To Live Is to Die

free counters

Isnin, 11 April 2011

Golput enggan mengundi

Dr Jeniri Amir

KUCHING – Ketika melakukan kajian tentang perlakuan pengundi muda baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke hampir seluruh Sarawak. Kesan pertama ketika menjejaki kampung dan rumah panjang di pedalaman ialah tidak terdapat ramai muda mudi tinggal di kampung halaman. Saya dapat merasai kesunyian yang mencengkam kampung dan rumah panjang. Bagai hilang keceriaan dan keriangan tanpa anak muda meskipun terdapat kanak-kanak dan murid sekolah berkeliaran selepas waktu persekolahan.

Di beberapa rumah panjang di Sri Aman, Sibu, Kapit, Mukah dan Lambir, Miri, saya dapat rasai kesayuan dirasai golongan tua. Saya begitu sedih dan terharu melihat wajah sayu nenek dan ibu bapa yang tinggal di rumah panjang, sambil berbual-bual tentang nasib mereka di kampung.

Sekali-sekala mereka mengenang anak-anak dan cucu mereka yang merantau jauh di kota dan bandar, termasuk sejauh Singapura dan Saudi Arabia. Di sesetengah rumah panjang, saya melihat mereka menonton siaran Astro. Saya faham mereka juga mengikuti perkembangan politik dan pelbagai isu dibincangkan menjelang pilihan raya ke-10 pada 16 April nanti.

Golongan penting

Anak muda merupakan golongan penting. Daripada sekitar 980,000 pengundi, satu per tiga ialah pengundi muda. Jumlah keseluruhan mereka adalah sekitar 310,000 orang — Cina 100,000, Melayu 71,000, dan bumiputera Sarawak 139,000. Sebanyak 27 peratus dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun, manakala 73 peratus lagi berusia antara 31 hingga 40 tahun.

Berdasarkan kajian, didapati semakin meningkat usia mereka, semakin antiestablishment sikap mereka. Bayangkan impaknya jika jumlah 73 peratus atau sekitar 230,000 pengundi muda dalam lingkungan 31-40 tahun diambil kira? Tidak sukar dibayangkan kesannya terhadap mana-mana parti yang bertanding, Itulah sebabnya, golongan muda perlu didekati.

Masalahnya, sebahagian golongan muda tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi. Sarawak berada nombor empat dari segi jumlah mereka yang layak tidak mendaftarkan diri, termasuk golongan muda. Jika 450,000 orang ini mendaftarkan diri, sudah pasti mereka juga dapat turut menyertai proses demokrasi. Sikap tidak ambil peduli mereka ini perlu dibetulkan.

Sikap ini sama buruk, dengan sikap pengundi yang tidak mahu turun mengundi pada hari pengundian. Di Indonesia golongan ini dikenali sebagai golput atau golongan putih. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada sebab untuk berasa risau melihat trend peratusan pengundian yang semakin merosot tahun demi tahun mulai pilihan raya 1970.

Peratusan pengundian semakin merosot

Dalam pilihan raya 1970 sebanyak 80 peratus turun mengundi, tetapi angka itu semakin merosot. Peratusan pengundian dalam pilihan raya negeri 1974 ialah 75.10 peratus, 1979 (72.77 peratus), 1983 (77.56 peratus), 1987 (73.02 peratus), 1991 (72.80 peratus), 1996 (65.95 peratus), 2001 (67.01 peratus), dan pilihan raya kesembilan sebanyak 63.22 peratus.

Mengapa tidak mahu mengundi?

Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah ini membayangkan sikap pengundi yang tidak ambil peduli akan politik dan pilihan raya? Adakah kerana kini anggota masyarakat kita, terutama generasi muda yang berpendidikan semakin banyak menetap di luar kawasan, berbanding ibu bapa dan nenek moyang kita pada dekad 1970-an dan 80-an dahulu?

Mereka enggan balik kerana komitmen kerja dan kos pengangkutan terbabit. Bagi menggalakkan pengundi di luar ini mengundi, ada parti yang menyediakan kenderaan atau tiket untuk mereka balik ke kawasan tempat mengundi. Atau mungkinkah mereka merasai tidak dapat mengubah keadaan? Mungkinkah mereka sudah muak?

Kesannya tentu besar dan mendalam jika dibiarkan trend sedemikian berterusan. Pendidikan dan sosialisasi politik perlu diperhebat agar tahap celik politik dapat ditingkatkan. Hanya apabila tahap celik politik mereka meningkat, barulah mereka faham akan implikasi dan kesan tindakan mereka itu.

Tingkatkan kadar celik politik

Mereka juga akan lebih faham mengapa mereka perlu membabitkan diri secara langsung dalam soal membuat keputusan memilih pemimpin yang bakal mewakili mereka, baik di peringkat kawasan mahupun Kabinet. Kita tidak boleh lagi membiarkan trend ini berlarutan.

Jika tidak, mungkin suatu hari nanti, peratusannya akan berkurangan sehingga hanya mencecah di bawah 50 peratus. Dalam pilihan raya lalu, peratusan pengundian tertinggi dicatatkan di Asajaya, iaitu 74.99 peratus, manakala terendah di Telang Usan, kawasan pedalaman di Baram dengan hanya 57.94 peratus.

Saya percaya kesedaran dan kecelikan politik yang tinggi merupakan jawapan kepada peleraian isu ini. Semua pihak, termasuk media dan parti politik perlu mengambil tindakan efektif untuk memberi kesedaran betapa peratusan pengundian semakin merossot dalam setiap pilihan raya – dan betapa pentingnya pengundi turun mengundi pada 16 April nanti.

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

Blackend Is The End

Dyers Eve