To Live Is to Die

free counters

Ahad, 26 Ogos 2012

BONGKAR SIAPA SEBENAR TUNGKU ABDUL RAHMAN


Bagaimanakah laungan ‘Merdeka’ oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan AWAS sebelum diharamkan penjajah?

Ikuti pandangan YDP PAS BATU, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API bersama Pengarang Berita, TARMIZI MOHD JAM.

Harakah: Saban tahun, menjelang Ogos nampaknya kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen sambutan hari kemerdekaan. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Walhal faktanya palsu…

CIKGU ISHAK SURIN: Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan.

Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan. Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku pada waktu merdeka dulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan?

Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Pada saya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini. Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah.

Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.



Harakah: Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Begitu…

Cikgu Ishak Surin: Ya. Ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Ia tak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah. Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini, kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng! Dalam hal ini, saya amat bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union. Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan.

Tunku Abdul Rahman

Sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Merekalah yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di tanahair kita. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini.

Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman. Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

Harakah: Jadi, bila Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan?

Cikgu Ishak Surin: Selepas pejuang kemerdekaan tulin macam Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan. Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS. Kita kena tahu, Umno ketika itu adalah anak didik penjajah dan bukan penentang penjajah.

Harakah: Tadi disebut kumpulan awal macam KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah. Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Cikgu Ishak Surin: Inggeris tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yag tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris.

Jika ditakdirkan mereka ini berjaya memerdekakan tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini. Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi.

Kita diikat oleh penjajah. Dan yang sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini ialah Umno. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin macam Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tak dapat berjalan.

Harakah: Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. Bagaimana Cikgu melihat, ‘jenayah’ ini boleh dibetulkan?

Cikgu Ishak Surin: Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting.

Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah,pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara.

Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah merdeka kepada rakyat untuk mengenyahkan penjajah ketika itu.

Harakah: Mengapa Cikgu kata Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman?

Cikgu Ishak Surin: Saya setuju dengan satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor. Buku itu dakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakanya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim.

Ibrahim Yaakob

Bagaimana kita lihat, dia membentuk jaringan dari sini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.

Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi saya, Ibrahim Yaakoblah patut dinobatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa.

Harakah: Jika begitu realitinya, apakah terdapat usaha dari pihak PAS untuk membetulkan senario ini atau menggerakkan suatu penulisan semula sejarah kemerdekaan Malaysia?

Cikgu Ishak Surin: Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti.

Bagi saya, penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan.

Semuanya ini kita mesti persoalkan semula secara serius. Bukan main-main. Kita kena buat satu jawatankuasa khusus untuk tujuan ini. Saya percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini.

Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno. Saya yakin,fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka.

Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia. Saya setuju, PAS mesti mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno.- (TMJ)

PS :Bukan tujuan kami untuk berpolitik melalui petikan dari Harakah ini, akan tetapi kami merasakan banyak perkara yang bersangkutan dengan sejarah Semenanjong Melaka, kemudiannya ditukar kepada Semenanjong Tanah Melayu, yang terdiri dari pelbagai rumpun dan telah di’melayu’kan oleh penjajah Inggeris perlu dilihat dan dikaji semula, bukan setakat zaman kemerdekaan sahaja malah jauh lebih awal dari it

SIAPA LELAKI INI?


IKUTI CATATAN PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA BAPA ABDULLAH CD TENTANG PERJUANGAN KEMERDEKAAN YANG TELAH DI LENYAPKAN OLEH UMNO..


Tidak lama setelah saya balik ke Kuala Lumpur selepas menghadiri persidangan Asia, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjemput Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Mustapha Hussein dan saya untuk menghadiri pula suatu kongres di Gunung Semanggol, Perak. Beliau mengirim keretanya untuk membawa kami ke sana.

Perjalanan kami diatur oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dengan bantuan penasihatnya, Mustapha Hussein. Sebelum tiba di Gunung Semanggol, kami singgah di beberapa tempat bersejarah yang juga kubu kuat PKMM iaitu Beruas, Air Tawar dan Lumut.

Mengikut sejarah, di Beruas pernah muncul sebuah kerajaan Melayu Islam yang awal. Kerana sejarah nasionalisme inilah, kami singgah di sana. PKMM bahagian Beruas mengadakan rapat umum untuk menyambut kami. Dr. Burhanuddin Al-Helmy dihadiahkan kalungan bunga. Kemudian atas usulan Mustapha Hussein, kalungan bunga itu dilelongkan sebagai cara mengutip derma untuk PKMM. Kami masing-masing membuat ucapan dalam rapat umum itu. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyampaikan laporannya berkenaan persidangan di New Delhi dan keadaan di Burma. Saya juga memberikan ucapan atas semangat kemerdekaan dan anti-kolonialisme. Satu destinasi lagi yang kami singgah ialah Air Tawar. Di sini tidak jauh dari Bota. Ayah saya pernah mendirikan sebuah rumah dan kami pernah tinggal di situ ketika permulaan Perang Dunia Kedua untuk mengelakkan tangkapan penjajah British. Masa itu sesiapa yang disyaki menjadi anggota KMM akan ditangkap. Dalam masa Perang Dunia Kedua, kawasan Air Tawar, dan kawasan lain di sepanjang Sungai Perak terkenal sebagai kubu kuat gerakan anti-Jepun. Dari Air Tawar kami bermalam di Lumut yang juga mempunyai sejarah nasionalisme Melayu. Bersetentangan dengan Lumut adalah Pulau Pangkor yang pernah mencatat sejarah permulaan penaklukan Inggeris ke atas Perak sehingga membawa kepada Perang Perak kemudiannya. Esoknya barulah kami meneruskan perjalanan ke Gunung Semanggol.

Di Gunung Semanggol, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan para wakil yang berada di situ menyambut ketibaan kami. Kami nampak bendera Merah Putih berbintang 12 – lambang Malaya merdeka – dikibarkan dengan megahnya.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy memberikan ucapan di majlis sambutan itu. Saya juga dijemput memberikan ucapan. Saya menyeru perpaduan di kalangan berbilang kaum berjuang untuk kemerdekaan di atas prinsip PKMM iaitu perpaduan nasionalisme, agama dan sosialisme. Saya sebutkan juga pengalaman India yang dipecahbelahkan oleh penjajah British.

Esoknya barulah diadakan kongres untuk merasmikan penubuhan Hizbul Muslimin. Wakil-wakil dari beberapa tempat memberikan ucapan berapi-api. Isi ucapan adalah mengenai memperjuangkan kemerdekaan tanah air dan menentang kolonialisme dengan mempersatukan tenaga nasionalis, agama dan sosialis. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir seorang ulama, guru agama dan sekali gus seorang nasionalis yang besar dipilih menjadi Ketua Hizbul Muslimin.

Pada kongres itu, saya dicadangkan sebagai Bendahari, tetapi kerana tugas ini amat rumit, maka saya tidak dapat menerimanya. Saya memberitahu bahawa kalau tugas lain saya boleh lakukan, kalau Bendahari kerjanya rumit, saya sudah banyak tugas. Mengikut taksiran saya, cadangan ini datang dari Mustapha Hussein. Beliau ada menyebut bahawa setiap bahagian dalam PKMM semuanya beres soal kewangannya di bawah kelolaan saya. Sebenarnya, kewangan yang kami gunakan untuk perjuangan ialah kewangan dari bahagian buruh. Kesatuan buruh paling banyak membuat sumbangan kewangan untuk perjuangan kemerdekaan.

Walaupun tidak lama masanya (kerana beberapa bulan lepas itu diisytiharkan Undang-undang Darurat), akan tetapi Hizbul Muslimin merupakan sayap bahagian Islam PKMM yang berjaya mempersatukan tenaga dari berbagai-bagai aliran untuk kemerdekaan di atas dasar yang diajukan Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu nasionalis-agama-sosialis.

Satu hal yang menarik dalam ingatan saya dari kongres itu ialah pertemuan saya dengan wakil dari Pattani, Hj. Mohd. Amin. Beliau banyak berbincang dengan Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, saya dan lain-lain berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan Pattani. Dalam ucapannya pada kongres, Mohd. Amin selain mengucapkan tahniah atas kejayaan kongres, juga menyampaikan laporan berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan orang Melayu Pattani.

Dalam ucapan pada kongres itu, saya atas nama Parti Komunis Malaya menyokong sepenuhnya kongres tersebut, menyeru berbagai-bagai aliran dan golongan yang patriotik-demokratik bersatu untuk cita-cita bersama – kemerdekaan tanah air. Selain itu, atas nama PKM saya juga menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Pattani, tetapi atas dasar kemampuan mereka sendiri, bukan secara masuk ke dalam rancangan kolonial British.

Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, institusi pengajian Islam dan institusi pengajian Inggeris pernah memainkan peranan penting. Daripada dua aliran ini telah lahir ramai tokoh pejuang kemerdekaan yang cemerlang. Dalam masa Perang Dunia Kedua, sejumlah pelajar dari aliran Islam seperti Taharuddin dari Perak, Mat Indra dan Kadir Murei’ih dari Johor, Ibrahim Chik dan Abu Samah dari Pahang, Musa Ahmad dari Pulau Pinang, Asri Hj. Muda dari Kelantan dan banyak lagi telah menyertai perjuangan anti-Jepun ataupun perjuangan anti-British untuk kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua.

Gunung Semanggol merupakan pusat pengajian Islam yang progresif di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Di situ telah lahir ramai tokoh politik Islam yang membawa kepada penubuhan PAS kemudiannya pada tahun 1951.

Menjelang Rejimen Ke-10 berangkat ke kawasan sempadan, saya mengatur hubungan dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol melalui seorang pekerja bawah tanah bernama Harun Ibrahim. Sayangnya, dia meninggal dunia tak lama selepas kami bertolak. Pemergian Harun, menyebabkan hubungan saya dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol dan dengan Dr. Burhanuddin terputus.

Pada 10 Zulhijah 1384 bersamaan dengan 20 April 1965, saya menubuhkan Parti Persaudaraan Islam Malaya (PAPERI). Penubuhan PAPERI ini juga disebabkan oleh kemajuan perjuangan golongan pelajar Islam di beberapa pusat pengajian Islam di tanah air.

Ada dua ilham yang membawa kepada pembentukan PAPERI iaitu:

Pertama, ilham dari Kongres Persatuan Islam Sedunia yang dilangsungkan di New Delhi, India pada tahun 1947. Dalam kongres itu saya dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk Malaya.

Kedua, ilham daripada gerakan Islam yang gigih memperjuangkan kemerdekaan seperti yang dilancarkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain.

PAPERI bertujuan meneruskan semangat perjuangan golongan Islam progresif tersebut. Mereka berhubung langsung dengan Markas Besar Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Beberapa cawangan kemudian ditubuhkan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain.

Syarat-syarat pembentukan PAPERI pula bukanlah dirancang daripada awal. Selepas gagalnya perundingan Baling pada tahun 1955, bahagian intelijen penjajah British telah memupuk anasir-anasirnya dari kalangan orang Melayu masuk ke tapak-tapak organisasi Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan.

Pernah suatu kali tak berapa lama selepas perundingan Baling, ada beberapa orang datang menemui regu penyusun massa Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Mereka mengakui diri mereka sebagai “utusan” bagi pihak kerajaan untuk mengadakan perundingan dengan Rejimen Ke-10. Saya memberi jawapan bahawa kalau pihak kerajaan benar-benar mahu berunding, cari sahaja Chen Ping.

Hal itu berlaku berkali-kali, walaupun dijelaskan bahawa perundingan haruslah melalui Chen Ping sendiri sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat. Akhirnya saya merasa ini bukan lagi ‘wakil,’ tetapi adalah muslihat intelijen British. Oleh itu saya memutuskan supaya dia ditahan dan diperiksa.

Hasil dari pemeriksaan didapati bahawa dia benar-benar dihantar oleh pihak Special Branch untuk memujuk kami menyerah diri. Mengambil peluang ini, unit penyusun massa Rejimen Ke-10 yang dipimpin oleh Suti memberikan penerangan terperinci berkenaan matlamat perjuangan Rejimen Ke-10.

Akhirnya ‘wakil’ tersebut memahami perjuangan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan tanah air. Dia menyatakan perasaan akan membantu perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Kami memberi tugas supaya mengembangkan revolusi di kawasan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand.

Di luar sangkaan kami, beberapa tahun kemudian, di Kelantan mulai berkembang dan terbentuk satu asas regu bawah tanah Rejimen Ke-10. Dari sinilah kami beransur-ansur menyebarkan semula semangat perjuangan PKMM, Hizbul Muslimin dan lain-lain di kalangan orang ramai dan pelajar-pelajar di pusat pengajian Islam di Kelantan.

Perkembangan gerakan di kalangan pelajar pusat pengajian Islam amat menggalakkan sehingga terbentuk syarat menubuhkan PAPERI seperti yang saya sebutkan di atas.

Seorang pengasas PAPERI ialah anggota KMM yang berasal dari Selangor. Beliau ikut serta dalam front persatuan anti-Jepun di bawah anjuran PKM. Dalam masa aman selepas Jepun kalah, dia menyokong gerakan kemerdekaan. Di samping itu, dia juga mengajar di sekolah agama di kawasan Ulu Langat.

LAGU PAPERI PAPERI, PAPERI, PAPERI Kitalah patriot Islam yang jaya lagi mulia Siapa bela rakyat dialah sahabat kita Siapa musuhi rakyat dialah musuh kita Oh, bangkit Bangkitlah umat Islam Di gunung ganang panji merah berkibar Di hutan rimba gerila bertapak Susun barisan maju tak gentar Maju, maju, Majulah rebut kemenangan!
---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948, terbitan SIRD, 2005

PERJUANG KEMERDEKAAN DARI KALANGAN ORANG ASLI YANG PATUT KITA TAHU


Dalam perjuangan besar untuk kemerdekaan tanah air yang kita nikmati hari ini turut disulami dengan keringat dan darah massa Orang Asli. Dalam berbagai tahab perjuangan kemerdekaan, ternyata Orang Asli telah memberikan sumbangan yang besar. Dalam Memoirnya, Abdullah C.D. telah mendedahkan sebahagian fakta tentang sumbangan Orang Asli kepada perjuangan kemerdekaan – sejak dari Perang Perak sehingga Perang Bahaman dan dari perjuangan menentang fasis Jepun sehingga perjuangan bersenjata menentang penjajah British di bawah pimpinan PKM. Di Rejimen Ke-10 terdapat 3 orang perajurit Orang Asli. (Gambar kiri: Mek Poh, kakak kepada 2 beradik Orang Asli di Kompeni Ke-23, Rejimen Ke-10 TRM) Mereka hidup bersama perajurit-perajurit Rejimen Ke-10 di dalam satu keluarga besar revolusioner, tanpa diskriminasi, menikmati sama derajat, penuh rasa kasih sayang sebagai rakan seperjuangan. Berikut adalah sedutan dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua yang bertajuk PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10: 

Bergaul dengan Massa Orang Asli 

Sementara itu, saya dan beberapa orang kawan pengawal tinggal bersama Orang Asli di gua batu untuk melakukan penyelidikan. Mengambil peluang inilah saya menyelami perasaan Orang Asli serta membuat penyelidikan tentang masyarakat Orang Asli di situ. 

Orang Asli di situ terdiri dari suku Senoi. Mengikut angka yang disiarkan akhbar, dalam tahun 1950-an, suku Senoi di Semenanjung berjumlah 12,500 orang. 
Chen Ping bergambar dengan 3 beradik Orang Asli ketika melawat Rejimen Ke-10 pada tahun 1989
Orang Asli adalah satu komponen penting masyarakat Malaya. Di masa silam, Orang Asli dan Orang Melayu pernah bekerjasama menentang penjajah asing khasnya British dan Jepun yang termanifestasi dalam Perang Bahaman di Pahang serta Perang Perak dipimpin Maharajalela dan Datok Sagor. Dalam Perang Perak, Si Puntum dan Si Gondah yang membunuh Birch adalah Orang Asli. Dalam 2 kali perjuangan besar menentang pencerobohan fasis Jepun (1941-1945) dan Perang Anti-British (1948) yang kedua-duanya dipimpin PKM juga mendapat sokongan kuat dari Orang Asli. Ini menunjukkan peranan penting masyarakat Orang Asli ke atas kemerdekaan dan pembangunan Malaya. Sebab itulah saya sangat berminat untuk mengetahui keadaan mereka. Dalam tahun 1940, ketika belajar di Kuala Kangsar, saya juga pernah membuat pengkajian tentang Orang Asli. Di kawasan Lambor ketika itu terdapat ramai Orang Asli. Ada di antara mereka telah bersemenda dengan orang Melayu. 

Orang Asli telah menetap di Semenanjung Tanah Melayu ribuan tahun dahulu. Mereka adalah penduduk pribumi sebenar rantau ini. Mengikut catatan ahli sejarah, Negeri Perak dibuka oleh Orang Asli yang mendirikan Kerajaan Gangga Negara pada masa kegemilangan pemerin- tahan Melayu Buddha Kerajaan Sriwijaya (600 - 1294 Masehi). Kemudian didirikan pula Kerajaan Beruas bertempat di Beruas dalam masa kegemilangan Kerajaan Majapahit, sebuah kerajaan Melayu Hindu sehingga kepada Kerajaan Melaka, sebuah kerajaan Melayu Islam. 

Beruas juga mempunyai sejarah patriotik menentang penjajahan. Pada masa Perang Anti-Jepun, Beruas menjadi basis Perang Anti-Jepun. Rakyat berbagai kaum menyokong PKM melancarkan Perang Anti-Jepun. Selepas Jepun kalah, perjuangan untuk kemerdekaan yang dipelopori PKMM, PKM, API, AWAS, BTM dan lain-lain berkobar di Beruas. Ketika saya datang ke Beruas bersama Pasukan Propaganda PKM pada tahun 1945, tokoh-tokoh nasionalis Beruas beramai-ramai menyambut kami. 

Kerana sejarah inilah, saya, Dr. Burhanuddin, Mustapha Hussein dan lain-lain datang ke Beruas mengadakan rapat umum untuk mempertebal semangat kebangsaan di kalangan massa rakyat di sana. Selepas itu, baru kami pergi ke Gunung Semanggol. 

Selesai membuat pengkajian tentang Orang Asli, saya meninggalkan gua batu bergabung semula dengan Rashid Maidin dan Musa. Masa itu perbekalan kami bergantung seratus peratus pada bantuan Orang Asli. Terdapat 2 kumpulan Orang Asli, satu Orang Asli di Perak dan satu lagi Orang Asli di Ulu Kelantan. 

Untuk menjalin perpaduan yang lebih erat dengan Orang Asli, saya menghantar Sukur memimpin satu regu kecil menemui Orang Asli di Ulu Kelantan. Orang Asli di situ menyokong Tentera Pembebasan dengan sepenuh hati. Ladang-ladang mereka diserahkan kepada kami untuk diambil bahan makanannya. Pernah terjadi suatu peristiwa di mana dua orang datuk mengikat tali persahabatan. Satu pihak ialah Rashid Maidin, bergelar Datok, mewakili kami semua dan satu pihak lagi ialah Datok Angoi yang mewakili kumpulan Orang Asli. Kedua-dua Datuk ini mengikat perjanjian persahabatan yang ikhlas di bawah cahaya unggun api mengikut adat istiadat Orang Asli. 

Selepas upacara mengikat perjanjian persahabatan, diadakan majlis bergabak iaitu majlismenari tarian Orang Asli dengan iringan irama hentakan buluh. Ketika bergabak, Orang Asli membaca mantera dan sebagainya mengikut kepercayaan mereka. Cara begini juga diadakan untuk mengubati anggotanya yang sakit demam. Kawan-kawan dari Pasukan Hang Jebat bersama Orang Asli menyertai majlis yang hangat itu dari petang hingga ke pagi. Seorang perajurit bernama Agus (gambar kiri) terjatuh ke dalam unggun api kerana terlalu bersemangat bergabak. 

Selepas itu, hubungan kami dengan massa Orang Asli lebih rapat lagi. Orang Asli di bawah riayah Datok Angoi dengan kami ibarat satu keluarga. Massa Orang Asli membantu kami memunggah ubi dari ladang mereka yang jauh dan dekat untuk kami.

Blackend Is The End

Dyers Eve