang! Sahut pengikut


Sumber: 'Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh' Penerbit UKM, 2004

To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve