To Live Is to Die

free counters

Rabu, 5 Jun 2013

KISAH SAFWAN ANANG DI PENJARA SUNGAI BULOH BAHAGIAN KE 3

Realiti seorang banduan di Penjara Sg Buloh - Siri 3

Aku dibawa ke bilik saringan seterusnya. Nah, di sinilah aku betul-betul teruji. Cikgu H (aku hanya sebut huruf depan shj) menyuruh aku duduk betul-betul berhadapan sebuah kerusi besi. Kerusi besi ni cukup unik. Hanya yang pernah masuk penjara Sg Buloh dia akan tahu. Ya, itulah kerusi yang setiap banduan tanpa seurat benang di badan akan duduk mencangkung sambil batuk (membatukkan) diri, “Ehek, eehek, eheek..” Di bahagian bawah kerusi tu pula disediakan satu camera perakam bertujuan melihat setiap (saya terpaksa cerita terus terang) lubang dubur banduan. Dan aku pula diletakkan betul-betul berhadapan setiap kali banduan duduk mencangkung!.

“ Ha safwan, kau tahu tak kenapa semua banduan kena lalui proses macam ni?” Aku hanya menggeleng kepala. Dan aku tahu Cikgu H ni sebenarnya nak psiko mental dan ketahanan aku. “ Ni lah bertujuan untuk tengok apa yang banduan cuba seludup atau sembunyikan barang-barang larangan dalam dubur. Kau tahu tak aku pernah jumpa banduan simpan handphone dalam diorang punya tu..tak ke gila namanya tu…” fuh, aku betul-betul terkedu! Dan tekak aku mula loya waktu itu. Cikgu H hanya tersengih “ Kau boleh tahan lagi tak? ” Boleh cikgu! Aku berkeras menahan dan melawan mental ku yang cuba memberontak! (sama macam dalam tamrin latihan kepimpinan di universiti, betul-betul teruji mental).

Tak cukup dengan itu, setiap banduan yang lambat dan tak faham arahan akan dilibas dengan rotan buluh yang hujungnya sudah pecah. Terbirat bahu banduan yang kena balun. Habis kemerah-merahan. Masalahnya aku ni dipaksa untuk melihat semua yang berlaku depan mata! Tak dibenarkan ke tempat lain! Cikgu H menyindir aku “ ha, nanti dah habis semua banduan baru aku hantar kau ke sel! ” Ah, betapa terseksanya aku terpaksa menghadap semua tu. Aku cekalkan hati sambil hanya mampu berzikir untuk hadapi semua ujian ni. Mulutku mula terkumat kamit membaca zikir sambil diperhatikan oleh Cikgu H. Aku agak proses tu berjalan lebih kurang hampir satu jam sebelum aku bergerak ke menuju ke sel.

Selepas tamat proses saringan tadi, aku dibawa sendiri oleh Cikgu H untuk dihantar ke sel. Sambil-sambil berjalan cikgu bercerita dengan aku tentang pengalaman kerja beliau selama ni di Sg Buloh. Tiba-tiba kedengaran laungan suara dari jauh, sergah Cikgu H “ Ha tulah kawan-kawan kau yang dah lama duk kat sini. Suka lah tu akan dapat penghuni baru nanti…” Cikgu H psiko aku lagi rupanya. Selang dua tiga langkah, keluar satu katil yang ditolak oleh cikgu-cikgu. Cikgu H sergah aku lagi, “ Hah, nasib kau baik boleh tengok ni. Tu lah banduan yang baru mati. Kakinya terangkat ke atas. Keras terkaku! Fuh, aku teruji lagi kali ni. Ni belum lagi masuk sel, dah tengok macam-macam kat luar sel.

Aku terus diperkenalkan kepada sel aku. Namanya blok Damai. Cikgu H cakap semua orang baru akan dihantar ke blok ini. Cikgu H terus membawa aku, sambil ditanya Cikgu yang jaga blok. “ Ni sape ni? Cikgu H jawab, nilah Safwan budak baju Blackout tu”. Aku hanya mampu tersenyum dan memberi salam kepada Cikgu. “ Amboi kau safwan, sampai Cikgu H hantar kau ke sini.” Aku diam membisu sambil mataku meliar melihat keadaan sekeliling blok Damai. Seram juga dibuatnya dengan pintu besi yang cukup klasik. Siap dengan bunyi. Kriiiiiikkkkkk…

Cikgu H minta diri dan meninggalkan aku dengan cikgu blok Damai. “ No kau berapa? Aku jawab, 31302770 cikgu. Kau duduk sekejap, nanti aku panggil. Kemudian aku dipanggil untuk dihantar ke sel. “ Ambil barang-barang kau ikut aku. Nah, inilah keadaan penjara sebenar. Ada yang duduk bertiga, ada yang duduk dalam dorm beramai-ramai. Suasananya petang itu cukup bising. Aku pula disergah oleh banduan-banduan lama, “Haa ada budak baru lah…” dalam hati siaplah aku lepas ni. Mungkin kena buli nanti. Waktu itulah aku bertemu dengan seorang bekas tahanan ISA Yazid Sufaat, dia menyapa aku “ Eh..Safwan…kau masuk dalam jugak? Aku hanya mengangguk. Dan aku belum pernah berjumpa dengan Yazid sebelum ini, hanya pernah mendengar cerita ketika ada aksi-aksi himpunan membantah ISA.

Cikgu terus memotong perbualan kami, “Ha yazid, kau jangan nak hasut budak ni pulak. Duduk diam-diam.” Aku dengan Yazid hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus! Aku terus dibawa ke sel bernombor 15. Alhamdulillah, nasib baik aku hanya duduk dalam sel yang memuatkan 3 orang dan bukannya dorm ramai-ramai. Cikgu beri arahan, “ Ha, kau duduk dengan askar ni ”. Rupanya teman sebilik aku adalah seorang bekas askar dan kami hanya berdua. “ Ha, askar kau ajarlah budak ni macam mana peraturan duduk dalam penjara…aku ucap terima kasih cikgu..” bermulalah kehidupan aku di dalam sel bernombor 15 blok Damai.

Askar tu baik orangnya. Namanya Jai. Dia yang mengajar aku macam mana cara hidup dalam penjara. Rupanya baru 13 hari dia masuk ke penjara Sg Buloh ni. Aku pun perkenalkan diri secara ringkas. Perkara pertama yang aku nak buat selepas masuk ke dalam sel adalah solat. Waktu dah hampir 6.30 pm dan aku belum solat asar. Jai minta aku mandi terlebih dahulu memandangkan masih banyak rambut di badanku. Aku hanya memandang tandas yang disediakan dalam sel, tanpa apa-apa hadangan. Ya, terbuka luas. Jai memberitahuku, “Alah kau mandi jelah. Nak malu apa kat sini. Semua lelaki…” Aku pun mandi dengan hanya memakai seluar pendek kerana aku tahu hukum aurat antara lelaki tetap ada batasnya.


Selesai solat kami menyambung cerita. Rupanya Jai adalah tahanan reman yang dituduh memiliki dadah dan dia nekad untuk buktikan yang dia tak bersalah. Katanya minggu ini keputusan forensik akan keluar untuk membuktikan sama ada dadah atau bukan. “ Aku nak buktikan pada mak ayah aku yang aku tak bersalah dan aku bukan penagih dadah. Tu memang bukan dadah…” cerita Jai pada aku. Aku melihat cara Jai bercerita cukup bersungguh-sungguh dan aku yakin dia tidak berbohong. Aku pula bercerita mengenai kisahku, dia terkejut bila aku sendiri yang menolak untuk diikat jamin. Dan akhirnya dia faham akan tujuanku berbuat demikian. Dia cukup simpati terhadap perjuanganku. Habis cerita aku, aku bertanya kepadanya, “ Macam mana nak tahu masuk waktu solat ni? Dah masuk maghrib ke belum? Jam pun takde ni. ” Jai jawab, kau tunggu lah kejap lagi. Nanti ada orang azan, orang Sabah dia tu. Oo macam tu...

Masuk sahaja waktu maghrib, selesai azan Jai askar ajak aku untuk solat berjemaah. Katanya tak pernah solat jemaah dalam penjara ni, kali pertama la ni boleh solat jemaah ni. Alhamdulillah, kali pertama juga aku dapat mengimamkan solat jemaah dalam penjara dan kami berseragam dengan baju penjara yang berwarna ungu.

bersambung lagi…

Blackend Is The End

Dyers Eve