To Live Is to Die

free counters

Khamis, 7 Julai 2011

Memori bersama Saudara Choo Chon Kai PSM


Pada tahun 2001, semasa saya masih menuntut di Universiti Sains Malaysia satu peristiwa bersejarah telah berlaku. Dua orang pelajar tahun akhir diambil tindakan tatatertib oleh HEP dibawah Seksyen 15, Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib). Kedua-dua pelajar ini diambil tindakan tatatertib kerana memberi kenyataan akhbar dan salah seorang daripada mereka menyimpan badge Mansuhkan ISA. Kedua-dua pelajar ini bernama Lee Yen Ting, Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai..

Selepas beberapa bulan kejadian ini, saya telah mendapat peluang untuk berjumpa dengan salah seorang aktivis pelajar ini. Beliau adalah saudara Choo Chon Kai. Perwatakan saudara Chon Kai yang cukup sederhana menarik hati saya. Saya bertemu dengannya di dalam satu mesyuarat Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM), sebuah kumpulan akar umbi yang bekerja rapat dengan pekerja-pekerja ladang dan kilang. Di dalam mesyuarat ini, saudara Chon Kai telah menyatakan hasratnya bekerja dengan KKM dan telah diberi tugas mengorganisasi perjuangan Pekerja Ladang Sungai Getah pada tahun 2002 yang berjuang mendapat tenaga elektrik dan air.

Setiap minggu, saya bersama Saudari Kalai Joethi dan Chon Kai melawat pekerja Ladang Sungai Getah. Sewaktu saya bekerja dengan Chon Kai, saya dapat melihat keazaman beliau menolong pekerja yang ditindas. Beliau tegas dengan pendiriannya. Pada waktu itu, Chon kai telah pun mula bekerja sebagai coordinator SUARAM di Pulau Pinang. Semangat aktivisme menjadi nadi perjuangan saudara Chon Kai.

Selepas graduasi, saya telah meninggalkan USM dan mula melakukan kerja-kerja akar umbi bersama Community Development Centre (CDC). Saya masih dapat berjumpa dengan Chon Kai di dalam mesyuarat-mesyuarat JERIT. Chon Kai kelihatan lebih matang dalam hujahannya. Idea-ideanya berasaskan sosialisme. Chon Kai menjadi ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau menjadi ahli pusat Biro Antarabangsa. Beliau telah banyak menyumbang kepada perjuangan PSM. Beliau banyak mengajar lagu-lagu perjuangan dan juga mengubah lagu-lagu tersebut.

Saya masih tidak dapat menerima hakikat beliau telah ditangkap di bawah Ordinan Darurat. Ini merupakan satu diskriminasi yang dilakukan kepada aktivis-aktivis muda seperti saudara Chon Kai. Pemerintah rakus dengan kuasanya dan mengekang kebebasan saudara Chon Kai. Semasa beliau dilawati oleh komrad PSM sewaktu beliau di dalam tahanan polis, saudara Chon Kai mengatakan pihak pemerintah dan polis telah melakukan kesalahan besar kerana penahanan beliau bukan melumpuhkan semangatnya malah menjadikan beliau lebih kuat untuk berjuang.

Penahanan enam orang aktivis PSM dengan menggunakan Ordinan Darurat merupakan satu tindakan mencabuli hak asasi mereka. Semua rakyat mempunyai hak untuk perbicaraan di mahkamah. Malangnya, keenam-enam komrad PSM ini tidak mendapat akses kepada peguam bela mereka. Kesemua hak mereka dicabuli oleh Kerajaan BN dan PDRM. Saya sebagai komradnya, saya akan berjuang untuk pembebasan saudara Chon Kai dan lima komrad-komrad yang lain. Mereka merupakan tahanan politik dan bukannya penjenayah. Mereka ditahan kerana bercakap benar dan menolong rakyat marhen untuk mendapat keadilan. Penindasan sebegini tidak patut berlaku ke atas aktivis-aktivis pro Rakyat. Namun kami akan berjuang untuk pembebasan kesemua 6 aktivis PSM dari tahanan EO. Selagi nyawa dalam diri, perjuangan ini tidak akan terhenti.

Salam perjuangan.

Nithiyavani PSM

Blackend Is The End

Dyers Eve