To Live Is to Die

free counters

Rabu, 25 Mei 2011

KENALI CHE GUEVARA



Che Guevara: Lebih daripada lambang revolusioner?

Oleh Jim Nolan (September 2003)..


Pada tahun 1968, bersempena dengan pergolakan sosial meluas di merata dunia, para pelajar di Universiti Bandar Paris telah menduduki asrama mereka dan memberikannya nama baru – ‘Che Guevara.’ Di Amerika Syarikat pada tahun yang sama, satu kajian menunjukkan bahawa tokoh bersejarah yang paling digemari oleh para pelajar di Universiti Berkeley, di Kalifornia, sekali lagi adalah Che Guevara.


Maka ia adalah jelas bahawa Che masih hidup, bukan sahaja dalam memori mereka yang telah melalui pergolakan tahun 1960-an – seperti para pelajar di Paris dan Berkeley – tetapi juga dalam imaginasi ramai orang yang tidak mengenali kehidupan atau politiknya. Wajah Che dapat dijumpai di merata-rata – pada kemeja-T, cawan, lukisan dan lencana, serta pada pelbagai cenderamata lain. Dari segi ini, wajah Che jelasnya telah menjadi lambang revolusioner.


Tetapi Che pada hari ini juga adalah lebih daripada lambang terkenal. Pada 1hb Januari 1994, apabila kebangkitan Zapatista bermula di Meksiko, mereka telah menggunakan riwayat Che sebagai contoh, bukan sahaja dalam lukisan dan tulisan, tetapi juga dari segi ideologi. Pada tahun 1999, apabila para pekerja Bolivia bermogok untuk menghalang penswastaan air, wajah Che telah muncul pada panji-panji dan surat berkala. Sekali lagi, pada 15hb Februari 2003, apabila lebih daripada 30 juta orang di merata dunia berdemonstrasi menentang peperangan ke atas Iraq, wajah Che muncul pada bendera, panji-panji dan majalah. Seperti yang dijelaskan oleh Jorge Castaňeda:


Tarikan mutakhir Che mengutarakan tuntutan terakhir demi utopia moden. Ia mencerminkan gabungan wawasan besar dan baik dari zaman kita – kesama-rataan, perpaduan, kebebasan individu dan kolektif – dengan lelaki dan perempuan benar yang telah mencuba menjadikannya sesuatu realiti. Nilai-nilai Che Guevara masih adalah penting, bersama dengan nilai-nilai generasinya. Harapan dan impian tahun 1960-an masih berkumandang pada penutup abad yang telah kehilangan utopia.


Siapakah Che Guevara?


Ernesto Guevara de la Serna dilahirkan pada 14hb Mei 1928 kepada keluarga kelas menengah di Rosario, Argentina. Gelaran ‘Che’ sebenarnya diberikan kepadanya beberapa tahun selepas itu oleh pihak revolusioner di Meksiko, dan diterjemahkan dengan kasar, ia bermakna ‘anda.’ Tahun-tahun awal Che dilalui di Argentina, tetapi walaupun ibunya Celia mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Argentina, Che sendiri tidaklah berminat dalam bindang politik. Pada tahun 1948, dia memasuki Universiti Buenos Aires untuk mempelajari bidang perubatan, tetapi dia tidak mementingnya pendidikan itu.


Beberapa tahun selepas itu, Che telah membuat beberapa penjelajahan ke sekitar Amerika Latin menggunakan motosikal. Buat kali pertama, dia telah memerhatikan kehidupan pekerja dan petani di benua itu. Dalam Diari Motosikal, misalnya, Che merekodkan penjelajahannya pada tahun 1953, dengan sahabatnya Alberto Granado. Apa yang yang menarik mengenai Diari tersebut adalah bahawa ia menunjukkan perubahan yang berlaku dalam diri Che sambil identitinya sebagai warga Amerika Latin mula berkembang. Dan maka, dari masa ke semasa, Che mengulas mengenai campur tangan imperialis di Amerika Latin, walaupun dia tidak menganggap dirinya sebagai terlibat dalam mana-mana perjuangan kemerdekaan pada masa itu. Selepas menunjungi kawasan Macchu Picchu, dia menulis:


Inilah bahagian sedih… Segala pertumbuhan di kawasan kebinasaan itu dibersihkan, dikaji dan dihuraikan dengan sangat baik… dan segala benda yang jatuh ke dalam tangan pengkaji dibawa dengan berjaya ke negara masing-masing dalam dua ratus kotak, mengandungi segala harta karun arkeologi… Di manakah seseorang dapat melihat atau mengkaji harta karun bandar purba itu? Jawapannya adalah jelas: di muzium Amerika Utara.


Tahun 1954 merupakan titik perubahan, bukan sahaja bagi Che, tetapi bagi kesemua warga Amerika Latin secara umumnya. Che berada di Guatemala apabila sebuah kerajaan reformis di bawah Jacobo Arbenz mula menasionalisasikan permilikan tanah sebuah perusahaan Amerika Syarikat, iaitu Syarikat United Fruit. Di bawah Arbenz, kesatuan-kesatuan petani dibentukkan di bawah kepimpinan Parti Komunis dan para pekerja lain digerakkan dalam kesatuan-kesatuan pekerja bebas. Ini tidak dapat diterima oleh kerajaan Amerika Syarikat – mereka membiayai rampasan kuasa ketenteraan menentang Arbenz, dan Guatemala mendapat reputasi buruk kerana penindasan kejam.


Pada masa rampasan kuasa itu, Che sebenarnya mengunjungi kawasan Maya berdekatan dengan sempadan Honduras, tetapi apabila dia kembali ke Bandar Guatemala, dia menotakan dalam diarinya betapa marahnya dia dengan fakta bahawa tentangan teratur tidak diutarakan terhadap campur tangan Amerika Syarikat:


Arbenz tidak berfikir bahawa bandar itu penuh dengan pihak reaksioner, dan bahawa rumah-rumah yang dimusnahkan akan dimiliki oleh mereka dan bukannya oleh rakyat jelata, yang tidak memiliki apa-apa dan hanya mempertahankan kerajaan itu. Dan walaupun Korea dan Indocina wujud sebagai contoh, dia tidak berfikir bahawa rakyat yang bersenjata merupakan kuasa yang tidak dapat dihapuskan. Dia dapat memberikan senjata kepada rakyat, tetapi dia enggan melakukannya – dan kini kita melihat hasilnya.


Jelasnya, Che hanya mempertimbangkan persoalan ketenteraan pada masa ini – dalam erti kata lain, tindakan dan pemahamannya tidak mengandungi strategi politik yang mendalam. Namun, ia juga merupakan masa apabila Che mula tertarik dan terlibat dengan gerakan sosialis. Dia mula membaca karya-karya Marx, dia mempertahankan Revolusi Rusia tahun 1917, dan dia ingin memberikan nama Rusia (Vladimir) kepada anaknya, sebagai penghormatan kepada revolusioner Rusia bernama Vladimir Lenin.


Berperang di Kuba


Dari Guatemala, Che telah berpindah ke Meksiko, di mana dia diperkenalkan dengan sekumpulan penghijrah dari Kuba yang dipimpin oleh Fidel Castro. Pada masa itu, kumpulan di sekeliling Castro itu sedang merancangkan penumbangan pemerintahan diktator Fulgencio Batista di Kuba. Castro sebenarnya berasal dari kelas pemilik tanah di Kuba, tetapi apabila Batista membantutkan proses demokratik di Kuba, Castro diyakinkan bahawa satu-satunya jalan ke hadapan merupakan serangan bersenjata ke atas pemerintahan diktator itu. Che menjelaskan perjumpaan pertamanya dengan Castro seperti berikut:


Saya telah berjumpa dengannya pada suatu malam Meksiko sejuk, dan saya mengingati bahawa perbincangan pertama kami adalah mengenai politik dunia. Selepas beberapa jam – pada waktu subuh – saya sudah mengambil keputusan untuk mengikuti ekspedisi masa depan itu. Sebenarnya, selepas pengalaman mengembara di Amerika Latin dan peristiwa terakhir di Guatemala, ia bukanlah susah untuk meyakinkan saya menyertai apa-apa revolusi menentang seorang pemerintah zalim… Masih terdapatnya banyak yang perlu dilakukan, diperjuangkan, dirancang. Kami perlu berhenti menangis dan mula berjuang.


Che dan Castro berkongsi latarbelakang anti-imperialis, serta kepercayaan bahawa tugas terakhir adalah untuk mengutarakan kuasa bersenjata menentang rejim Batista. Selepas Castro membeli sebuah kapal laut kecil bernama Granma pada bulan November 1956, kumpulan itu melayar ke Kuba. Pelayaran itu hampir gagal sepenuhnya – apabila kumpulan 82 orang itu tiba di Pantai Colorados, mereka dijumpai oleh angkatan tentera Batista. Hanya 18 daripada mereka berjaya melarikan diri, dan di antara mereka merupakan Che yang juga mengalami serangan asma yang serius. Kumpulan itu mengundur diri ke pergunungan Sierra Maestra, di mana mereka berhadapan dengan lebih 10,000 askar di bawah arahan Batista. Pada masa itu, Che telah menjadi terkenal kerana kemampuan taktik, dan juga sebagai ahli Komunis paling penting dalam kumpulan itu.


Selepas pertempuran selama dua tahun di kawasan pergunungan itu, kuasa jatuh ke dalam tangan pejuang gerila tersebut dengan tidak dijangka. Ia adalah jelas bahawa perjuangan gerila itu telah membantu melemahkan rejim Batista, terutamanya selepas serangan ke atas pangkalan ketenteraan di Santa Clara. Tetapi Kuba juga merupakan tempat permainan bagi warga Amerika Syarikat yang kaya, dan apabila kerajaan Amerika Syarikat menarik balik sokongan dan bantuan persenjataan pada hujung tahun 1958, Batista ditinggalkan dalam kedudukan yang sangat lemah. Apabila Batista melarikan diri dari Kuba pada Hari Tahun Baru 1959, vakum kekuasaan telah muncul, dan kolum-kolum gerila – di bawah Che dan Castro – telah berkejar untuk memenuhi vakum itu.


Dalam sejarah rasmi, Revolusi Kuba dipersembahkan sebagai kejayaan ketenteraan penting yang melibatkan rakyat Kuba. Ia tidak dapat dinafikan bahawa, dari segi politik, Revolusi Kuba merupakan kekalahan besar bagi imperialisme Amerika Syarikat. Menjelang tahun 1950-an, Kuba seolah-olah telah menjadi negara jajahan, dengan Amerika Syarikat menguasai ekonomi dan kehidupan politik negara itu. Misalnya, menjelang tahun 1950-an, lebih 80 peratus daripada barangan import Kuba berasal dari Amerika Syarikat. Penumbangan Batista telah memberikan harapan kepada berjuta-juta orang bahawa kemiskinan dan penindasan di tangan kerajaan Amerika Syarikat akhirnya dapat dicabar. Che merumuskan perasaan ini:


Kepada tuan-tuan berkuasa, kami mewakili segala yang tidak dapat dibayangkan, negatif, tidak berhormat dan menganggu dalam benua Amerika yang mereka membencikan dan memusuhi ini. Tetapi dalam tangan sebelah, bagi rakyat benua Amerika… kami mewakili segala yang baik, tulus dan berani.


Di Kuba sendiri, berbanding dengan rejim Batista yang zalim, Castro dan Che sangatlah popular. Castaňeda menjelaskan ketika apabila Che memasuki Havana:


Camilo Fuentes [seorang lagi pejuang gerila] telah memasuki Havana pada subuh 3hb Januari, diiringi sorakan rakyat yang gembira dan berhormat. Che tiba di ibu bandar dengan lebih sulit, pada subuh hari seterusnya, diiringi hanya oleh sahabat-sahabat karib… Pada 7hb Januari, dia berkunjung ke Matanzas untuk menjemput Fidel – yang dia belum menjumpai sejak bulan Ogos – dalam perjalanannya ke Havana. Mereka memasuki ibu bandar bersama-sama pada kereta kebal, dan diiringi oleh hadirin yang sangat gembira. Fotograf perjumpaan di antara rakyat dan wira-wira mereka telah menangkap mata bukan sahaja penyunting di seluruh dunia, tetapi juga imaginasi dan simpati penyokong di merata-rata. Senyuman malu Che telah menangkap hati beribu-ribu, dan kemudian berjuta-juta warganegara Kuba, Amerika Latin dan dunia, yang menyamakan Che dengan revolusi yang juga dimiliki oleh mereka sendiri.


Maka, ia tidak dapat dinafikan bahawa gerakan gerila itu menerima sokongan umum. Populariti kerajaan baru yang dibina oleh Che dan Castro juga dibantu oleh reformasi tanah, rancangan pendidikan, tindakan kesihatan dan sebagainya. Tetapi perjuangan gerila itu tidak mengutarakan apa-apa pertubuhan rakyat – dalam erti kata lain, sokongan rakyat bagi perjuangan gerila itu hanyalah sokongan pasif. Castro dan Che telah bergerak dengan laju untuk membina pertubuhan-pertubuhan kerajaan baru – misalnya, Che diberikan tanggungjawab menyelia pertubuhan keselamatan baru, iaitu G2 – tetapi ia sentiasanya direka dari atas dan tidak mempunyai apa-apa kawalan demokratik dari bawah. Lebih-lebih lagi, pada tahun 1962, peranan kesatuan-kesatuan pekerja dihadkan, persaingan di antara pekerja diperkenalkan semula dan disiplin tenaga pekerja ditegaskan.


Tradisi ‘perubahan dari atas’ ini sangatlah bertentangan dengan tradisi yang diwakili oleh Marxsisme tulin – bahawa pembebasan kelas pekerja mestilah menjadi usaha kelas pekerja sendiri. Misalnya, pada tahun 1933, kelas pekerja Kuba telah menumbangkan seorang diktator ganas bernama Gerardo Machado. Apa yang bermula sebagai permogokan pemandu bas telah berkembang menjadi kebangkitan umum yang melibatkan para pekerja dan pelajar menentang pihak berkuasa. Kumpulan gerila Castro dan Che sebenarnya berasal dari tradisi yang bertentangan – iaitu tradisi ‘perubahan dari atas.’ Sifat Revolusi Kuba pada tahun 1959 menunjukkan perbezaan di antara dua aliran ini – ahli-ahli gerila yang tiba di Kuba pada bulan November 1956 telah mendirikan pusat di pergunungan Sierra Maestra – iaitu jauh dari pusat-pusat kelas pekerja. Bertentangan dengan permogokan umum yang telah menghancurkan pemerintahan diktator Machado, kaum pekerja tidak memainkan peranan aktif dalam revolusi tahun 1959. Untuk menerima Kuba sebagai sebuah negara sosialis akan bermakna mengubah apa yang kami maksudkan dengan ‘sosialisme.’


Kekurangan kawalan demokratik dari bawah ini adalah agak jelas dalam tulisan-tulisan Che dari masa itu. Perang Gerila, misalnya, adalah panduan mengenai cara untuk mengatur dan mengutarakan perang gerila foko, tetapi ia juga mengandungi kosenp politik revolusioner yang perlu dikaji dengan baik. Pertama sekali, ia menganggap bahawa perang gerila, sebagai strategi revolusioner utama, dapat dimulakan dan diamalkan oleh sekumpulan revolusioner kecil tanpa rujukan kepada keadaan sosial dan politik masyarakat:


Contoh revolusi kami dan pelajaran-pelajarannya bagi Amerika Latin telah menghapuskan segala teori kedai kopi: kami telah menunjukkan bahawa sebuah kumpulan kecil disokong oleh rakyat dan yang berani mati jika diperlukan, dapat mengatasi sebuah angkatan tentera dan mengalahkannya.


Dalam erti kata lain, ia merupakan kepercayaan Che bahawa individu-individu berdedikasi dapat menciptakan revolusi dalam apa-apa keadaan. Che seringkali dipersembahkan sebagai Marxsis paling maju dalam kepimpinan Revolusi Kuba, tetapi bagi pihak Marxsis tulin, kebebasan kelas pekerja mestilah menjadi tindakan kelas pekerja sendiri. Dalam erti kata lain, sokongan pasif rakyat tidaklah mencukupi – rakyat jelata patut mengambil peranan aktif dalam membebaskan diri mereka daripada belenggu kapitalis. Di Kuba misalnya, permogokan umum yang diatur oleh kumpulan Castro pada 9hb April 1958 tidak mendapat sokongan luas. Sebaliknya, gerakan Castro sebenarnya bersifat kelas menengah – ahli-ahli kumpulan Castro yang melayar pada kapal Granma semuanya datang dari kelas ini.


Pada tahun 1960-an, Tony Cliff, iaitu salah seorang pengasas Parti Pekerja Sosialis di Britain, telah mengutarakan istilah ‘revolusi berterusan terbias’ untuk menghuraikan keadaan-keadaan di mana ketidak-hadiran kelas pekerja dapat mengutarakan bentuk kepimpinan yang lain. Di Kuba, vakum kuasa yang diutarakan oleh penumbangan Batista telah dipenuhi oleh golongan akaliah dan ahli-ahli kelas menengah. Cliff menjelaskan bahawa jika kelas pemerintah lama adalah terlalu lemah untuk menggenggam kuasa berhadapan dengan kebangkitan dari bawah, sambil kelas pekerja tidak memiliki pertubuhan bebas untuk menjadi ketua gerakan tersebut, maka lapisan-lapisan inteligensia dapat merampas kuasa, sambil merasai bahawa mereka mempunyai misi untuk menyelesaikan masalah-masalah masyarakat secara menyeluruh.


Golongan inteligensia juga adalah sensitif kepada kemunduran teknikal negara mereka. Sambil melibatkan diri dalam dunia saintifik dan teknikal pada abad ke-20, ia terbantut oleh kemunduran negara mereka sendiri. Perasaan ini diutarakan lagi oleh ‘pengangguran intelek’ yang berleluasa di negara-negara tersebut. Berhadapan dengan kemunduran ekonomi umum, satu-satunya harapan bagi kebanyakan pelajar adalah pekerjaan kerajaan, tetapi tidak terdapat pekerjaan kerajaan yang mencukupi bagi semua pelajar.


Kehidupan keagamaan golongan inteligensia juga berada dalam krisis. Dalam sebuah susunan yang semakin hancur, di mana corak tradisional sedang dihancurkan, mereka berasa tidak selamat, tidak berakar, kekurangan nilai-nilai kukuh.

Adat yang semakin dileburkan membawa desakan kuat bagi integrasi baru yang perlulah bersifat menyeluruh dan dinamik jika ia ingin mengisi vakum sosial dan keagamaan. Golongan inteligensia memeluk nasionalisme dengan semangat keagamaan… Mereka sedang mencari gerakan dinamik yang akan menyatukan negara, dan membuka alam-alam luas baru baginya, tetapi pada masa yang sama, akan memberikan mereka kuasa…

Mereka mengharapkan reformasi dari atas dan ingin menghadiahkan dunai baru kepada rakyat yang berharga, dan bukannya melihat perjuangan kemerdekaan oleh rakyat yang sedari diri dan bebas demi dunia baru dengan sendiri. Mereka sangat menyukai tindakan-tindakan untuk memajukan negara mereka, tetapi tidak menyukai demokrasi… Semua ini menjadikan kapitalisme kerajaan totalitarian sangat menarik bagi golongan akaliah


Belenggu ekonomi

Balasan kerajaan Amerika Syarikat terhadap Revolusi Kuba bukanlah luarbiasa – ia mencuba memusnahkan Kuba baru dari segi politik dan ekonomi. Dari segi politik, ia mula memaksa sekutu-sekutunya seperti Meksiko untuk memulaukan Kuba dan menghancurkan revolusi tersebut, dan mencapai kemuncak dalam serangan Playa Giron atau Teluk Babi (yang gagal) pada bulan April 1961. Dari segi ekonomi, ia telah menekan sekatan ekonomi yang menghalang perdagangan dengan Kuba dan yang masih berkuatkuasa pada hari ini.


Peranan Che dalam Kuba baru perlu dilihat dalam konteks ini. Che bukan sahaja merupakan tokoh politik penting dalam Revolusi Kuba, malah dia juga memainkan peranan utama dalam perkembangan polisi-polisi ekonomi sebagai ketua Bank Nasional dan Menteri Kemajuan Perindustrian. Che jelasnya memahami bahawa perindustrian dan pertumbuhan ekonomi adalah sangat penting bagi kehidupan Kuba, tetapi bahawa keadaan yang menghadapi Kuba pada masa itu tidak membenarkan pertumbuhan ekonomi pesat. Dalam ucapan-ucapannya mengenai ekonomi di antara tahun 1959 dan 1963, tema biasa merupakan kepentingan perancangan dan keperluan memajukan industri serta membangunkan ekonomi.


Che juga memahami bahawa Kuba tidak dapat berfungsi sebagai negara terpulau buat masa yang lama, dan dua idea tersebut – kemajuan ekonomi dalam satu tangan, dan internasionalisme dalam tangan sebelah – semakin bergabung. Che menyedari bahawa jika Kuba ingin mengekalkan kemerdekaannya, ia perlu menghancurkan pergantungannya pada pengeluaran gula, yang mendirikan 95 peratus daripada pendapatan eksport negara itu. Tetapi untuk memajukan pelbagai industri, Kuba akan memerlukan peralatan perindustrian, minyak dan bahan-bahan mentah yang lain. Tetapi pemulauan Kuba di pasaran dunia – ditingkatkan oleh sekatan Amerika Syarikat – meletakkan Kuba dalam keadaan yang seolah-olah tidak dapat dilepasi.


Dan maka Kuba memasuki hubungan ekonomi rapat dengan Rusia dan negara-negara Eropah Timur yang lain. Dan buat sementara waktu, Che berharap agar Rusia akan memberikan bantuan ekonomi yang diperlukan oleh Kuba. Ia juga adalah pada masa ini yang Che mengutarakan idea-ideanya mengenai ‘emulasi sosialis’ dalam karangannya yang paling terkenal, iaitu ‘Manusia dan Sosialisme di Kuba.’ Che menulis bahawa kemajuan ekonomi hanya dapat dicapai dalam semangat “persaingan bersahabat dan bukannya dalam cara birokratik dingin.” Dan sebagai contoh, Che menggunakan masa lapangnya untuk memotong tebu (untuk pengeluaran gula) atau bekerja di kilang. ‘Emulasi sosialis,’ dia berkata, akan menggalakkan para pekerja untuk menyumbangkan daya usaha mereka kepada Revolusi Kuba. Tetapi masalahnya dapat disamakan dengan kandungan Perang Gerila – ia dipercayai bahawa hasrat manusia adalah mencukupi untuk menciptakan revolusi. Pelakon bersejarah dalam revolusi adalah pejuang gerila, bukannya gerakan popular, bukannya kelas revolusioner, bukannya kelas pekerja.


Namun demikian, dalam perdebatan-perdebatan ekonomi yang bangkit pada tahun 1963 dan 1964, Che semakin menentang tekanan Rusia pada keuntungan setiap perusahaan dan penciptaan sebuah kelas birokratik baru. Dari segi ekonomi, Rusia telah menjumpai pasaran baru bagi barangannya di Kuba dan bantuan kewangannya tidak membantu meringankan tekanan pada pengeluaran gula. Sebenarnya, apa yang Che menentang adalah penekanan ‘sosialisme’ jenis blok Soviet pada Kuba. Pada bulan Februari 1965, dalam ucapan terkenal kepada majlis Tricontinental di Algiers, Maghribi, Che telah mengutuk Kesatuan Soviet kerana kekurangan sifat internasionalisme. Ini telah membuka jurang di antara dirinya dan Castro, dan menjelang pertengahan tahun 1965, Che mendapati dirinya semakin terpulau di Kuba. Dia meletakkan kesemua jawatannya dalam kerajaan Kuba, dan dalam surat terakhir kepada Castro, menjelaskan bahawa dia ingin memberikan tumpuan kepada perjuangan revolusioner di negara-negara lain:


Negara-negara lain di dunia menuntut usaha-usaha sederhana saya… Saya membawa ke medan pertempuran baru kepercayaan yang anda telah menyemai dalam diri saya, semangat revolusioner rakyat saya, perasaan memenuhi tugas yang paling suci: untuk berjuang menentang imperialisme walau di mana seseorang berada.


Che juga semakin mengutuk imperialisme Amerika Syarikat pada masa ini. Misalnya, dalam ucapan awam terakhir, iaitu ucapan kepada Tricontinental, dia berucap mengenai penciptaan “dua, tiga atau banyak Vietnam” yang akan mencabar imperialisme. Che merupakan seorang internasionalis benar yang percaya bahawa revolusi hanya dapat hidup jika ia diseberkan ke merata dunia:


Kita mesti mengingati bahawa imperialisme adalah sesuatu sistem sedunia, tahap terakhir kapitalisme – dan ia mesti dikalahkan dalam konfrontrasi sedunia. Matlamat strategik perjuangan ini adalah penghapusan imperialisme. Tugas kami, tanggungjawab kaum yang diekesploitasi dan mundur di dunia adalah untuk menghapuskan dasar-dasar imperialisme… Unsur asas dalam matlamat strategik ini adalah kebebasan semua rakyat, sesuatu kebebasan yang akan dicapai melalui perjuangan bersenjata dalam kebanyakan kes dan yang, di Amerika kami, sudah pasti akan menjadi Revolusi Sosialis.


Menyebarkan revolusi

Menjelang tahun 1965, kumpulan-kumpulan gerila telah diasaskan di seluruh benua Amerika Latin, tetapi dalam hampir kesemua kes, mereka telah menermui kegagalan serta-merta. Penjelasan Che bagi kegagalan ini adalah bahawa strategi gerila bukanlah tersilap, hanya pengamalannya. Untuk membuktikan ini, Che telah bertolak ke Kongo di Afrika dengan sekumpulan warganegara Kuba yang kecil.


Sebab-sebab mengapa Che telah memilih Kongo bukanlah jelas, kecuali bahawa terdapatnya beberapa kumpulan bersenjata yang sudah wujud di negara itu. Tetapi Che dan kumpulannya tidak mengenali keadaan politik dan sosial di negara itu, dan tidak memahami perjuangan kuasa di antara lebih kurang dua puluh kumpulan yang ingin memimpin perjuangan di Kongo. Che sendiri tidak dapat memahami bahasa dan budaya tempatan, dan mengalami demam panas dan asma selama sebulan. Kumpulan itu sama sekali tidak memasuki pertempuran, dan kumpulan Kuba itu akhirnya melarikan diri selepas siri kesilapan dan kesalah-fahaman.


Apa yang perlu difahami di sini bukanlah bahawa usaha tersebut telah menemui kegagalan, tetapi kedegilan yang menyifatkannya. Menurut teori perang gerila, tidak terdapatnya keperluan bagi pihak revolusioner untuk menanam akar sosial dan politik, tidak terdapatnya keperluan untuk menjadi sebahagian daripada gerakan rakyat meluas, tidak terdapatnya keperluan untuk memahami keadaan-keadaan bersejarah dan kelas khusus. Satu-satunya keperluan merupakan keinginan untuk menciptakan revolusi. Usaha di Kongo itu menawarkan contoh jelas mengenai kesan-kesan sebenar akibat sesuatu teori yang menggantikan kelas revolusioner dengan pihak revolusioner sendiri. Tetapi ia merupakan pelajaran yang diabaikan oleh Che.


Che telah mengalihkan perhatiannya kepada Bolivia. Wawasan Che sebenarnya lebih luas – dia merancangkan sebuah rangkaian pertubuhan gerila dengan Bolivia di pusat geografi. Tetapi keputusannya untuk membina fokus gerila di kawasan Nancahuazu, di perhutaran Bolivia, merupakan pilihan yang kurang baik. Kawasan itu susah dijelajah dan penduduknya sangatlah tersebar dan terdiri secara umumnya daripada kaum petani tanpa pemahaman yang lebih luas mengenai realiti di Bolivia.


Pengalaman Che di Bolivia direkodkan dalam Diari Bolivia. Ia merupakan dokumen yang sangat mengharukan kerana ia merupakan rekod kegagalan. Pada satu ketika, Che menotakan bahawa permogokan pelombong sedang berlaku di kawasan Siglo XX, kurang daripada 200 batu dari tapak pejuang gerila itu, tetapi kumpulan Che tidak mempunyai hubungan dengannya. Sepanjang ekspidisi tersebut, tentera Bolivia – yang dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat – semakin mengejar kumpulan gerila Che ke dalam hutan Bolivia. Hari-hari terakhir, apabila Che menjadi sangat lemah dan terpaksa diangkat oleh seorang pelombong muda, sangatlah menyedihkan. Che akhirnya ditangkap pada 8hb Oktober 1967 di kampung La Higuera, dan pada hari seterusnya, dia dibunuh oleh tentera Bolivia.


Kesimpulan

Kehidupan Che merupakan kesetiaan kepada kepentingan dan kesusahan golongan bawahan dalam masyarakat, perjuangan untuk menggalakkan orang ramai untuk meletakkan kepentingan rakyat sebelum keinginan dan hasrat peribadi, dan kesediaan untuk membuat pengorbanan demi susunan sosial yang lebih adil. Dan dari segi itu, pihak sosialis pada hari ini menghormati memori Che Guevara dan kewiraannya.


Tetapi kita tidak patut melayani warisan Che dengan tidak kritikal. Tekanan Che pada sebuah kumpulan gerila kecil yang menciptakan revolusi bagi rakyat sangatlah jauh daripada pandangan Marxsis bahawa kaum pekerja – iaitu kelas yang menciptakan kekayaan dalam masyarakat – perlu mengambil peranan aktif dalam menentukan masa depan mereka. Tragedi Revolusi Kuba adalah bahawa ia tidak berjaya melepaskan diri dari belenggu sistem kapitalis sedunia. Meskipun populariti awal rejim Castro, dan meskipun pencapaian segala reformasi dalam bidang kesihatan dan pendidikan, ia merupakan revolusi dari atas. Jika kepentingan kaum pekerja di Kuba terletak dalam revolusi sosialis antarabangsa, mereka juga akan perlu menumbangkan birokrasi kapitalis Castro yang memerintah mereka pada hari ini. Hanya dengan itu dapatnya warisan Che Guevara dicapai. John Lee Anderson merumuskan warisan ini:


Dengan kematiannya, mereka berharap, mitos Che Guevara akan berakhir. Sebaliknya, mitos Che telah bertumbuh dan berpusar keluar dari kawalan sesiapa. Berjuta-juta orang telah berkabung kerana kematiannya. Penyair dan ahli falsafah telah menulis sanjungan kepadanya, ahli-ahli muzik telah menulis lagu, dan pelukis telah melukis potretnya dalam pelbagai bentuk berwira… Dan sambil pemuda-pemudi di Amerika Syarikat dan Eropah Barat bangkit menentang pihak berkuasa berkenaan dengan Perang Vietnam, prasangka rasis dan ortodoksi sosial, wawasan tabah Che menjadi lambang baik pemberontakan subur mereka yang akhirnya gagal. Badan Che mungkin melesap, tetapi semangatnya terus hidup; Che tidak terdapat di mana-mana dan berada di merata-rata pada masa yang sama.

Blackend Is The End

Dyers Eve