Blackend Is The End

Sabtu, 21 Ogos 2010

VIDEO SUASANA PERJANJIAN DAMAI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA/THAI DAN PARTI KOMUNIS MALAYA

Perjanjian bersejarah... (dari kanan) Abdullah C.D. dan Chin Peng menandatangani perjanjian damai dengan Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand dan wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman di Haadyai pada 2 Disember 1989

SABTU, 2 DISEMBER 1989; Jam hampir 10.30 pagi dan Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM telah dipenuhi oleh wartawan dan orang kenamaan yang ingin menyaksikan satu detik bersejarah - sesuatu yang gagal disaksikan pada 28 dan 29 Disember 1955.

“Tolong duduk! Tolong Duduk....Jika tuan-tuan tidak duduk, bagaimana kita hendak memulakan majlis kita yang bersejarah ini...orang belakang pun nak tengok juga,” demikian kata-kata awal yang keluar dari mulut juruacara pada hari itu, seorang pegawai muda dari angkatan bersenjata Thailand yang bertutur dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang kedengaran sangat melucukan.

Hakikatnya, beliau sedang berhadapan dengan satu tugasan yang sangat berat dan besar pada hari itu - bagaimana untuk mengawal situasi yang kelihatan kelam-kabut kerana para jurugambar yang telahpun memenuhi barisan hadapan di antara pentas utama dan kerusi para tetamu enggan memberi kerjasama kepadanya.

Berkali-kali juruacara itu merayu kepada para jurugambar supaya memberi ruang kepada para tetamu menyaksikan majlis itu dengan sempurna tetapi rayuannya itu tidak diperdulikan.

Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar mugshot Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Ah Sek. Suasana kelam kabut itu menjadikan majlis yang sepatutnya serius dan penuh bersejarah itu tidak ubah seperti kaunter pasaran saham dengan bunyi bising para jurugambar berasak-asak untuk menuju ke hadapan seboleh mungkin.

Dalam keadaan yang berasak-asak ini salah seorang daripada jurugambar telah terjatuh di atas jambakan bunga yang menghiasi meja di mana kesemua wakil kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM akan menandatangani perjanjian damai mereka.

Manakala jurugambar yang berada di belakang pula sama ada memanjat belakang rakan jurugambar yang lain atau berdiri di atas kerusi yang disediakan untuk tetamu-tetamu VIP di barisan hadapan sekali. Dari belakang, kami hanya dapat menyaksikan badan para jurugambar. Mereka yang akan menandatangani perjanjian damai itu sudah tidak kelihatan lagi.

Dalam suasana hiruk pikuk inilah wakil-wakil Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM menurunkan tandatangan mereka di atas kertas perjanjian damai yang bersejarah itu bagi menamatkan perjuangan bersenjata PKM ke atas Kerajaan Malaysia selama lebih 41 tahun.


To Live Is to Die

free counters

Eye of the Beholder

Dyers Eve