To Live Is to Die

free counters

Jumaat, 9 September 2011

GOLONGAN KIRI PELOPOR KEPADA PERJUANGAN KEMERDEKAAN

” Tarikh 31 Ogos yang disambut saban tahun itu merupakan perayaan berhubung dengan kemerdekaan Malaya dari tangan Inggeris sebagai sebuah Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Perjuangan kemerdekaan bukan bermula dengan perjuangan UMNO menentang Malayan Union pada tahun 1946. Sebenarnya, perjuangan kemerdekaan telah bermula lama sebelum itu, sejak zaman para ulama, pembesar dan pahlawan Melayu yang menentang penjajahan.

Ketika Melaka diserang dan ditawan Portugis pada tahun 1511, muncul Bendahara Tepok yang tampil ke hadapan menentang serangan itu, walaupun tidak berjaya.

Pada abad ke-19 penjajah Inggeris mula bertapak di semenanjung. Penentangan berlaku di Perak, Pahang, Kelantan dan di negeri-negeri lain.

Di Perak, Dato’ Maharajalela memimpin penentangan rakyat terhadap Inggeris. Tentangan itu mencapai kemuncaknya dengan pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Dia ditetak oleh Seputum ketika sedang mandi sungai.

Akibatnya, Dato’ Maharajalela dihukum gantung (Dua tahun lalu Sultan dan Kerajaan Perak telah membawa pulang jasad dua orang pahlawan Melayu, Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dan Laksamana Muhammad Amin Alang Duakap yang dituduh Inggeris terlibat dalam pembunuhan Birch, dari sebuah perkuburan di pulau Singapura untuk disemadikan di Perak dengan penuh penghormatan).

Di Pahang pula, Dato’ Bahaman telah memimpin gerakan penentangan rakyat terhadap Inggeris. Bersamanya, ialah Tuk Gajah dan Mat Kilau. Di Kelantan pula Tuk Janggut memimpin penentangan rakyat terhadap cubaan Inggeris mahu mengenakan cukai terhadap rakyat.

Kini Dato’ Bendahara, Dato’ Maharajalela, Datuk Bahaman dan Mat Kilau dan Tuk Janggut telah menjadi legenda. Sungguhpun buku-buku sekolah cuma ada menyebut sedikit mengenai mereka, tetapi perjuangan mereka itu dinafikan. Mereka dinafikan daripada menjadi pejuang kemerdekaan negara. Sejarah itu yang cuba dinafikan oleh mereka yang menjadi petualang bangsa.

Di antara tahun 1941 hingga 1945, Jepun menduduki Tanah Melayu setelah berjaya menghalau Inggeris. Namun kedatangan Jepun itu juga turut mendapat tentangan rakyat negara ini. Ia dipelopori oleh gerakan anti-Jepun yang berpusat di dalam hutan dengan dibantu oleh unit-unit rahsia di seluruh kawasan pinggir bandar dan kampung.

Tidak berapa lama sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kuomintang Malaya yang bergerak secara sulit telah mengumumkan penggabungan dalam perjuangan mereka menentang Jepun.

Sebelumnya, kedua-dua pertubuhan ini saling bermusuhan sama seperti apa yang berlaku di Tanah Besar China. Apabila Jepun datang ke Tanah Melayu, Barisan Kumkuo dengan sendiri menjadi barisan depan dalam penentangan terhadap Jepun.

Sebagai barisan tempur, PKM telah membentuk Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA), manakala Kuomintang mendirikan apa yang dikenali dengan nama yang sama, tetapi dengan hanya sedikit perbezaan pada lambang topinya.

Selain daripada Barisan Kumkuo, ada gerakan melawan Jepun yang lain seperti Force 136 (yang dibentuk oleh kerajaan British) dan askar Wataniah di Pahang, yang tidak begitu terkenal.

Perkampungan orang asli telah menjadi tumpuan pasukan ini, Force 136 pada mulanya dengan menjadikannya pusat perhubungan dan mengadakan kegiatan. Sebahagian besar orang asli bekerjasama dengan kumpulan ini.

Wataniah dibentuk dan ditadbirkan oleh orang-orang Melayu yang bencikan Jepun, tetapi pro-Inggeris. Sebahagian besar anggota wataniah ini adalah bekas pegawai kerajaan Inggeris yang masih ‘setia kepada tuan lama’. Wataniah sering berhubung dengan Force 136 memberikan banyak maklumat tentang gerakan penentangan. Mereka berperanan sebagai talam dua muka Jepun.

Persefahaman di antara Kumkuo dengan Force 136 dan Wataniah cukup baik. Mereka tidak pernah bertembung sesama sendiri sebab matlamat mereka ialah untuk menentang kehadiran Jepun di Tanah Melayu.

Keseluruhan kaum Cina yang tinggal di bandar dan kampung memberikan kerjasama yang baik kepada barisan Kumkuo dan barisan tempurnya. Walaupun kerjasama itu berjalan secara tidak jelas, namun kesannya menyulitkan Jepun juga.

Hukuman gantung dan penyiksaan lain yang diterima telah tidak sedikit pun melemahkan semangat juang mereka. Ini yang membuatkan barisan ini lebih terkemuka berbanding dengan yang lain.

Konotasi di atas dibuat bagi menunjukkan bagaimana hebatnya gerakan penentangan terhadap Jepun. Kemudian selepas Perang Dunia Kedua, gerakan kemerdekaan berkembang pesat di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Di Tanah Melayu, PKM telah muncul sejak sebelum perang lagi. Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Haji Yaakob ditubuhkan pada tahun 1939. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) ditubuhkan pada tahun 1945 sebaik sahaja Jepun menyerah kalah.

Sayap pemuda KMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam, sementara sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) digerakkan oleh Shamsiah Fakeh.

Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi dan Pak Sako – tokoh nasionalis yang merupakan pejuang tulen kemerdekaan tanah air. Mereka bersama dengan beratus-ratus pejuang lain yang kurang ternama, telah dipenjarakan bertahun-tahun oleh penjajah Inggeris di bawah Undang-undang Darurat, 1948.

(Nota: Siapakah penghasut @ petualangnya kalau bukan UMNO!).

Di antara pejuang-pejuang kemerdekaan itu, ramai yang dibunuh, dihukum gantung atas pelbagai tuduhan dan dibuang negeri oleh penjajah Inggeris.

Maharaja Lela dan lima orang rakannya telah digantung di Matang, Taiping. Sultan Abdullah, menteri, laksamana dan syahbandar telah dibuang di kepulauan Seycheles, di Lautan Hindi. Setelah beberapa tahun baru Sultan Abdullah dibenar-kan pulang, itu pun ke Singapura. Lima belas tahun kemudian baru dibenarkan pulang ke Kuala Kangsar.

Namun bagi sesetengah pejuang lain, melarikan diri ke dalam hutan dan meneruskan perjuangan dari sana adalah cuma satu pilihan yang ada. Ada yang terus melarikan diri ke luar negara (seperti Musa Ahmad) untuk mengelakkan diri mereka daripada merengkok bertahun-tahun dalam penjara (seperti apa yang telah dialami oleh Dr Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar Baqir, Cikgu Sabrun, Sutan Djenain dll).

Abdullah CD, Che’ Dat, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi meneruskan perjuangan mereka dengan menyertai gerakan komunis pimpinan Chin Peng (Ong Boon Hua). Chik Degong serta Musa Batu Kurau adalah di antara pejuang Melayu yang ikut sama.

(Nota: Mereka bukan jadi komunis dengan menganut faham komunis seperti yang digembar-gemburkan oleh penjajah Inggeris. Malah ketika di sekolah dahulu, Guru Besar sering mengingatkan murid-murid agar tidak memandang serong terhadap cikgu kami, Ong Boon Kooi dan Ong Boon Chuan, adik Chin Peng @ Ong Boon Hua – Penulis).

Tun Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, dalam ucapan beliau ketika menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1973 telah menyebutkan bahawa pejuang-pejuang dari golongan kiri perlu diiktiraf.

Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin dan Pak Sako ada menerima ‘sedikit’ pengiktirafan. Namun mereka dan beratus-ratus lagi pemimpin yang tidak ternama terus hidup menderita dan terpinggir. Keluarga mereka juga menderita ketika pejuang-pejuang ini berada dalam tahanan di penjara atau ketika menjadi pelarian (di tanah air sendiri).

Ada pemimpin buruh seperti A. Ganapathy telah duhukum gantung hanya kerana dituduh melibatkan diri dalam perjuangan komunis. Abdullah CD, Che’ Dat, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh malah Chin Peng sendiri dicap sebagai pengganas komunis. Ia merupakan tohmahan yang mudah dibuat, sama seperti tuduhan Bush terhadap pejuang Islam sekarang yang dicap pengganas.

Namun, tidak sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa mereka juga berjuang untuk kemerdekaan tanah air mereka sendiri. Memang mereka berjuang dengan mengangkat senjata, tetapi apa yang dapat dibuat apabila Inggeris mengerahkan anak-anak Melayu yang tidak tahu apa-apa itu memburu mereka di dalam hutan, juga dengan senjata?

Pasukan keselamatan seperti polis dan SC dari kalangan anak pribumi ditubuhkan buat menjaga kepentingan Inggeris di negara ini. Mereka menjaga segala pos kawalan, balai dan menjadi pengiring kepada semua tuan-tuan estet bangsa Inggeris.

Namun ketika dalam perjuangan, apabila menghadapi keadaan sebegini apa pilihan yang ada? Sedangkan para pejuang ini terus-terusan dicap sebagai pengganas! Mereka dicap pengganas hanya kerana memperjuangkan kemerdekaan tanah air sendiri!

Di India, Indonesia dan banyak negara lagi, orang-orang komunis bersama-sama dengan pejuang-pejuang lain tetap diingati akan sumbangan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Oleh yang demikian, buku-buku sejarah dan teks sekolah hendaklah tidak diselewengkan fakta dan urutannya dengan membohongi sejarah yang telah terlakar. Para pejuang yang telah menitiskan darah dan air mata demi tanah air tercinta tidak sepatutnya diberikan label dan cop yang berlainan.

Merdeka bukan setakat perjuangan melaungkannya di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Ia bukan setakat ucapan Tun Razak atau oleh para pemimpin UMNO yang sebelumnya tidak berani pun menyebutkan perkataan ‘merdeka’. Sebaliknya, ada ramai lagi yang lain, yang dengan sengaja cuba dilupakan.

KENYATAAN DR BURHANUDIN AL HELMI DAN PANDANGAN PAS TERHADAP KOMUNIS YANG PERLU ANDA BACA


Keretangan: Ini adalah kutipan pidato Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang disampaikan dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada bulan Disember 1956.

Walaupun pidato ini dibuat sesuku abad lebih dahulu, akan tetapi ia merupakan sebuah dokumen sejarah yang sangat penting yang perlu dipelajari oleh segenap patriot tanah air kita dalam mengharungi pergolakan politik dewasa ini

. Antara lain ucapan ini membongkarkan sikap kompromi dan menyerah pucuk pimpinan UMNO terhadap penjajah British dalam soal kemerdekaan, membentangkan cara memecahkan masalah perjuangan bersenjata yang dipimpin Parti Komunis Malaya serta mengumumkan idea pembimbing yang bernilai tentang perlunya tenaga-tenaga patriorik tanah air kita khasnya tenaga-tenaga nasionalis, agama dan sosialis menggabungkan diri demi membela tanah air dan rakyat. Idea pembimbing ini bukannya terbentuk secara kebetulan, tapi telah dirumuskan oleh beliau berdasarkan pengalaman perjuangannya dalam sejarah khasnya ketika memimpin barisan bersatu PUTERA – AMCJA dahulu. Ucapan asalnya sangat panjang.

Yang diterbitkan di sini merupakan ringkasan dan sedutan dari pidato tersebut yang telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 3 haribulan Januari 1957. Tajuk-tajuk kecilnya diberikan sendiri oleh penerbit.



1. Sikap Menyerah Pucuk Pimpinan UMNO Kepada Penjajah


Apa yang harus dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu ialah membetulkan diri sendiri, membetulkan cara-cara perjuangan mereka sendiri. Bukanlah dengan memfitnah orang lain, maka mereka akan dapat memuaskan hati pengikut-pengikut mereka sendiri. Dengan membetulkan diri sendiri, pemimpin-pemimpin itu akan memberikan sumbangan besar kepada perjuangan kemerdekaan tanah air, sebab dengan membetulkan dan memperbaiki diri sendiri, mereka akan dapat menemukan jalan-jalan yang benar dan sesuai untuk memperjuangkan kemerdekaan rakyat, dan ini akan menguntungkan perjuangan kemerdekaan rakyat seluruhnya.

Selalu saja terdengar dari mulut sesetengah golongan UMNO: “Tunggulah hingga tahun 1957. Kita akan bertindak mengadakan perubahan dalam pimpinan. Sabarlah sehingga 1957.” Mereka takut kalau mereka bertindak sekarang mengadakan langkah-langkah memperbetulkan pimpinan-pimpinan merka, maka Malaya tidak akan merdeka dalam tahun 1957.

Sikap ini samalah juga dengan sikap Tunku Abdul Rahman. “Kita harus bertindak sekarang secara yang boleh direstui oleh penjajah, secara yang tidak boleh dicurigai oleh penjajah. Kalau kita bertindak di luar dari garis itu, kalau kita menyakiti hati penjajah, maka penjajah tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada kita nanti di tahun 1957”. Sikap inilah yang menyebabkan pengkhianatan moral terhadap perjuangan Mesir oleh pimpinan UMNO. Dengan lain perkataan, pimpinan-pimpinan UMNO mengakui bahawa taktik kompromis, taktik beralah dan menyerah dalam soal-soal yang pokok, mengenai kepentingan rakyat adalah jaminan kemerdekaan tanah air kita. Dengan lain perkataan pimpinan UMNO tidak percaya kepada kekuatan rakyat, tetapi kepada kebijaksanaan pimpinan itu, beralah dan menyerah kepada penjajah.

Dan kalangan-kalangan UMNO yang tidak puas hati kepada kebijaksanaan menyerah dan beralah kepada penjajah yang ada pada pihak pimpinan UMNO sekarang tetapi sebaliknya mau pula menunggu hingga tahun 1957 untuk mengadakan koreksi-koreksi, perbaikan-perbaikan dan perubahan-perubahan kepada pimpinan UMNO itu, adalah sebenarnya bersubahat dengan pimpinan itu dalam taktik menyerah dan beralah kepada penjajah, yang dilakukan oleh pimpinan mereka sendiri sekarang ini.

Rakyat yang jujur kepada perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air, yang ingin mengabdikan diri kepda kepentingan rakyat seluruhnya, memikul tanggungjawab yang berat dalam parti masing-masing. Mereka hendaknya sentiasa waspada, sentiasa meneliti dan mengawasi perjuangan pemimpin-pemimpin mereka, hendaknya bertindak mengubah dan memperbaiki perjalanan pemimpin-pemimpin mereka bila kelihatan nyata perjalanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin mereka tidak setia kepada cita-cita rakyat.

Inilah sikap kita terhadap UMNO. Kita tidak memusuhi UMNO, kerana UMNO adalah mewakili segolongan rakyat yang mahu merdeka. Kita tidak memusuhi UMNO sebagai satu lambang di mana segolongan rakyat kita sendiri berkumpul, bergerak dan berjuang untuk mencapai cita-cita tanah air.

Tetapi kita tidak dapat mendiamkan diri daripada mengkritik, daripada memberikan fikiran dan teguran kita, demi kepentingan rakyat, kerana tegur-menegur, nasihat-menasihati, adalah rukun hidup manusia yang sejati, kerana hanya dengan tegur -menegur, nasihat-menasihati, dapat kita sama-sama membetulkan dan memperbaiki diri kita, dapat kita didorong dengan kekuatan baru, tenaga-tenaga baru ke arah cita-cita bersama.

Rakyat yang berdiri di belakang PAS adalah mempunyai cita-cita yang sama dengan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, bahawa tiap-tiap mereka, tiap-tiap rakyat yang berdiri di belakang PAS dan rakyat yang berdiri di belakang UMNO menghendaki satu negara yang bebas merdeka dan berdaulat.

Kalau kita melihat pemimpin-pemimpin UMNO tidak jujur, tidak betul, tidak tegas memimpin rakyatnya, maka adalah kewajipan kita sebagai nasionalis, sebagai patriot, sebagai kawan seperjuangan yang bergerak di bawah lambang perjuangan UMNO, untuk mengkritik, untuk menegur pimpinan UMNO itu.

Demikian juga sebaliknya. Kalau pimpinan kita tidak jujur, tidak ikhlas terhadap rakyat, adalah kewajipan rakyat yang berdiri di belakang UMNO, yang berkumpul di bawah lambang perjuangan UMNO untuk mengkritik kita, untuk menasihati kita.

Kerana banyaklah titik-titiik pertemuan di antara perjuangan kita dengan perjuangan rakyat yang berdiri di belakang UMNO. Dan titik-titik pertemuan itu boleh merupakan satu jaminan yang kukuh, satu pertalian persaudaraan yang kuat yang mengikat kita bersama sebagai satu rakyat tanah jajahan yang hauskan kemerdekaan dan kemuliaan bangsa dan tanah airnya, yang saling kuat-memperkuat, pupuk- memupuk dan dorong-mendorong perjuangan kita bersama.



2. Memecahkan Perang Di Malaya Dengan Cara Damai

Sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya mendapat dorongan-dorongan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat di negara-negara lain, sebagaimana juga perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya tak dapat dipisah-pisahkan daripada perjuangan kemerdekaan rakyat anak-anak jajahan di negara-negara lain, demikian jugalah perjuangan kemerdekaan dari setiap negara yang progresif dan demokratis dalam masyarakat Malaya ini, tidak dapat dipisah-pisahkan antara satu sama lain, melainkan tali menali, pengaruh-mempengaruhi, saling dorong mendorong dan saling kuat memperkuat. Tenaga-tenaga yang progresif dalam tiap-tiap parti, dalam tiap-tiap golongan dalam masyarakat, pengaruh – mempengaruhi satu sama lain, dan kekuatan seluruh inilah yang menentukan arah dan tujuan perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan rakyat Malaya.

Kalau kita berpegang kepada prinsip bahawa komunizem boleh dihancurkan dengan kekuatan tentera di tanah air kita sendiri, maka terpaksalah pula kita berpegang kepada prinsip itu bahawa kekuatan tentera juga harus dipergunakan untuk membasmi komunizem sedunia. Apakah kita mengingini perang di dunia, menceburkan diri ke dalam kancah peperangan dunia ketiga semata-mata untuk membasmi komunizem?

Komunizem adalah satu faham internasional. Peleburan pemberontakan itu di Malaya tidak akan bererti bahawa faham itu akan hancur. Kerana faham itu bercorak internasional. Apa lagi faham itu timbul dan lahir dari kemelaratan dalam sistem masyarakat. Kerana ia lahir dari masyarakat, dari kemelaratan masyarakat, maka ia harus dibasmi dengan pengetahuan kemasyarakatan pula, bukan dengan pengetahuan ketenteraan, bukan dengan kekerasan senjata.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah bertentangan dengan aliran dan faham komunis. Islamizem dan komunizem tidak, dan tidak dapat disesuaikan. Tetapi ini tidak pula bererti PAS tidak mempunyai sikapnya sendiri terhadap masalah pemberontakan Parti Komunis Malaya.

PAS mengaggap bahawa komunis adalah satu penyakit dalam masyarakat, satu penyakit yang lahir dari kemelaratan dan kesengsaraan dalam masyarakat kita sendiri. PAS mempunyai keyakinan terhadap kekuatan ideologinya sendiri, terhadap kesucian dan kemuliaan ke-Islamannya, untuk mengatasi sebarang ideologi yang lain. PAS mempunyai keyakinan kepada kekuatan keimanan rakyatnya untuk menghadapi persaingan dan perlumbaan ideologi yang lain. Kami berkeyakinan bahawa dalam persaingan dan perlumbaan yang aman damai antara ideologi-ideologi di dalam masyarakat kita, maka ideologi kitalah yang akan dapat menakluki ideologi-ideologi yang lain. Kerana itulah PAS menghendaki pemecahan dan penyelesaian yang aman damai kepada soal komunizem di tanah air kita, menghendaki agar ideologi komunis itu ditentang dengan aman dan damai, demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaya sendiri.

Kita memerlukan pemecahan dan penyelesaian yang damai kerana kita sendiri telah mengalami betapa Darurat atau tegasnya peperangan di Malaya selama 8 tahun ini telah memakan korban politik, ekonomi dan moral rakyat kita sendiri. Lanjutan dari peperangan ini hanya akan mengakibatkan keruntuhan ekonomi dan keruntuhan akhlak rakyat kita sendiri dan sebaliknya menguntungkan penjajah semata-mata.

Selama 8 tahun peperangan membasmi komunizem di Malaya telah dijalankan secara penjajah. Masanya telah tiba sekarang untuk memecahkan dan menyelesaikan soal itu dengan cara rakyat dengan corak rakyat.

Seluruh dunia bergerak berikhtiar menegakkan keamanan dan perdamaian. Konresensi Afro – Asia di Bandung menjadi titik sejarah dalam perjuangan manusia untuk menegakkan keamanan dan perdamaian. Tenaga-tenaga manusia yang mengingini, yang mencintai keamanan, yang mencintai demokrasi dan yang mencintai kesejahteraan umat manusia, makin kuat dan makin kukuh. Malaya dan rakyatnya harus memberikan sumbangan kepada usaha maha besar, kepada tugas maha suci untuk menegakkan keamanan dan perdamaian dunia. Dan bagaimanakah kita dapat memberikan sumbangan itu kalau kita sendiri tidak dapat memecahkan soal rumah tangga kita sendiri secara aman dan damai?

Cara memecahkan dan menyelesaikan satu-satu problem, satu-satu kerumitan yang dihadapi oleh umat manusia tidak lagi berdasarkan kekerasan, tidak lagi berdasarkan senjata atom, kereta kebal, senapang dan mesingan . Segala kesulita, kerumitan dan kekusutan dunia, kesulitan dan kerumitan umat manusia kini dipecahkan dan diselesaikan di meja perundingan, dengan bertolak ansur, dengan hormat-menghormati sikap dan pendirian satu sama lain.
Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS.


3. Memadukan Tenaga-tenaga Nasionalizem, Keagamaan dan Sosializem

Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.

Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.

Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat.

Kerana itu PAS sanggup bekerjasama dengan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliaran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak rakyat.

Perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai dari datuk nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan Empayar Melaka dulu. Dan sudah barang tentu perjuangan yang sebesar itu menghendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela dan jujur dari segenap golongan progresif dalam masyarakat.

Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosializem yang sihat dalam masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air ktia.

Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga itu. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajah, cita-cita kita bersama mengingini satu negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat.

Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.

Sesetengah pihak mengatakan bahawa setelah tahun 1957 kelak, barulah boleh segala parti di Malaya memperjuangkan ideologi masing-masing dan buat sementara ini, segala parti di Malaya harus bersatu, dengan menyingkirkan ideologi masing-masing.

Tetapi saya berpendapat bahawa sekarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan iaitu cita-cita menegakkan satu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat.

Apa yang dicita-citakan oleh rakyat, apa yang menjadi cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan segenap lapisan dan segenap golongan rakyat ialah kemerdekaan politik tanah airnya, kemerdekaan ekonomi tanah airnya untuk mencapai cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan ini, masing-masing golongan mempergunakan ideologi masing-masing, yang akan diisi ke dalam gerakan nasional itu.

Tetapi untuk tiap-tiap seorang sosialis, maka ideologi sosialiszem adalah dipergunakan olehnya sebagai tempat pegangannya, memperhitungkan dan mempertimbangkan sesuatu masalah hidupnya, malah tanah airnya, bahkan masalah perjuangan kemerdekaan tanah air dan bangsanya.

Tegasnya lagi, adalah satu impian saja untuk seseorang sosialis mengharapkan bahawa sosialiszem yang menjadi ideologinya itu boleh ditubuhkan dan ditegakkan dalam satu negara yang belum merdeka dan berdaulat dalam politik dan ekonominya.

Pendeknya, sosializem tidak dapat ditubuhkan dalam taman yang masih semak samun dalam belukar-belukar penjajahan.

Jadi tugas kita yang pokok sekarang, tak kira apa ideologi kita ialah meperjuangkan dulu kemerdekaan politik dan ekonomi tanah air kita, memperjuangkan dulu kemerdekaan dan kedaulatan yang menjadi cita-cita kebangsaan setiap golongan dan lapisan rakyat negeri ini.

Ideologi nasionalizem atau kebangsaan ialah mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan social, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran rakyat bersih dari sebarang pengaruh penjajahan. Ideologi sosializem timbul sesudah terdiri ideologi nasionalizem dan bertumbuh di atas itu menurut sifat dan muslihat sesuatu bangsa hingga tercapai pula keadilan sosial atas bentuk asas sosializem primitif menurut perkembangan secara ilmiah (sainatifik). Semua izem ini timbul dari pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini.

Ideologi Islam atau Islamizem adalah berbeza dan berlainan daripada izem-izem yang lain. Keistimewaan Islamizem ialah datangnya sebagai hukum ketetapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat diubah-ubah dan ditukar-tukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu saja. Islamizem tegasnya hukum Tuhan bagi seseorang dalam perjuangan dalam masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.

Kerana itu dalam peringkat perjuangan sekarang marilah kita mencapai dan mengisi cita-cita nasional kita bersama-sama dengan parti dan puak-puak yang lainnya. Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita sama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalizem yang tulin dan angkatan sosializem.

Marilah kita mulai sekarang mengatur barisan kita bersama ke arah cita-cita itu, cita-cita nasional dan cita-cita kebangsaan itu!

tamat

SURAT RASMI CHIN PENG KEPADA TENGKU BUKTI KOMUNIS MAHUKAN KEDAMAIAN

.

GAMBAR GAMBAR TENTERA ZIONIS SELEPAS MERDEKA


Tentera zionis dalam sambutan hari kemerdekaan tahun 1960
7 Platoon C Coy 60-61
7 Platoon at LZ Sydney
A section of 4 Platoon 1960 Sungai Siput

Battalion Parade 1969

PAK SAKO PERJUANG KEMERDERKAAN HALUAN KIRI

Pak Sako, atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhamad, dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Mukim Perak, Temerloh, Pahang - negeri yang pernah melahirkan pahlawan bangsa yang agung - Datuk Bahaman.


Beliau adalah seorang pejuang kemerdekaan yang besar dan sekali gus juga seorang sasterawan rakyat yang progresif dan bercita-cita tinggi. Seumur hidup beliau telah disebatikan dengan cita-cita untuk kemerdekaan tanah air.


Beliau pernah menyertai KMM dan kemudiannya mengambil bahagian dalam menubuhkan PKMM. Saya menemui beliau apabila PKMM berpindah ke Kuala Lumpur dan menerbitkan akhbar Pelita dan majalah Suluh. Pak Sako telah dijemput menjadi salah seorang anggota sidang pengarangnya. Walaupun elaun penulis amat kecil, beliau bukanlah bekerja untuk mengejar keuntungan peribadi, malah untuk mempropagandakan cita-cita merdeka, untuk menyedarkan seluruh rakyat mengenai apa itu merdeka dan bangun berjuang untuk merdeka.

Dengan menggunakan kemahirannya di bidang kesusasteraan, beliau telah membangkitkan hati nurani rakyat untuk cita-cita merdeka. Pena beliau ibarat keris tajam yang sentiasa menikam jantung penjajah, membela keadilan dan membela rakyat jelata.

Beliau adalah seorang pemimpin penting PKMM. Bersama-sama dengan pejuang kemerdekaan lainnya dari pelbagai kaum dan aliran, beliau pernah ikut merasai pahit maung liku-liku jalan perjuangan untuk kemerdekaan, dan pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British di bawah Undang-undang Darurat.

Selepas keluar penjara, beliau bersama Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan lain-lain aktif dalam Partai Rakyat dan Partai Buruh.

Pak Sako telah meninggal dunia pada 8 November 1999. Pemergiannya merupakan satu kerugian besar negara. Sumbangannya yang besar untuk cita-cita kemerdekaan kekal abadi dalam sejarah.

Blackend Is The End

Dyers Eve