To Live Is to Die

free counters

Rabu, 5 Jun 2013

KISAH SAFWAN ANANG DALAM PENJARA SUNGAI BULUH - BAHAGIAN 1

Realiti seorang banduan di penjara Sg Buloh - siri 1



Terlalu banyak cerita yang nak dikongsikan sepanjang aku di Sg Buloh. Patutlah bila ditanya kepada bekas tahanan ISA, setiap hari dalam tahanan pasti ada cerita baru..sedangkan aku hanya berada di sana selama 3 hari 2 malam. Cabaran aku sebenarnya telah bermula sebaik sahaja mengambil keputusan supaya tidak dijamin…lawyer cuba pujuk, tapi aku nekad untuk teruskan niat protes…Sudah kali keempat aku ditahan, tapi belum pernah bermalam di lokap mahupun penjara.

Setelah 4 orang diikat jamin, tinggal lah aku seorang diri di dalam lokap mahkamah Duta..kemudian dipindahkan bersama 35 banduan lain yang telah selesai perbicaraan dan akan dibawa kembali ke penjara Sg Buloh. Lokap cukup bising dan ditambah dengan bau yang meloyakan. Aku dilihat seperti orang asing, sorang-sorang datang berjumpa bertanyakan “ Kau ni kes apa? Seksyen berapa? ”.

Apa yang sudah menjadi kebiasaan banduan ni adalah menghafal seksyen-seksyen yang berkaitan dengan kes mereka. Sorang ni cakap aku 39 (B) (kes dadah), aku ni pulak seksyen 9 (kes senjata api), yang sorang ni pulak seksyen 302 (kes bunuh), seksyen 376 (kes rogol) dan seksyen bla bla bla. Sekali aku pun menjawab, “ Aku seksyen 4 Akta Hasutan ”. Hah??? Semuanya ternganga mulut bila aku sebut kes yang aku dituduh. Tak pernah dengar pun! Aku hanya mampu tersenyum, nanti lah aku cerita panjang.

Datang sorang brader ni duduk sebelah aku, kepala masih botak licin dan hanya sikit je rambut yang baru tumbuh. (seperti orang baru). Aku beranikan diri bertanyakan soalan kepadanya dulu sebelum dia mula bertanya. “Abang ni baru lagi ke duk lokap penjara? Dia jawab, baru jugak lah. Ni dah hari ke-90. Terkejut aku dibuatnya, hari ke-90 pun masih dikira baru. Tapi aku nak tanye kau satu soalan ni, “ Siapa ketua polis negara sekarang ni? Aku dengar-dengar dah tukar..Ya bang, dah tukar. Dulu Ismail Omar, sekarang Khalid Abu Bakar. Brader tu seolah-olah terkejut dan mengeluh, “Alamak, susah la aku macam ni..” (Agaknya brader tu tahu macam mana perangai KPN baru kot) Soalan kedua yang ditanya, PRU13 baru ni sape menang ye? lagi terkejut aku dibuatnya. (dan baru aku tahu betapa sengsaranya banduan, berita luar langsung tak tahu).

Datang pulak sorang brader terus menunjukkan lagak sebagai orang lama, dan kononnya niat hanya membantu. “ Kau ni masuk dalam penjara nanti, kau duduk la dengan kami..selamat sikit kau ni, kalau tak nanti kau kena buli..(dalam hati, boleh percaya ke mamat ni) Aku jawab, ok ok.. Kau ada duit tak? Nanti nak beli rokok ke, roti ke, air minuman ke, aku boleh tolong dapatkan..Nah, aku dah agak tu point sebenarnya. Aku hanya tersengih dan jawab, “ Mana ada duit bang, dalam dompet ni ada la dua ringgit..aku dah agak diorang ni memang nak “pau” duit.

Lepas aku kena, yang lain pun turut kena “pau”. Ada yang bagi dan ada yang tak bagi. Lepas diorang dapat duit tu, diorang gulung jadi kecik dan diorang bungkus ketat-ketat dalam cebisan plastik roti Gardenia supaya betul-betul mampat. Kemudian (aku terpaksa cerita realiti), salah seorang dari banduan memasukkan apa yang di istilahkan di penjara sebagai “roket” ke dalam dubur. Itulah yang dinamakan proses penyeludupan di penjara. Hanya mahkamah tempat mereka boleh seludup, kalau penjara terlalu sukar. Sebab itu ramai dari banduan ternanti-nanti sekiranya mereka akan dibawa ke mahkamah, ia boleh diibaratkan sebuah percutian setelah lama merengkok di Sg Buloh.

Dan mereka akan menggunakan duit tersebut untuk berurusan di penjara kelak. Aku dapat mengagak sebab pernah dengar cerita-cerita sebelum ni. Kali ni aku lihat dengan mata kepala sendiri! Apalah nasib aku nanti kat penjara, dalam lokap mahkamah pun dah jadi macam-macam. Hampir jam 4 petang, aku masih belum solat zohor dek kerana urusan yang terlampau birokrasi. Aku buat keputusan, biarlah aku solat dalam lokap ni sahaja walaupun berbau air kencing yang teramat sangat. Perangai banduan, faham saja lah bagaimana. Aku ambil wudhu dan terus ambil penjuru hujung lokap yang padat dengan banduan. Sejurus aku mengangkat takbir, seorang konstabel polis menjerit, “ Nanti !!. ni ambik sejadah ”. Mujurlah, aku ingatkan masih tak dibenarkan solat tadi.

Usai aku solat, rupanya 4 ke 5 orang sedang menantikan aku habis solat untuk bergilir-gilir menunaikan solat Zohor kerana waktu sudah hampir tamat. Dalam hati terdetik, alhamdulillah..satu dakwah aku buat mereka..aku mulakan, dan mereka terus mengikut…

Hampir jam 5 petang barulah selesai semua urusan di mahkamah..dan aku dengan 35 banduan disumbat-sumbat sehingga muat ke dalam black maria untuk dibawa ke penjara Sg Buloh. Semua terpaksa berhimpit-himpit dengan gari yang berantai. Kesian betul aku pada seorang banduan yang aku rasa sudah warga emas (kantoi kes dadah) terpaksa berhimpit dan kadang-kadang aku tengok sehingga sesak nafas. Inilah nasib banduan rupanya.

Kami diiringi dua kereta peronda polis dan aku agak hanya lebih kurang 30 minit kami sudah tiba di penjara Sg Buloh.(memandangkan aku selalu ulang-alik ke rumah isteriku di Sg Buloh) Mana tidaknya, kami semua dah macam ikan sardin disumbat dalam black maria dan di bawa pecut laju semahunya. Tak kira lubang jalan ke, selekoh ke redah saja. Nasib kami aku lah. Aku hanya mampu berzikir dalam hati “cukuplah Allah sebaik-baik pelindung”.

Sesampainya kami di Penjara Sg Buloh, semua bergegas turun. Kedengaran laungan dari jauh, “ Wei, cepatlah sikit ”. Brader sebelah aku cakap, “ Ha, cikgu sudah datang ”. Baru aku tahu. Oh itulah istilah mereka untuk pegawai penjara. Mereka semua dipanggil ‘Cikgu’. Dan ada yang satu lagi dipanggil U.K.P. (nanti aku cerita) Mereka ini lagi digeruni daripada cikgu-cikgu.

Kami semua diminta beratur dihadapan sebuah pintu besi yang berwarna hijau. Semua banduan baru termasuk aku hanya diam membisu menantikan apa yang ada di sebalik pintu besi ini. Kemudian kami diminta masuk dengan pantas setelah pintu dibuka. Aku agak pintu itu setebal 6 ke 7 inci tebalnya. Cukup kukuh dan menggerunkan! Bermulalah kehidupan aku di penjara Sg Buloh…

Bersambung…

Blackend Is The End

Dyers Eve