To Live Is to Die

free counters

Rabu, 15 September 2010

LAGI KISAH SRIKANDI SHAMSIAH FAKEH


Seorang ibu yang tegas dan tidak mudah mengalah dalam setiap perjuangannya, kata Jamaluddin Ibrahim, anak kedua Allahyarham Shamsiah Fakeh, 84, yang kembali ke rahmatullah di kediamannya di Tropicana, Damansara pagi ini. Shamsiah yang disifatkan Jamaluddin sebagai seorang wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi, juga merupakan seorang ibu yang amat bertanggungjawab dan mengambil berat tentang soal keluarga dan anak-anaknya.

Ketika mengimbau kembali saat-saat akhir Allahyarham, Jamaluddin berkata kepergian ibunya hanya disedari apabila anggota keluarga cuba mengejutkannya pada pukul 9 pagi. "Kami tak syak apa-apa sehinggalah masa untuk kejutkannya pagi ini. Kemudian, barulah kami sedar dia (ibu) sudah kembali ke rahmatullah," katanya selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Tunas Bakti, Sungai Besi di sini, pukul 5.30 petang ini.

Katanya, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak dua bulan lalu akibat sakit tua sebelum dibenarkan pulang dua hari lepas. Shamsiah, anak kepada pasangan Saamah Nonggok dan Fakeh Sultan Sulaiman dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama pada 1924 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada usia 13 tahun, beliau dihantar melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah, Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang di Sumatera Barat hingga 1940.

Shamsiah ialah ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada Februari 1946 bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Oleh itu, AWAS kemudian diharamkan di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan British di seluruh Malaya pada 20 Jun 1948, tetapi ini tidak mematahkan semangat srikandi ini untuk meneruskan perjuangan memerdekakan negara. Shamsiah kemudian menyertai Rejimen Ke-10 sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangannya tidak mengenal tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa.

Beliau bersama suaminya, Ibrahim Mohamad, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Beliau yang dilucutkan keanggotaannya daripada PKM pada 1968, terus berada di Beijing, China dengan menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi selain memberi khidmat kepakaran Bahasa Melayu kepada Radio Beijing serta Institut Bahasa Asing Beijing. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989.

Membongkar sejarah 'Revolusi 48'

amin iskandar article 291008 sukarnoPresiden pertama Indonesia, Soekarno pernah berkata dalam pidatonya ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-19: "Sejarah adalah sebahagian dari diri sebagai bangsa, dia tidak boleh dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama ertinya dengan kehancuran sebuah bangsa." (Soekarno, 17 Ogos 1966). Begitulah pentingnya sejarah dari kaca mata presiden pertama Indonesia sehinggakan dia mengatakan jika sejarah ditinggalkan ertinya sama seperti kehancuran sesuatu bangsa.
Akan tetapi sejarah seringkali dimanipulasi dan dibolot oleh orang-orang yang memegang kekuasaan – seperti yang berlaku di negara kita Malaysia. Dalam buku-buku teks sejarah sekolah, perjuangan kemerdekaan negara hanyalah milik Umno dan Perikatan. Hanya perjuangan mereka ditonjolkan, sementara perjuangan orang-orang kiri pelbagai bangsa digelapkan dan dipropagandakan sebagai pengganas dan penjahat.

Akan tetapi, kerja-kerja menyembunyikan sejarah bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kebenaran pasti akan terbongkar jua. Apa lagi di zaman internet apabila manipulasi sejarah dan maklumat dapat dipecahkan dengan pelbagai pendapat dan fakta daripada pelbagai sumber.

Sebelum Revolusi 48

Selepas berjaya dengan dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka, Fahmi Reza muncul dengan dokumentari terbaru bertajuk Revolusi 48.

Pengarah filem ini membongkar kembali peristiwa bersejarah pada 1948 yang telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha memerdekakan negara daripada penjajahan British.

Peranan orang-orang kiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam memerdekakan Malaya tidak boleh dinafikan.

Malahan jika dikaji kembali sejarah, mereka inilah perintis perjuangan untuk memerdekakan negara. Ketika Umno yang ditubuhkan pada 1946 bangga dengan slogan “Hidup Melayu”, mereka (baca: golongan kiri) telah melaungkan slogan “merdeka”.

amin iskandar article 291008 posterPak Mamat, Mak Minah, Pak Chou Tong dan Pak Waimin menceritakan kembali apa yang sebenarnya berlaku pada ketika Malaysia berada di zaman pra-kemerdekaan bermula dari zaman penjajahan Jepun, kembalinya British selepas ketewasan Jepun, darurat diisytiharkan dan golongan kiri mengangkat senjata.

Peranan Lai Teck

Jika Khalid Jaafar, setiausaha akhbar Anwar Ibrahim sewaktu beliau masih timbalan perdana menteri menganggap bahawa Lai Teck yang berasal dari Vietnam sebagai penyelamat agung kepada negara dari pengaruh komunis, filem Revolusi 48 menceritakan sebaliknya.

Chou Tong menceritakan dengan jelas dalam dokumentari ini tentang peranan Lai Teck yang digunakan oleh British untuk menggagalkan usaha memerdekakan negara selepas Jepun menyerah kalah.

Chou, atau nama sebenarnya Au Heng Fong, berkata Lai Teck pernah berkhidmat dengan Perancis ketika di Vietnam sebagai ejen perisikan. Selepas diketahui tentang peranannya sebagai tali barut penjajah oleh rakyat Vietnam, beliau menyusup ke Singapura untuk membantu British.

Di Singapura, Lai Teck pada mulanya menjadi buruh dan kemudian aktif di kesatuan buruh. Dari situlah beliau berjaya menyusup masuk dalam gerakan kiri dan sekali gus rapat dengan PKM.

Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu dan Singapura, Lai Teck menjadi tali barut kepada penjajah Jepun pula. Beliaulah yang banyak membongkarkan rahsia kepada Jepun mengenai gerakan anti-Jepun.

Namun apabila Jepun menyerah kalah, dengan cepat Lai Teck bertukar kiblat kepada British. Antara tugasan pentingnya ialah menggagalkan pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah.

Jika tiada Lai Teck, Malaya akan merdeka sepuluh tahun lebih awal!

Gerakan bersenjata

Dalam dokumentari ini juga, keempat-empat penggerak PKM ini menceritakan latar belakang bagaimana dan mengapa mereka menyertai gerakan bersenjata untuk melawan penjajah British.

Pada 1948, British mengisytiharkan darurat. PKMM, API, AWAS dan PKM yang sebelum ini bergerak secara sah diharamkan dan ramai pemimpin parti-parti tersebut ditahan.

Jika British tidak menghalang kebangkitan gerakan kiri, mereka akan dihalau oleh rakyat dari Malaya seperti rakyat Indonesia menghalau Belanda.

British tahu gerakan menuntut kemerdekaan menjadi semakin popular. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.

amin iskandar article 291008 konfrantasiJika orang-orang kiri berjaya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, kepentingan British akan hilang seratus-peratus.

Maka British terpaksa menyokong Umno dan Perikatan yang lebih menjamin kepentingan mereka. Apabila darurat diisytiharkan pada 1948, maka revolusi pun bermula.

Ramai pemuda dan pemudi dari golongan buruh dan petani menyertai perjuangan mengangkat senjata untuk melawan British.

Selepas penjajah meninggalkan Malaya pada 1957, kerajaan yang dipimpin Tunku Abdul Rahman meneruskan perang terhadap golongan kiri dan PKM.

Tindakan ini telah menyebabkan perjuangan bersenjata berterusan sehinggalah Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani antara Malaysia, Thailand dan PKM pada 1989.

Contohi Megawati

Dokumentari Revolusi 48 satu usaha membongkar kembali sejarah-sejarah yang telah disembunyikan selama separuh abad. Pada masa akan datang, lebih banyak lagi yang akan terbongkar.

Penulisan sejarah haruslah adil kepada semua pihak. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Fakta ini tidak dapat diubah.

amin iskandar article 291008 funeralBaru-baru ini, serikandi negara Shamsiah Fakeh pulang ke rahmatullah. Apa yang menyedihkan, pemergiannya tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya oleh pemerintah dan aktivis-aktivis politik di Malaysia.

Perkara ini saya khabarkan kepada seorang teman di Indonesia yang kini aktif dengan gerakan Islam. Beliau turut bersedih dengan cara Malaysia melayan tokoh bangsa.

Beliau memberitahu, ketika acara pengebumian bekas diktator Jeneral Soeharto, ramai hadirin yang hadir termasuklah bekas presiden Megawati Soekarnoputri.

Ketika zaman kegemilangan Soeharto, Megawati ditindas teruk oleh Soeharto. Parti PDI-P yang dipimpinnya pernah dipukul oleh jeneral tentera itu.

Bukan itu sahaja, ayah Megawati iaitu presiden pertama Indonesia, Soekarno dijatuhkan oleh rampasan kuasa yang dipimpin oleh Soeharto.

Malaysia harus mencontohi Megawati. Tidak kira apa ideologi politik sekalipun, tokoh tetap tokoh.

Jasa yang besar harus diberi penghargaan dan penghormatan.
Sumber : Malaysiakini

PAHLAWAN MAT SALLEH (SABAH)




PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.

Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.

Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai 慿ambing hitam� menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan

UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.

Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega抋s dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: MAT SALLEH

SALASILAH PAHLAWAN MAT SALLEH

CATATAN ABUDULLAH CD


“Rejimen Ke-10 adalah sebuah tentera anak rakyat yang dari komander hingga ke perajuritnya terdiri dari putera-puteri terpuji bangsa Melayu yang berteraskan anggota PKM, PKMM, PETA, BTM dan lain-lain yang telah diharamkan oleh penjajah British.”

Kecuali United Malays National Organisation (UMNO), badan-badan lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pembela Tanah Air (PETA), Barisan Tani Malaya (BTM) dan sebagainya adalah pertubuhan politik Melayu yang berjuang atas hasrat murni untuk memerdekakan Malaya dan melepaskannya daripada belenggu British.

Dan, apabila kesemuanya (kecuali UMNO) diharamkan pada Jun 1948 di bawah apa yang dinamakan ‘Undang-Undang Darurat’, pertubuhan-pertubuhan tersebut terpaksa mengambil jalan perjuangan bersenjata yang bermandi darah.

Blackend Is The End

Dyers Eve